Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

"MEETING sekarang!"

"Hah? Meeting?"

"Ya."

"Tapi Cik Naurah..."

Langkah kaki Naurah segera terhenti. Pandangannya sudah terarah tepat pada Thirah.

"Sekarang!"

Dan bagaikan terkena kejutan elektrik, spontan Thirah berdiri tegak di situ. Dek tidak betah melawan pandangan tajam Naurah terhadapnya.

"Ah, ya..." jawab Thirah, gugup.

"Cepat!" tekan Naurah lagi.

Dan tanpa menanti Thirah, terus saja dia mengatur langkah ke bilik mesyuarat.

"Ya! Ya! Cepat!"

Dalam kelam-kabut, Thirah segera mencapai buku nota dan pen. Kemudian, dia memberikan isyarat kecemasan pada rakan-rakan sekerjanya.

"Apa tu?" soal Ana, tidak jelas akan isyarat kecemasan diberikan oleh Thirah padanya.

"Meeting! Meeting! Sekarang! Cepat!"

"Hah? Fasal apa? Kenapa tiba-tiba saja?" soal Ana dengan mimik muka terkejut.

"Sekarang! Cepat!" tekan Thirah lagi. Soalan dari rakannya juga sudah dibiarkan sepi tanpa jawapan.

"Tapi Kak Ida tak ada lagi ni?"

"Dia pergi mana?"

"Entah."

"Tak sampai lagi." Lina pula menyampuk.

Langkah Thirah sudah terhenti di situ. Anak matanya sudah terarah tepat pada tempat duduk Kak Ida yang kelihatan kosong di situ. Menandakan Kak Ida masih lagi tak sampai.

"Biar betul? Takkan tak sampai lagi kut? Dia kan tahu Cik Hitler tu macam mana. Tak suka orang datang kerja lewat. Walau seminit sekalipun!"

"Dia ada masalah kut. Dua tiga hari lepas, dia ada cakap tak ada siapa nak jagakan anak dia," beritahu Ana.

"Kau ingat Cik Hitler nak terima semua alasan tu? Pada dia, lambat tetap lambat. Sebarang alasan, dia tak akan terima tau tak!"

"Kau nak marah aku buat apa? Bukan aku yang datang lambat."

"Bukan marah tapi cakap." Thirah membetulkan tuduhan Ana padanya.

"Gaya macam marah saja."

"Dah! Dah! Pedulikan Kak Ida. Jangan sebab dia, kita pula kena marah nanti. Sebab lambat masuk bilik meeting." Bakar mengingatkan.

"Yalah wei, meeting!" jerit Thirah. Buat seketika, seakan terlupa akan agenda penting harus dibuat ketika itu.

Dengar saja kata-kata Bakar tu, barulah terkocoh-kocoh mereka semua menuju ke bilik mesyuarat. Disebabkan risau keadaan Kak Ida yang terlambat pada hari itu, mereka pula bakal menjadi mangsa amukan Cik Hitler sekejap lagi.

Keadaan di dalam bilik mesyuarat sunyi sepi. Tiada seorang pun yang berani membuka mulut untuk bertanya dengan lebih lanjut pada Naurah mengenai mesyuarat mengejut pada hari itu. Atau dengan kata lain, tiada seorang pun berani mengganggu Naurah yang begitu asyik dengan iPadnya.

Sudahnya, mereka hanya mampu membuang pandang sesama sendiri. Sambil memberikan isyarat mata yang hanya difahami oleh mereka sahaja.

"Shahida mana?" soal Naurah dengan tiba-tiba.

Sampaikan semua stafnya sudah membuang pandang sesama sendiri. Tidak ada seorang pun berani menjawab pertanyaan yang sudah dijangka itu.

"Shahida mana?!" aju Naurah buat kali kedua. Kali ini nada suaranya sudah meninggi berbanding tadi.

Spontan, Ana menyiku Thirah di sisinya. Mengisyaratkan rakannya itu untuk menjawab pertanyaan Cik Hitler bagi pihak mereka.

Thirah sudah membeliakkan matanya di situ. Marah apabila tiba-tiba sahaja Ana menyikunya begitu.

Spontan anak matanya membuang pandang pada rakan-rakannya yang lain. Yang kebetulan sedang memandang tepat padanya. Baru sekarang Thirah mengerti maksud di sebalik pandangan mereka.

Belum apa-apa, dah undi dia untuk menjawab dengan Cik Hitler. Tak patut betul!

"Tak ada siapa tahu mana Shahida?" Naurah bertanya lagi.

Kali ini dia mengangkat kepala. Pandangannya sudah tidak terarah pada iPad lagi. Sebaliknya sudah terarah tepat pada stafnya. Wajah satu per satu dipandang lama.

"Errr... Rasanya dia tak datang lagi kut..."

"Rasa?"

"Tak! Bukan! Maksud saya, dia tak datang lagi." Menggelabah Thirah membetulkan jawapannya. Terlupa, Cik Hitler tak suka jawapan tanpa kepastian.

"Betul?" tanya Naurah. Kali ini anak matanya sudah terarah pada stafnya yang lain.

Masing-masing sudah mengangguk. Mengeyakan jawapan Thirah sebentar tadi.

"Thirah!"

"Ya, Cik Naurah!" sahut Thirah.

Serentak dengan itu, duduknya juga sudah menjadi tegak di situ. Berdebar-debar menanti kata Naurah dengan selanjutnya.

Janganlah dia buat salah apa-apa!

"Berat badan awak dah bertambah. Kurangkan makan!"

Air muka Thirah berubah rentak. Terkejut dengan komen tak disangkanya. Serentak dengan itu, dia terdengar ketawa kecil dari rakan-rakan sekerjanya.

"Taklah, Cik Naurah. Berat saya... Sama juga macam sebelum ni. Tak tambah pun," tepis Thirah.

Dia kembali bersandar pada kerusi. Dek semangatnya sudah hilang dengan komen tepat dan padat daripada Naurah.

"Ya?"

"Ya. Betul. Tengok ni! Sama lagi, kan?"

"Bulan lepas awak ada pakai baju sama, kan?"

Spontan, anak mata Thirah melorot memandang baju dipakainya ketika itu.

"Ah, ya. Kenapa, ya?"

"Bulan lepas perut awak tak nampak macam tu. Sekarang dah nampak tiga garisan," komen Naurah. Sambil anak matanya terarah tepat pada perut Thirah.

Duduk Thirah kembali tegak. Spontan, dia menarik nafas. Cuba menyembunyikan lapisan perut seperti dikatakan Cik Hitler tadi."

"Tak payah tahan nafas. Karang kejung pula awak kat sini."

Thirah tarik muka. Nafasnya sudah kembali menjadi seperti tadi. Namun begitu, dia mendengar dengan jelas ketawa kecil rakan-rakannya yang lain.

"Tak payah gelakkan orang. Ana, Lina dan Bakar. Kau orang pun kena jaga-jaga. Berat masing-masing dah naik 1 kg."

"Hesy... Mana ada, Cik Naurah! Berat saya sama macam bulan-bulan lepaslah," tepis Ana pantas. Lina di sisinya ikut mengangguk di situ. Sependapat dengan kata rakannya itu.

"Timbang."

"Hah? Sekarang?" soal Ana dan Lina, serentak. Dek terkejut dengan arahan daripada Naurah.

Spontan, pandangan mereka sudah diarahkan pada penimbang yang sudah berada di dalam bilik mesyuarat itu.

"Ya. Sekarang."

Dengan teragak-agak, Ana melangkah ke atas penimbang. Dia berdoa agar berat tetap sama. Tetap macam bulan-bulan sebelumnya.

"Berapa?" tanya Naurah sebaik sahaja kaki Ana berada di atas penimbang.

Diam. Tiada jawapan daripada Ana. Sebaliknya, air mukanya sudah berubah rentak di situ.

"Berapa?!" aju Naurah buat kali kedua. Nada suaranya juga sudah naik beberapa oktaf.

"Errr... Naik 1 kg, Cik Naurah."

"Wow! Sama macam Cik Naurah cakaplah," komen Iman, spontan.

"Lina."

"Saya kena juga ke, Cik Naurah?"

"Dah awak tak percaya cakap saya."

"Hesy! Siapa cakap saya tak percaya? Saya percaya cakap Cik Naurah. Hari ni juga saya mulakan diet," tolak Lina pantas.

Bakar turut mengangguk di situ. Sependapat dengan kata-kata Lina. Karang, dia naik sekali terbalik meter penimbang. Itu lagi haru!

Ana sudah menjeling tajam tepat pada rakan-rakannya itu. Dalam sekelip mata, jawapan mereka berubah.

"Saya bukan sengaja nak menyibuk berat badan awak semua bertambah ataupun tak. Tapi, kalau berat badan awak bertambah secara tak langsung akan memberi kesan pada prestasi kerja awak. Buat apa pun jadi lambat, sebab susah nak bergerak. Cepat penat. Cepat mengantuk! Malas!"

Naurah menjelaskan dengan panjang lebar sebab dan kenapa dia begitu mengambil berat akan perubahan berat badan staf di bawahnya.

Dengan lemah, mereka semua mengangguk. Mengeyakan saja kata-kata Naurah di situ. Sebab apa yang dikatakan itu memang ada betulnya juga.

Seketika kemudian, tiba-tiba sahaja pintu bilik mesyuarat dibuka dari luar. Kak Ida muncul dengan termengah-mengah di situ. Menandakan dia baru sahaja menghabiskan larian 100 meter sebentar tadi.

"Maaf... Maaf... Cik Naurah..."

"Lewat dua jam," komen Naurah sambil memandang pada jarum jam di dalam bilik mesyuarat itu.

"Maaf... Cik Naurah... Saya... Saya bukan sengaja... Anak saya... Tak ada siapa jaga dia..."

"Saya tak nak dengar sebarang alasan. Lambat tetap lambat," pintas Naurah tanpa sempat Kak Ida usai berkata-kata.

"Maaf..." ujar Kak Ida, perlahan.

"Ini kali kedua awak datang lambat. Amaran pertama. Cukup tiga amaran, awak bukan lagi staf saya," tegas sekali amaran diberikan Naurah.

Memang dia sangat menjaga soal ketepatan masa. Tak boleh terlewat, walau seminit. Dan jangan beri apa-apa alasan. Semuanya dia tak akan terima. Pada Naurah, lambat tetap lambat! Noktah!

Kak Ida mengangkat kepala. Air mukanya juga sudah berubah rentak. Seakan terkejut dengan kata-kata Naurah sebentar tadi.

"Jangan ingat saya diam, saya tak tahu apa yang berlaku dalam pejabat saya," sambung Naurah lagi. Seakan dapat membaca apa yang sedang bermain dalam fikiran Kak Ida ketika itu.

Diam. Sudah tiada kata yang dapat dibalas oleh Kak Ida. Dah memang jelas itu semuanya salah dirinya sendiri.

"Okey, itu sajalah. Lain-lain rasanya dah tak ada apa-apa kut," ujar Naurah.

Tanpa membuang masa, dia terus saja melangkah keluar dari situ.

Sebaik sahaja melihatkan bayang Naurah hilang dari situ, semuanya sudah melepaskan nafas yang ditahan sejak dari tadi. Seakan berasa lega bila mesyuarat mengejut itu akhirnya tamat di situ.

Nasib mereka baik, Cik Hitler tak membebel dengan lebih panjang.

"Kenapa tak cakap pada akak ada meeting hari ni?" soal Kak Ida pada Thirah. Seakan kecewa bila ada meeting mengejut pada hari dia datang lambat dari kebiasaannya.

"Maaf, Kak Ida! Kami pun tak tahu. Cik Hitler buat mengejut."

"Alah, bukan meeting sangat pun. Cik Hitler cuma nak tegur semua kesilapan yang kami dah buat sepanjang bulan ni. Macam dia selalu buat tu," sampuk Lina pula.

"Itulah. Tak fasal-fasal kami kena diet tau. Tajam gila mata Cik Hitler tu, berat aku naik sekilo pun dia perasan," luah Ana pula. Seakan tidak berpuas hati dengan kenyataan Naurah sebentar tadi.

"Eloklah tu dia suruh diet. Untuk kesihatan kau orang juga," komen Kak Ida pula.

Seketika kemudian, masing-masing sudah kembali ke tempat duduk. Mahu menyambung kerja yang terhenti sebentar tadi. Takut nanti mata helang Cik Naurah nampak mereka berbual kosong, harus kena marah lagi.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: