Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

PINTU rumah ditutup dengan perlahan-lahan. Ruang tamu kecil itu kelihatan gelap tanpa sebarang cahaya. Walaupun keadaan gelap begitu, Zhariff tetap tidak memetik suis lampu. Sebaliknya, dia melangkah dengan berbekalkan cahaya daripada telefon.

"Baru balik, Zhariff?" soal satu suara. Nada suara itu kedengaran perlahan saja.

"Mak tak tidur lagi?"

Sudahnya, soalan berbalas soalan. Anak mata Zhariff sudah membuang pandang pada pintu bilik, tidak jauh dari ruang tamu.

"Belum," balas suara lemah itu lagi.

"Dah tu, kenapa mak duduk dalam gelap macam ni? Tak ada nyamuk ke?"

Tidak sempat Munah menjawab pertanyaan dilontarkan, Zhariff sudah menukar arah. Kali ini suis lampu pula dicarinya. Tapi ruang tamu itu tetap juga gelap walau suis sudah dibukanya. Terbakar lagi ke?

"Rosak kut," beritahu Munah.

"Takkan kut! Baru saja ganti baru."

Zhariff melangkah ke arah dapur pula. Kerusi diambil lalu diletak di ruang tamu. Betul-betul di bawah lampu. Mahu periksa lampu tu.

"Kipas pun mak tak buka?" tanya Zhariff lagi. Baru perasan, kipas kelihatan kaku di situ.

"Tak panas ke mak duduk dalam gelap? Kipas pun tak buka." Suara Zhariff kedengaran lagi. Terus dia melangkah ke arah kipas. Suis kipas ditekannya. Seperti tadi, kipas langsung tak bergerak. Tetap juga kaku di situ.

"Rosak kut," duga Munah pula. Sesekali dia terbatuk-batuk di situ.

"Bekalan elektrik... Kena potong lagi kut, mak," beritahu Zhariff pula setelah lama mendiamkan diri.

Rasa bersalah mula bergayut di tangkai hatinya. Anak jenis apalah dia ni? Langsung tak tahu perihal bil elektriknya yang sudah dipotong. Dah tu, dibiarkan maknya dalam keadaan bergelap macam ni.

"Maaf, mak," ujar Zhariff. Nada suaranya hampir dengar tak dengar saja.

Perasaan bersalah benar-benar membelit tangkai hatinya ketika ini. Terasa lemah dan tak berguna, bila tak dapat sediakan kemudahan sekecil itu untuk kegunaan maknya sendiri.

"Tak ada apalah. Benda kecil saja ni," pujuk Munah.

Zhariff melangkah ke arah dapur. Diselongkar kabinet uzur itu, gara-gara mahu mencari lilin. Puas mencari, akhirnya jumpa juga lilin. Itu pun lilin sudah digunakan. Tak banyak lagi yang ada. Tapi bolehlah digunakan untuk malam ini saja, fikir Zhariff.

"Esok Zhariff pergi bayar, ya," beritahu Zhariff.

Lilin diletakkan berdekatan dengan mak. Berbekalkan cahaya daripada lilin, barulah dia dapat melihat wajah uzur maknya itu.

"Alah! Biarlah. Tak mati pun kalau tak ada bekalan elektrik ni," balas Munah. Cuba mengurangkan rasa bersalah sedang dirasai Zhariff ketika itu.

"Mak ni! Ada pula cakap fasal mati!" marah Zhariff. Telinganya memang sensitif bila mak mula bercakap soal mati ni. Terasa macam bila-bila masa saja mak akan pergi tinggalkan dia sendirian.

Tak! Zhariff tak mahu mak pergi! Masih banyak lagi yang mahu dibuat untuk mak! Masih banyak lagi bakti mahu dicurahkan pada mak. Dan jasa mak membesarkan dia, masih belum dapat dibalas lagi.

"Alah, kita yang hidup ni satu hari nanti akan mati juga. Bezanya, cepat atau lambat saja," sambung Munah lagi. Nada bicaranya kedengaran tenang saja. Seketika kemudian, dia terbatuk lagi.

"Dahlah, mak! Zhariff tak nak dengar fasal mati semua tu lagi," larang Zhariff.

Belakang mak sudah diusap-usap. Biar batuk mak reda. Biar sakit mak berkurang. Cuma itu saja yang mampu dilakukannya.

Bibir tua Munah tersenyum senang di situ. Memang itulah pengakhirannya bila dia bercakap soal mati.

Dia tahu Zhariff sayangkannya. Dan sebab itu, dia nak mati cepat. Dia tak nak susahkan Zhariff lagi. Sebabnya, tenaga dan duit Zhariff sudah banyak dihabiskan padanya. Tapi sakitnya tak pernah baik. Tak pernah kurang. Tetap juga macam tu.

Munah tahu, itu ujian-Nya pada dia dan Zhariff. Tapi, hati ibu mana sanggup melihat anak tunggalnya berhenti sekolah semata-mata mahu menyara mereka dua beranak? Dalam usia begitu muda, Zhariff mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga. Dengan kudrat kecil Zharifflah, Munah masih bernyawa sampai sekarang. Kalau tak ada Zhariff, mungkin dia pun dah lama hilang dari dunia sementara ini.

"Mak... Fikir apa tu?" tanya Zhariff.

Zhariff perasan air mata maknya sudah bergenang. Sikit masa nanti, pasti air hangat itu akan gugur jua. Jiwanya tak sanggup melihat mak menangis begitu.

Maafkan Zhariff, mak! Sampai sekarang pun, Zhariff tak mampu nak senangkan mak.

Munah menggeleng. Tangan tuanya terus saja menyeka air hangat yang sedari tadi bergenang di kelopak matanya. Tidak mahu ia gugur membasahi wajah tuanya lagi. Nanti hati Zhariff turut sakit. Dia tak sanggup buat hati Zhariff sakit sama. Cukuplah apa yang Zhariff rasa sekarang disebabkan dia.

"Kalau Zhariff tak berhenti sekolah dulu, tentu Zhariff dah kerja bagus, kan?" tanya Munah, perlahan. Rasa menyesal tak pernah hilang kerana tidak berkeras menghalang Zhariff dari berhenti sekolah dulu. Kalau tidak, pastinya Zhariff tak perlu merasa susah begini.

"Mak... Sudahlah! Tak perlu sebut fasal tu lagi," larang Zhariff. Kepalanya sudah digeleng.

Zhariff tak nak mak terus menyalahkan dirinya. Sebab dia tak pernah sekalipun menyalahkan mak.

Itu semua keputusan yang dibuatnya sendiri. Keputusan budak baru berusia 15 tahun ketika itu. Dia sendiri nekad mahu berhenti sekolah. Dia sendiri nak cari kerja dan sara mak. Jadi, tak ada istilah menyesal bila menyebut perkara itu.

"Tapi... Zhariff kan pandai. Kalau Zhariff bersekolah..."

"Dahlah, mak. Zhariff tak pernah menyesal dengan apa Zhariff dah buat untuk mak. Kalau diberi peluang untuk ubah keputusan dulu, Zhariff tetap akan buat pilihan sama," pintas Zhariff pantas tanpa sempat Munah usai berkata-kata.

"Tapi mak..."

"Mak tak sayang Zhariff?" soal Zhariff pula.

Munah terdiam. Wajah penat Zhariff ditatap lama. Dalam terketar-ketar, tangannya diangkat. Wajah Zhariff diusap perlahan.

"Anak mak sorang ni saja. Tentulah mak sayang Zhariff."

Zhariff senyum. Puas dengan jawapan mak.

"Jadi, Zhariff tak nak dengar mak sebut fasal ni lagi."

Munah diam. Kalau itu kata Zhariff, jadi dia ikutkan saja. Sebab dia sayangkan Zhariff, jadi dia tak nak hati Zhariff rasa terbeban dengannya.

Zhariff jadi panas punggung. Tak senang duduk bila melihat mak sudah diam di situ.

"Mak dengar tak? Atau mak dah merajuk? Terasa hati dengan Zhariff?"

Munah senyum. Kepalanya sudah digeleng, perlahan.

"Tak ada sebab mak nak merajuk dengan Zhariff. Kecuali..."

"Kecuali?" tanya Zhariff tidak sabar. Tanpa sedar, soalannya itu bakal menjerat batang lehernya sendiri.

"Kecuali Zhariff tak bawa mak menantu."

"Mak ni ke situ pula!" marah Zhariff. Hilang sudah riak risau pada wajahnya sebentar tadi. Dan sekarang, sudah diganti dengan masam mencuka.

Sejak akhir-akhir ni, kalau bercakap dengan mak mesti akan pusing sampai keluar topik satu ni! Dah puas dia tepis. Dah puas dia halang. Tapi mak makin rancak buka soal ni.

"Mak bukan apa. Teringin juga nak tengok anak mak ni kahwin. Ada isteri. Boleh uruskan Zhariff. Boleh hilangkan penat lelah Zhariff tu," sambung Munah lagi.

Zhariff sudah diam membisu di situ. Tidak tahu hujah dan alasan macam mana lagi harus digunakan pada mak. Rasanya semua sudah dikeluarkan.

Tapi mak? Tetap juga macam tu. Kalau dulu topik kahwin dan menantu ni datang setahun sekali. Kemudian, dua bulan sekali. Sekarang, boleh dikatakan hampir setiap hari mak buka topik ni. Sampaikan Zhariff hilang kata.

"Zhariff tak nak kahwin ke? Tak terasa nak berumah tangga?"

"Hesy, mak! Tentulah nak. Nabi tak mengaku umat tau kalau tak nak kawin."

"Dah tu, kenapa Zhariff tak kahwin-kahwin? Takkanlah tak ada anak dara yang suka dengan anak mak ni? Anak mak ni tak cukup kacak ke?" seloroh Munah pula.

Spontan, seraut wajah milik Naurah terbayang di matanya. Mimik muka Naurah yang berubah bila dia mendesak Naurah untuk bertanggungjawab padanya. Senyum kelat Naurah bila diusik mengenai kahwin oleh kenalannya.

"Mak ni! Ke situ pula perginya. Dah tak ada jodoh. Macam mana nak kahwin?" Zhariff beralasan. Rasanya itu saja jawapan paling selamat, kan?

"Jodoh ada kalau Zhariff nak. Tapi masalahnya, Zhariff tu tak nak. Mak Cik Leha tu, dah lama berkenan dengan Zhariff. Nak Zhariff jadi menantu dia. Tapi Zhariff tolak."

Zhariff mengeluh kecil. Kali ini, wajah Dila pula bermain di matanya. Anak Mak Cik Leha. Jirannya juga.

"Dila tu cikgu, mak. Manalah padan dengan Zhariff ni. Kuli kat Dapur Deraman saja pun."

"Dila tak kesah. Mak Cik Leha pun tak kesah. Bukannya mereka tak tahu dan kenal Zhariff ni kerja apa." Beria Munah dengan jawapannya.

Ikutkan hati, dia memang suka sangat kalau Zhariff jadi dengan Dila. Budaknya pun baik. Dan rumah mereka pun tak adalah jauh sangat. Jadi, senanglah kalau-kalau dia nak lepaskan rindu pada Zhariff nanti, kan?

"Mula-mula memanglah tak kesah, mak. Zhariff tak nak, bila dah ada anak nanti. Semua akan jadi penyebabnya."

"Ke situ pula fikirnya."

"Tak salah kan kalau Zhariff beringat? Kejadian lepas, buat Zhariff lebih beringat macam ni."

Munah terdiam dengan kata-kata Zhariff. Dia tahu, hati Zhariff masih lagi terluka dengan kejadian lepas. Disuruhnya Zhariff masuk meminang. Bila Zhariff menghantar rombongan, lain pula yang menanti mereka. Kononnya Zhariff ni tak layak untuk anak mereka. Kerja pun entah apa-apa saja. Ada hati nak pinang anak gadis mereka.

Hati Munah sedih bila melihat Zhariff sedih. Dan hati Munah ikut terluka bila melihat Zhariff diperlakukan sebegitu rupa. Apa hak mereka hendak mengata anaknya sebegitu rupa?

"Mak betul nak menantu?" soal Zhariff setelah terdiam buat seketika.

"Mak tak nak paksa Zhariff."

"Kalau betul, mak nak menantu?"

"Jangan bagi harapan palsu pada mak, Zhariff. Mak cakap fasal kahwin, bukan untuk mak. Tapi, mak nak Zhariff tu kahwin. Ada isteri. Mak nak tengok Zhariff bahagia. Itu saja yang mak nak," beritahu Munah dengan panjang lebar.

Dia tidak mahu Zhariff salah sangka padanya, hanya kerana dia sentiasa bercakap mengenai isu sama berulang kali.

"Mak suka... Kalau Zhariff kahwin?"

"Tentulah mak suka. Ada orang boleh jaga makan minum Zhariff."

"Mak gembira kalau Zhariff kahwin?"

"Ya, Zhariff. Mak gembira kalau Zhariff kahwin. Setidaknya, bila mak tak ada nanti Zhariff ada teman."

Entah kenapa, Zhariff terasa sebak dengan kata-kata mak. Tiada kata lagi yang terluah dari mulutnya. Sebaliknya, wajah tua mak ditatap lama. Dan kata-kata mak sebentar tadi sudah bermain-main dalam benaknya.

Kalau perkahwinannya boleh membahagiakan mak, kenapa dia tidak mahu lakukannya, kan? Siapa lagi yang boleh bahagiakan mak, kalau bukan dia?

Tapi, siapa pula sudi berkahwin dengan insan hina seperti dia? Dila? Anak Mak Cik Leha yang mak cakapkan? Ataupun...

Bicara hati Zhariff terhenti di situ. Saat itu, seraut wajah Naurah pula muncul dalam kotak fikirannya. Bukan wajah Naurah sedang tersenyum manis. Tapi, wajah Naurah yang sudah basah dengan air mata selepas dia menuduh Naurah mengandung.

Ya Allah! Berdosanya aku pada Naurah.

Kata-kata terakhir Naurah padanya sudah mula terngiang-ngiang di telinganya. Seperti baru sahaja diucapkan Naurah. Diulang tayang berkali-kali. Betul-betul membuatkan Zhariff rasa bersalah.

"Sudahlah, Zhariff! Anggap saja awak tak pernah jumpa dan dengar semua ini daripada saya. Saya pun tak mahu kahwin dengan orang yang menuduh saya mengandung."

Mak! Zhariff dah lukakan hati Naurah. Boleh ke Zhariff tebus balik dosa Zhariff tu pada Naurah? Mahu ke Naurah maafkan Zhariff? rintih hati Zhariff sendirian.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: