Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

"MAAF!" ujar Naurah saat Zhariff melabuhkan punggung di hadapannya.

"Hah?"

"Saya minta maaf! Saya nak tarik diri!" ujar Naurah. Terus ke titik penting pertemuannya dengan Zhariff.

"Maksud awak?"

"Fasal semalam, saya nak awak lupakan apa yang berlaku."

Zhariff diam tanpa sebarang kata. Hanya anak matanya saja memandang tepat pada Naurah.

Tidak senang dengan keadaan itu, Naurah menundukkan wajahnya.

"Awak ingat saya ni apa? Lepas lamar saya dan kemudian awak nak tinggalkan saya macam tu saja?"

Naurah angkat muka. Nada bicara lelaki itu kedengaran semacam saja pada telinganya.

"Awak kena bertanggungjawab!" arah Zhariff pula.

"Hah?"

Anak mata Naurah sudah terbeliak dek terkejut dengan kata-kata lelaki itu. Langsung tak jangka itu pula akan meniti keluar dari mulut lelaki itu. Sangkanya tadi Zhariff mahu sumpah seranah dia. Gara-gara mahu tarik diri.

Tapi Zhariff nak dia bertanggungjawab? Gila! Apa dia dah buat sampaikan kena bertanggungjawab bagai?

"Awak dah lupa? Awak lamar saya secara terbuka. Dan untuk pengetahuan awak, kejadian semalam dah disaksikan oleh rakan-rakan sekerja dan bos saya. Apa saya nak jawab pada mereka kalau tiada perkahwinan yang akan berlaku?"

Naurah diam bila Zhariff menyerangnya begitu. Wajahnya sudah ditundukkan. Sedar, semua berlaku itu disebabkan tindakan bodohnya sendiri.

"Maaf! Saya... Tak fikir sampai ke situ," akui Naurah.

"Memang awak tak fikir panjang! Kalau awak fikir panjang, awak tak akan lamar saya. Tak akan lamar pekerja Dapur Deraman macam saya ni! Paling penting, orang awak tak kenal!" tempelak Zhariff. Tepat pada muka Naurah.

Naurah rasa macam pipinya ditampar kuat. Bukan sekali. Tapi berkali-kali. Tajam sekali kata-kata Zhariff padanya. Naurah cuba membela diri, tapi lidahnya kelu dengan tiba-tiba. Sampaikan tidak ada sepatah kata keluar dari mulutnya. Sebab apa yang dikatakan Zhariff semuanya betul.

Dia kejam, kan? Jadi, memang tepatlah gelaran Cik Hitler dihadiahkan padanya.

"Senang betul jadi awak, kan? Awak dah buat hidup saya huru-hara. Kemudian awak nak lepaskan diri macam tu saja?" tuduh Zhariff lagi.

"Saya... Saya tak sengaja. Semuanya berlaku tanpa dirancang," akui Naurah tanpa sikit pun berselindung.

Sungguh! Dia tak tipu. Dek terlalu ikutkan rasa marah pada Umar, dia buat kerja gila tu. Lamar orang tak dikenalinya! Kalau boleh diputarkan masa, dia tak akan buat kesilapan ini buat kali kedua! Serik!

"Awak ambil dadah?"

"Apa?"

Mata Naurah terbeliak buat kali kedua. Lelaki di hadapannya ini memang hebat membuat kejutan seperti itu.

"Dah tu, mabuk ketum?" soal Zhariff lagi. Sinis.

"Saudara! Cakap tu baik-baik sikit, ya! Saya tak ambil benda tu semua!" marah Naurah.

Dia boleh terima kalau dituduh gila. Tapi dia tak boleh terima kalau dituduh ambil benda karut tu semua.

"Zhariff."

"Hah?"

Naurah bingung. Sungguhlah! Bercakap dengan lelaki ini, betul-betul membuatkan kepala otak dia bekerja keras sama.

"Nama saya Zhariff Amri. Zhariff bin Amri," beritahu Zhariff lagi. Langsung tidak seiring dengan soalan diajukan pada Naurah sebentar tadi.

"Saya tak tanya nama awak pun!" potong Naurah, pantas.

"Nama bakal suami pun awak tak tahu, kan? Kalau awak tak ambil dadah, tak mabuk ketum, macam mana awak boleh buat kerja gila macam semalam?" tempelak Zhariff lagi.

Sekarang Naurah rasa macam ada batu besar pula menghempap kepalanya. Lagi-lagi perihal kerja gilanya disebut Zhariff. Boleh tak jangan disebut lagi fasal semalam? Sebabnya dia tak mahu ingat lagi kerja gilanya semalam.

"Saya... Saya..."

"Saya apa?" desak Zhariff pula.

Naurah terdiam. Spontan dia teringatkan sesuatu.

Gila! Takkan nak jelaskan pada Zhariff, dia buat semua tu sebab nak balas dendam pada Umar? Nak sakit kan hati Umar dengan melamar orang tak dikenali? Tak ke nanti nampak dia tu lagi bodoh? Dan lagi gila?

"Cik Naurah!" panggil satu suara lain.

Naurah angkat kepala. Kali ini wajah Haji Mokhtar dan Tuan Manan pula menyapa pandangannya. Serentak, Naurah bangkit dari situ.

"Tahniah!" ujar Tuan Manan sambil menghulurkan tangannya pada Naurah.

Naurah cuma mampu tersenyum kelat di situ.

Jangan kata tahniah sebab kerja gilanya semalam sudahlah! Dia dah tak boleh nak terima ucapan tahniah mengenai kerja gilanya. Otaknya benar-benar dah tepu!

"Errr... Tahniah apa ya, Tuan Manan?" Teragak-agak soalan itu keluar dari mulut Naurah.

"Alah Cik Naurah kita ni! Buat tak tahu pula. Fasal semalamlah. Dah tu awak ingat saya cakap tahniah sebab apa lagi?"

"Ah? Ya..."

Itu saja mampu dijawab Naurah. Selebihnya, dia cuma mampu tersenyum kelat di hadapan client. Tak sangka! Cepat betul tersebar kerja gilanya semalam!

Anak mata Haji Mokhtar terarah pula pada lelaki yang sedari tadi duduk di situ.

"Siapa?" soalnya pula pada Naurah. Seakan berminat untuk mengetahui gerangan lelaki di samping Naurah.

Mati! Ini memang soalan nak buat dia mati tercekik kat sini!

"Ini ke dia bakal suami Cik Naurah kita?" Tuan Manan pula menduga.

Sekarang Naurah rasa macam nak pitam! Dah tak daya nak menjawab soalan cepumas daripada client penting syarikatnya itu.

Zhariff terus saja bangkit bila lelaki berdua itu sudah mula bertanya perihalnya.

"Ah? Ya... Inilah dia orangnya..." beritahu Naurah dalam keadaan terpaksa.

Macam mana dia nak tepis soalan tu, kalau anak mata mereka sudah terarah tepat pada Zhariff, kan?

"Tak nak kenalkan kami?" tanya Haji Mokhtar. Sambil tersenyum mengusik Naurah yang agak berat mulut hari ini.

Aiseh! Tuan Haji kita ni, ramah lain macam dia hari ini.

"Errr... Haji Mokhtar! Tuan Manan! Kenalkan, ini Zhariff. Errr... Bakal suami saya."

Naurah senyum dalam keterpaksaan. Paksa rela katanya. Sambil memperkenalkan bakal suaminya pada dua orang client penting syarikatnya.

Zhariff turut memainkan peranannya sebagai bakal suami Naurah. Tangan dihulur untuk bersalaman dengan Haji Mokhtar dan Tuan Manan. Tak lupa dihadiahkan senyuman semanis gula pada mereka berdua.

"Boleh tahan orangnya. Kacak! Patutlah Cik Naurah buat kejutan macam tu. Tak sanggup terlepas kat tangan orang lain agaknya," komen Haji Mokhtar selamba.

Dari tadi, anak matanya tak lepas dari memandang wajah Zhariff. Senang dengan senyuman anak muda itu.

Sampaikan Zhariff tertunduk malu di situ. Huh! Malulah sangat. Puih! cebik Naurah.

"Manis senyumannya." Tuan Manan tak lupa mainkan peranan dia. Ikut bersetuju dengan pendapat Haji Mokhtar.

Naurah rasa macam sesak nafas saja bila dengar Haji Mokhtar dan Tuan Manan komen begitu. Kalau boleh pitam dengan hanya menekan suis, dah lama dia buat macam tu. Dah tak daya nak dengar komen-komen sebegitu mengenai Zhariff.

"Ah? Ya... Itu yang buat saya tak boleh tidur malam," komen Naurah pula. Terpaksa mengikut rentak lelaki berdua itu.

Bibirnya pula terpaksa mengukir senyuman lebar di situ. Walau kemanisannya dah tak ada. Yang ada cuma rasa pahit dan kelat! Dalam diam dia berdoa agar dua orang manusia ini cepat-cepat beredar dari situ.

Haji Mokhtar dan Tuan Manan sambut dengan ketawa lepas.

"Macam tu kena cepat-cepatlah kahwin. Baru boleh tatap siang malam," usik Tuan Manan.

Naurah pandang Zhariff. Zhariff pandang Naurah. Dan mereka sambut dengan ketawa.

Orang nampak Naurah ketawa. Tapi mereka tak tahu yang hati Naurah dah menjerit. Serentak dengan itu, dia rasa macam nak menangis sekarang juga! Rupanya penat dan terseksa bila terpaksa berlakon begini.

"Jangan lupa jemput kami nanti tau," pesan Haji Moktar sebelum beredar dari situ.

Hilang saja bayang Haji Mokhtar dan Tuan Manan, Naurah terus terduduk. Kakinya terasa lemah sekali. Seakan sudah tidak berdaya untuk menampung berat tubuhnya lagi. Padahal, berat badan dia tak ada berat sangat. 45 kg saja kut.

Zhariff ikut melabuhkan punggung di hadapan Naurah. Dia tergelak kecil.

Seronok melihat air muka Naurah bertukar rentak, setiap kali Haji Mokhtar dan Tuan Manan bercakap fasal lamaran dan kahwin.

Naurah angkat kepala. Hatinya terbakar bila mendengarkan ketawa Zhariff di situ.

"Seronok?"

Zhariff angguk kepala. Naurah ketap gigi.

"Seronok sangat. Bila kita nak kahwin?"

"Gila!"

Zhariff sambut dengan ketawa lepas. Lagilah terbakar hati Naurah yang mendengarnya. Giginya sudah diketap, kuat!

"Kata tadi senyuman saya manis? Sampaikan tak boleh tidur malam. Asyik teringat saja," ujar Zhariff. Sengaja memulangkan paku buah keras pada Naurah.

Merah padam muka Naurah dengan kata-kata Zhariff tu.

"Takkan tak tahu berlakon dengan betul?"

Zhariff angkat bahu.

"Saya bukan pelakon, jadi saya tak tahu."

Naurah rasa macam kena tampar lagi. Bercakap dengan Zhariff ni, memang dia saja yang kena!

Zhariff senyum lagi. Tujuan utamanya untuk berjumpa Naurah bukan ini sebenarnya. Walau terdesak macam mana sekali pun, dia tak sanggup kahwin dengan orang tak dikenalinya.

Semalam, mungkin disebabkan terlalu fikirkan permintaan mak yang terasa sukar untuk dipenuhi. Sampaikan dia setuju dengan lamaran mengejut itu. Tak salah kan kalau dia rebut peluang yang tiba-tiba saja datang bergolek?

Tapi bila akal waras Zhariff dapat berfungsi dengan baik, dia sedar yang dia sudah melakukan kesilapan. Perkara perkahwinan ni bukannya boleh dibuat main. Ini soal tanggungjawab. Dan sebab itulah dia datang berjumpa Naurah. Mahu tarik diri dari acara gila!

Terdetik dalam hatinya untuk terus mengusik Naurah, bila gadis itu kelihatan beria-ia untuk menarik diri. Hatinya benar-benar sudah terpaut tiap kali melihatkan mimik muka Naurah sentiasa berubah rentak. Terasa seperti tulang rusuknya bergetar hebat.

Naurah... Namanya seperti dah melekat dalam kepalanya. Lagi diseru sebaris nama itu, lagi serasi dalam jiwanya.

"Okey!"

"Apa yang okey?" soal Zhariff pula. Terlalu jauh memasang angan-angan tak mungkin digapai, membuatkan dia hanyut dalam dunianya sendiri.

Rasanya tak salah kalau dia berangan. Alah, bukan kena bayar pun. Dan ini, mungkin kali terakhir dia dapat menatap wajah itu. Namanya seindah orangnya. Tup-tup dia cuma dengar 'okey' saja. Kata-kata Naurah selebihnya tak pula dia dengar.

"Kita kahwin!"

"Hah?" Mata Zhariff terbeliak. Rahangnya jatuh. Tak berkelip anak matanya memandang Naurah.

Dia tak salah dengar, kan? Memang Naurah ajak dia kahwin.

"Saya cakap kita kahwin!"

"Gila!" Spontan! Kata itu pula keluar dari mulut Zhariff.

"Awak... Awak cakap apa tadi? Gila? Siapa? Saya?" soal Naurah dengan suara terputus-putus. Dek terkejut dengan jawapan Zhariff.

"Awak nampak orang lain kat sini?"

Naurah menggeleng.

"Dah tu awaklah! Habis tu siapa lagi yang gila?"

Sabarlah Naurah! Bukan selalu kau jumpa orang macam ni! Tadi dia beria-ia usulkan fasal kahwin. Suruh bertanggungjawab bagai. Bila setuju. Ini pula yang aku dapat!

"Awak sedar tak awak cakap apa ni, Cik Naurah?"

"Sedarlah!"

"Sedar? Saya tak rasa awak sedar! Sebab tu saya tanya, awak ada ambil dadah ke? Atau mabuk ketum? Cara awak cakap ni dah tak gaya macam orang waras tau!" marah Zhariff. Dek terkejut bila Naurah selamba mengusulkan soal kahwin. Yang pastinya, ini bukan kali pertama.

Naurah ingat kahwin ni senang? Boleh petik orang macam tu saja? Ingat lepas kahwin, habis situ saja ke?

Kalau itu yang Naurah sangkakan, Naurah dah silap besar. Kahwin tu maknanya sudah melangkah ke alam lain. Umpama pintu gerbang untuk memulakan sesuatu perjalanan yang lain. Dan ia tak habis selepas ijab dan kabul! Tapi ia baru bermula!

"Yang awak marah sangat ni kenapa?"

"Saya marah sebab benda kahwin ni awak buat macam mainan!"

"Tadi awak juga cakap yang saya kena bertanggungjawab. Sebab rakan sekerja dan bos awak dah tahu fasal ni."

"Ya, betul. Tapi..."

"Dan sekarang saya nak awak bertanggungjawab," potong Naurah pantas.

Dahi Zhariff sudah berlapis tebal. Wajah Naurah dipandang lama. Ada sesuatu terlintas di fikirannya.

"Bertanggungjawab? Maksud awak... Awak dah mengandung?"

Pang! Satu tamparan singgah di wajah Zhariff. Semuanya berlaku dengan pantas sekali tanpa sempat Zhariff mengelak. Tangan Zhariff sudah melekat pada pipinya. Dek terkejut dengan tamparan itu. Tak berkelip anak matanya membuang pandang pada Naurah.

Naurah bangkit. Anak matanya terarah tepat pada Zhariff. Saat itu, dia nampak Zhariff ni kecil besar, kecil besar saja!

"Saya boleh terima kalau awak tuduh saya ambil dadah atau mabuk ketum. Tapi mengandung? Apa? Hina sangat ke saya di mata awak? Sampaikan awak tuduh saya macam tu sekali?" Suara Naurah kedengaran lirih sekali.

"Saya..."

"Sudahlah, Zhariff! Anggap saja awak tak pernah jumpa dan dengar semua ini daripada saya. Saya pun tak mahu kahwin dengan orang yang menuduh saya mengandung!"

Tanpa membuang masa, Naurah terus saja beredar dari situ. Tanpa sedar, ada air hangat sudah mula membasahi wajahnya. Jujurnya, Naurah tidak tahu untuk apa dia perlu menangis begitu. Yang Naurah tahu, hatinya benar-benar sakit dan terluka bila Zhariff menuduhnya sebegitu rupa. Sakitnya melebihi rasa sakit bila dipanggil dengan gelaran Cik Hitler.

Hukuman Zhariff jatuhkan padanya terlalu berat untuk diterima. Siapa Zhariff untuk menghukumnya begitu? Apa hak Zhariff? Sedangkan ini baru pertemuan kedua mereka.

Dan Zhariff? Hanya mampu menghantar Naurah dengan pandangan kosong saja. Langsung tidak dihalang Naurah dari beredar. Tak! Bukan dia tidak mahu menghalang. Tapi kakinya bagaikan digam di situ. Langsung tak berupaya untuk melangkah dan mengejar Naurah dari meninggalkannya.

Melihatkan Naurah melangkah pergi seperti itu, membuatkan Zhariff benar-benar rasa bersalah. Dosanya pada Naurah terlalu besar. Tak mungkin Naurah dapat maafkannya dengan mudah.

Jujurnya, dia tak berniat mahu menuduh Naurah begitu. Dia cuma manusia biasa. Salah ke jika perkara seperti itu terlintas dalam benaknya bila melihatkan Naurah beria-ia seperti itu?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: