Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 5

NAURAH dan Zhariff berdiri di hadapan lif. Sabar menanti lif untuk membawa mereka ke tingkat bawah. Suasana sepi menemani mereka berdua ketika itu. Tiada sepatah kata yang keluar dari mulut Naurah ataupun Zhariff. Masing-masing lebih senang melayan perasaan sendiri.

Fikir Naurah, tak sesuai untuk berbincang perihal semalam di pejabat. Nak lagi bila dia perasan mata anak buahnya tak lepas dari memandang biliknya.

Disebabkan itulah Naurah mengajak Zhariff untuk pergi ke restoran berdekatan. Mahu berbincang dari hati ke hati katanya. Dalam tu, sempat lagi akal Naurah ligat berfikir. Tercari-cari alasan sesuai untuk disogokkan pada Zhariff. Setuju ke dia kalau aku tarik diri?

Tanpa disedari, mata Naurah sempat membuang pandang pada Zhariff di sisinya. Orangnya tinggi, badannya boleh tahan tegap walau tak berketul-ketul sangat. Wajahnya pula berkumis nipis.

Setidaknya, nampaklah dia tu jenis jaga penampilan diri. Taklah selekeh sangat. Walau pakaiannya sekarang, terang-terang tertulis perkataan Dapur Deraman. Sempoi saja datang pejabat aku dengan baju kerjanya tu.

Sedang mata Naurah begitu rakus memerhati susuk tubuh Zhariff, tiba-tiba sahaja Zhariff menoleh padanya. Segaris senyuman sudah terukir di wajah itu.

Naurah tergamam. Kalut Naurah melarikan wajahnya dari terus menatap wajah Zhariff begitu. Serentak dengan itu, wajahnya sudah mula terasa berbahang.

Malu! Entah apa difikirkan Zhariff bila melihat mata dia rakus memandang begitu, kan?

Bunyi lif mengejutkan Naurah dan Zhariff di situ. Serentak, pandangan mata mereka sudah terarah tepat pada pintu lif. Naurah langsung tak menduga, ada kejutan pula menantinya di situ. Wajah Umar menyapa pandangan Naurah, saat pintu lif terbuka.

Seperti Naurah, Umar di dalam lif turut terkejut. Hanya Zhariff yang tetap kelihatan tenang di situ. Langsung tidak perasan keadaan sedang berlaku ketika itu. Baru saja hendak mengatur langkah, lengannya dipegang Naurah.

Zhariff menoleh. Keningnya sudah terangkat. Pelik bila lengannya tiba-tiba sahaja dipegang Naurah. Sudahlah begitu, sepatah kata langsung tak keluar dari mulut itu sejak dari tadi.

Sedari tadi, anak mata Naurah membuang pandang ke arah lif. Kemudian, Naurah memandang Zhariff. Kepalanya digeleng perlahan.

Sungguh! Bercakap tanpa suara ni, sukar difahami otak Zhariff. Maklumlah, dia dulu sekolah sampai tingkatan tiga saja. Lepas tu, dia berhenti sekolah dan terus cari kerja. Bukan malas, tapi keadaan membuatkan dia terpaksa mencari kerja pada usia begitu muda. Nampak macam alasan saja, kan? Tapi memang itulah berlaku.

Dalam bingung, kaki Zhariff tetap terpaku di situ. Sudah tidak jadi mengatur langkah. Mungkin itu maksud gelengan Naurah tadi. Tapi pegangan tangan Naurah tetap juga melekat pada lengannya. Tidak ada langsung tanda-tanda Naurah akan melepaskannya. Sebaliknya, makin dieratkan.

Sudahnya, pintu lif yang tadinya terbuka luas sudah mahu tertutup. Wajah Umar juga sikit masa nanti lesap di sebalik pintu lif itu. Bila jarak di antara pintu lif menjadi seinci, Umar tiba-tiba sahaja menghalang dengan tangannya. Serentak, pintu lif kembali terbuka luas.

"Ara..." panggil Umar. Tangannya sudah menghalang pintu lif dari tertutup buat kali kedua.

Anak mata Naurah dan Zhariff sudah membuang pandang pada Umar. Masing-masing sudah memberikan riak wajah berbeza.

"Tak nak masuk?" tanya Umar lagi.

Sekilas, Umar memandang lelaki di sebelah Naurah. Sejak dari tadi, dia melihat tangan Naurah melekat kemas pada lengan lelaki itu.

Disebabkan tidak senang melihat keadaan itulah, Umar nekad untuk menghalang pintu lif dari tertutup rapat di situ. Dia tidak mahu meninggalkan Naurah bersendirian dengan lelaki tidak dikenalinya.

Anak mata Zhariff memandang pada Naurah dan Umar, bersilih ganti. Yakin, mereka berdua saling mengenali antara satu sama lain. Cuma dia tidak tahu sejauh mana hubungan mereka berdua. Kawan ataupun mungkin juga lebih daripada itu?

Cemburu? Tentulah tidak! Dia tak layak untuk merasa cemburu. Sebabnya, dia langsung tak kenal dengan Naurah.

"Ara! Tak nak masuk ke?" tanya Umar buat kali kedua.

Zhariff memandang Umar.

"Kami..."

"Kita naik lif ni," potong Naurah sebelum sempat Zhariff usai berkata-kata.

Zhariff menoleh pada Naurah di sisinya. Terkejut bila tiba-tiba sahaja mulut itu bersuara. Yalah! Tadi hanya bercakap tanpa suara.

Dalam Zhariff bingung di situ, lengannya ditarik Naurah. Nak tak nak, kaki Zhariff terpaksa juga mengekori Naurah. Baru jumpa kali kedua, Zhariff dah jadi macam patung. Ikut saja segala tindak-tanduk Naurah. Serentak, pegangan tangan Naurah pada lengan Zhariff dilepaskan.

Di dalam lif, sepatah kata langsung tidak terkeluar dari mulut Umar, Naurah ataupun Zhariff. Masing-masing seakan melayan perasaan sendiri.

Perjalanan sepatutnya sekejap menjadi lama. Nak lagi bila lif dinaiki mereka, berhenti setiap tingkat. Jarak di antara Naurah dan Umar pada mulanya jauh, sudah menjadi dekat. Dek bilangan penumpang lif sudah semakin bertambah. Dan tanpa sengaja, hujung jari Umar tersentuh tangan Naurah.

Naurah diam. Cuba berlagak seperti tiada apa-apa berlaku. Walhal, dadanya sekarang sudah bergetar hebat.

Tipulah jika katakan dia tak rasa apa-apa. Sedangkan Umar pernah jadi lelaki paling rapat dengannya. Umar jugalah yang berjaya mengubah persepsinya terhadap lelaki. Tapi itu sebelum semuanya terbongkar. Sekarang, Umar tak ada bezanya dengan lelaki-lelaki lain di luar sana. Semua lelaki sama saja. Dasar penipu!

Dalam Naurah cuba mengawal perasaan sendiri, terasa jemarinya sekarang sedang digenggam. Erat. Naurah menoleh pada Umar. Ada senyuman di wajah itu, walau Umar langsung tidak membuang pandang padanya. Anak mata Naurah melorot ke bawah. Mahu melihat dengan matanya sendiri. Benar! Tangan Umar yang menggenggam erat jemarinya.

Apa lagi Umar cuba tunjukkan? Tak cukup lagi ke dengan umumkan pada rakan-rakannya yang dia sudah berjaya jinakkan Cik Hitler?

"Naurah!" panggil satu suara.

Spontan, Naurah menarik jemarinya dari terus berada di dalam genggaman Umar. Dia mengangkat kepala.

"Tuan Roslan!" sapa Naurah.

Dia cuba menghadiahkan senyuman. Walau sedar, tiada kemanisan dalam senyumannya itu.

"Saya dengar fasal semalam," beritahu Tuan Roslan.

Kening Naurah sudah terjongket di situ. Dek terkejut dengan pembuka kata Tuan Roslan.

"Fasal semalam?" soalnya pula. Langsung tidak menjangka soalannya itu bakal menjerut batang lehernya sendiri.

"Alah! Buat-buat lupa pula," ujar Tuan Roslan sambil tersengih-sengih di situ. Tetap juga mahu bermain teka-teki dengan Naurah.

Kening Naurah sudah berkerut tebal. Sungguh! Dia tidak dapat menangkap lagi maksud Tuan Roslan. Perihal semalam yang mana satu dimaksudkan Tuan Roslan?

"Lamaran awak buat semalam tu," jelas Tuan Roslan.

Naurah tergamam. Terkejut bila Tuan Roslan maksudkan kerja gila dibuatnya semalam. Spontan, Naurah menoleh di sisi kirinya. Zhariff tersenyum lebar di situ. Dalam waktu yang sama, sudah ada beberapa pasang mata turut membuang pandang padanya. Seakan berminat untuk mendengar cerita selanjutnya.

Malunya! Mana nak sorok muka?

"Ohhh..." ujar Naurah sambil menarik panjang. Jujurnya, dia tidak tahu reaksi bagaimana harus diberikan pada Tuan Roslan.

"Saya kagum dengan keberanian awak. Tak ada perempuan berani buat lamaran secara terbuka macam tu. Dan awak... Saya hormat pada awak. Saya yakin, bakal suami awak tu tentu hebat orangnya. Sampaikan awak sanggup buat lamaran terbuka macam tu. Macam Siti Khadijah melamar Rasulullah," komen Tuan Roslan panjang lebar. Tak lupa memainkan peranan tangannya sekali. Sesekali merewang-rewang ke atas. Pakej pula dengan contoh yang tak mungkin dapat ditandinginya.

Naurah cuma mampu tersenyum kelat di situ. Tidak tahu jawapan apa harus dibalasnya. Jujurnya, komen Tuan Roslan itu membuatkan dia kehilangan kata. Warna mukanya tak payah cakaplah. Memang merah padam bila Tuan Roslan memberi komen sebegitu rupa. Gayanya macam sedang buat ucapan pula. Satu lif boleh dengar kut!

Bakal suaminya hebat? Spontan anak mata Naurah memandang Zhariff. Berkali-kali dia memandang Zhariff dari atas sampai ke bawah. Pekerja Dapur Deraman tu? Hebat tang mana sangatlah dia!

"Nanti dah kahwin jangan lupa jemput saya tau." Suara Tuan Roslan kedengaran lagi.

"Ah? Errr... Ya," jawab Naurah gugup, bila perihal kahwin pula keluar.

Kahwin? Huh, dalam waktu terdekat memang taklah kut! Sebab aku nak tarik diri dari kerja gila semalam!

"Ingat tau, Naurah! Jangan lupa jemput saya." Tuan Roslan mengingatkan lagi sebelum dia dan beberapa orang menghilang di sebalik pintu lif.

Keadaan di dalam lif kembali seperti tadi. Hanya ada Naurah, Zhariff dan Umar di situ. Naurah menoleh pada Zhariff di sisinya. Saat itu, kewujudan Umar juga seakan dilupakan.

"Kenapa senyum?"

Zhariff menoleh pada Naurah di sisinya. Dia perasan muka Naurah sudah merah padam di situ. Nampak comel sekali.

"Senyum kan sedekah," jawab Zhariff. Dan dia senyum lagi.

Naurah ketap gigi. Entah kenapa dia tak senang melihat wajah itu yang mudah sekali mengukir senyuman.

"Seronoklah kan sebab kena puji."

"Bila?"

"Tadi! Tuan Roslan cakap bakal suami saya hebat."

"Saya ke?" soal Zhariff. Anak matanya sudah memandang tepat wajah Naurah.

Mulut Naurah tertutup rapat. Tanpa sedar, dia seperti sudah mengakui Zhariff itu bakal suaminya. Bukan ke tadi dia cakap nak tarik diri dari acara gila tu?

"Saya ni insan hina. Penuh dosa. Tak layak nak dibandingkan dengan Rasulullah tu. Bergandingan dengan awak pun saya tak layak. Jauhnya macam langit dengan bumi," sambung Zhariff lagi. Dalam sekali maksud bicaranya itu.

Pandangan mata Naurah sudah terarah tepat pada Zhariff. Anehnya, dia rasa tertarik dengan bicara lelaki itu. Kelihatan seperti merendah diri sekali.

Tapi betul ke begitu? Bukan ke lelaki ni sama saja? Jenis suka menyusahkan hidupnya!

"Awak..."

"Ara! Saya ada hal nak cakap dengan awak," pintas Umar tanpa sempat Naurah usai berkata-kata.

Naurah menoleh pada Umar. Buat seketika, dia seakan terlupa akan kewujudan Umar di situ.

"Saya nak cakap dengan awak, Ara," ujar Umar buat kali kedua. Itupun sebab Naurah hanya memandangnya kosong. Tanpa memberikan sebarang kata putus.

Naurah menoleh di sisinya. Tiba-tiba saja dia mencari wajah Zhariff.

"Pergilah. Mungkin penting. Urusan kita dua, lain kali saja," putus Zhariff pula.

Kening Naurah sudah terangkat. Sungguh! Dia tak jangkakan jawapan sebegitu daripada Zhariff. Bukan ke lelaki jenis tak mahu mengalah? Mengalah itu kan tanda kelemahan mereka? Tapi Zhariff? Awal-awal lagi dah mengaku kalah? Kalah sebelum berjuang?

"Maaf, Umar. Saya dah janji dengan Zhariff, bakal suami saya."

Gila, kan? Siap mengumumkan status Zhariff kepada Umar. Padahal, dia sengaja berkata begitu. Mahu melihat wajah kelat Umar bila mengetahui siapa sebenarnya Zhariff. Sangkaannya tepat. Wajah Umar sudah bertukar kelat. Lagaknya macam makan peria pahit!

Bila pintu lif terbuka, Naurah melangkah keluar dari situ. Dia tak lupa mengheret lengan Zhariff bersama. Mahu Zhariff mengekori langkahnya.

Paling penting, dia nak buat hati Umar terbakar bila melihat dia mesra begitu dengan Zhariff. Kejam ke dia? Setidaknya dia tak sekejam Hitler, kan? Sebabnya, Umar masih lagi bernyawa di situ.

Zhariff yang kebingungan di situ, tetap juga mengatur langkah mengekori Naurah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: