Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15

"APA?"

"Kaf alif ha wau ya nun."

Naurah tergelak dengan jawapannya sendiri.

Amboi! Tetiba eja dalam jawi pula. Macamlah dia pandai jawi sangat, kan? Setakat sepatah itu sajalah dia tahu. Itu pun bila berkali-kali dengar dari mulut Thirah. Kemain lagi bercakap bab kahwin. Siap eja jawi terus.

Dan Adelyne... Haruslah tak faham, kan?

"Apa? Kau cakap apa ni?" Suara Adelyne sudah meninggi. Mukanya punyalah serius. Tapi Naurah main-main pula.

"K. A. H. W. I. N. Kahwin! Kahwin!" ulang Naurah lagi.

Siap mengeja lagi tu. Kalau Adelyne tayang muka bingung juga, dia tak tahu nak cakap apa lagi.

"Aku tahulah eja!" marah Adelyne pula.

"Dah tu? Kau asyik tanya saja. Aku ejalah! Kutlah kau tak faham."

Tak faham dengan Adelyne ni. Asyik nak mengamuk saja dia. Kalau ya pun ada masalah kat tempat kerja, jangan lepaskan sekali pada aku!

"Kahwin dengan siapa?"

Naurah tidak terus menjawab soalan Adelyne. Tahu kalau dia sebut sebaris nama tu, harus Adelyne naik minyak lagi.

"Siapa?" tekan Adelyne. Geram bila Naurah mengambil sikap mendiamkan diri di situ. Sedangkan dia sudah tak sabar nak tahu jawapan Naurah.

"Zhariff."

"Zhariff? Yang kau lamar tempoh hari?"

Naurah angguk.

"Kau gila?"

Dah agak dah! Memang Adelyne akan naik minyak lagi. Jadi, Naurah ambil sikap untuk berdiam diri saja. Kalau dia terus melawan, harus perkara ini tak akan selesai. Sebaliknya persahabatannya yang sudah bertahun itu akan putus macam tu saja.

"Kau... Kau siapa sebenarnya? Mana Ara? Mana kawan aku, Ara?" soal Adelyne lagi. Kali ini, langsung tidak selari dengan soalannya tadi.

Naurah tertawa kecil di situ. Pelik bila Adelyne mengaju soalan tak masuk akal tu. Dah kenapa? Jauh sangat ke dia berubah? Dia tetap Naurah dulu. Naurah kawan Adelyne. Tak ada bezanya.

"Kau cakap apa ni, Adel? Dah tak kenal dengan kawan kau sendiri?"

Kepala Adelyne sudah menggeleng.

"Tak! Kau bukan kawan aku!"

"Adel..."

"Kalau kau kawan aku, kau takkan buat keputusan mengejut macam ni. Dan kalau kau kawan aku, kau akan bincang dengan aku dulu."

"Nak bincang apa lagi, Adel? Kalau aku tak buat keputusan ni, aku kena kahwin dengan anak kawan ayah aku! Aku tak nak kahwin dengan orang aku tak kenal!"

"Jadi, apa bezanya dengan Zhariff? Zhariff pun kau tak kenal!" tekan Adelyne.

Sakit hati betul bercakap dengan perempuan sorang ni. Alasannya langsung tak masuk dek akal waras!

"Setidaknya, aku kenal Zhariff."

"Kenal?"

Giliran Adelyne pula yang ketawa. Jawapan Naurah terasa lucu di telinga Adelyne.

Baru jumpa beberapa kali, Naurah dah mengaku kenal. Agaknya Naurah dah lupa pada Hakim? Dah lupa Umar? Bukankah hubungan Naurah dengan mereka berdua jauh lagi lama berbanding Zhariff? Yang hanya dikenali namanya saja.

"Ara! Kau dah lupa pada janji dan ikrar kau buat dulu?"

Naurah terdiam di situ. Ikrar dan janji dulu tentulah dia ingat. Bukan setakat ingat tapi dah macam sebati dengan dia.

"Kau cakap tak akan percaya pada lelaki lagi. Tapi tengoklah apa kau buat? Kau ulang balik kesilapan lama kau. Kau nak perkara lama berulang lagi, macam tu?"

"Adel! Aku rasa kau dah salah faham dengan aku."

"Jadi, fahamkan aku!"

"Kau ingat aku kahwin dengan Zhariff tu sebab suka? Cinta? Macam tu?"

"Habis tu?"

Kerut tebal sudah mula kelihatan di wajah Adelyne. Bahasa apa Naurah pakai? Kenapa satu pun dia tak faham?

"Aku upah Zhariff untuk kahwin dengan aku."

"Upah?"

"Ya."

"Untuk apa?"

"Untuk sakitkan hati ayah aku. Kau tahu aku macam mana, kan? Akan lakukan apa saja yang dia benci."

"Dengan korbankan diri kau sendiri? Itu maksud kau?"

"Aku tak peduli. Yang aku tahu, hati aku puas!"

Adelyne sudah menggeleng. Dia tak setuju dengan kerja gila Naurah tu.

"Kau gila, Ara!"

"Ayah aku yang jadikan aku gila macam ni!"

Adelyne terdiam di situ. Terkejut! Kali pertama dia mendengar pengakuan Naurah sebegitu rupa. Sangkanya, marah dan dendam Naurah pada ayahnya semakin berkurang. Rupanya, dia sudah silap. Dendam Naurah pada ayahnya tak pernah padam.

Pada Adelyne, Nawi tak layak dipanggil ayah. Kalau benar ayah, Nawi tak akan memukul dan membelasah darah dagingnya sendiri. Naurah tu kan anak kandungnya. Tergamak tangan tua itu memukul tubuh kecil Naurah. Tak cukup dengan itu, ibu kesayangannya pula jatuh sakit dan meninggalkan Naurah sendirian dengan ayahnya.

Adelyne tak dapat bayangkan apa yang sudah berlaku pada Naurah semasa usia remajanya. Tentu saja Naurah tertekan bila pelindungnya sudah tiada untuk melindunginya lagi.

"Ara..." panggil Adelyne.

"Akal aku masih waras. Tak payah risau," ujar Naurah pula. Seakan dapat mengagak apa yang sedang bermain di dalam kepala Adelyne ketika itu.

Terus saja Adelyne melangkah ke arah Naurah. Tubuh Naurah sudah dipeluknya erat. Adelyne tahu Naurah tidak sekuat mana. Hatinya terlalu lembut dan sebab itulah dia sentiasa ada di sisi Naurah. Dia akan terus memberikan semangat untuk Naurah. Dan dia, tak akan sesekali biarkan Naurah sendirian. Itu janjinya pada Naurah.

Sedari tadi Naurah cuba tunjukkan imej kuatnya pada Adelyne. Dibinanya tembok sekuat Tembok China. Biar seiring dengan gelaran Cik Hitler padanya.

Tapi bila tubuhnya sudah dipeluk erat. Dan tangan Adelyne sudah mengusap belakangnya. Sikit demi sikit, tembok yang dibinanya sudah roboh. Naurah sudah mula terasa sebak. Empangan matanya juga sudah terasa penuh. Bila-bila masa saja air matanya akan gugur membasahi wajahnya.

Adelyne memang begitu. Suka menenangkan perasaan dan memujuk hati Naurah dengan pelukan begitu. Dengan Adelyne, Naurah tak perlu berpura-pura menjadi sekuat Hitler. Jadi, salah ke kalau Naurah menangis di dalam pelukan rakannya itu? 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: