Bab 14
"ARA!" jerit Adelyne sambil mengetuk pintu bilik berkali-kali.
Sepi, tiada jawapan daripada Naurah.
"Ara! Kau buat apa lagi kat dalam tu?"
"Kejaplah!"
"Cepatlah keluar! Aku dah penat tunggu kau tau tak."
"Ya! Ya! Nak keluar dah ni."
"Kau cakap ya tu dari 10 minit tadi lagi tau. Tapi tak juga keluar," bebel Adelyne panjang lebar.
Diam. Tiada sahutan daripada Naurah.
Adelyne sudah ketap gigi, kejap. Tangannya sudah diangkat tinggi. Mahu mengetuk pintu bilik buat sekalian kalinya.
"Ara..."
Dan bicara Adelyne terhenti di situ. Anak matanya sudah terpaku pada Naurah yang baru melangkah keluar dari bilik. Tak berkelip dia memandang Naurah yang mengenakan maxi dress berwarna oren. Padanan warna oren itu dengan kulit putih gebu milik Naurah membuatkan rakannya itu kelihatan cantik sekali.
"Yang kau pandang aku macam tu sekali kenapa?"
Air muka Adelyne berubah rentak dek terkejut dengan pertanyaan Naurah. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangannya dari terus terarah tepat pada Naurah di situ. Tidak mahu Naurah tahu apa sebenarnya yang bermain di dalam kepalanya sebentar tadi.
Adelyne berdeham. Cuba mengusir perasaan gugup yang mula dirasainya ketika itu.
"Kau... Kau nak keluar pakai macam ni?"
Naurah angguk. Kemudian, anak matanya melorot memandang pakaian yang tersarung di tubuhnya.
Kutlah ada tak kena dengan pakaiannya itu.
"Tukar sekarang!"
"Kenapa?"
"Aku cakap tukar, tukarlah!" tekan Adelyne lagi. Geram bila Naurah banyak pula bertanya.
"Yalah. Kenapa saja tiba-tiba suruh aku tukar? Kata tadi nak bercuti kat pantai, pakai macam ni baru sesuai dengan pantai," hujah Naurah pula. Tak cukup dengan itu, tangannya sudah ditunjukkan pada pakaian tersarung di tubuhnya.
Lagi elok kalau ada topi dan cermin mata hitam. Baru namanya bercuti!
"Kau... Kau tak sesuai tau pakai macam ni. Nampak pelik sangat. Tak cantik. Hilang ciri-ciri Cik Hitler kau tu."
Naurah sudah mendengus kuat di situ. Lagi-lagi gelaran tak sememeh tu juga disebutkan Adelyne. Alergi tau!
"Pergilah tukar!" gesa Adelyne lagi bila dilihatnya Naurah tetap tak ambil peduli akan kata-katanya sebentar tadi. Sebaliknya sibuk pula duk berselfie di situ.
"Alah, macam aku tak tahu. Kau cemburu tengok aku pakai macam ni, kan? Nampak cantiklah tu."
Adelyne mencebik. Mulutnya sudah menjuih di situ.
"Tak cantik langsung. Kau saja perasan cantik."
"Cemburulah tu. Tengok tu, ramai jejaka-jejaka dah mula sedar akan kehadiran aku di sini," beritahu Naurah sambil melemparkan pandangan ke kawasan sekitar.
Anak mata Adelyne melorot arah sama. Dia perasan, sudah ada beberapa orang lelaki mencuri pandang ke arah mereka. Atau dengan kata lain, mencuri pandang pada Naurah yang begitu menonjol di situ. Maxi dress yang dipakai Naurah itu membuatkan aura Hitlernya tenggelam dalam sekelip mata.
Seketika kemudian, Adelyne mendengus kuat! Tidak senang dengan keadaan ketika itu.
"Tunggu aku kejap!" ujar Adelyne dengan tiba-tiba.
"Eh? Nak ke mana pula tu? Tadi kata dah lambat?"
Nonong saja Adelyne meluru laju ke arah bilik. Sampaikan soalan diajukan oleh Naurah juga sudah dibiarkan sepi tanpa sebarang jawapan.
Seketika kemudian, Adelyne kembali dengan memakai maxi dress berwarna kelabu. Pakaian yang dibeli bersama dengan Naurah sebelum ke sini tadi. Dan dia tak lupa membawa sunblock di tangannya.
"Hah! Kenapa tiba-tiba pakai macam ni? Mana jean kesayangan kau tu?"
"Ingat kau sorang saja nak cantik? Aku pun nak cantik juga tau," bala Adelyne tidak mahu mengalah.
Naurah sudah menggeleng di situ. Ikut kepala senget Adelyne, dengan dia sekali jadi senget.
Tapi dia gembira sebab ada kawan yang sangat memahami drinya seperti Adelyne. Yang tahu segala kelemahan pada dirinya. Tapi tak pernah sekalipun Adelyne menghukumnya atau menilai dirinya.
Dia selesa menghabiskan masa dengan Adelyne. Mungkin disebabkan itu juga, karakternya berubah dengan Adelyne.
Kata Adel, hilang aura Cik Hitlernya. Huh, tak guna punya kawan! Nak juga samakan aku dengan Hitler tu.
"Jom!" ajak Adelyne sambil menghulurkan tangan pada Naurah. Tanpa sebarang kata, huluran tangan padanya terus saja disambut.
Naurah dan Adelyne berjalan sambil berpegangan tangan menuju ke arah pantai. Sesekali terdengar siulan daripada lelaki-lelaki yang sedari tadi mencuri pandang ke arah mereka. Namun begitu, satu pun tidak dilayan mereka.
Masing-masing punya alasan tersendiri kenapa bersikap dingin begitu dengan lelaki. Naurah disebabkan sejarah silamnya. Dan Adelyne? Punya kisahnya tersendiri. Kisah yang belum pernah dikongsikan dengan Naurah.
"Kau ni dah macam tak ada tempat nak ajak aku pergi bercuti."
"Kenapa? Cantik apa tempat ni?"
Buat seketika, Adelyne membuang pandang pada pasir pantai yang memutih. Dan kemudian pada air laut biru yang mendamaikan. Sesekali bunyi ombak memukul pantai melengkapkan lagi irama di pantai ketika itu.
"Memanglah cantik. Tapi dekat sangat. Tak puas nak bercuti tau. Kau pun satu hal, suka sangat buat kejutan macam ni. Hujan tak ribut tak, tiba-tiba ajak bercuti," luah Adelyne.
Terus saja dia menuangkan sunblock di atas tapak tangannya. Kemudian, dia menyapu lembut pada belakang Naurah. Lama! Seketika kemudian, dia menyapu pada lengan Naurah.
"Alah, kau pun tahu kerja aku macam mana, kan? Tak boleh cuti lama-lama. Dapat cuti sehari dua pun dah cukup baik. Jadi, tempat dekat sajalah yang sesuai. Okey apa kat Melaka ni? Pantai dia cantik."
Naurah memusingkan badannya. Sunblock di tangan Adelyne diambil. Tanpa sebarang kata, terus saja Adelyne memusingkan badannya. Seketika kemudian, terasa tangan lembut Naurah mengusap lembut belakangnya.
"Tahulah. Tapi kat Melaka? Lain kali kita pergilah bercuti jauh-jauh sikit. Bali ke?"
"Tengoklah nanti macam mana."
"Kau ni! Fikirkan sangat tentang kerja, tu sebab kau stres."
"Ini bukan stres sebab kerja."
"Dah tu?"
"Tak ada apalah," bohong Naurah. Tanpa disedari, satu keluhan berat dilepaskan.
"Sebab ayah kau, kan?"
Diam. Sudah tiada kata yang keluar dari mulut Naurah ketika itu.
"Kenapa tiba-tiba saja dia muncul balik dalam hidup kau? Apa dia nak?"
Adelyne sudah tidak mendengar suara Naurah di situ. Namun, dia masih terasa sentuhan tangan Naurah di belakangnya. Tanpa membuang masa, dia memusingkan badannya dan menghadap Naurah di situ.
"Cuba cakap dengan aku, apa yang tak kena sebenarnya? Ni sebab ayah kau, kan? Dia nak apa?" Adelyne bertanya buat sekalian kalinya.
Naurah mengeluh perlahan. Sungguhlah! Dia tak dapat sembunyikan apa-apa daripada Adelyne. Cepat saja rakannya itu dapat mengesan ada tak kena padanya.
"Dia nak kahwinkan aku dengan anak kawan dia."
"Apa?!" Adelyne sudah terjerit kecil di situ dek terkejut dengan kata-kata Naurah sebentar tadi.
Sudahlah munculnya dengan tiba-tiba saja. Lepas tu ada hati nak kahwinkan Naurah dengan lelaki langsung tak dikenali? Ayah jenis apa tu sampaikan sanggup memperjudikan hidup anaknya sendiri?
"Kau tak bergurau, kan?"
"Kau tengok muka aku ni macam bergurau ke?"
"Tapi kenapa tiba-tiba saja? Dia dah lupa apa dia dah buat pada kau? Dia dah buang kau dari hidupnya. Lama dulu!"
Satu keluhan berat lagi dilepaskan Naurah.
"Ara, kau dengar tak apa aku cakap ni?" desak Adelyne bila Naurah memilih untuk mendiamkan diri di situ. Sesekali hanya keluhan Naurah didengarinya.
"Ara!"
"Ya! Aku dengar, Adel. Aku tak pekak lagi."
"Dah tu, kenapa diam saja?"
"Sudahlah, Adel! Tak perlu cakap fasal ni lagi. Aku datang sini nak tenangkan fikiran aku. Bukannya nak rumitkan lagi."
"Maaf," ujar Adelyne pula. Terus saja dia menggenggam erat jemari Naurah.
Dia mahu Naurah tahu walau apa saja masalah dihadapi Naurah, dia tak akan sesekali lepaskan tangan rakannya itu.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro