Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 13

ZHARIFF yang ditinggalkan sendirian di dalam kereta sabar menunggu Naurah yang sudah menapak keluar sebentar tadi.

Ke mana Naurah pergi, tak pula Zhariff tahu. Ah, macam mana nak tahu kalau sepatah kata langsung tak keluar dari mulut mereka berdua. Masing-masing lebih senang melayani perasaan sendiri. Tenggelam dengan khayalan sendiri.

"Saya tak kira! Saya tak nak kahwin dengan sesiapa pun..."

"Naurah!"

"Kecuali Zhariff! Saya cuma akan berkahwin dengan Zhariff!"

Cepat-cepat Zhariff menggeleng di situ. Serentak, bayangan Naurah dan Nawi yang bermain dalam benaknya sejak dari tadi terus lenyap.

Zhariff tak sangka, jawapan sebegitu pula keluar dari mulut Naurah.

Naurah mungkin dah lupa, mereka berdua tak ada sebarang kaitan di antara satu sama lain. Atau... Perlu ke Zhariff ingatkan Naurah sekali lagi?

Zhariff tersentak. Pintu kereta di bahagian pemandu dibuka dari luar. Tanpa sebarang kata, Naurah melangkah masuk ke dalam kereta. Bungkusan plastik sedari tadi dipegangnya, diletakkan di atas paha.

Keluhan kecil Naurah didengari dengan jelas oleh Zhariff. Dia tidak tahu untuk apa Naurah mengeluh di situ. Setahunya, dia yang sepatutnya mengeluh begitu sebab terheret dalam masalah Naurah dan Nawi.

Dalam Zhariff berteka-teki sendiri, Naurah di sisinya sudah memusingkan badan dan menghadap Zhariff.

"Maaf..." ujar Naurah. Nada suaranya kedengaran perlahan sekali. Entah Zhariff dengar, entah tidak.

Zhariff tersentak. Hilang sudah segala teka-teki yang bermain di dalam kepalanya sebentar tadi. Sekarang, wajah keruh Naurah di hadapannya dipandang lama.

Kening Zhariff sudah terangkat. Tertarik dengan pembuka kata Naurah.

Maaf? Untuk apa? Sebab lamar dia? Sebab buat onar yang kononnya dia sudah rosakkan Naurah? Sebab tampar dia? Ataupun... Sebab tadi?

"Kenapa?" tanya Zhariff.

Sudahnya hanya sepatah keluar dari mulutnya. Walhal di dalam kepala otaknya, bertubi-tubi soalan mahu ditanyakan pada Naurah.

"Sebab heret awak sekali lagi," jelas Naurah.

Saat itu, pandangannya sudah dialihkan. Sudah tidak berani bertentang empat mata dengan Zhariff.

Yalah! Dia sedar akan tindakannya. Yang sudah susahkan Zhariff... Sekali lagi!

"Dah tahu kenapa buat juga?"

"Sebab awak saja terlintas di dalam kepala saya. Dan saya... Tak nak kahwin dengan orang saya tak kenal."

Amboi perempuan ni! Senangnya bagi alasan! Dah tu, kau ingat aku kenal kau dan kau kenal aku? Macam tu?

"Awak pun tak kenal dengan saya." Zhariff mengingatkan kenyataan yang mungkin sudah dilupakan oleh Naurah.

"Tapi saya kenal awak!" jawab Naurah pantas.

Sesaat kemudian, Naurah perasan riak muka Zhariff sudah berubah rentak mendengarkan jawapannya itu.

"Errr... Maksud saya tadi, saya tahu nama awak. Zhariff bin Amri. Kerja di Dapur Deraman," jawab Naurah dengan teragak-agak. Cuba membetulkan kenyataannya sebentar tadi.

Ah! Cuma itu sajalah yang dia tahu perihal Zhariff. Setidaknya, sudah lebih tiga patah perkataan. Kira okeylah tu, kan? Ada lagi ke yang dia lupa nak sebut? Oh, dia lupa nak masukkan sekali perihal teman wanita Zhariff. Wanita yang dilihat bersama Zhariff sebentar tadi.

Zhariff terdiam. Wajah Naurah dipandang cuma dipandang sekilas. Seakan tidak berminat dengan jawapan diberikan oleh Naurah sebentar tadi.

"Kalau perlu, saya sanggup upah awak. Asalkan saya tak kena kahwin dengan lelaki saya tak kenal."

Zhariff sudah memandang Naurah. Anak matanya tak berkelip memandang Naurah.

"Upah? Awak ingat kahwin ni perkara main-main?"

"Saya tak kata kahwin ni perkara main-main."

Apa? Zhariff ingat dia jahil sangat fasal agama? Walau imannya tak sempurna mana, Naurah tahu mana betul dan mana salah. Ajak kahwin, itu kan perkara elok. Dah tu, kenapa Zhariff nak mengamuk macam tu?

"Cara awak tadi, saya tak rasa awak tahu apa awak buat."

"Dah awak tak nak. Terpaksalah saya upah awak."

Diam. Tiada balasan daripada Zhariff.

"Tapi kalau awak tetap dengan keputusan awak tak nak terima lamaran saya, mungkin saya terpaksa cari orang lain," sambung Naurah bila melihat Zhariff tetap mendiamkan diri di situ. Seperti langsung tidak mendengar kata-katanya sebentar tadi.

Anak mata Zhariff sudah membulat dek terkejut dengan kata-kata Naurah. Gaya Naurah macam dah nekad sungguh. Naurah ingat ajak orang kahwin ni boleh dibuat main? Entah jantan macam mana nanti yang akan kahwin dengan dia. Dia tak fikir ke semua tu?

"Argh!" Zhariff sudah terjerit kecil di situ. Tiba-tiba sahaja dia terasa pedih pada lukanya.

Sedari tadi kepala Zhariff ligat memikirkan kesan dari kerja gila Naurah. Sampaikan tak sedar jemari Naurah sudah melekat pada luka di bibirnya. Cepat-cepat Zhariff menoleh di sisinya. Wajah Naurah sudah berada di hadapannya. Dekat! Sampaikan dia dapat mendengar deru nafas Naurah di situ.

Zhariff dapat merasakan jantungnya sudah berdegup kencang.

"Maaf," ujar Naurah pula.

Spontan Naurah meniup luka pada bibir Zhariff. Kononnya, nak mengurangkan kesakitan Zhariff.

Zhariff telan liur bila wajah Naurah semakin rapat padanya.

Gila! Perempuan ni hati batu ke apa? Dada aku ni dah berdegup kencang. Tunggu masa nak meletup. Tapi dia? Biasa saja! Seperti tak ada kesan langsung.

"Kenapa awak tak balas atau halang tumbukan tu?"

"Hah?"

Zhariff tersentak. Spontan anak matanya memandang wajah Naurah yang begitu dekat padanya. Liur ditelan berkali-kali. Sebaik saja pandangan mata mereka bersatu, cepat-cepat Zhariff meloloskan diri keluar dari perut kereta dek tak dapat menahan debar di dalam dadanya lagi.

Kerut sudah mula kelihatan di wajah Naurah. Pelik bila Zhariff tiba-tiba saja melangkah keluar dari kereta. Sakit sangat ke?

"Awak... Awak tanya apa?" tanya Zhariff, gugup.

"Kenapa awak tak halang atau balas tumbukan ayah saya tu?"

"Errr... Saya... Macam mana nak halang? Kan saya yang izinkan dia tumbuk saya."

"Tapi kenapa?"

Zhariff angkat bahu.

"Entah. Mungkin tak mahu dia tampar anaknya sendiri."

Jawapan Zhariff itu membuatkan Naurah terdiam seribu bahasa. Perlahan-lahan pandangannya juga sudah ditundukkan.

"Mungkin juga saya tak nak dia menyesal kemudian hari," sambung Zhariff lagi. Kali ini anak matanya sudah terarah pada Naurah yang sudah menundukkan wajahnya di situ.

"Terima kasih," ujar Naurah setelah terdiam buat seketika.

Kening Zhariff sudah terangkat. Pelik dengan perubahan pada air muka Naurah bila dengar jawapannya sebentar tadi. Dia silap cakap ke?

Naurah angkat kepala. Tangannya sudah menggamit Zhariff agar masuk ke dalam kereta.

"Ke... Kenapa?" tanya Zhariff, gugup.

Gila! Tak sanggup Zhariff nak duduk satu kereta dengan Naurah. Dan berkongsi udara dengan perempuan tu. Buat dadanya terasa macam nak meletup saja.

"Nak sapukan ubat."

"Oh? Ubat..."

"Kenapa? Awak ingat saya nak buat apa pada awak?"

Wajah Zhariff sudah merah padam. Terkejut bila Naurah mengusulkan soalan berani mati macam tu. Lagak Naurah seperti dapat membaca apa yang sedang bermain dalam benaknya ketika itu.

Dia ni... Memanglah bukan jenis perempuan Melayu terakhir. Bicaranya terlalu berterus terang dan berani. Langsung tak ada rasa malu. Dan kalau ada rasa malu, sudah tentu Naurah tak akan mengajaknya kahwin, kan? Mana ada perempuan di luar sana buat kerja gila macam ni?

Naurah tersenyum bila melihat riak wajah Zhariff sudah bertukar rentak.

Jujur dari hati, memang dia berterima kasih dengan apa dilakukan Zhariff sebentar tadi. Selepas ibu, Zhariff orang pertama yang mempertahankan dirinya daripada ayah. Jadi, salah ke kalau dia nekad untuk mengahwini Zhariff?

Bagi Naurah, Hakim ataupun Umar belum tentu berani bertentang empat mata dengan ayah. Tak perlu harapkan lebih daripada itu, kalau berjumpa pun mereka tak sanggup. Pelbagai jenis alasan diberikan mereka. Hanya semata-mata tidak mahu berjumpa dengan ayah.

Tapi Zhariff? Tak fikir panjang, sebaliknya terus saja bersetuju ke rumahnya bila disuruh ayah. Tak cukup dengan itu, Zhariff berani mempertahankan dirinya daripada dicederakan oleh ayahnya sendiri.

Malah, sanggup pula menawarkan diri untuk dijadikan tempat ayah melepaskan amarahnya. Bukti apa lagi dia perlukan untuk mengatakan Zhariff tu berbeza dari lelaki lain?

Tangan Naurah menggamit lagi.

"Sinilah!" panggil Naurah buat kali kedua.

Spontan kepala Zhariff menggeleng.

"Tak... Tak apa... Luka ni kecil saja. Saya... Saya boleh sapu ubat sendiri," tolak Zhariff, gugup.

Dia tolak bukan sebab nak tunjuk macho. Tapi dadanya rasa nak pecah bila terpaksa duduk bersebelahan Naurah. Jadi, lebih baik dia tolak awal-awal. Takut nanti dia keras kejung kat sebelah Naurah tu. Itu lagi parah!

"Jangan risaulah."

"Risau kenapa?" soal Zhariff spontan dek tidak mengerti butir bicara Naurah. Tanpa disedari, soalannya itu bakal menjerut batang lehernya sendiri.

"Saya tak akan apa-apakan awak," ujar Naurah lagi.

Dia tertawa kecil di situ. Lagak Naurah, seakan seronok melihatkan Zhariff gugup begitu.

Zhariff tergamam. Buat seketika, dia seperti terkejut melihat perubahan mendadak pada air muka Naurah. Wajah muramnya sudah hilang entah ke mana. Dan sudah diganti dengan ketawa kecil di situ.

Wajah itu... Nampak cantik sekali di mata Zhariff.

"Merepek!" cebik Zhariff pula.

"Dah tu? Sinilah!" panggil Naurah lagi.

Senyuman masih lagi terukir di wajah itu. Sajalah, nak sakat Zhariff yang wajahnya sudah merah padam di situ.

Zhariff ketap gigi. Demi menegakkan egonya, Zhariff melangkah masuk ke dalam kereta. Takat Naurah tu, buat apa dia nak layankan sangat perasaan gugupnya, kan? Buang masa!

"Tutuplah pintu tu," arah Naurah lagi.

Zhariff pantas menoleh.

"Motif nak tutup pintu?"

Naurah sambut dengan ketawa. Seronok melihat muka terkejut Zhariff. Itu tak kira muka Zhariff yang sudah bertukar merah.

Kepala otak dia ni... Dah ke mana fikirnya?

"Awak buka pintu, tak rasalah air cond ni." Naurah memberitahu. Hujung jarinya sudah diarahkan pada air cond kereta dan pintu bersilih ganti.

Dan anak mata Zhariff mengikut saja gerak tangan Naurah.

"Tengok ni! Awak sendiri pun dah berpeluh. Panas, ya?"

Hujung jari Naurah sudah ditunjukkan pada gigi rambut Zhariff.

Belum sempat Zhariff mengelap peluh dengan belakang tangannya, tisu sudah melekap di situ. Tanpa sebarang kata, Naurah mengelap peluh pada wajah Zhariff.

Zhariff telan liur. Dadanya kembali berdegup kencang!

Gila! Kalau lagi lama dia berada berdua dengan Naurah di situ, jantungnya boleh meletup! Silap hari bulan, Zhariff Amri akan jadi arwah.

Usai mengelap peluh Zhariff, jari Naurah kembali memicit ubat lalu disapu pada luka di bibir Zhariff. Naurah perasan, riak wajah Zhariff sudah berkerut-kerut menahan sakit. Namun begitu, dia tetap meneruskan kerjanya.

Zhariff pula? Sedari tadi langsung tidak memandang Naurah di sisinya. Sebaliknya, dia lebih selesa memandang di hadapan sana. Sesekali, matanya terpejam rapat dek menahan rasa sakit dan pedih.

"Betul ke apa awak cakap tadi?" Suara Zhariff memecah kebisuan di antara mereka.

"Hmmm?"

"Kahwin? Betul ke nak upah orang lain kalau saya tolak?"

"Mungkin ya. Mungkin juga tak."

Dan Naurah kembali menyambung tugas menyapu ubat pada bibir Zhariff.

"Kenapa beria-ia nak kahwin? Sampaikan sanggup kahwin dengan orang awak tak kenal?"

Diam. Tiada sebarang jawapan daripada Naurah.

"Kenapa awak tak terima saja lelaki mahu dijodohkan dengan awak? Tak ada bezanya dengan lelaki asing kat luar sana, kan?" soal Zhariff lagi. Melihatkan Naurah diam membisu begitu, membuatkan hatinya memberontak untuk mengetahui sebab dan kenapa Naurah sanggup bertindak gila seperti itu.

Naurah tetap diam. Soalan daripada Zhariff dibiarkan sepi tanpa sebarang jawapan. Hanya gerakan tangannya saja tetap setia melakukan kerjanya.

Pada Naurah, dia tak perlu jelaskan semuanya itu pada Zhariff.

Untuk apa? Bukan Zhariff nak kahwin dengan dia pun. Zhariff kata dia main-main soal kahwin. Jadi, buat apa tanya banyak soalan? Kan buang masa namanya tu.

"Saya setuju."

Dan gerakan tangan Naurah terhenti. Anak matanya sudah memandang Zhariff. Lama.

"Saya setuju kahwin dengan awak," beritahu Zhariff.

Kali ini, anak matanya sudah memandang tepat pada Naurah yang berada di sisinya. Sudah tidak dipedulikan lagi degupan jantung yang semakin rancak di situ.

"Kenapa?"

Naurah terkejut dengan jawapan Zhariff. Berbeza dengan apa diberitahunya sebelum ini. Dan paling penting, apa sebabnya Zhariff menukar keputusan macam tu?

Zhariff membalas soalan Naurah dengan senyuman melebar di wajahnya. Sampaikan lidah Naurah kelu di situ.

"Awak tak nak cakap alasan awak. Dan saya pun memilih untuk tak berkongsi alasan saya. Adil, kan?"

Sungguh! Naurah rasa macam tak percaya saja dengan jawapan Zhariff itu. Peliknya lelaki bernama Zhariff Amri ni. Tadi jawapannya lain. Beria-ia Zhariff marahkan dia. Kata Zhariff, dia buat kahwin tu macam mainan.

Dan sekarang? Zhariff setuju nak kahwin dengan dia? Sekarang ni siapa yang gila? Dia ataupun Zhariff?

"Kenapa diam? Menyesal?" duga Zhariff pula. Lebih elok Naurah menyesal sekarang. Daripada menyesal setelah mereka berdua berkahwin.

"Tak! Saya tak menyesal."

"Awak tahu kan saya kuli saja kat Dapur Deraman tu. Jauh bezanya dengan awak."

Zhariff mengingatkan Naurah. Dia tak nak akan ada perkara berbangkit pada kemudian hari.

Naurah mengangguk lagi.

"Tentulah saya tahu."

"Okey. Kalau macam tu kata awak. Kita kahwin," putus Zhariff. Nekad!

Kalau Naurah mahu berkahwin dengan alasannya tersendiri. Zhariff juga tak terkecuali. Dila sudah angkat kaki. Yang tinggal hanyalah Naurah. Jadi, tak mungkin dia akan lepaskan peluang untuk bahagiakan mak, kan?

Kata mak, dia akan bahagia kalau Zhariff kahwin. Dan itulah yang mahu dilakukan Zhariff. Berkahwin. Hatta dengan Naurah baru saja ditemuinya beberapa kali saja.

"Okey!" jawab Naurah berani. Mengalah memang tak ada dalam kamus hidup Naurah!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: