Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 11

ANAK mata Dila sudah memandang tepat pada Zhariff. Nafasnya juga sudah naik turun. Dek menanggung rasa marah yang sudah bergabung dengan malu. Disebabkan onar Zhariff, mereka berdua jadi tumpuan ramai di restoran itu!

Malu! Malu! Malu! Mana dia nak sorok muka?

"Abang!"

Senyap! Tiada reaksi daripada Zhariff. Dila ketap gigi. Kuat!

"Abang!" panggil Dila lagi. Nada suaranya juga sudah naik beberapa oktaf. Geram apabila panggilannya tiada sahutan daripada Zhariff.

"Hah?"

Zhariff angkat kepala. Wajah Dila dipandang tanpa perasaan.

"Apa semua ni?"

Zhariff diam.

Dia masih lagi bingung dengan kejadian sebentar tadi. Dan sekarang? Dila pula menagih penjelasan daripadanya. Jawapan apa hendak diberi kalau dia sendiri tak tahu?

"Abang... Abang tak tahu..." balas Zhariff, perlahan.

Mata Dila sudah membulat. Terkejut dengan jawapan mudah diberikan Zhariff. Ternyata, rasa percayanya pada Zhariff sudah menurun dengan drastik. Bukan lagi 90%. Bakinya, mungkin sudah tinggal 10%. Ataupun mungkin juga sudah tinggal 1%. Itu pun kalau Zhariff dapat jelaskan apa sebenarnya yang baru berlaku.

"Tak tahu? Dah tu? Kenapa dia cakap macam tu? Dia tu siapa?" Bertubi-tubi soalan itu keluar dari mulut Dila.

Pendek kata, hatinya tak akan puas selagi jawapan tidak diperolehnya.

"Abang tak tahu! Abang tak tahu apa-apa. Dah tu, Dila nak abang cakap apa lagi?" tekan Zhariff. Nada suaranya ikut meninggi dek desakan Dila.

"Apa hubungan abang dengan dia?"

"Abang tak ada..."

"Jangan cakap tak ada apa-apa, bang. Sebab dia kenal abang. Dan abang pun kenal dia," pintas Dila tanpa sempat Zhariff usai berkata-kata.

Sudahnya Zhariff terdiam di situ.

Kenal? Dia dengan Naurah, cuma sempat bertukar nama dan tempat kerja saja. Jadi, boleh pakai ke sifir Dila pakai tu?

"Abang dengan dia... Sudah terlanjur, kan?" tuduh Dila pula.

Spontan, ingatannya melayang pada kejadian sebentar tadi. Atau lebih tepat lagi, teringat setiap patah diucapkan oleh perempuan tadi. Kononnya, telah serahkan semuanya pada Zhariff. Hati, jiwa dan tub...

Bicara hati Dila terhenti di situ. Tiba-tiba saja dia merasa jijik untuk menyudahkan kata-katanya itu. Perasaan jijiknya makin berganda bila menatap lelaki di hadapannya itu.

Hah, itu ke calon menantu mak? Konon orang yang mak kata baik?

"Ya Allah, Dila! Dila cakap apa ni?"

"Jangan sebut nama Allah, bang! Abang tak layak sebut nama Dia lepas apa abang dah buat!" bentak Dila pula.

"Dila..."

Zhariff terkedu di situ. Betapa mudahnya Dila menjatuhkan hukuman padanya, hanya kerana cerita yang dia sendiri tidak tahu hujung pangkalnya. Gaya Dila tak ubah juga seperti Dila sudah menjatuhkan hukuman mati padanya.

Hina sangat ke dia di mata Dila? Sampaikan tak layak untuk menyebut nama Dia?

"Dila tak nak teruskan rancangan orang tua kita," putus Dila dengan tiba-tiba.

"Dila cakap apa ni? Jangan buat keputusan melulu macam ni Dila. Kita bincang. Kita bincang dulu, ya?" pujuk Zhariff. Gelisah dan takut sudah bergabung menjadi satu.

Dila menggeleng. Dia betul-betul nekad dengan keputusannya itu. Tak mungkin dia akan ubah keputusannya itu.

"Abang... Tak terdetik ke dalam hati abang untuk jadi orang bertanggungjawab? Bertanggungjawab pada perempuan tadi. Dan anak dalam kandungannya."

Zhariff tergamam. Terkelip-kelip anak matanya memandang wajah Dila di situ.

"Dila... Dila cakap fasal apa ni? Anak? Anak siapa Dila maksudkan? Siapa mengandung? Tak! Sebenarnya... Kita tengah bercakap fasal siapa ni?" Tunggang-langgang bicara Zhariff. Dek terkejut dengan kata-kata Dila sebentar tadi.

Dila tergelak sinis. Melihatkan Zhariff begitu, membuatkan rasa percaya yang masih berbaki 1% tadi sudah menjadi 0%. Sekarang, rasa percayanya pada lelaki bernama Zhariff Amri sudah hilang.

Mudahnya menjadi seorang lelaki, kan? Bila semuanya sudah terbongkar, lepas tangan dan pura-pura tak mengerti macam tu saja.

Dan Dila? Rasa bersyukur sangat. Perkara ini terbongkar sebelum dia dengan Zhariff disatukan dalam ikatan yang sah. Setidaknya sekarang, tidaklah dia terluka sangat bila tahu siapa Zhariff sebenarnya.

"Jangan buat tak tahulah, bang."

"Dah memang abang tak tahu! Dila nak abang cakap apa lagi?" bentak Zhariff, geram.

Dan kenapa? Bila namanya perempuan, suka bercakap dengan menggunakan teka-teki? Bahasa paling tak difahaminya.

Apa? Susah sangat ke bercakap tanpa perlu pusing sana sini? Kepala otaknya pun tak sakit!

Zhariff menarik air minuman di hadapannya. Lalu, diteguk rakus! Dek mahu menghilangkan rasa berbahang yang semakin dirasainya ketika itu.

"Perempuan tadi mengandungkan anak abang, kan?" tebak Dila pula.

Tak susah sebenarnya untuk menduga begitu. Dila cantumkan balik kata-kata perempuan tadi dan gerak lakunya. Bukan ke perempuan itu menyentuh perutnya? Dan apa maksudnya 'kami', kalau dia tak mengandung?

Purrr! Air tersembur tepat pada muka Dila.

"Abang!" jerit Dila. Dia bangkit! Mukanya sudah basah dengan air minuman disembur oleh Zhariff.

"Maaf!" ujar Zhariff. Laju tangannya mendapatkan tisu dan mahu dilapkan muka Dila.

Dila menepis tangan Zhariff dengan kasar. Dia sudah tidak mahu tangan jijik itu menyentuh dirinya lagi.

Zhariff tergamam lagi. Dalam sekelip mata saja, layanan Dila sudah berubah padanya. Dan semuanya berubah sejak kemunculan Naurah sebentar tadi.

Hebatnya penangan Naurah! Baru muncul sekejap, sudah berjaya mengubah layanan Dila padanya. Dan senyuman manis di wajah itu juga sudah hilang untuknya. Yang ada, mimik muka tegang dan renungan tajam untuknya.

"Sudahlah, bang! Tak perlu nak berlakon lagi. Dila jijik tau!"

"Dila!"

"Dila nak abang cakap pada mak abang. Kita dua tak akan ke mana. Dila pun tak nak ada sebarang kaitan dengan abang lagi."

"Dila! Dila cakap apa ni?"

"Hubungan kita berdua sampai sini saja. Dila tak nak abang hubungi Dila lagi!" putus Dila.

Ternyata, Dila betul-betul nekad dengan keputusan sudah dibuatnya itu. Pada Dila, Allah nak tolong dia. Sebab itulah dia tunjukkan perangai sebenar Zhariff sebelum mereka berdua diikat dalam ikatan perkahwinan.

"Dila, abang..."

"Dila nak balik!" pintas Dila tanpa sempat Zhariff usai berkata-kata. Terus saja dia bangkit dan meninggalkan Zhariff terpinga-pinga di situ.

Buat apa lagi dia habiskan masa dengar alasan dari mulut Zhariff? Dasar jantan tak guna!

Sudahnya, Zhariff hanya mampu memandang pada Dila yang sudah jauh meninggalkan dirinya. Walau bayang Dila sudah jauh menghilang dari pandangan matanya, Zhariff tetap juga kaku di situ. Langsung tidak diendahkan dirinya yang masih lagi menjadi perhatian ramai.

Naurah? Ya! Semua ni berlaku sebab Naurah!

ANAK mata Adelyne terkelip-kelip membuang pandang pada Naurah. Sungguh, Adelyne bingung melihat Naurah yang sedang ketawa puas di hadapannya.

Dah gila ke apa Naurah ni? Tadi menangis bagai nak rak. Sekarang, ketawa macam orang tak siuman!

"Padan muka! Hah, baru sekarang dia kenal siapa Naurah. Itulah, siapa suruh sengaja cari fasal dengan Naurah! Kan dah kena," luah Naurah puas hati. Tawanya masih lagi bersisa di situ.

"Padan muka? Siapa?" soal Adelyne.

Naurah tidak terus menjawab. Cuma hujung mulutnya sudah memuncung ke arah restoran, tempat dia mengenakan Zhariff sebentar tadi. Bagaikan mengerti, anak mata Adelyne ikut membuang pandang arah sama. Kerut sudah mula kelihatan pada wajahnya.

"Jadi, maksud kau..."

Naurah tersenyum lebar di situ.

"Semua tu kau berlakon saja?" tebak Adelyne pantas. Kepala otaknya baru dapat menyambung titik-titik persoalan yang sedari tadi bermain dalam benaknya.

"Habis tu, kau ingat aku buat apa? Menangis sebab jantan tak guna? Memang taklah!" tukas Naurah pula. Bicaranya kedengaran angkuh sekali.

Ternyata, rasa bencinya pada kaum Adam semakin membuak-buak. Kalau dulu hanya ayah, Hakim dan Umar sahaja. Sekarang, sudah tambah satu lagi kaum Adam dibencinya. Zhariff!

"Gila!" Sepatah saja yang keluar dari mulut Adelyne.

Adelyne tak sangka, semua itu hanyalah lakonan Naurah semata-mata. Sangka dia, Naurah memang menangis disebabkan lelaki tu. Sampaikan dia nyaris-nyaris tak kenal dengan kawan baiknya sendiri.

"Haih, mulut tak ada insurans!" komen Naurah. Senyuman di wajahnya makin meleret. Niatnya tadi nak kenakan Zhariff saja. Tapi, dengan Adelyne sekali menjadi mangsanya.

"Memang mabuk ketumlah kau ni! Kau dah buat aku risau bagai nak gila tadi tau. Nak lagi bila tengok kau tiba-tiba saja menangis macam tu. Rupanya, kau berlakon saja? Tak senonoh betul," luah Adelyne dengan panjang lebar.

Tanda tak puas hati dengan tindakan mengejut Naurah. Kut ya pun nak berlakon sekalipun, bagilah isyarat sama. Keji punya kawan!

"Alah, tak rancang pun sebenarnya. Semuanya berlaku dengan spontan saja. Secara tiba-tiba terserempak dengan lelaki tu."

Padan muka Zhariff! Pandai lagi tuduh aku mengandung luar nikah! Ingat aku ni apa? Tak tau jaga maruah?

"Lelaki tu... Siapa?"

"Dialah cakap aku mabuk ketum bagai. Dah tu, tuduh aku ambil dadah."

"Lelaki yang kau lamar tu?" soal Adelyne pula.

"Gila! Tak naklah aku kahwin dengan dia!" pintas Naurah pantas.

Wajah Adelyne dipandangnya tepat. Ada sesuatu sedang mengganggu fikirannya pada ketika itu.

"Dan kau... Jangan sebut fasal lamaran tu lagi. Aku tak nak dengar!" larang Naurah.

Hujung jarinya sudah diarahkan tepat pada muka Adelyne. Tanda dia tak main-main dalam bicaranya sebentar tadi.

Adelyne sambut dengan ketawa lepas. Lagilah Naurah rasa sakit hati melihatkan reaksinya sebegitu pula.

"Kau marah sebab dia reject kau, eh?"

Bedebuk! Naurah rasa macam ada batu besar baru saja jatuh dan terus menghempap dirinya. Sampaikan dia terasa sukar sekali untuk bernafas.

"Hah! Kenapa diam? Betullah tu!" tekan Adelyne.

Nak lagi bila melihat riak wajah Naurah sudah berubah rentak di situ. Huh! Tadi bukan main lagi dia ketawa bebas. Lagaknya macam kena loteri saja!

"Aku... Nak marah buat apa? Bukan aku kenal pun dia," tepis Naurah, gugup.

Tanpa Naurah sedar, dia sebenarnya sudah mengakui status lamarannya yang sudah ditolak oleh Zhariff.

"Alah! Macamlah aku tak kenal kau. Kau marah sebab lelaki yang kerjanya entah apa-apa, tapi berani reject kau aka Cik Hitler, kan?" tekan Adelyne lagi. Sengaja dia tekankan perkataan reject tu berulang kali. Biar Naurah terbakar dan rentung di situ!

Naurah mendengus geram!

"Kau! Lagi sekali aku dengar nama Cik Hitler tu keluar dari mulut kau, siap kau aku kerjakan!" ugut Naurah.

Mulutnya juga sudah diketap rapat. Kononnya sedang menahan marah pada Adelyne.

Adelyne ketawa lepas di situ. Tanpa mempedulikan Naurah, tangannya sudah membuka pintu kereta. Terus saja dia melabuhkan punggungnya di situ. Diikuti pula oleh Naurah. Baru saja dia menutup pintu kereta, tiba-tiba sahaja ia dibuka dari luar dengan kasar.

Naurah tergamam. Terkejut bila tiba-tiba sahaja melihat Zhariff sudah berdiri di sisinya. Wajahnya pula tegang.

Alamak! Bala sudah datang.

"Keluar!" arah Zhariff.

"Tak nak!"

"Keluar!" arah Zhariff lagi. Nada suaranya juga sudah naik beberapa oktaf.

"Tak nak!" Naurah sudah terjerit kecil.

Dia takut! Takut diapa-apakan Zhariff. Pintu kereta ditarik kuat. Tapi tenaga Naurah manalah mampu nak melawan tenaga lelaki seperti Zhariff. Pintu kereta itu sikit pun tidak berjaya ditariknya. Spontan, dia mengangkat kakinya untuk menendang Zhariff jauh darinya.

Tapi Zhariff lagi pantas bertindak. Sekelip mata, kakinya sudah dipegang Zhariff. Kejap!

"Keluar! Jangan sampai saya tarik awak keluar," ugut Zhariff pula. Matanya sudah mencerlung pada Naurah. Tanda dia tak main-main dalam bicaranya.

"Hei! Kau ni kenapa, hah?" jerit Adelyne dari sebelah sana.

Dia pun ikut terkejut bila tiba-tiba sahaja pintu bahagian Naurah sudah dibuka dari luar. Dan semuanya berlaku dengan pantas sekali. Tanpa sempat dia berbuat apa-apa.

"Ini bukan urusan kau. Baik kau tutup mulut tu!" ugut Zhariff pada Adelyne pula.

Adelyne telan liur. Seram sejuk bila melihat perubahan mendadak lelaki yang baru saja dimainkan Naurah sebentar tadi.

"Adel! Telefon polis!" arah Naurah dari hujung sana.

Dia masih lagi bergelut dengan Zhariff. Masih tetap mencuba untuk menutup pintu keretanya. Tapi tubuh Zhariff, sikit pun tidak berganjak!

Ini orang ke kayu balak?

"Hah! Eloklah panggil polis. Boleh kita kahwin terus!" tukas Zhariff pula.

Anak mata Naurah sudah membuang pandang pada Zhariff. Riak wajahnya seperti terkejut dengan kata-kata Zhariff.

"Dah... Dah kenapa saya nak kena kahwin dengan awak?" soal Naurah, gugup.

Dia rasa tak sedap hati bila Zhariff tiba-tiba saja mengeluarkan bab kahwin tu. Rasa macam... Lakonannya dah kantoi. Erk? Betul ke macam tu?

Tiba-tiba sahaja bibir Zhariff mengukirkan senyuman lebar di situ. Naurah dah mula rasa seram sejuk dengan perubahan mendadak Zhariff.

Takkan dia dah jadi gila lepas kena main tadi?

"Saya nak bertanggungjawab. Untuk awak..." beritahu Zhariff.

Hujung jarinya sudah diarahkan pada Naurah. Seketika kemudian, perlahan-lahan jarinya turun ke bawah. Dan kemudian, terhenti betul-betul pada perut Naurah.

"Dan dia..." sambung Zhariff.

"Hei! Tangan tu tunjuk mana?" marah Naurah.

Tangan Zhariff sudah ditepis kuat! Serentak dengan itu, dada Naurah sudah mula berdegup kencang.

Gila! Gila! Sekarang ni, dia gila atau Zhariff ni dah jadi gila?

"Bukan itu maksud awak tadi?" tanya Zhariff. Jarinya ditunjukkan lagi pada perut Naurah.

"Bi... Bila?" tanya Naurah gugup. Spontan, dia menepis jari Zhariff lagi.

Gila tak gugup? Zhariff muncul dengan tiba-tiba dan kononnya mahu bertanggungjawab padanya. Tak cukup dengan itu, dia nak bertanggungjawab yang ada di dalam perut ni sekali. Zhariff tak tahu perut dia ni mana ada apa-apa. Ini pun buncit sebab lemak sajalah!

Baru sekarang Naurah terasa menyesal kerana sudah mempermainkan lelaki itu sebentar tadi. Dia tak sangka Zhariff boleh berubah laku dalam sekelip mata seperti sekarang. Kalau dia tak mainkan Zhariff, agaknya semua ni tak akan berlaku, kan? Bodohnya dia!

"Kami doakan awak bahagia bersama dia. Selamat tinggal, sayang..." ulang Zhariff pula.

Sengaja mengulangi kata-kata Naurah sebentar tadi. Kata-kata yang sudah membuatkan Dila memandangnya jijik. Seperti dia sudah melakukan dosa besar. Walhal, dia sendiri pun tidak tahu apa sebenarnya sedang berlaku. Dan kenapa Naurah berkata begitu.

"Bukan itu maksud awak? Awak dah mengandung. Jadi, sebab itulah awak ajak saya kahwin malam tu, kan? Nak suruh jadi pak sanggup?" tuduh Zhariff pula.

Rasanya tak susah untuk dia simpulkan apa yang sudah berlaku sebelum ini. Itu pun sudah dibantu sedikit sebanyak oleh Naurah dan juga Dila sebentar tadi. Kalau tidak, sampai sekarang pun dia tak tahu tujuan sebenar dirinya dilamar pada malam itu.

Pang! Satu tamparan singgah pada pipi Zhariff. Kuat! Tanpa sempat Zhariff mengelak.

Zhariff tahu, dia tak sepatutnya berkata begitu pada Naurah. Tapi semuanya salah Naurah juga. Naurah membuat onar di restoran tadi. Dan secara tak sengaja, dia terdengar perbualan dan ketawa lepas Naurah dengan Adelyne.

Rupanya, semua itu hanyalah lakonan. Saat itu barulah Zhariff tahu, dia sudah dipermainkan Naurah.

Pada Zhariff, Naurah perlu diajar! Dia ingat perkara seperti terlanjur dan mengandung tu boleh dibuat main? Naurah silap! Perkara itu boleh mendatangkan fitnah. Terutama pada orang yang tiada harta benda sepertinya. Melainkan maruah!

Dan Naurah sudah mempermainkan maruahnya. Lihat sajalah reaksi Naurah. Marah bila maruahnya diperlekehkan. Tapi Naurah sudah lupa, tindakannya tak jauh beza dengan Zhariff. Dia sendiri yang secara tak langsung sudah memperlekehkan maruahnya sendiri.

Tangan Naurah sudah menggigil. Dek menahan suhu kemarahan yang baru saja dinaikkan oleh Zhariff. Naurah lupa, dialah punca Zhariff bertindak sebegitu. Kalau dia tak buat onar dalam restoran tadi, Zhariff pun tak akan jejaknya ke sini.

"Naurah!" panggil satu suara.

Suara tu Naurah kenal dengan suara tu. Bukan setakat kenal. Tapi rasanya dah sebati dalam dirinya. Bukan kerana rasa kasih. Tapi dek rasa benci setinggi gunung pada pemilik suara itu.

"Naurah! Betul ke apa dia cakap? Betul ke apa jantan tu cakap?" tanya suara itu dengan lantang.

Matanya juga sudah terjegil ke arah Naurah dan bersilih ganti pada lelaki di sisi Naurah. Baru sekejap tadi, telinganya mendengarkan sesuatu yang sudah membuatkan suhu amarahnya naik mendadak.

"Ayah..."

Hanya sepatah kata yang keluar dari mulut Naurah. Soalan diajukan padanya juga sudah tidak mampu dijawabnya.

Kalau Naurah terkejut dengan kemunculan lelaki yang sudah separuh abad itu. Zhariff dan Adelyne yang turut berada di situ ikut terkejut. Paling terkejut bila mereka berdua mendengar panggilan Naurah kepada lelaki itu.

Ayah?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: