
Bab 1
Lima tahun dulu...
NAURAH seakan-akan tenggelam dengan dunianya sendiri. Langsung tidak diendahkan dengan bunyi muzik yang kuat bergema ketika itu.
Malah, ada beberapa rakan sekerjanya bergilir-gilir mengambil peluang untuk menunjukkan bakat menyanyi. Semata-mata merebutkan hadiah utama pertandingan menyanyi diadakan sempena majlis akhir tahun Aman Kiara Holding.
Tanpa disedari, anak mata Naurah terpaku pada meja di hadapannya. Memerhati dalam diam aksi rakan sekerja. Ada sedang bergelak ketawa. Ada sedang menjamu selera. Dan ada juga yang asyik memandang ke arah pentas.
Naurah perasan, riak wajah mereka semua berubah rentak bila tiba-tiba saja lelaki berkepala botak menghampiri mereka. Dengan selamba, lelaki itu mengambil tempat di antara staf perempuan.
Sambil ketawa lepas, kedua-dua tangannya jatuh pada bahu staf perempuan di kiri dan di kanannya. Sesekali, dia seakan-akan menarik mereka berdua ke dalam pelukannya.
"Hei! Kau pandang apa tu?" tanya Elly sambil menepuk paha Naurah.
"Kau kenal botak tu?" tanya Naurah sambil mulutnya dimuncungkan ke arah meja dimaksudkan.
"Oh? Itu? Kau tak kenal ke dengan ulat bulu tu?"
"Ulat bulu?" Muka Naurah sudah berkerut seribu di situ.
Nama separuh rakan sekerja dia pun tak sempat nak hafal, inikan pula nak hafal gelaran-gelaran tak senonoh ni.
"Kau tengok tu!"
Spontan, anak mata Naurah melorot arah dimaksudkan Elly. Dilihatnya lelaki botak itu bercakap sambil bermain-main dengan rambut perempuan di sisinya.
Malah, Naurah melihat pula lelaki tadi mula mengusap lembut tangan perempuan itu. Sesekali, terbabas pada paha perempuan itu. Senyuman makin melebar di wajah lelaki botak itu.
"Mereka biarkan saja?"
"Terpaksa!"
"Itu gangguan seksual. Dalam gangguan seksual, tak ada istilah terpaksa atau dipaksa," tepis Naurah. Tidak setuju dengan jawapan Elly.
"Kau cakap senanglah. Dia tu bukan sembarang orang tau. Dia tu Pengurus Kewangan Aman Kiara Holding. Merangkap adik ipar CEO kita!"
"Jadi, dia boleh buat apa saja yang dia nak? Macam tu?"
"Yalah. Orang biasa-biasa macam kita ni, mana boleh lawan dia? Walaupun kita tahu, apa dia buat tu salah."
Itulah silapnya, Elly! Tak! Bukan Elly saja, tapi rata-rata mentaliti masyarakat kita memang macam tu. Belum apa-apa, dah mengaku kalah. Sampaikan tak sanggup untuk menegakkan kebenaran.
Tanpa disedari, anak mata Naurah terarah tepat pada lelaki botak yang masih lagi mengambil kesempatan ke atas pekerja bawahannya.
Lelaki botak itu tiba-tiba saja bangkit dari situ dan beredar ke hujung dewan. Lagaknya seperti sedang menjawab panggilan penting.
Serentak dengan itu, Naurah melihat sekumpulan rakan sekerja yang menjadi mangsa si botak itu menarik nafas lega. Tak lama kemudian, masing-masing bangkit dan terus saja beredar dari situ.
"Itu bukan ulat bulu," hujah Naurah, spontan.
"Dah tu, apa?"
"Sotong."
"Sotong?"
"Kau tak tengok tangan dia tu? Menjalar sana sini. Kan sama macam sotong tu."
"Tengah cakap fasal apa ni? Rancak semacam!" tegur satu suara. Betul-betul di belakang mereka.
Elly sudah kejung di situ. Duduknya sudah tegak di situ. Anak matanya pula tak berkelip memandang tepat di depan sana. Bukan disebabkan dia kenal dengan suara menegur mereka. Tapi disebabkan ada tangan sedang menjalar di belakangnya.
Naurah menoleh di belakangnya. Air mukanya berubah sebaik sahaja melihat pemilik suara itu. Tak sedar, sejak bila si botak dipanggil sotong tadi berada di belakang mereka.
"Boleh I duduk sini?" tanya Encik Razak sambil tersenyum lebar di situ. Kedua-dua tangannya juga sudah mendarat di bahu Naurah dan Elly.
Belum sempat Naurah ataupun Elly bersuara, Encik Razak selamba menarik kerusi dan terus saja melabuhkan punggung di situ. Betul-betul di antara Naurah dan Elly.
Naurah di situ, tetap seperti tadi. Diam tanpa sebarang kata. Dalam diam, dia memerhatikan segala gerak-geri tangan Encik Razak. Yang tetap seperti tadi, tidak boleh diam dalam waktu lama. Ada saja yang nak merayap di tempat-tempat tak sepatutnya.
Elly pula? Hanya membiarkan tangan Encik Razak meliar di tubuhnya.
"Apa nama you, ya? I tak pernah tengok you all berdua. Staf baru ke?"
"Ah... Ya... Baru... Baru 7 bulan kerja sini." Elly membalas, gugup.
"Hei, relakslah. I tak makan oranglah. I cuma makan nasi saja," ujar Encik Razak lagi.
Kononnya cuba untuk menenangkan Elly yang sedari tadi kelihatan seperti gugup di situ. Serentak dengan itu, jemari Encik Razak mendarat pula pada paha Elly yang jelas kelihatan dek dress dipakainya terbelah sampai menampakkan pahanya.
"Nama apa? I tak sangka ada staf baru yang cantik macam you all ni."
"Saya... Saya Elly..."
"Yang cantik manis ni?" tanya Encik Razak lagi. Kali ini, dia menoleh pula pada Naurah yang sedari tadi diam saja di sisinya.
"Naurah." Sepatah saja jawapan yang keluar dari mulut Naurah.
"Cantik. Secantik orangnya juga. Suara pun merdu." Encik Razak memuji sambil bibirnya sudah mengukir senyuman melebar di situ.
Seraya dengan itu, jemarinya mengelus rambut Naurah. Sebelum perlahan-lahan terhenti di bibir Naurah yang kering tanpa segaris senyuman di situ.
"Tapi, sayangnya you tak senyum. Kalau senyum, mesti lagi cantik, kan?" sambung Encik Razak.
Air muka Naurah berubah rentak. Perlahan-lahan, dia memandang jemarinya yang sudah pun berada di dalam genggaman Encik Razak.
"You staf baru juga ke? Okey tak kerja sini? Kalau perlu apa-apa, cakap saja pada I. I boleh dapatkan apa saja untuk you," pelawa Encik Razak sambil tersenyum lebar di situ.
Jemari Naurah diramas lama. Kemudian, jemarinya mendarat pula pada paha gebu milik Naurah.
Naurah toleh di sisinya. Anak matanya memandang tepat pada Encik Razak yang sedari tadi begitu asyik menjalar pada jemari dan pahanya.
"Orang tua encik tak ajar adab ke? Atau mereka tak hantar encik pergi sekolah?"
"Hah?"
"Benda encik buat ni, orang panggil gangguan seksual. Agaknya orang tua encik tak ajar, itu sebab anak mereka jadi kurang ajar macam ni!" tempelak Naurah, berani.
Riak wajah Encik Razak berubah rentak. Serentak, jemari Encik Razak yang sedari tadi menjalar paha Naurah dan Elly ikut terhenti.
"Cakap baik-baik sikit, ya?" larang Encik Razak. Marah bila dituduh begitu.
Anak matanya juga sudah meliar sekeliling. Risau, kalau-kalau kata Naurah tadi turut didengari oleh orang lain.
"Kenapa? Tak betul saya cakap?"
"Memang! Memang tak betul!" tepis Encik Razak.
"Ini apa?" soal Naurah berani.
Spontan, anak matanya terarah pada jemari Encik Razak yang masih lagi melekat kemas pada pahanya.
"Ini... Ini..." Encik Razak gugup di situ. Terus saja dia melarikan jemarinya dari terus melekat pada paha Naurah.
"Kalau bukan gangguan seksual, orang panggil apa ni?!" soal Naurah dengan nada suara makin meninggi di situ.
Encik Razak ketap gigi. Anak matanya sudah terarah tepat pada Naurah. Belum pernah staf perempuan meninggikan suara begitu padanya.
"Ingat sikit. You tu staf baru. You tak kenal lagi I siapa!" tekan Encik Razak.
Tidak mahu Naurah terlupa, status dipegang dirinya. Dan disebabkan Naurah, mereka sekarang sudah menjadi perhatian beberapa pasang mata.
Kalau tidak dicegah dari awal, mungkin keadaan ini akan jadi lebih teruk!
"Jadi? Encik bebas nak buat apa saja pada staf perempuan? Meraba-raba paha mereka. Meramas-ramas tangan mereka. Itu maksud encik?" soal Naurah, sinis.
"Ara..." panggil Elly. Sudah tidak senang dengan keadaan sekarang.
"Hei! Cakap tu baik-baik sikit, ya? Bila I ambil kesempatan? Ada bukti? Ada saksi? Yang I buat semua tu?!" marah Encik Razak. Nada suaranya juga sudah ikut meninggi dek tercabar dengan sikap berani ditunjukkan oleh Naurah.
"Oh? Nak bukti? Boleh! Saya memang ada bukti."
Seraya dengan itu, Naurah mengeluarkan telefon yang sedari tadi dibiarkan merakam aksi tak senonoh dilakukan oleh Encik Razak pada Elly dan juga dirinya.
Itulah! Encik Razak terlalu asyik meraba sana sini, sampaikan tak sedar aksi tak senonohnya sedang dirakam.
Anak mata Encik Razak membulat. Dek terkejut melihat aksi tak senonohnya sebentar tadi sudah dirakam oleh Naurah tanpa disedarinya.
"Apa... Apa tu?" soal Encik Razak dengan suara sudah menggigil di situ. Terkejut dengan bukti yang muncul dengan tiba-tiba.
"Bukti. Kata tadi nak bukti, kan?" Naurah menjawab, selamba.
Encik Razak ketap gigi. Kuat! Kedua-dua tangannya juga sudah menggigil, menahan amarah yang sedang dirasainya ketika ini.
"Kau... Kau memang dah melampau! Agaknya, kau dah lupa aku siapa. Lupa yang aku boleh lakukan apa saja pada kau. Dengan mudah aku boleh singkirkan kau keluar dari Aman Kiara Holding," ugut Encik Razak pula. Sambil hujung jarinya diarahkan tepat pada Naurah.
Sekarang, dia sudah mula membahasakan 'aku' dan 'kau' dengan Naurah.
"Apa pun gelaran encik, salah tetap salah. Encik tak ada hak nak ambil kesempatan pada staf perempuan. Jangan lupa, encik dah buat gangguan seksual pada staf perempuan. Saya pasti, mangsa encik sudah tidak boleh dikira dengan jari. Terlalu ramai yang sudah menjadi mangsa encik," hujah Naurah dengan panjang lebar.
Sikit pun dia tak rasa gentar dengan ugutan Encik Razak sebentar tadi. Yang dia tahu, dia perlu bersuara demi menegakkan keadilan. Salah tetap salah. Walaupun dia berjawatan tinggi sekalipun.
Encik Razak terus saja menyimbah air minuman tepat pada muka Naurah.
Naurah tergamam. Wajahnya juga lencun. Elly sudah melopong di situ. Masing-masing terkejut dengan tindakan tak dijangka itu.
"Tutup mulut busuk kau tu. Sedar diri kau tu sikit. Kau bukan siapa-siapa pada Aman Kiara Holding. Aku boleh pecat kau dan ganti dengan orang yang jauh lebih baik dari..."
Splash! Naurah menyimbah air tepat ke muka Encik Razak tanpa sempat lelaki itu usai berkata-kata. Tindakannya itu begitu pantas dan tepat sekali.
Sesaat, Encik Razak tergamam di situ. Terkejut bila Naurah membalas perbuatannya sebentar tadi.
"Kau... Kau memang dah melampau!" tempik Encik Razak. Kuat!
Terus saja dia mengambil makanan terletak di atas meja lalu dicampak tepat pada muka Naurah. Dia tersenyum puas melihat wajah Naurah sudah dikotori dengan pelbagai jenis makanan.
"Encik betul-betul dah melampau..." ujar Naurah tanpa sikit pun menyapu kesan kotoran pada wajahnya.
Dengan selamba Naurah membaling gelas di tangannya tepat pada kepala Encik Razak. Berdenting bunyinya bila gelas itu mengenai kepala botak Encik Razak.
Naurah tak henti di situ saja, dia mengambil pula beberapa pinggan di atas meja lalu dibaling ke arah Encik Razak. Habis semua jenis pinggan dan mangkuk terbang melayang ke arah Encik Razak.
"Tolong!!!" jerit Encik Razak pula. Dek terkejut melihat aksi gila Naurah.
Sangkanya tadi Naurah akan mengalah dengan tindakannya. Tapi perkara sebaliknya pula berlaku. Naurah langsung tak mengalah. Malah, dengan tak teragak-agak, Naurah membaling segala jenis pinggan mangkuk yang berada di atas meja itu ke arahnya.
Keadaan di dalam dewan itu menjadi kecoh dengan kejadian tak diduga. Perhatian mereka bukan lagi pada pertandingan menyanyi yang dianjurkan. Tapi sudah tertumpu pada aksi baling membaling di antara Naurah dan Encik Razak.
Sampaikan beberapa orang staf Aman Kiara Holding terpaksa masuk campur. Dan menghalang Naurah dari terus menggila dan mengerjakan Encik Razak.
Naurah langsung tak menyangka, kejadian itu bakal merubah hidupnya. Dek aksi gilanya itu, dia mendapat gelaran baru. Cik Hitler! Gelaran yang membuatkan penyakit gilanya datang dengan tiba-tiba bila diseru.
Ada ke patut mereka samakan dia dengan Adolf Hitler yang kejam tu? Kononnya, dia ni jenis keras kepala, degil, gila, berani dan jelingan tajamnya mampu membunuh semangat. Sama seperti Adolf Hitler. Bezanya, dia ni Adolf Hitler versi perempuan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro