Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 9

Pejam celik, pejam celik akhirnya seminggu berlalu macam tu sahaja dan bila semalam Hani dapat panggilan dari Hospital Ar-Raudah, langsung tak boleh tidur lena dibuatnya. Pagi ini pula, seawal 7.30 pagi dia sudah ada di hadapan hospital. Kalau boleh nak jadi orang yang pertama!

"Okey. Hari ni I nak mulakan sesi kita dengan bertanyakan beberapa soalan pada you. Boleh?" soal Zulaikha, mesra.

"Macam serius aje ni. Pagi-pagi dah kena bersoal jawab bagai. Soalan objektif ke, subjektif, doc?" balas Hani dengan sengihan.

"Well, soalan yang agak serius dan I harap you dapat jawab dengan serius."

Eh? Sengihan Hani mati tiba-tiba. Lain macam saja bunyinya ni. Tadi nampak macam mesra alam. Tup-tup tak sampai berapa saat bertukar jadi serius pula. Bikin debar aje doktor ni, heh.

"Errr, okey. Apa soalannya?" soal Hani pula. Duduknya ditegakkan lagak gaya macam sedang bersedia menanti soalan temu duga.

"You datang jumpa I sebab sejak awal tahun ni your menstrual period irregular. Kan? Volume pun kadang-kadang sikit, kadang-karang overflow. Am I right?"

"Yup," balas Hani pendek.

"You juga mengalami beberapa perubahan mendadak dari segi emosi such as mudah tertekan. Mood swing dan sukar untuk tidur. Betul?"

"Yup, betul."

"Dan you juga mengalami penurunan berat badan yang agak ketara akhir-akhir ini walaupun you makan seperti biasa ataupun dalam kuantiti yang banyak sekalipun."

"Yup. You're absolutely correct, doc!" balas Hani, yakin.

"So, pernah tak sebelum ni you menjalani pembedahan ovari ataupun dirawat untuk penyakit kanser?"

Mata Hani sedikit terbeliak. Mak aih, soalan! Pembedahan ovari? Kanser? Nauzubillahiminzalik. Mintalah dijauhkan.

"Nope. Kedua-duanya tak pernah."

"Okey. Good. Ada atau tidak you atau ahli keluarga mempunyai penyakit systemic atau autoimun, seperti hipotiroidisme atau lupus?"

Hani lap peluh. Phewww. Soalan memang mencabar sungguh! Tadinya kanser, kali ini downgrade sikit ke penyakit systemic.

"Alhamdulillah, tak ada."

"Alhamdulillah. Soalan yang terakhir. You ada ambil apa-apa supplement kesihatan dalam daily routine tak?"

"Nope. Eh, ada. Cuma normal vitamin C yang I beli dari farmasi."

"Well, vitamin C should be no problem. So..."

Jeda sebentar. Punya lama la haih Zulaikha ambil masa nak sambung ayatnya bilamana jari runcingnya dok sibuk selak helaian kertas di hadapannya berkali-kali dengan kening berkerut tanpa henti. Melihatkan reaksi itu, hati Hani langsung dipagut risau. Betul ke tidak Si Zulaikha ni doktor? Reti ke dia? Betul ke dia ni pakar sakit puan ataupun cuma doktor biasa yang berlagak ala-ala pakar sebab mak ayah dia 'somebody'? Dari tadi macam teragak-agak saja nak bercakap. Macam diri sendiri tak ada keyakinan. Eh, apa kau merepek ni, Hani?

"I tak tahu macam mana nak jelaskan pada you sebab ini kes terpencil dan jarang sekali berlaku. Apa pun, I tetap kena beritahu you, Cik Hani," kata Zulaikha dengan wajah yang sedikit serba salah.

Hani tarik nafas dalam-dalam sebelum bibirnya dipaksa menarik senyum.

"Kes terpencil? Maksud doktor?" soal Hani kembali sambil rambutnya yang dibiar lepas tidak berikat diusap berkali-kali, cuba menenangkan dirinya sendiri yang mula rasa gelabah.

Maksud doktor ni apa, ya? Dia mengandung tanpa berkahwin? Ah, tak mungkin. Hari pertama janji temu hari tu dia sudah disuruh buat ujian air kencing dan sah-sah dia yang belum berkahwin akan dapat result negatif dalam ujian kehamilan.

Jadinya apa? Apa masalah dia sebenarnya? Kecil saja atau bakal membahayakan nyawanya? Ah, doktor ni pun satu hal juga. Jenis suka cakap sekerat-kerat macam dalam drama juga.

"Begini, Cik Hani. Dari keputusan darah yang diterima, pihak kami dapati yang paras estradiol dalam diri Cik Hani adalah 40. Manakala tahap hormon merangsang folikel (FSH) dalam darah Cik Hani pula ada peningkatan menghampiri 30 mIU/ml."

Hani melopong seketika. Puas akalnya dikerah cuba memahami mesej yang cuba hendak disampaikan Zulaikha tapi dia jadi buntu. Apa yang Doktor Zulaikha ni merepek bagai? Estradiol? Hormon merangsang folikel? Apa bendanya tu?

"Errr, those number actually, maksudnya apa, ya? Ujian-ujian tu untuk apa sebenarnya? I tak fahamlah, doc. Boleh tak you terangkan dalam bahasa yang lebih mudah? Bukan bahasa doktor?" soal Hani, polos.

Zulaikha tersenyum kecil sebelum wajahnya kembali serius seperti awalnya.

"You hampir mengalami satu keadaan yang kita panggil kegagalan ovari pramatang. Ia juga dikenali sebagai kekurangan utama ovari yang merujuk kepada kehilangan fungsi normal ovari sebelum usia 40. Bila ovari gagal, ia tidak menghasilkan jumlah hormon estrogen yang normal atau melepaskan telur secara teratur."

"What? Maksud you? Ovari I rosak, macam tu? Tak mungkin! Kalau rosak, kenapa menstrual period I masih datang lagi walaupun secara tak teratur?" balas Hani laju. Dalam banyak-banyak penyakit yang wujud di dunia ini, kenapa mesti ini? Dan kenapa dia, pada usia semuda itu? Tak mungkinlah!

"Bukan rosak, Cik Hani. Tapi gagal berfungsi dengan baik. Kegagalan ovari pramatang kadangkala dirujuk sebagai menopause awal, tetapi kedua-duanya sebenarnya adalah dua situasi yang agak berbeza. Wanita dengan kegagalan ovari pramatang mungkin mempunyai haid yang tidak teratur atau sekali-sekala selama bertahun-tahun dan mungkin hamil. Wanita yang menopause pramatang berhenti haid dan tidak boleh hamil."

"Tadi mula-mula you cakap fungsi ovari gagal, lepas tu sekarang you cakap I menopause? Mana satu yang betul ni sebenarnya? Me? Menopause? You must be kidding me, doc. I masih muda dan I belum kahwin pun lagi, meaning that I belum pernah pregnant lagi. So, macam mana you boleh diagnose I menopause? No. I tak percaya. You silap ni," balas Hani bersungguh-sungguh. Mabuk ke apa Doktor Zulaikha ni? Kot ya pun tak pasti, tak payahlah buat cerita tak logik macam ni. Menopause pada umur 28 tahun? Lawak la sangat!

"I belum habis cakap lagi, Cik Hani..."

"What? Apa lagi you nak cakap? I nak cari second opinion. I rasa you silap diagnose," balas Hani tak puas hati. Dia sudah berkira-kira hendak beredar sebelum kembali duduk bila Zulaikha sambung penjelasannya yang terhenti.

"I tak silap diagnose, Cik Hani. Perkara seperti ini bukannya boleh dibuat main-main, lagi pula rahim seorang wanita itu adalah aset yang paling penting dalam hidupnya. Tapi apa yang I boleh beritahu you adalah walaupun jarang berlaku tapi ia tidak mustahil. Dan dalam kes you ni, I sendiri tak boleh nak sahkan you mengalami kegagalan ovari ataupun menopause pramatang melainkan ujian yang lebih detail dijalankan. Apa pun, you tak perlu bimbang. You belum lagi mengalaminya tapi sedang menuju ke arah itu sebab keputusan darah you belum sampai ke tahap yang boleh diklasifikasikan sebagai menopause. Jadi kita masih ada masa untuk melambatkannya dari berlaku dan sekali gus cuba mengubatinya."

Hani senyum senget. Kertas keputusan ujian darah di hadapannya dibelek sekali lagi seakan tidak percaya. Semua nilai hampir ke arah itu. Takkan pula ujian ni salah. Tapi, tak mungkinlah. Kenapa dia? Kenapa penyakit yang jarang berlaku seperti ini? Bukankah kalau menopause bermakna dia tak akan punya anak kalau berkahwin?

"Kalau betul diagnosis you ni, apa puncanya I jadi macam ni?" soal Hani.

"Kegagalan pramatang ovari terjadi akibat kekurangan folikel atau gangguan folikel. Antara sebab kekurangan folikel adalah kerana kecacatan kromosom ataupun gangguan genetik. Mungkin juga akibat toksin hasil dari kemoterapi dan terapi radiasi. Gangguan folikel pula disebabkan tindak balas sistem imun kepada tisu ovari atau kita panggil penyakit autoimun. Secara umumnya, you sama sekali tak pernah menjalani kemoterapi atau menghidap penyakit autoimun. Jadi, tak ada punca spesifik yang boleh I kaitkan pada kes you ni."

"Oh, jadi maknanya you cuma buat kesimpulan berdasarkan result darah ni aje, kan? Dan yang paling kelakarnya, sebabnya tu pun you tak pasti. Kalau macam tu, I pun boleh duduk dekat tempat you tu dan cakap benda yang sama just based in the result and figure," kilas Hani, sarkastik.

Tersandar seketika Zulaikha dibuatnya. Matanya tak lepas merenung ke wajah bersahaja Hani sambil nafasnya ditarik panjang.

"I tak kesah kalau you nak buat test di tempat lain. Maksud I, untuk cari second opinion. Itu yang sebaiknya. Manalah tahu, kalau ada berlaku kesilapan but I akan assured you yang jarang sekali ujian darah seperti ini dapat keputusan yang salah. But to answer your question about the cause of this disease, I have no spesific answer. Tapi ada kemungkinan juga sejak dari awal lagi you memang lahir dengan kuantiti telur dalam ovari yang tak normal berbanding wanita biasa. Dan itu bermakna, kalau wanita normal yang belum berkahwin seperti you mengalami menopause pada usia 50 seandainya dia tak pernah kahwin sepanjang usianya itu, you pula sebaliknya.

Ada kemungkinan pada usia seawal 35, you akan menopause. Tapi itu cuma satu angka. The real quantity, hanya Allah saja yang tahu. Dan setahu I, untuk melambatkan keadaan ini secara semula jadi adalah dengan berkahwin dan kerap mengandung sebab kalau you cuma mengalami kegagalan fungsi ovari hanya disebabkan kuantiti telur yang makin menyusut, you masih berpeluang untuk mengandung. Dengan mengandung, you akan save perlepasan telur untuk hampir 10 bulan. Jadi lebih kerap you mengandung, lebih lambat menopause you akan datang."

Hani angkat wajah dan buang keluhan berat.

"You cakap senang kan, doc? You ingat, kahwin tu senang? Dari mana I nak dapatkan lelaki yang sanggup kahwin dengan perempuan yang kemungkinan besar mandul dan tak dapat melahirkan zuriat untuknya? Ha? You nak I kahwin untuk diceraikan atau dimadukan? Macam tu?"

"Relaks, Hani. Relaks. I tahu, bukan mudah untuk you terima semua ni. I sendiri kalau berada di tempat you akan rasa benda yang sama. Lainlah kalau memang waktu itu dah berkahwin, ada anak. Kan? But the thing is, it's not the end of the world after all walaupun orang dok cakap rahim wanita itu adalah sebahagian dari kesempurnaan."

"You perli I ke apa ni?" soal Hani, berang seraya berdiri mencekak pinggang.

"I tak maksudkan macam tu, Cik Hani. I cuma..."

"Yeah. You're right. You're damn right!" balas Hani sambil meletakkan tiga helai not seratus di atas meja itu sebelum berlalu tanpa pamitan. Tidak dihiraukan panggilan Zulaikha yang memintanya untuk membuat pembayaran di kaunter.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: