Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 7

Demi mengikut saranan angah, Hani gigihkan juga dirinya untuk buat pemeriksaan lanjut di hospital untuk bertemu pakar sakit puan keesokan harinya.

Berdebar-debar hati Hani dibuatnya waktu kali pertama melangkah ke dalam bilik doktor. Seram! Doanya, harap-haraplah semuanya baik-baik sahaja.

"Masih terlalu awal untuk saya buat kesimpulan tentang keadaan awak, Hani. Ada banyak faktor yang boleh mempengaruhi dan boleh menyebabkan kedatangan haid bulanan awak terganggu. Contohnya macam yang saya sebutkan tadi. Mungkin disebabkan pemakanan yang tak seimbang, faktor emosi dan tekanan kerja. Zaman sekarang, hal-hal sebegitu pun boleh efek hormon. Jadi kesimpulannya saya kena tunggu result darah dulu. Dari situ, mungkin kita akan dapat sesuatu. Jadi buat sementara ni, saya akan preskripsikan awak ubat turun darah. Seminggu dari sekarang, kita jumpa semula. Ya?"

Seminggu lagi? Geshhh. Bermakna lagi seminggulah dia terpaksa melayan mata tak mengantuknya tiap malam dan siang harinya pula terpaksa disengkangkan matanya supaya tak terlelap waktu tengah drive dan waktu tengah bekerja. Arghhh! Stresnya hidup! Nak tambah stres kalau along dengan ancik buat hal pagi-pagi Isnin macam tadi.

Along, boleh pula mengamuk beria-ia sebab nak pakai kemeja biru yang masih berendam dalam besen sebab terkena sambal. Ancik pula hangin satu badan sebab stok Milo dia habis. Selalu tu boleh aje layan kopi tapi pagi tadi bertegas nak Milo juga.

Nasib baiklah ada angah yang selalu jadi PBB. Dapat juga dia lepas diri. Kalau tidak, alamatnya sampai waktu makan tengah hari pun dia dok melangut lagi dekat atas kerusi Hospital Ar-Raudah tu. Datang pukul 7.45 pun dapat nombor giliran 10 kot. Yang nombor 1 tu datang lepas subuh agaknya!

"Hani, kau dari mana?" sergah satu suara waktu dia baru sahaja letak sebelah kakinya di atas kotak parkir lot setelah enjin keretanya dimatikan.

"Salam mana, bhai? Salam?" balas Hani, bengang. Suka suki dia aje sergah macam tu mamat ni. Kurang peradaban betul!

"Waalaikumussalam. Kau dari mana? Kenapa lewat?"

Dah bila masa pula dia bagi salam ni? Hani tepuk dahi. Tanpa menjawab soalan yang bertalu-talu daripada Hawari, tenang sahaja pintu kereta ditutup sebelum pintu kereta belakang dibuka lalu beg sandangnya dicapai.

"Hani!!!"

"Kau ni kenapa, Wari? Macam hilang bini aje gayanya. Eh, aku bukan bini kau tau! Tak payah nak kepochi sangat. Okey? Mana aku pergi, kau tak payah nak sibuk. Aku awal-awal dah beritahu Jenny yang aku ambil time off pagi ni."

"Kot ya pun time off, boleh tak buka phone tu?" balas Hawari dengan muka bengang. Telefon Note 4 miliknya ditayang sedekat mungkin ke wajah Hani. Pantas saja Hani tolak tangan Hawari ke tepi.

"Kau dah kenapa? Dari pagi kot telefon aku tak berbunyi. Bukan aku suka-suka tak nak angkat," balas Hani sedikit bengang sambil tangannya menggagau masuk ke dalam beg tangannya yang penuh dengan macam-macam khazanah.

"Aku tak suruh kau angkat. Aku suruh kau on dulu phone kau tu. Kalau tak on, macam mana nak berbunyi? Pandai!" tekan Hawari, serius.

Hek eleh pak cik ni, berangin pula dia, ya?! Langsung terhenti tangan Hani dari mencari telefon bimbitnya dari dalam beg tangan. Zip langsung ditarik, tutup. Malas nak cari dah!

"Oh, terima kasihlah ya sebab memuji aku. Suka aku di sini menegaskan yang hari ini adalah hari untuk aku off telefon sedunia. Sila catat dalam diari, ya. Makanya tahun depan pada tarikh yang sama tak perlulah kau nak meroyan dekat aku sampai sanggup tunggu dekat parking lot ni. Kan? Dah tepilah! Aku nak naik bilik. Panas kot!"

"Hani! Jangan naik bilik dulu!" larang Hawari. Pantas saja lengan Hani ditarik.

"Wari, please. Tolong hentikan royanan kau ni. Boleh? Kau nampak tak matahari tegak elok atas kepala kita sekarang ni? Kau pun tahu kan, aku tak tahan panas macam ni? Kau nak kemeja aku ni lencun sebelum petang? Haaa?"

"Aku tau. Tapi..."

"Tapi apanya? Boleh tak kau straight to the point aje? Tak payah nak buat drama Korea kat sinilah! Aku menyampah betul dengan lelaki jenis tarik-tarik lengan perempuan waktu perempuan nak blah. Tak membina langsung. Sakit kot! Cubalah kau tarik kaki ke. Tarik rambut ke. Kan?"

Hawari buang keluhan kasar. Malas nak komen panjang. Laju sahaja jarinya dilarikan di skrin telefonnya sebelum disua pada Hani.

"Ni. Cuba kau tengok ni. Dah jadi viral kot!"

Mata kecil milik Hani langsung membuntang besar. Viral? Allah! Biar betul! Siapa punya kerja ni? Skrin telefon yang disua ke arahnya disambut dengan tangan yang menggeletar laju. Lambat-lambat Hani angkat muka memandang ke arah Hawari yang tak sudah tayang muka serius tak siap dia.

"Wari, aku. Aku sebenarnya. Aku tak ada..."

"Ya. Aku faham. Aku tahu niat kau sebenarnya. Tapi..."

"Siapa punya kerja ni?" soal Hani, bengang. Kepalanya jadi sakit tiba-tiba. Ditambah pula dengan terik matahari yang makin memancar. Sakit kuasa dua dibuatnya.

"Aku tak pasti siapa punya kerja. Puas aku tanya budak-budak kita. Sorang pun tak mengaku tapi aku percaya bukan dia orang. Nakal-nakal dia orang pun, dia orang takkan sanggup kenakan aku."

Tak sanggup? Ya ke? Hani cebir bibir, tanda tidak percaya.

"Gambar ni dekat plant, Wari. Siapa punya kerjalah lagi kalau bukan budak-budak ni? Ha? Aku tau, dia orang tu simpan dendam dekat aku. Kalau tak Pian, Reydha. Tak ada orang lain dah."

"Kau jangan tuduh sembarangan, Hani. Aku kenal budak-budak tu. Memang dia orang kadang-kadang simpan hati, sentap juga dengan kau tapi cara kotor macam ni tak akan dia buat punya. Mungkin..."

"Hawari, Hani. Puan Zainab nak jumpa kamu berdua."

Dan sampukan dari Jannah, PA kepada ketua bahagian operasi dan pelancaran sistem masing-masing buat Hawari mahupun Hani bagai hilang darah seketika. Habislah!

"Kenapa tak kahwin aje?"

Belum surut lagi panas matahari dari luar tadi, telinganya sudah panas taktala diaju soalan paling tak masuk dek akal sebegitu.

Wajah Puan Zainab yang sememangnya dari awal lagi tak pernah setuju dengan setiap kerjanya dikerling sekilas sebelum pandangannya jatuh pada wajah Hawari yang nampak lebih tenang berbandingnya.

"Belum jodoh kami agaknya," balas Hawari, santai. Mendengarkan jawapan itu, hampir saja tawa besar Hani pecah.

"Jangan disalahkan jodoh. Salahkan diri sendiri yang suka melambat-lambatkan jodoh, padahal masing-masing dah gatal tak mampu nak garu. Betul tak, Hani?" Mata Puan Zainab yang tebal dihiasi celak itu beralih pula ke arahnya.

Mata Hani membulat. Mak cik ni kata apa? Dia kata aku gatal tak mampu nak garu? Hampehnya dia, cakap ikut suka tempo dia aje, ya?

"Untuk pengetahuan puan, saya baru balik dari hospital. Kalau result darah saya sah membuktikan saya kena penyakit gatal tak boleh garu tu... Insya-Allah by next week sembuhlah tu bila doktor dah bagi ubat. Hawari, saya tak pasti sebabnya saya pergi hospital seorang aje tadi. Wari, aku rasa kau pun kena cek darahlah," balas Hani bersahaja.

"Shut up!"

Tak jadi Hawari nak lepaskan tawa.

"Awak tak rasa segan ke, Hani? Mana hilang malu awak? Ditangkap berduaan dekat plant. Yang sorang tengah terlelap. Sorang lagi tolong selimutkan siap tenung dan senyum tak sudah. Apa semua ni? Nak bercinta bukan di sini. Kalau gatal sangat, kahwin! Pagi petang siang malam berselimutlah berdua tak ada siapa nak hairan!"

Pappp!!!

Bergegar meja di hadapan mereka seketika. Mata Hani tajam merenung ke hadapan dengan wajah bengis.

"Hani..."

Hani angkat tangan pada Hawari.

"Hanya sebab puan bertudung labuh tutup dada dan saya tidak bertudung, puan senang-senang saja nak label saya seangkatan dengan perempuan murahan, ya? Macam tu? Ya, saya mengaku perempuan dalam gambar itu ialah saya. Dan ya, saya mengaku saya selimutkan kawan baik saya ni dengan mafela saya. Tapi salah ke? Bukannya sambil saya selimutkan tu, saya cium dahi dia. Usap pipi dia. Tak. Tak ada. Lepas tu, saya terus keluar cek perimeter dengan budak-budak saya. Jadi kalau puan nak judge saya hanya sebab sekeping gambar oleh paparazi yang diletakkan dekat pejabat bawah tu, puan silap besar. Saya memang akan kahwin. Tapi bukan dengan Hawari sebab saya sayangkan dia, sama macam saya sayangkan abang-abang saya. Tak percaya? Terpulang. Saya pun tak hairan. Chiooow! Banyak lagi kerja saya nak buat dari layan gosip murahan tak ada harga dari puan ni," jelas Hani panjang lebar sambil berlalu.

Dia nak mengadu pada managing director? Silakan? I don't give a damn at all!

"Hani..."

"Dahhh. Blah! Blah! Jangan kau langkah masuk dalam bilik aku. Nanti ada pula yang snap pic kau lepak dalam bilik aku ni ha. Lepas tu viral lagi. Lepas tu, perempuan kena tinggal dek laki bilik hujung tu panggil kita lagi dan suruh kita kahwin. Aku bosan, okey? Cukuplah dekat rumah tu, abang-abang senget aku dok suruh aku kahwin dengan kau. Dekat sini pun sama ke? Aci tak kalau aku lari ke Pluto? Mungkin dekat sana tak ada siapa akan kaitkan aku dengan kau dah."

Hawari tak jadi nak melangkah sebaliknya dok tayang muka kesian dengan mata terkebil-kebil memandang ke arahnya.

"Hina sangat eh kalau kena kait dengan aku?"

Alamak, ayat. Sadisnya! Langsung Hani tersenyum sendiri.

"Laaa, kau ni. Bungalah! Aku cakap gitu nak sentap. Aku dah lali la kena kait dengan kau. Aku cuma hangin tak sudah aje dengan malaun yang snap pic aku dengan kau. Lepas tu minah bilik hujung tu boleh pula perli kita macam kita baru lepas kena tangkap basah. Aku tau dia tu memang ada masalah dengan aku sejak kita lapor diri lagi. Gambar tu saja aje jadi peluru dia nak sakitkan hati aku."

"Dah kau tahu dia macam tu, yang kau nak sentap kenapa? Abaikan aje," balas Hawari bersahaja sambil labuhkan punggung di atas kerusi di hadapannya.

"Sentaplah, wei. Aku belum pernah lagi kena label gatal tau! Kot ya pun nak label, agak-agaklah. Dengan kau pula tu. Kalau menggatal dengan Nazim Othman ke, Park Ji Sung baru ada akal, kan?" balas Hani sambil tersengih-sengih.

"Heh, nak kena sabit dengan mamat bajet Korea aje. Tu, kalau dengan Daniel tu kau sukalah kan kalau kena snap pic?"

Erkkk! Salah bagi contoh ke?

"Tak ada maknanya! Eh, dahlah. Aku malas nak cakap pasal gosip murah macam tu. As long as MD kita tak tahu, life must go on. Kalau MD tahu, tahulah minah ujung tu untung nasib dia macam mana."

"Isyyy, kau ni. Cakap dah ala-ala samseng! Eh, tadi kau pergi hospital ke? Doktor cakap apa?" soal Hawari dengan wajah teruja ala-ala sang suami menunggu result pregnancy test. Urghhh. Tolonglah, mamat depan ni jadi suami dia? Pass! Yang lain ada tak?

"Doktor cakap, no komen. Sila tunggu result darah. Sekian, terima kasih."

"Laaa... Itu aje? Kalau setakat no komen, baik kau jumpa aku aje."

"Jumpa kau? Kau doktor ke?" soal Hani sarkastik dengan kening dijongket berkali-kali.

"Aku, doktor dalam hatimu... Kalau kau belah dadaku ini, dijamin akan ada namamu terukir di dalamnya."

"What the... Euwww. Bunga? Syuhhh... Syuhhh. Aku tak kenal mamat bunga macam ni. Pi jauh. Kumbang tak ada dekat sini," balas Hani dengan kekekan.

"Aku serius ni, Hani," tegas Hawari sungguh-sungguh.

"Aku pun tengah serius ni, serius aku lapar. Jom kita makan, nak?"

Hawari tarik muka. Baru nak bagi hint secara mega, dia ajak makan la pula! Hani ni, kan...

"Kau ni, potong la. Mood dah cantik dah ni nak meluah rasa."

"Heh. Kau simpan sajalah 1001 rasa kau tu ya, Wari? Lepas makan baru sambung. Jom, mapley. Aku dah lama nak makan nasi kandar. Aku drive, eh?" Hani menawarkan diri tapi pantas sahaja tangan kecilnya yang baru hendak mencapai kunci keretanya dicapai.

"Nope! Aku drive. Aku tak tahan nak naik kereta kalau kau yang drive. Habis semua orang kau maki, kau hon! Seriau aku dibuatnya. Macam naik kereta dengan samseng jalan aje. Nah, handbag kau!"

"Yalah... Yalah." 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro

Tags: