Bab 6
Matanya ralit memerhati planner yang diselak berkali-kali sejak awal tahun. Sudah hampir 5 bulan berlalu dan pabila melihatkan pola dan senario itu, hati Hani dipagut kerisauan. Entah kenapa teguran Hawari tempoh hari sedikit menjentik hatinya yang sebelum ini kurang ambil endah dengan hal-hal sebegitu.
"Ini bukan masalahnya aku nak menyibuk hal dalam kain kau ke apa, Hani. Aku risaukan kau. Kesihatan kau. Itu sahaja. Sejak akhir-akhir ni aku tengok kau cepat sangat letih. Baru panjat tingkat tiga admin, dah tercungap-cungap. Nak kata kau dah gemuk, badan macam tu juga. Bila aku suruh kau kurangkan minuman berais, kau marah. Alasan kau, cuaca sekarang ni panas macam terbakar padahal pada aku okey aje. Takkanlah kau tak rasa something wrong pada badan kau sendiri?"
"Yang kau sibuk ni kenapa? Badan aku, suka hati akulah," bidas Hani tak puas hati. Makin laju Milo ais kotak disedutnya. Sentap ni, sentap. Dah kenapa badan dia, tapi Hawari lebih tahu keadaannya? Isy, pelik pula bunyinya.
"Kan aku dah cakap awal-awal tadi. Aku bukan nak menyibuk. Aku cuma risaukan kau. Itu saja," balas Hawari pula dengan wajah serius.
"Kalau macam tu, tak payah risau. Kau bukannya laki aku pun," balas Hani, tak mahu kalah.
"Tak jadi laki kau pun tak apalah. Yang penting, aku tahu aku salah seorang manusia dalam dunia ni yang sayangkan kau selain keluarga kau. Jadi, suka aku berkeras dan bertegas di sini untuk kau pergi buat medical check-up. One full body. Bukan medical check-up biasa macam kita buat tiap-tiap tahun tu. Mungkin kau patut mulakan dengan berjumpa pakar sakit puan."
Geshhh! Bongok punya Hawari. Cakap macam hebat aje. Lepas suka-suka dia tilik kalendar bulanan aku, boleh pula pergi buat saranan untuk aku jumpa pakar sakit puan. Dasar spesies penyibuk! Huhhh!
Tapi, ada juga benarnya cadangan Hawari tadi. Lalu, kalendar tahunannya dibelek lagi untuk kesekian kalinya sebelum keluhan kasar kembali dilepaskan panjang.
Pada mulanya, lewat seminggu dan kemudiannya bertambah tempohnya hingga ke sebulan. Dan sekarang, dua bulan sekali? Biar benar! Apa sebenarnya masalah dia? Takkan dia ada masalah kot? Takkanlah dia kena ikut saranan Hawari untuk jumpa pakar sakit puan? Seumur hidup kot tak pernah jejak ke hospital pakar macam tu. Habis tinggi pun dia pergi hospital pakar untuk buat pemeriksaan kesihatan tahunan yang jadi kewajiban di syarikat itu dan setakat ini, alhamdulillah tiada apa-apa masalah dalam laporan kesihatannya.
Tapi Hani, itu hujung tahun sudah. Dah 5 bulan pun berlalu dan sejak itu memang dia sendiri kadangkala perasan dengan pola kehidupannya yang sedikit berubah. Malam-malam dia jadi susah nak tidur. Puaslah segala novel, ensiklopedia dibeleknya tapi mata tetap tak mahu pejam. Kesudahannya sekarang, dia hanya mampu tidur 4 jam sehari sebab sebelum subuh dah kena bangun untuk siapkan sarapan untuk abang-abang bertuahnya.
Hani mengeluh panjang lagi untuk kesekian kalinya. Hatinya cuba disabarkan dan ditenangkan sendiri. Tak mengapa Hani, biar lewat dari tak datang langsung. Kan? Kalau tak datang? Haaa... Itu memang confirm ada masalah, tidak syak lagi. Lebih-lebih lagi bila dia masih bujang, belum berkahwin.
Kahwin? Hani gelak sendiri. Dengan siapa dia nak kahwin? Pakwe pun tak ada, inikan pula calon suami yang bakal menikahinya.
"Senang-senang, Hani kahwin ajelah dengan Wari. Dia pun apa kurangnya. Rupa ada, kerja pun ada. Kan along, kan?" cadang ancik waktu Hawari tumpangkan dia balik masa keretanya meragam tak boleh start. Sopan habis mamat tu datang jumpa dan bersalaman dengan abang-abangnya yang kebetulan masing-masing free, lepak saja di rumah petang Sabtu itu dan dia pula terpaksa hadiri kursus di hujung minggu.
"Euwww, ancik. Tak ada cadangan lagi bernas dan berasas ke? Kita orang kawan sajalah. Mana boleh kawan bertukar jadi suami. Nonsense! Lagipun klise amatlah kalau kahwin dengan bestfriend sendiri," balas Hani. Milo ais angah dicuri minum melepaskan haus di tekak.
"Hani sayang, antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram mana ada wujud istilah bestfriend? Kalau bukan Hani, Hawari mungkin ada simpan perasaan pada Hani. Cuma dia tak cakap saja pada Hani sebab takut kena sembur. Lagipun dari ke hulu ke hilir berdua, kerja pun dekat tempat yang sama, apa salahnya dijodohkan aje? Masing-masing dah tau baik buruk perangai, lagi mudah cerita. Betul tak, along?" Angah pun turut sama join sekaki menyokong cadangan luar petala ancik. Terjegil mata Hani pada angah yang tersipu-sipu simpan sengihnya. Kurang asam punya angah. Dah pandai belot, ya?!
Hani juih bibir. Menyampah! Hanya sebab Hawari satu-satunya kawan lelaki yang dia rapat, dia dijadikan calon tunggal bakal imamnya? Memang taklah!
"Hani dah nak kahwin dengan Hawari ke?" soal along secara tiba-tiba. Sikit pun jawapannya tadi tak menjawab soalan angah sekali gus mematikan sok sek sok sek usikan ancik yang makin galak mengusik bila dapat sokongan padu dari angah.
"Along ni halusinasi ke apa? Bila masa Hani buat keputusan nak kahwin dengan mamat senget tu? Isyyy, minta dijauhkan sejauh-jauhnya, heh!" balas Hani. Cekodok penyek yang serasanya along yang goreng itu dicapai lalu disuap ke dalam mulut. Cekodok instant yang digoreng sebelum minyak sempat panas! Jadilah kan, buat alas perut.
"Ooo... Belum lagi, ya?" soal along lagi sambil tersengih-sengih.
"Bukan belum lagi. Takkan punya!" tegas Hani.
"Isyyy, tak baik cakap macam tu. Kadang-kadang, apa yang kita paling tak nak itu yang kita akan dapat," balas ancik pula.
"Alaaa, tak juga. Hani pun bukannya dari kecil berdoa pada Allah. Ya Allah, kurniakanlah aku dengan abang yang senget-senget macam along yang cerewet ni dan ancik yang banyak cekadak ni. Tak pernah tau. Tapi dapat juga. Kan? Kan angah, kan?"
"Haaa, tu kan dah terbukti teori ancik tadi. Apa yang kita paling tak nak, itu yang kita akan dapat. Hani tak minta dapat along yang sado, sasa dengan ancik yang suara merdu bak seludang lagi siap pakej muka handsome. Tapi dapat, kan? Sama juga macam kes Hani dengan Hawari."
"Eee, songsang la teori ancik ni. Malas nak layan!" marah Hani.
"Kau lagi songsang dik kalau dok berkepit dengan lelaki handsome macam Hawari tapi tak rasa apa-apa. Baik Hani cek tahap hormon keperempuanan Hani dalam badan tu. Mintak dijauhkanlah dapat adik yang..."
"Along yang sengal, ancik yang senget!" gumam Hani sendirian sebelum dia tersengih sendiri bila teringatkan gelagat abang-abangnya. Suka suki aje suruh cek hormon keperempuanan. Pula tu, tak habis-habis nak kenenkan dia dengan Hawari. Tapinya, memang seribu kali taklah untuk dia terima Hawari sebagai suami. Kawan akan tetap jadi kawan. Tak kiralah orang dok cakap yang perempuan dan lelaki takkan boleh kawan selamanya ke apa. Hani tak kesah sebab dia yakin, jodohnya memang ada di luar sana tapi bukan Hawari.
Tapi sudah hampir 28 tahun dia hidup, tak ada tanda-tanda pun dia akan berjumpa atau terpaut hati pada lelaki lain kalau asyik-asyik Si Hawari tu juga yang ada dengan dia. Atau sebab dia dok berdua dengan mamat tu yang buatkan lelaki di luar sana takut untuk dekat dengannya? Ah, parahlah macam ni!
"Hani?"
"Angah! Bila angah sampai?!" jerit Hani, separuh teruja. Laju saja tangannya didepangkan, mahu memeluk tubuh tinggi lampai itu tapi pantas saja angah berundur ke belakang beberapa kali sambil geleng kepala.
"Eh, eh. Hani, Hani dah besar tau. Dah tak boleh suka-suka peluk angah macam dulu-dulu."
Hani juih bibir.
"Alaaa, bukannya orang lain. Abang Hani sendiri. Peluk la sikit. Rindu ni."
"Hani..."
"Hmmm... Yalah. Yalah. Nak peluk pun tak boleh. Salam ajelah. Angah sihat? Hani rindu sangat-sangat dekat angah tau. Seminggu terasa macam setahun!"
"Eleh, boraklah tu! Padahal..."
"Betul! Tak tipu!"
"Yalah. Yalah. Angah pun rindu dengan masakan adik angah ni. Sangat-sangat. Seminggu makan makanan hotel, rasa sebu perut angah ni. Tak boleh masyuk la," adu angah, mahu bermanja.
"Rindu masakan aje? Orangnya?"
"Orangnya mesti la triple rindu. Hmmm, ni angah nak tanya. Dari tadi angah tengok Hani dok melengung sorang-sorang dekat gazebo ni kenapa? Lewat malam pula tu. Dah dekat pukul 1 pagi tau sekarang ni. Along dengan ancik mana? Dah tidur?"
Along dengan ancik? Tidur awal malam hujung minggu macam ni? Memang buang tabiat namanya tu.
"Along pergi karok dengan member-member dia. Ancik pula pergi tengok wayang dengan Cik Salmah dia tu..."
"Dan adik angah ni? Dok melengung sorang-sorang aje dekat rumah? Kesiannya dia," pujuk angah. Rambut panjang mengurai hingga ke paras pinggang milik Hani diusap perlahan, mesra.
"Kan? Nak buat macam mana? Beginilah nasib orang yang single wal mingle. Asal hujung minggu aje rasa loser gila sebab dok rumah tak buat apa. Kalau ada umi dengan walid boleh juga ajak pergi makan steamboat ke apa. Kan?"
"Single wal mingle?" Angah gelak besar.
"Kenapa? Salah nahu, eh?" soal Hani, polos.
"Salah sangat. Ada ke dirojakkan bahasa Inggeris dengan Arab? Hani, Hani. Hmmm... Itulah, angah suruh kahwin, Hani tak mahu."
Hani buang keluhan perlahan. Mata dijulingkan ke atas seiring dengan bibirnya yang dicebir tanda bosan dengan isu yang dari raya dua tahun sudah jadi topik hangat perbincangan mereka adik-beradik. Muktamad, ketiga-tiga abangnya mahu dia yang menikah dulu.
"Bukan Hani tak mahu tapi belum sampai seru," ulas Hani dengan alasan biasanya setiap kali diaju soalan yang sama.
"Kahwin ni bukannya macam kita nak tunaikan haji, tunggu seruan dulu. Asalkan sudah ada kemampuan dari segi mental, emosi dan sedikit harta dah boleh kahwin pun. Benda mudah, jangan disusah-susahkan."
"Kalau dah mampu tapi belum ada calon, nak buat macam mana?"
"Cari la. Tak cari, macam mana nak jumpa orangnya? Dunia Allah ni luas, Hani. Mesti ada seseorang di sekeliling Hani yang Allah dah tetapkan bakal jadi jodoh Hani. Tapi yang penting, Hani tu kena buka hati. Jangan cengil semacam."
Jangan cengil semacam? Amboi, angah ni. Melampau tau! Kalau perangai lelaki tu ala-ala along dengan angah, perempuan Melayu terakhir yang ala-ala Mahsuri pun boleh naik hantu rasanya.
"Hani ni cengil bertempat. Bukan asal nampak lelaki aje, Hani naik angin. Habis tu, angah nak Hani ni sengih memanjang aje bila nampak lelaki? Isyyy, pleaselah! Macam perempuan murahan aje."
"Hmmm, betul juga, kan? Kalau dengan Hawari, Hani okey aje. Tak adalah nak melenting aje. Kan? Kan?" soal angah dengan sengihan.
Hani tekup muka dengan kedua-dua belah tangan sambil kepala digeleng beberapa kali. Mamat tu lagi! Asal sebut pasal kahwin, nama dia yang timbul. Asal sebut pasal lelaki, nama dia juga yang timbul. Macam tak ada orang lain dah.
"Angah boleh tak sebut nama lain selain nama tu? Asyik-asyik Hawari. Pusing sana dia, pusing sini dia. Cubalah sebut nama Izzue Islam ke, Saharul Ridzwan ke atau Hafiz Hashim. Haaa... Sebut nama Safee Sali pun tak apa. Ini tidak. Hawari juga. Bosanlah."
"Dah itu saja kawan yang Hani ada. Nama-nama tadi tu bukannya kawan Hani pun," balas angah sambil tergelak kecil.
"Eh, dia orang pun kawan Hani tau. Hani follow Instagram dia orang tu. Haaa, jangan main-main."
"Yalah. Yalah. Hani menang. Hmmm..."
Suasana jadi senyap sebentar bila masing-masing seolah-olah sedang melayan perasaan sendiri. Terus tutup bab kahwin mahupun soal Hawari.
"Angah, angah rasa Hani dah berubah ke sejak akhir-akhir ni?"
Lambat-lambat baru angah menjawab. Itu pun dengan kening lebatnya dijongket berkali-kali seakan berfikir.
"Hmmm, berubah. Adik angah ni dah makin pandai masak!" balas angah ceria.
"Bukan macam tu la. Maksud Hani, sikap Hani. Habit Hani."
Angah jongket bahu.
"Angah tak berapa pasti sebab angah jumpa Hani pun cuma beberapa jam sehari. Tapi yang angah perasan, Hani kerap tidur lewat sekarang. Kan?"
Hani angguk perlahan sebelum menunduk.
"Hani tak boleh nak tidur. Tak tahu kenapa. Mata tak rasa mengantuk, hati pula rasa risau semacam. Tak senang duduk, senang cakap 'pasai' tak tentu hala. Haaa macam tu."
'Pasai' tak tentu hala? Berkerut panjang dahi angah seketika.
"Hani tengah PMS kot. Biasalah macam tu, kan? Rasanya Hani lagi arif hal ni dari angah."
Hani geleng perlahan. Wajahnya kembali mendung seperti sebelum kedatangan angah tadi. Hatinya mula dipagut kerisauan bila isu kahwin dan Hawari dibangkitkan.
"Hani dah lama tak..."
"Hani tak mengandung, kan?" soal angah pantas sebelum Hani sempat menghabiskan ayatnya.
"Angah! Tak baik tau fikir Hani macam tu. Ya, Hani mengaku yang Hani dengan Hawari tu rapat. Tapi kami tak pernah buat benda bukan-bukan."
Angah senyum sumbing.
"Angah minta maaf. Angah tahu, adik angah ni tahu jaga batas pergaulan tapi itulah, Hani. Atas sebab inilah Allah melarang lelaki dan perempuan yang bukan mahram dari selalu berdua-duaan atas alasan apa pun. Sebab itu semua boleh menimbulkan fitnah."
Hani tunduk. Kata-kata angah itu ada benarnya tapi entahlah. Persahabatan yang agak lama dengan Hawari kadangkala buat dia lupa yang Hawari tu lelaki. Sepenuh kepercayaan dia letakkan pada satu-satunya sahabat baiknya sejak universiti lagi bilamana kepercayaannya pada sahabat perempuannya dimusnahkan hanya kerana seorang lelaki.
Kerana seorang lelaki yang bercakap pun dia tak pernah, dia dipulaukan oleh rakan-rakannya dengan alasan dia merampasnya dari sahabat baiknya, Asyikin. Memang dasar kumpulan perempuan otak sempit! Pasal seorang lelaki pun nak gaduh.
Nah, kesudahannya Asyikin tu kahwin dengan abang angkat dia sendiri. Lelaki tu? Hani kurang pasti sebab lepas sahaja PMR, dia berpindah ke sekolah lain. Sangat tak berbaloi persahabatan selama itu antara mereka berlima putus begitu sahaja dan sejak dari itulah dia tak percaya pada sahabat yang berjantina perempuan. Rela dia seorang diri daripada mempunyai sahabat perempuan.
"Hani dah jumpa doktor?"
Hani geleng perlahan.
"Hani pergi jumpa doktor, ya? Doktor pakar ke, mungkin doktor boleh jalankan beberapa ujian untuk kenal pasti masalah Hani. Atau mungkin juga Hani stres dengan kerja yang menyebabkan Hani tak boleh tidur, encik p pun datang tak datang. Kan?" cadang Angah.
"Encik p?"
Angah sengih sambil garu belakang kepala.
"Entah. Angah pun kurang pasti. Ustazah dekat sekolah tu suka sebut encik tan la, encik p la. Mula-mula angah blur. Lama-lama rahsia dia orang dah jadi bukan rahsia dah," jelas angah sambil tertawa kecil.
Makin berkerut dahi Hani dibuatnya. Mula-mula encik p, sekarang encik tan? Biar betul ustazah dekat sekolah angah ni. Lagi ganas dia orang punya short form.
"Encik tan tu, encik tandas. Encik p tu, alaaa... Yang datang tiap-tiap bulan itu la."
Hani melopong. Memang ganas!
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro