Bab 2
"Tak guna punya kren. Waktu pagi macam inilah dia nak lalu. Lepas tu boleh pula kan, tersangkut dengan pokok. Alahai. Dah tau cangkuk tu tinggi melangit, takkan tak boleh bajet bakal tersekat dekat jalan yang penuh dengan pokok rendang tu? Isyyy. Tak pasal-pasal jam. Dahlah jalan tu sedia ada jam. Eee, geramnya aku!" bebel Hani sambil dia melangkah mendaki bukit menuju ke plant.
"Hoi!"
"Bongoklah kau ni, Wari!" marah Hani sambil mengurut laju dadanya yang berombak kencang. Sudahlah mengah dia dibuatnya mendaki jalan ni, boleh pula disergah dari tepi macam tu. Memang minta kena maki namanya tu.
"Hei, apa ni? Pagi Isnin dah bongokkan orang. Relaks, honey maduku. Tarik nafas, lepas. Tarik nafas, lepas. Nah, Horlicks ais kegemaran kau. Aku dah tolong tapaukan siap-siap dah. Hehehe." Plastik berisi Horlicks ais bertukar tangan. Laju saja straw disedut berkali-kali tanpa henti menghilangkan lelah di dada.
"Bismillahirrahmanirrahim dulu la, sayang. Gelojoh tau kau ni!" tegur Hawari dengan sengihan.
"Sayang, sayang. Meluat heh!" bidas Hani sambil meneruskan langkah. Hawari di sisinya ikut rentak yang sama.
"Kau ni, pagi-pagi lagi dah nak melenting. Relaks. Jangan marah-marah. Everything happens for a reason. Tengok, kau lewat pagi ni tapi sampai-sampai aku dah tapaukan Horlicks ais dengan nasi lemak bawah pokok. Tak cukup heaven ke life kau?"
"Hidup aku akan aman bila umi dengan walid balik. Eee, aku tak tahanlah dengan fiil abang-abang aku tu. Masing-masing mengada-ada tahap aku ni macam isteri dia orang. Semua aku nak kena siapkan. Nak kena ikutkan. Letih tau!" bebel Hani berterusan.
"Tak mengapalah. Dia orang pun bukannya orang lain. Abang kau juga, kan? Dekat rumah, kau siapkan untuk dia orang. Dekat sini, aku siapkan untuk kau. Okey la tu, kan?"
Hani kerling sekilas ke wajah Hawari yang memandang redup ke wajahnya. Tak ada pula garis senyum seperti biasa bilamana dia mengusik atau berseloroh.
"Lain macam aje ayat kau tadi tu aku dengar. Eh Wari, kau tu BBF aku aje tau? Jangan nak beria-ia sangat polish skill nak up jadi macam boyfriend aku. Aku tak suka tau," tegas Hani, serius.
"Antara lelaki dengan perempuan, tak wujud istilah best friend forever ataupun boy best friend. Kau kena tahu tu, Hani. Boyfriend? Itu wujud."
Sambil melangkah, wajah pura-pura serius Hawari dikerling dengan hujung mata.
"Eh, sampai matilah aku dengan kau cuma kawan. Tak ada nak lebih-lebih," balas Hani sambil melangkah masuk ke ruangan plant. Sempat juga dia mengerling sekilas ke arah feed tank. Mujurlah tong raw material dah siap sedia di hadapannya. Makanya boleh terus start plan sekarang juga.
"Ala... Kau ni, Hani. Aku gurau pun nak ambil seriuslah. Chill la. Janganlah cengey sangat, cik kak oi," komen Hawari yang baru saja tarik kerusi di meja sebelahnya.
"Kau pun tahu kan, dari kampus lagi aku memang tak boleh in dengan soal hati dan perasaan ni. Haaa, sebab itulah aku kawan dengan kau, aku tak kawan dengan budak perempuan yang ada berapa kerat aje dalam kos kita tu. Sebab apa? Sebab aku tak kuasa nak layan cerita pakwe makwe, dating dia orang tu."
"Yalah... Yalah. Lepas ni aku tak sebut dah pasal tu. Aku terus pinang kau dekat rumah. Senang. Cakap banyak pun tak guna, ya tak?" balas Hawari dengan wajah bersahaja sambil merenung ke skrin komputer.
"Tengok tu! Mengarut lagi!" jerkah Hani sambil tangannya laju mencubit bahu Hawari yang hanya beberapa inci jarak darinya.
"Adoi! Adoi. Sakitlah, Hani. Alah, aku gurau aje la. Gurau."
Kali ini bibir Hani menguntum senyum. Bahu yang menjadi mangsa cubitannya tadi diusap perlahan beberapa kali, kononnya nak meredakan sakit yang berpunca darinya. Hailah. Tak larat dia nak marah lama-lama pada lelaki yang dia kenal sejak dia mula kenal alam kampus lagi.
Sungguh, jodoh mereka memang panjang. Selesai saja pengajian, dapat pula bekerja di syarikat yang sama. Tapi, jodoh persahabatan sajalah. Tidaklah sampai nak ke jenjang pelamin segala. Kot ya pun kalau terdesak sangat nak berlaki, tetap Hawari bukan pilihannya. Baik diserahkan pada umi dan walid saja.
"Ehemmm... Ehemmm. Wah, pagi-pagi lagi dah nampak pemandangan indah kan, Usop? Patutlah dari luar tadi aku ada bau nasi minyak. Rupa-rupanya bunga-bunga cinta sedang memekar dalam control room ni. Alhamdulillah," tegur satu suara.
Tanpa mengendahkan gerangan yang menegur, Hani bingkas bangun sebelum berpaling dengan wajah menyinga.
"Dahlah datang lewat, nak buat lawak slapstick pula, ya? Sekarang dah pukul berapa? Ha? Kenapa tak datang esok aje?" marah Hani dengan tangan dicekak di pinggang.
"Errr... Errr. Baru pukul 8.15, Cik Hani. Kita nak start up pukul 8.30, kan?" tanya Usop sepatah-sepatah.
"Kan saya dah pesan semalam, pukul 7.55 pagi sebelum saya sampai, plant ni dah kena buka? Tong raw material dah nak kena alih. Lupa la tu. Beli rokok tak lupa pula, kan?"
Usop dengan Reydha berpaling keluar bilik seketika sambil kerut dahi.
"Tuuu... Dah alih dah."
"Memanglah dah alih, sebab Wari yang alihkan. Nak harap kau orang? Memang taklah."
"Hehehe."
"Kenapa? Kelakar ke? Saya ada buat ulangan lawak copy paste dari Catatan Matluthfi ke? Ha?" soal Hani dengan mata membuntang.
Reydha berhenti menyengih. Tertunduk dia dan Usop dibuatnya. Sambil menunduk, kepala masing-masing digeleng berkali-kali tanpa henti.
"Ni Pian dengan Ihsan mana? Ha? Nak tunggu plant jalan baru nak datang?" soal Hani lagi. Hawari yang sejak tadi ambil keputusan untuk tidak masuk campur sudah turut sama berdiri di sebelah Hani memerhatikan gelagat staf teknikal di bawah seliaannya.
"Motor Pian pancit on the way ke sini," balas Usop pendek.
"Pancit? Yang saya nampak dekat parking lot tu bukan motor dia?"
Mata Usop terbeliak sebelum dia menunduk semula. Hawari di sebelah Hani hampir-hampir tertawa. Budak-budak ni pun satu hal juga. Dah tahu fiil Hani ni macam mana masih lagi nak auta dia terang-terangan.
"Dah, saya tak nak dengar apa-apa alasan lagi. Motor pancit ke, tayar kereta api bocor ke, semua tu rubbish. Sekarang ni Usop, awak pergi ke kafe panggil budak berdua yang bertuah tu suruh datang cepat. Lagi 15 minit nak start. Reydha, pergi cek raw material lepas tu timbang ikut resipi. Pastikan kuantiti ngam-ngam. Accuracy 95%. Tak nak lebih, tak nak kurang. Faham?"
"Baik, cik!" balas mereka serentak sambil beredar.
"Janganlah kasar sangat dengan dia orang tu, Hani. Budak muda, macam tu la," tegur Hawari sambil sedut kopi ais yang tergantung di sudut mejanya.
"Itu bukannya kasar tapi tegas. Kalau tak tegas, kena pijak. Contohnya pagi tadi. Buka plant bukan tugas kau tau, Wari. Tugas budak-budak tu tapi kau pula yang buat," tegas Hani. Marahnya masih bersisa. Dari rumah membawa ke ofis, semuanya buat dia naik darah.
"Setakat buka plant apa sangatlah. Tak menyusahkan pun. Kebetulan aku datang awal hari ni..." balas Hawari, jujur. Melihatkan tingkah Hani yang tak sudah-sudah 'angin monsunnya', dia jadi risau sendiri. Ada juga nanti terpaksa batalkan testing ni kalau Hani terus dengan angin satu badannya.
"Haaa... Itu nasib baik kau datang awal. Kalau nak tunggu aku yang tersekat dekat jam ni?"
"Dahlah, janganlah marah-marah lagi. Istighfar, ya... Istighfar. Astaghfirullahalazim..." sahut Hawari perlahan.
Hani bersandar perlahan ke belakang. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dilepaskan panjang. Dalam hatinya, dia beristighfar berkali-kali menurut saranan yang diberikan Hawari. Mujurlah Hawari ada sama di sini. Agaknya kalau dia tak ada, mesti work life dia jadi serabut gila sebab kena melayan kerenah budak-budak bujang tu. Itu belum campur lagi dengan aktiviti 'menganyam ketupat' staf bahagian makmal sepanjang masa yang tak payah tunggu raya. Itu double serabut!
"Apa macam? Dah rasa okey sikit dah?" soalnya dengan senyuman.
"Alhamdulillah," balas Hani sambil membalas senyuman Hawari sebelum keningnya tiba-tiba berkerut panjang bila terpandangkan sepasang mata milik Hawari.
"Hello, brother! Kau boleh tak jangan pandang aku macam tu?" marahnya sebelum alih pandangan ke arah luar control room. Kelihatan kelibat Reydha tengah tekun menimbang bahan-bahan dari tong raw material sambil mulutnya terkumat-kamit berkata sesuatu. Lincah sahaja tangannya mencatit pada buku nota di hadapannya.
"Macam mananya?" soal Hawari, polos.
Hani tayang muka 'tak payah bajet suci'.
"Macam tu la! Mata kau, kau patut tahu."
"Pula dah? Mata aku pula yang salah sekarang ni? Nanti karang kalau aku cakap dengan mata bertutup kau tuduh aku sleep talking pula."
Sleep talking? Hani ketap bibir menahan geram.
"Itulah. Mata kau tu kan bulat. Bila kau pandang aku dengan mata redup macam tu, aku jadi seram sejuk, tau tak? Aku rasa macam kau bayangkan aku tak pakai baju depan kau!"
"Choiii! Choiii! Kau ingat aku ni sex maniac ke apa?" tempelak Hawari. Hani sudah tertawa terbahak-bahak menggelakkan reaksi Hawari yang bersungguh-sungguh menafikan.
"Alah, kalau bukan sex maniac pun macamlah akal lelaki kau tu tak pernah terfikir bukan-bukan pasal aku. Kan? Kan?" usik Hani sambil jelir lidah gelakkan Hawari.
"Kau ingat kau hot sangat ke, nyah?" balas Hawari dengan kekekan.
Hani terus tertawa dan kemudiannya cebir bibir seiring dengan bahunya dijongket bersahaja. Usai mencapai buku log dari dalam laci, dia bingkas bangun dari duduknya.
"Hot ke tidak, itu aku tak tahu. Yang aku tahu, kau rasa aku ni comel. But you know what, my Mr. Dayyan Hawari? We're just friends. Forever. Ever after. No feeling-feeling aaa. Chiow! Aku nak pergi tengok Si Reydha tu sama ada dia timbang betul ke tak dulu. Nanti kalau dah nak start pilot plant ni kau roger aku dekat walkie-talkie, ya? Daaa..." sahut Hani sambil berlalu. Walkie-talkie di atas meja sempat lagi dicapai sebelum dimasukkan ke dalam poket belakang seluar jeannya.
Laju saja tangan Hawari mengusap telinganya yang jadi tempat berbisik Hani sebentar tadi. Sebelah tangan lagi menekup dadanya yang bergetar laju. Perlahan-lahan nafasnya ditarik dan dilepaskan. Dari kaca bilik itu yang membolehkan dia melihat ruangan kerja Reydha dan Hani berada, wajah comel itu direnung untuk kesekian kalinya.
"But sometimes, friendships may turn into love, my missy Naurah Tihani," bisik Hawari perlahan sambil terus memerhatikan gelagat Hani yang sedang membebel marahkan Reydha.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro