Bab 12
"Surprise!"
Hani tayang muka terkejut bila pagi itu dia dikejutkan dengan keadaan di mana meja makan sudah tersedia dengan sarapan pagi tapi bukan dia yang menyiapkannya.
Patutlah beria-ia angah suruh dia terus bersiap lepas solat subuh tadi. Katanya tak perlu turun ke dapur. Mereka bertiga puasa sunat Isnin.
Puasa kononnya. Padahal, ada agenda tersembunyi.
Mata Hani melata ke arah hidangan yang tersedia di atas meja makan. Ada cekodok pisang penyet tak berapa nak kembang, roti bakar separuh hangus dan juga telur yang suku masak.
Dalam rasa nak gelak, dia rasa terharu dengan usaha yang ditunjukkan abang-abangnya yang belum sudah lagi dengan demam nak meraikan hari ulang tahun kelahirannya.
"Apa yang boleh dimakan ni?" soal ancik yang baru saja turun dengan bibir terjongket tinggi. Mata kecilnya mengerling sekilas pada menu yang terhidang di depan mata sambil pamer wajah kurang berselera.
"Lagi mau tanya? Kau tak nampak ke ada cekodok dengan roti bakar tu?" balas along tak puas hati.
Sebiji cekodok dimasukkan ke dalam mulutnya lalu dikunyah. Terpejam-pejam matanya menikmati cekodok gorengan sendiri. Untuk kali yang kedua seumur hidupnya.
"Laaa, cekodok? Aku ingatkan lempeng," balas ancik, bersahaja. Cekodok yang leper itu diambil seketul sebelum dipenyet-penyetkan dengan jarinya. Mulut pula tak henti mengomen tanpa suara.
"Shadappp you! Cekodok dengan lempeng pun tak boleh beza ke? Sedihhh! Dah berapa tahun kau hidup dekat dunia ni, ha?"
"Dah kalau sama aje rupanya penyet macam ni, kalau tanya budak Ayie cucu Pak Akop sebelah ni pun dia akan cakap lempeng," balas ancik bersahaja. Cekodok yang dipenyekkan diletak semula ke atas pinggan. Sekeping roti bakar separuh hangus ditarik dari pinggan di hadapan Hani.
"Habis kau ingat, aku boleh telan la telur tiga suku kau ni? Geli tau nak telan. Boleh kena jangkitan kuman aku dibuatnya makan telur tak masak macam ni. Orang buat separuh masak, kau buat suku masak. Bijak sangat."
Hani kerling sekilas pada telur separuh masak versi ancik. Ini bukan suku masak. Tak masak langsung. Telur putih pun nampak lagi jernihnya. Hani telan liur sendiri membayangkan loyanya tekak nak menelan hidangan pagi yang disediakan oleh ancik.
"Aku ikut resipi, okey? Encik Google kata rendam dalam air yang mendidih selama 2 minit."
"2 minit? Patutlah tak masak. Orang rendam 7 minit, pandai! Resipi siapa yang kau ikut ni?" bidas along, tak mahu kalah.
Hani angguk laju, mengeyakan. Kalau setakat 2 minit, kulit telur pun baru nak panas.
"Mana sempat nak tunggu 7 minit? Mandi pun belum tadi. Aku bangun pukul 6 pagi kot semata-mata nak turun dapur basuh telur ni, didihkan air. Sikit punya besar usaha aku untuk hari ni. Alah, kau pun sembang la, long! Kau rasa, cekodok kau ni sedap sangatlah? Dah la penyet. Tawar pula tu."
"Penyet pun, kurang-kurang ada juga rupa cekodok. Harap kau? Tepung gandum pun kau tertukar dengan susu tepung Anlene umi," sahut along, jelasnya tak mahu kalah.
"Hah! Banyak minyak pula tu. Tengok ni. Eee, boleh serak suara aku dibuatnya kalau seminggu dok telan cekodok penyet minyak kau ni, long," bebel ancik berterusan.
Kali ini Hani pandang pula cekodok di tangannya yang sudah digigit separuh. Jelas ketara minyak berlebihan yang keluar dari celah-celah struktur cekodok itu bila ditekan dengan jarinya.
"Banyak bunyi la kau ni, ancik!"
Along dah naik berang. Pantas saja dia berdiri bila melihatkan gelagat ancik yang giat menekan setiap ketul cekodok yang ada atas pinggan. Ini sudah lebih ni! Kompelin dengan tindakan itu, kurang ajar namanya. Komen setakat di mulut saja, tak boleh ke?
"Along! Ancik!" jerit Hani bila melihatkan tangan along dah siap sedia pegang mangkuk berisi telur tak masak dan ancik pula dok genggam cekodok berketul-ketul. Masing-masing berpaling bila dengar jeritan Hani.
"Kenapa, Hani? Hani nak cekodok lagi? Nak sapu jem pada roti?" soal along, pantas.
Hani buang keluhan berat. Laju saja Hani menggeleng. Ancik pula tak sudah lagi ternganga melihat wajah Hani yang dah naik berang.
"Kau kenapa, dik? Ni mesti sebab terlebih telan minyak cekodok ni, kan? Tekak loya, eh? Nak ancik ambilkan fresh orange?"
Laju Hani geleng.
"Tak. Tak apa. Hani tak perlukan apa-apa. Tapi boleh tak Hani nak mintak tolong supaya along dengan ancik berperangai macam abang-abang sikit? Ini tidak. Bergaduh macam budak kecil! Pagi-pagi buat orang pening tau!" bebel Hani. Hati dah cukup kusut, ditambah pula dengan fiil pak cik-pak cik ni. Pening la!
Berperangai macam abang-abang? Ancik dan angah berpandangan sama sendiri. Biar betul Hani ni. Punyalah baik hati mereka dari semalam hingga ke hari ini kononnya berikrar nak layan Hani macam tuan puteri sempena hari jadinya. Ini, boleh pula dia mintak nak balik kepada asal? Macam biasa-biasa. Macam hari-hari?
"Ehhh, tiba-tiba diam? Malaikat lalu ke?" soal angah yang baru saja keluar dari ruangan dapur dengan dulang berisi muk.
Hani jongket bahu. Muk berisi Nestum 3 dalam 1 dicapai sebelum diteguk laju-laju.
"Hani pergi dulu angah, along, ancik. Terima kasih untuk breakfast ni. Assalamualaikum," sambungnya.
"Okey, dik!" sahut along dan ancik serentak.
"Kenapa tu?" soal angah kehairanan.
"Anciklah!"
"Alonglah!"
"Okey. Okey. Nampaknya aku pun kena gerak dulu. Jemput makan la, ya?" sahut angah sambil berlalu ke ruang tamu meninggalkan ancik dan along terpinga-pinga.
"Nasi lemak mak cik bawah pokok, Horlicks ais," tegur Hawari dengan senyuman. Hani yang sedang khusyuk membaca info dari laman forum itu sedikit tersentak sebelum tangannya laju sahaja memangkah web itu dari terus terpapar di skrin komputer riba miliknya.
"Bila kau masuk?" soalnya, kurang senang. Dah jadi kebiasaan pula untuk si mamat ni masuk ke biliknya tak ketuk pintu dulu. Main serbu aje.
"Aku baru saja melangkah masuk ke dalam bilik kau ni setelah hampir 5 minit aku tercongok depan pintu memerhati mimik muka kau. Kau dah kenapa, Hani? Beria-ia sangat gaya macam nak masuk dalam skrin laptop aje," balas Hawari bersahaja dengan tawa kecil.
Hani cebir bibir. Serius tak kelakar. Tapi dalam mood malas nak melayan lawak tak kelakar Hawari pagi itu, Horlicks ais yang disua ke arahnya disambut juga lalu air disedut. Phewww. Lega! Horlicks ais ni dah serupa dadah pula untuk dia. Gian!
"Kau baca apa tadi tu? Serius aje nampaknya?" soal Hawari, kepoh. Karipap di dalam plastik dibawa keluar sebelum dikunyah perlahan.
"Tak ada apalah. Sibuk aje tau!" balas Hani pendek. Nasi lemak daun pisang yang dibuka langsung disuap selesai doa dibaca dalam hati. Perghhh. Ini memang win! Sehari tak dapat makan, rasa tak sah! Tak lalu makan sampai ke malam dibuatnya.
"Konon kawan. Tapi sekarang dah pandai berahsia, kan?" perli Hawari sambil karipap yang digigitnya separuh, disua ke mulut Hani. Laju saja Hani menggeleng sambil jarinya menunjuk ke arah mulutnya yang sedang mengunyah nasi lemak.
"Kau tu dari dulu lagi banyak berahsia."
Hani keluarkan ayat pelindung sambil mulut terus mengunyah. Pandai aje dia cakap orang macam tu, padahal dia lebih lagi. Yang dia tahu, Hawari duduk dekat Bangi. Area mana? Itu pun dia tak tahu. Nama aje kawan baik tapi info yang dia tahu hanya setakat nama dan kawasan tempat tinggal. Pelik, tapi benar dan dia pun tak adalah rajin mana nak bermesra dengan staf teknikal dekat bawah semata-mata nak korek rahsia pasal Hawari. Tak ada kerja.
"Kenapa semalam waktu umi kau call, kau nangis, eh?" soal Hawari, alih perhatian.
"Habis, kau nak suruh aku nangis pula bila kau call aku? Macam tu?" Hani soal balas balik. Hawari senyum mengejek. Tergeleng-geleng kepalanya mendengarkan respons sinis dari Hani.
"Aku rasa kan, makin lama kau ni dah jadi makin pelik la, Hani. Kalau orang lain rasa yang angin monsoon barat daya-pantai timur kau tu dah cukup pelik, pada aku sekarang ni lagi double pelik. Ini lagi upgrade. Kau dah jadi makin defensive walaupun dengan kawan baik sendiri. Kau ada problem, ke? Apa sebenarnya yang doktor cakap pasal kesihatan kau? Kau ada kanser? Tahap akhir?"
Hani ketap bibir kuat-kuat menahan geram yang tak tertahan. Garpu di tangan ditunjuk ke arah Hawari sambil buat gaya macam nak robek mulut merah jambu yang macam dioles gincu itu.
"Kot ya pun kau sakit hati sebab aku acah-acah ajak kau kahwin, tapi janganlah sampai mendoakan kebinasaan aku. Kejam kau tau tak! Kalau yang cakap tu Si Jenab tu ke, boleh juga aku maki dua tiga bakul. Ini kau kot! Kawan baik aku sendiri. Sedihlah macam ni. Sampai hati kau doakan aku macam tu," rajuk Hani.
Sudu plastik diletak ke tepi. Bungkusan nasi lemak pula ditutup sedikit sebelum tubuhnya disandar ke belakang. Mata terarah pada skrin komputer riba tanda protes dengan kenyataan tak sayang mulut Hawari tadi.
"Kau ni, doa dengan pertanyaan pun tak dapat nak beza dah. Kalau aku doa, aku cakap macam ni. Ya Allah, kau upkanlah tahap kanser kawan baik aku ni sebab dia dah sakitkan hati aku dengan ajak aku kahwin secara olok-olok."
"Choi! Berdosa tahu tak, buat main doa macam tu? Doa tu patutnya untuk kebaikan, bukan doakan kemusnahan atau musibah untuk orang."
"Yalah. Yalah. Aku minta maaf. Gurauan aku tak kena."
"Jangan minta maaf pada aku. Minta maaf pada Allah! Pergi solat duha. Lagi baik dari kau dok sini menghadap aku. Bukan dapat apa pun."
Hawari angkat muka, cebir bibir sebelum bibirnya kemudian menarik senyum penuh makna.
"Aku sebenarnya peliklah dengan kau ni, Hani. Bukan pelik sikit. Pelik banyak. Walid kau tu, bekas Pegawai Agama Islam Selangor. Umi kau pula, motivator yang pernah disegani ramai waktu zaman dia dulu. Angah kau, ustaz di sekolah tahfiz swasta. Tapi kenapa kau macam ni, eh?" soal Hawari beria-ia lagak macam wartawan sungguh-sungguh nak dapat bahan berita hangat.
Kening Hani berkerut seribu. Kenapa kau macam ni? Apa maksud mamat ni?
"Kau nak cakap apa sebenarnya ni?"
Hawari sengih lagi sambil tayang muka - just admit that you know what I mean, but pretend blur!
"Kau patutnya tak macam ni. Paling cikai pun, kau akan bertudung kalau kau faham apa maksud aku tadi."
Bertudung? Maksud Hawari? Dia tengah membandingkan kepelikan dirinya dalam keluarga yang datang dari latar belakang agama yang agak kuat. Macam tu?
Ini? Lelaki macam ni yang kau nak buat bakal suami? Memang taklah. Bukan mengajak ke jalan yang benar, lagi kena kutuk adalah! Memang layak kekal jadi kawan baik, kawan gaduh sampai mati sajalah mamat ni nampaknya. Memang cukup hilang akal kau ni Hani sebab boleh ajak dia kahwin hari tu. Silap besar.
"Eh, kau nak ke mana ni? Aku belum habis cakap lagilah."
Hani tayang sengih paksa. Pintu lokarnya dibuka sebelum anak patung Pocoyo kesayangannya yang selalu dijadikan bantal kalau mahu lelapkan mata pada waktu makan diletakkan elok di atas kerusinya.
"Aku kena gerak. Ada appointment. Kau teruskanlah ceramah duha kau tu dengan si coyo ni, eh? Nanti aku balik, dia ceritalah dekat aku. Assalamualaikum, Ustaz Hawari. Adiosss!" jelas Hani sebelum langkahnya diatur laju melangkah keluar dari biliknya sendiri tanpa menunggu balasan dari Hawari.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro