Bab 10
"Bodoh punya doktor. Dapat degree terbang agaknya. Etika sebagai doktor fail teruk! Kalau F untuk fail, dia G! Gagal teruk. Ada ke patut cakap macam tu pada patient? Suka suki dia aje bayangkan yang kalau patient tu dah kahwin dan ada anak, it is okay kalau didiagnosis bakal mandul pun. What the heck? Agaknya kalau patient yang kena kanser tahap 4 tu sesedap mulut dia aje akan cakap, sebaiknya tuan atau puan tempah batu nisan, beli kain kafan siap-siap sebab jangka hayat tuan atau puan bukannya lama lagi. Bodoh!" bebel Hani sambil melangkah lebih laju berbanding tadi.
Seboleh mungkin dia hendak cepat sampai ke keretanya dan buka pendingin hawa sekuat mungkin. Ini bukan setakat panas berpeluh di luar, panas dalam hati lagi dahsyat ni. Kalaulah dapat Horlicks ais ikat tepi, memang terbaik! Sekurang-kurangnya dapat juga dipadam api kemarahannya kala itu.
"Dah settle dah?"
"Eh, bodohnya kau doktor, aku tak bodoh!" latah Hani bila tiba-tiba saja dia disergah dari bahagian belah kiri keretanya.
"Wari!!!" jerit Hani, bengang. Bahu lelaki itu jadi mangsa hempukan beg tangannya berkali-kali. Alang-alang bengang dengan cik doktor, aci juga kalau dilepaskan sekali pada mamat ni.
"Aduh Hani, janganlah macam ni. Tumpah air Horlicks kau ni nanti. Kau juga yang tak dapat minum. Alahai, kau ni kan? Isyyy..." bebel Hawari sambil mengelap lengan kemejanya yang sedikit basah. Mujur kena lengan kemeja aje.
"Kau buat apa dekat sini? Kau follow aku, eh? Kau stalk aku? Kau memang kan, pagi-pagi kalau tak nampak muka aku macam tak sah," marah Hani tak sudah-sudah. Tapi dalam marahnya, Horlicks ais yang dihulurkan disambut juga sebelum disedut perlahan berkali-kali. Wahhh, alhamdulillah. Lega. Ini namanya rezeki dari tepi kereta.
"Mana ada aku stalk. Kebetulan sajalah aku nampak kereta kau dekat sini, jadi aku parkinglah. Isyyy, anak dara minum berdiri buruk rupanya haih. Duduklah dulu. Tak menyempat," komen Hawari sambil membuka pintu belakang keretanya yang kebetulan diparkir betul-betul di sebelah kereta milik Hani. Lengan Hani ditarik perlahan supaya duduk.
Hani cebir bibir sambil mengerling sekilas ke arah lelaki yang dok sibuk membetulkan rambutnya. Kebetulan? Tak ada yang kebetulan kalau dengan Hawari ni. Memang sah-sah dari tadi lelaki itu mengikutnya ke sini.
"Ala, kau pun sama kan, tak menyempat nak suruh aku minum lepas tu salahkan aku pula."
"Aku hulur aje, bukannya suruh minum," balas Hawari bersahaja sambil berpeluk tubuh, buang pandangan ke arah jalan raya. Bajet tak bersalah la tu. Pigidah!
"So mr. stalker, kau memang tak ada kerja lain eh selain dari mengikut aku ke mana saja aku pergi? Ha? Bukan ke pagi ni kau patutnya ke Shah Alam, jumpa prospect client kita?"
Hawari senyum tipis. Tak jadi dia hendak berlagak tak bersalah lama-lama sedangkan memang keberadaan dia di situ bukan kebetulan sama sekali.
"Meeting cancel, postpone esok. So, alang-alang aku dah tercakap pada Daniel aku dah ada area Shah Alam, aku datanglah ke sini."
"Ooo, sini Shah Alam rupa-rupanya. Akulah yang silap tempat nampaknya ni," perli Hani, setepek.
Hawari sengih nakal.
"Ala, kau ni, Hani. Tak payahlah nak perli aku cenggitu. Aku bukannya apa. Aku risaukan kau. Jadi tak salah kan aku teman kau pergi hospital? Kan? Kan?" soalnya sambil kening dijongket berkali-kali.
"Kaitan? Aku bukannya pegang status sebagai wife kau yang tengah menunggu result pregnancy test kot!" perli Hani selamba.
"Sekarang memang belum. Esok-esok, siapa tahu kau upgrade status kau dari member jadi wife? So, apa salahnya aku practise dari awal. Kan?"
"Diamlah, kau! Nak praktis, pergi cari orang lain. Bukan aku!" herdik Hani sebelum wajahnya bertukar mendung. Bila menyebut tentang kehamilan, hatinya jadi sedih sendiri bila teringatkan perbualan antara dia dan Zulaikha sebentar tadi. Kalau diagnosis tu betul dan dia memang tengah mengalami kegagalan fungsi sistem peranakannya, macam mana? Apa akan jadi pada masa depannya? Tak punya teman lelaki tak bermakna dia tak pernah bermimpi untuk berkahwin dan punyai anak sendiri. Cumanya belum berjumpa dengan lelaki yang berkenan dalam hati. Itu sahaja.
Ya Allah, betul ke semua ni? Apa yang Kau cuba tunjukkan padaku, Ya Allah? lirih Hani perlahan. Nafas ditarik dalam-dalam sebelum dilepaskan, seolah-olah cuba membuang perasaan bimbangnya yang tak pernah surut sejak melangkah keluar dari hospital itu tadi.
"Hani, kenapa kau menangis ni? Aku salah cakap ke? Aku minta maaf wei," panggil Hawari perlahan.
Hani angkat wajah dan ukir senyuman lalu menggeleng perlahan.
"Tak ada apalah. Panas sangat cuaca hari ni. Aku rasa tak tahan sangat. Nasib baik kau ada, datang dengan Horlicks ais ni. Lega sikit rasanya," dalih Hani sambil terus menyedut straw dari bungkusan air di tangannya.
"Kiranya, kau sebak ni sebab terharu la, eh?" soal Hawari sambil jongket kening.
"Eee, tolonglah! Tak ada maknanya aku nak rasa terharu dengan fiil stalker macam kau ni la. Eh, bak sini handphone kau," minta Hani sambil tangannya laju saja menyeluk poket seluar khakis Hawari.
"Woiii, apa ni main seluk-seluk seluar orang ni? Bahaya la kau ni, Hani. Minta dengan mulut aje, tak boleh ke? Isyyy..." bebel Hawari. Tangan kecil milik Hani laju saja ditolak keluar dari dalam poket seluarnya.
"Eleh, itu pun nak sensitif. Katanya, kawan..."
"Sebab kawanlah jadi sensitif. Kalau dah lebih dari kawan..."
"Dah, tak payah nak melencong jauh sampai ke Pluto. Bak sini telefon kau tu. Banyak bunyilah!"
"Kau nak buat apa dengan telefon aku ni, mak cik?"
"Pinjamlah! Aku nak call Jenny kejap. Kredit aku dah habis!"
"Eh, jangan! Nanti Jenny tahulah aku ada dengan kau. Kantoi agung aku."
"Aku call telefon ofis la bingai! Itulah, dah buat salah tau pula takut. Tak baik tau makan gaji buta!"
Hawari cebir bibir. Cakap orang konon, dia pun sama! Entah diberitahu ke tidak keluar pejabat tadi. Selalunya minah ni main aci keluar ikut suka dia aje. Mentang-mentang pekerja kesayangan dan harapan CEO.
"Jenny, yup. It is me. Hani. Kalau ada sesiapa cari I, I tak masuk office, ya? Yup. Urusan hospital I tak selesai lagi. All right. Thank you. See you tomorrow. Bye!"
Seperti tadi, Hawari masih ralit memerhati reaksi Hani dari dia berbicara dalam telefon hinggalah panggilan dimatikan. Terpampang jelas kebimbangan di wajah gadis yang dia kenal sejak 8 tahun dulu tapi atas sebab apa, dia sendiri tak pasti.
"Tak masuk office? Kau nak pergi mana?" soal Hawari pantas sebaik saja panggilan telefon dimatikan. Hani tidak menjawab. Sebaik sahaja telefon dikembalikan, laju sahaja dia bangun lalu masuk ke dalam keretanya.
"Hani, aku tanya ni. Kau nak pergi mana pula ni? Nak balik rumah?"
"Sibuklah!" balasnya pendek sambil menghidupkan enjin keretanya.
"Hani..."
"Alah, kalau aku tak beritahu pun kau boleh tahu aku ke mana. Bukan ke kau boleh Friend Finder aku?" balas Hani sambil mengerling sekilas. Tangannya sudah diletakkan di atas gear mahu menukar gear dari P ke gear D.
"Aku ikut!" reaksi Hawari pantas. Tak sampai beberapa saat dia sudah tersengih sendiri di tempat duduk sebelah pemandu. Tali pinggang keledar juga sudah siap-siap dipakainya.
Hani buang keluhan panjang. Mamat ni kan, suka sungguh ambil keputusan sebelum fikir.
"Please, Wari. I need to be alone."
"Kau anggap aje aku tak ada."
Hani buntangkan mata. Boleh macam tu? Punyalah kuat bau Hugo Boss semerbak dalam keretanya, boleh dia suruh anggap tak ada? Laju sahaja tingkap kereta dibuka keempat-empatnya.
"Eh? Kenapa ni? Kau nak kentut, eh?" soal Hawari sambil tertawa terbahak-bahak.
"Haah. Kentut versi Hugo Boss ni buat aku rasa nak muntah warna-warni. Berapa banyak kau sembur minyak wangi ni, Wari? Ha?" soal Hani sambil memandu keluar. Sebelah tangan memegang stereng kereta dan yang sebelah lagi mengipas-ngipas hidungnya yang terasa sesak.
"Well, kita takkan tahu dekat mana kita akan jumpa jodoh kita, kan? So, kenalah prepare awal-awal."
"Ya, ya. Whatever!"
"Tengok, bila aku cakap kau tak mahu percaya," sanggah Hawari dengan kekekan.
"Fine! Aku pasang air cond biar cair sikit bau-bauan cari jodoh kau ni," balas Hani sebelum tawa Hawari terusan memenuhi keseluruhan ruang kereta itu.
Kalau betul aku bakal menopause awal, macam mana? Ada ke lelaki yang nakkan aku? Bukan ke salah satu dari asbab pernikahan untuk melahirkan zuriat bagi meneruskan keturunan?
Ah, apa nak hairan? Along, angah dengan ancik kan ada? Umi dan walid tak akan sunyi punyalah kalau masing-masing dah ada anak nanti. Masalahnya cuma satu. Macam mana pula dia orang nak ada anak kalau kahwin pun belum dan syarat untuk mereka berkahwin adalah selepas dia sendiri sebagai adik perempuan tunggal mereka berkahwin terlebih dahulu? Ah, parah! Ini semua along punya pasallah. Tak ada kerja sangat sampai buat perjanjian bagai.
Alaaa, macam mana ni? Perlu ke aku kahwin secepat mungkin semata-mata untuk dapatkan anak? Desperate sangat gayanya!
"Oit, laksa kau dah kembang!"
Hani kerling sekilas.
"Opsss, sorry. I'm invisible. Chip. Chip. Chip. Saya seekor burung."
Hani tersengih kecil sambil matanya mengecil memandang ke arah Hawari yang sedang berpura-pura tak ada di hadapannya ketika itu.
Mangkuk laksa di hadapannya ditenung untuk kesekian kalinya. Punyalah masyuk bau laksa di Redup Rimba ni. Di'kombo'kan pula dengan cendol pulut. Perghhh, memang terbaik! Cuma, moodnya masih sama seperti tadi. Bimbang. Runsing. Pasai!
Wajah bersungguh Hawari yang sedang menikmati laksa itu direnung lama. Lelaki di hadapannya ini bagaikan kembar lain jantinanya. Disebabkan fiil Hawari yang jenis tak pernah makan hati dengan kata-katanya dan paling expert dalam menenangkannya setiap kali angin kus-kus dia datang.
Hawari buat dia rasa selesa bila ada di sampingnya. Pendek kata, banyak benda yang mereka share sama-sama dari zaman kampus sampailah zaman kerja. Apa yang dia suka, dia benci, semuanya Hawari tahu tapi tentang Hawari sendiri, banyak yang dia tak tahu.
Kalau ditanya, dia lagi suka jawab dengan tajuk lagu Tok Ti, Biarlah Rahsia. Bila Hani suarakan hajat nak kenal dengan parentsnya pun, tetap rahsia. Pendek kata, hidupnya penuh dengan rahsia. Hawari memang jenis orang yang pandai simpan rahsia dan mungkin sebab itu dia boleh jadi sahabat yang baik. Sahabat. Cuma sahabat. Tak pernah lebih dari itu.
"Kenapa? Comot eh aku makan? Tolong lapkan dengan tisu," tegur Hawari bila perasan dirinya jadi perhatian.
"Eee, tak kuasa! Mulut sendiri, laplah sendiri," balas Hani sambil tisu di tepi pinggannya dihulur.
"Ala itu pun nak kecoh. Aku mintak tolong kau lapkan dengan tisu. Bukannya dengan mulut."
Mata Hani terjegil keluar. Dia kata apa? Lap dengan mulut?
"Wari!!!"
Hawari gelak mengekek. Laju saja dia buat isyarat minta ampun bilamana Hani dah buat gaya nak tuang mangkuk berisi cendol Hani yang belum terusik itu ke dalam mangkuk laksa miliknya.
"Lagi sekali kau gurau 'blue' macam ni, aku tinggal kau dekat sini."
"Jadi kalau dua kali lagi, bolehlah, kan?"
"Nampak ni?" Hani tayang garpu dengan gaya nak cucuk mata.
"Ampunkan mak, Kassim. Ampunkan, mak..."
Dan kali ini, tawa Hani pecah juga akhirnya. Hailah, Wari. Ada aje akal dia nak mengusik, heh!
"Emmm, Hani. Aku nak tanya kau satu soalan boleh tak?"
"Tak boleh. Waktu makan tak boleh cakap."
"Hek eleh, yang kau bercakap dengan mulut penuh tu boleh pula?"
Hani berhenti mengunyah. Sesudu lagi laksa disuap ke dalam mulut hingga penuh sambil cuba menjawab soalan Hawari sebentar tadi.
"Isy, kau ni, kan? Macam budak-budak. Kalaulah aku tak ada, macam manalah gayanya kau makan dengan orang lain, kan?" komen Hawari sambil tisu di tangannya dilap pantas ke pipi Hani yang comot dengan kuah laksa.
Kalau dia tak ada? Hani berhenti mengunyah. Rasa bimbangnya mula menyerang kembali. Sudu dan garpu diletak di sisi mangkuk. Tubuh kemudian disandar ke belakang dengan pandangannya dijatuhkan memandang ke bawah.
Yalah, kan? Selama ni, hanya Hawari saja peneman dia untuk makan di waktu kerja. Kalau Hawari tak ada, selalunya dia lebih selesa tapau di kafe dan makan sendiri di dalam bilik. Memang, dia tahu yang budak-budak makmal dan bengkel dok canang yang dia sombong. Katanya, dia tak mahu langsung bercampur dengan orang. Tapi baginya mereka silap. Dia cuma mahu bersikap profesional sewaktu bekerja. Di tempat kerja, hanya bercakap soal kerja dan bukannya dok sibuk berlonggok ramai-ramai cerita pasal bini tak mahu masak. Yang si isteri pula dok bercerita perihal suami yang pemalas dan hanya tahu lepak kedai mamak.
"Ala, tangkap feeling la pula. Tak adalah, aku tak akan tinggalkan kau punya. Selagi aku bujang, selagi itulah aku akan teman kau. Okey? Dah jangan sedih-sedih. Ni, aku nak tanya ni. Boleh tak?"
Selagi dia bujang? Maksudnya? Hawari dah jumpa dengan perempuan yang bakal jadi isterinya? Tak pernah cerita pun! Hani buang keluhan panjang.
"Hmmm. Kalau aku tanya kau dulu, boleh?"
Hawari angguk.
"Tanyalah."
"Alang-alang kita asyik kena gosip aje dekat office tu, apa kata kita betul-betul kahwin aje?"
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro