Bab 1
Prolog
"Hai cik adik, tengah buat apa tu?"
Hani dongak kepala, kerling selayang pandang ke arah gerangan yang menegurnya dengan bibir yang tersengih.
"Kau siapa? Sejak bila mak aku bersalinkan kau?" balas Hani acuh tak acuh. Matanya kembali tertancap ke arah biskut Famous Amos kesayangannya yang dah jadi arwah lepas kena hurung dengan geng cik semut yang entah bila bersarang dalam beg galasnya.
"Huisyhhh, cengeynya! Badan kecil, muka comel tapi cengey!" balas si mamat mata bulat berbaju T ala-ala corak Tommy Hilfiger. Warna biru, merah putih. Sekali tengok macam bendera Johor pun ada juga.
"Ada masalah, ke?" soal Hani lagi. Untuk kesekian kalinya, tentera semut yang gigih beratur keluar dari plastik berwarna kuning itu dipijaknya sungguh-sungguh dengan kaki. Biasa tu! Curi lagi biskut aku. Sudahlah baru saja dia makan 2, 3 keping semalam sebelum walid, umi dan abang-abangnya bertolak balik semula ke KL. Sedih tak habis lagi sebab kena tinggal, tambah lagi sedih biskut kena hijack.
"Hoi! Dosa tau tak kau buat macam tu? Semut-semut ni semua kan makhluk Allah juga. Mana boleh suka suki kau aje buat pembunuhan secara beramai-ramai macam tu. Patutnya kau sembang dengan dia orang. Assalamualaikum rakyat Nabi Sulaiman a.s. Biskut ni, biskut aku. Kamu adalah makhluk Allah s.w.t. yang berzikir kepada-Nya. Kalau nak buat sarang untuk teruskan hidup, hiduplah dekat luar plastik biskut ni agar kamu semua selamat dari dipijak dek kaki gajah aku ni..."
Tawa Hani meletus tiba-tiba, berdekah-dekah. Boleh tahan loyar buruk juga mamat ni, kan? Mula-mula tadi ingatkan mamat ni jenis mat bunga. Dok adik manis segala. Rupa-rupanya dua kali lima juga macam dia. Sengal!
"Perbualan jenis apa yang kau cuba cadangkan pada aku tadi tu, ha? Ke mana hala tuju perbualan tadi tu? Kau ingat semut-semut ni kesah? Dah terlentang kekenyangan dia orang belasah biskut aku ni, tau!" balas Hani usai tawanya reda. Malas nak meneruskan sesi pembunuhan secara beramai-ramai versi kejamnya tadi, langsung bekas plastik di hadapannya dikutip dan dibuang ke dalam tong sampah berhampiran. Tak apalah, bukan rezeki dia agaknya. Lain kali kalau cuti semester boleh aje lagi nak paw abang-abangnya bila balik rumah.
"Aku, Wari. Dayyan Hawari. Process Engineering. Kau?".
Hani kalih, pandang mamat yang tinggi sikit dari dia berkali-kali dari atas ke bawah. Tinggi tak tinggi pun, kepala Hani paras bahu dia juga kiranya.
"Wajib ke jawab?" soal Hani, sarkastik.
"Untuk budak perempuan lain, sunat. Tapi untuk kau yang nampak macam rare tak ada kawan perempuan, lepas tu..."
"Diamlah! Aku, Hani. Naurah Tihani," balas Hani laju. Malas nak dengar asbab dia digelar rare.
"Kita kawan?" soal Hawari dengan kening diangkat tinggi berkali-kali.
"Nak kawan, boleh. Tapi kena kawan sampai mati. No feeling-feeling sampai bawa ke jenjang pelamin segala. Boleh?"
Hawari geleng perlahan. Dahi berkerut panjang.
"Tak boleh, sudah. Blah!" komen Hani bersahaja sambil mahu melangkah ke arah kafeteria. Perut lapar!
"Aku tak kata pun tak boleh."
"Dah tu?" soal Hani lagi.
"Nak berkawan tu boleh. Tak mahu feeling sampai ke jenjang pelamin tu pun aku boleh terima lagi. Tapi yang bab sampai mati tu, aku tak sanggup. If you want to die, just die. Don't ask me to follow you. Boleh?" soal Hawari serius.
Hani tergamam. Lama. Ambil masa untuk dia hadam maksud kata-kata Hawari tadi sebelum dia dan Hawari sama-sama tertawa tak ingat dunia.
Dan siapa boleh sangka, hanya disebabkan sepaket biskut Famous Amos, mereka berkenalan dan bakal kekal berkawan sampai ke alam kerja.
Bab 1
Rambut paras pinggangnya sudah disanggul rapi. Sambil buat gerak gaya senaman dua tiga langkah dan kemudian dengan lafaz bismillah, gas di dapur dinyalakan. Suis hood turut sama ditekan. Bergema seketika dapur itu bila suction di dalam hood mula berfungsi.
Lincah saja tangannya mencapai hirisan bawang yang sudah siap dipotong selepas solat subuh tadi ke dalam minyak panas di dalam kuali. Semerbak bau bawang goreng melata di kawasan dapur. Dituang pula ikan bilis yang siap dikisar halus untuk dibuat perasa sebelum nasi sejuk yang dimasak malam tadi dituang sama. Siap digaul rata, kangkung pula dimasukkan, sekadar cukup mata memandang.
Letak banyak-banyak pun, dua dari tiga orang dekat atas tu memang jenis alergi sayur. Habis semuanya dikutip dan disusun elok tepi pinggan. Kesudahannya nanti, dia juga yang kena kutip dan makan semuanya sampai habis. Membazir aje.
Walaupun kerajaan dah umumkan yang harga kangkung turun, masih satu pembaziran buatnya. Bukannya kangkung tu ditanam belakang rumah dan dipetik bila rasa nak diguna. Beli dekat pasar juga tu.
Dan tak sampai 5 minit, nasi goreng ala-ala kampung itu siap dimasukkan ke atas pinggan besar. Ikan bilis yang siap digoreng pula ditabur ke atas nasi sebelum dihidang. Hani tarik senyum puas memandang ke arah pinggan yang sudah dihias. Alhamdulillah, cukuplah untuk rezeki mereka berempat pagi ini.
"Assalamualaikum, Hani..."
"Oh mak, salam!"
Langkah laju Hani langsung terhenti di hadapan pintu ruangan dapur menuju ke meja makan. Sebelah tangan masih kejap memegang pinggan yang hampir terlepas ke lantai manakala yang sebelah lagi mengurut dada yang mula berdetak ala-ala enjin bot.
"Isyyy... Hani ni, muda-muda dah melatah. Tak eloklah!" komen angah sambil tersengih kecil. Laju saja langkah diatur ke arah Hani yang masih pegun sebelum mangkuk berisi nasi goreng itu bertukar tangan.
"Dah angah tiba-tiba ada dekat meja makan, mana Hani tak terkejut? Rasanya baru 5 minit lepas Hani letak kopi O along dekat sini. Tiba-tiba..."
"Okey. Angah minta maaf, ya? Lain kali, angah tak tegur dah Hani macam tu. Angah duduk aje diam-diam. Aci?" Angah dah angkat tangan lagak berikrar. Terkekek kecil Hani dibuatnya melihatkan gelagat angah yang sudah siap sedia dengan pakaian formalnya serta songkok di kepala.
"Bagus. Macam ni barulah..."
"Hani!!!"
Berdengung ruangan makan itu seketika dengan suara itu. Angah tergelak kecil. Hani pula dah tarik muka sambil buang keluhan. Dah bangun rupa-rupanya Tarzan yang seorang tu. Ingatkan lambat lagi nak melaung.
"Hmmm... Apa?!" jerit Hani.
"Seluar track along mana?"
"Kan ada atas katil tu? Sebelum turun tadi Hani dah keluarkan dari almari. Tak nampak ke?"
Jeda sebentar. Hanya derapan kaki saja yang kedengaran dari tingkat atas rumah dua tingkat itu. Tapi Hani masih mendiamkan diri dan menanti tanpa berniat hendak melakukan apa-apa. Tak berapa lengkap lagi soalan along tadi. Mesti ada soalan susulan kejap lagi.
"Along tak nak pakai yang warna biru. Nak yang warna hitam. Hani letak dekat mana?"
Dia nak warna hitam la pula! Baru malam tadi dia dok ingatkan banyak kali tentang seluar track warna biru. Bertuah punya along.
"Drawer paling bawahlah. Macam biasa," balas Hani malas-malas sambil mencedok nasi goreng ke atas pinggan angah. Pinggan satu lagi pula untuknya. Dah habis dah rasanya soalan wajib tiap pagi tu. Bolehlah dia bersarapan dengan tenang sekarang.
"Orang dah siap buat label dekat setiap drawer dia pun, masih nak tanya lagi. Baik tak payah labelkan macam tu. Entah apa-apa! Kot ya pun malas nak membaca, ejalah perkataan yang Hani tulis dekat sticky note tu," bebel Hani sendirian sambil menyudu nasi goreng di hadapannya.
"Hani ni kan, macamlah Hani..."
"Hani!!!"
Belum habis lagi ayat angah, along melaung lagi. Tak jadi Hani nak menyuap. Apa lagilah orang tua ni nak agaknya?
"Ya, bang long? Ada apa lagi tu? Tak jumpa lagi ke seluar tracknya?" soal Hani geram. Tapi nada suaranya masih cuba dilembutkan. Marah memang marah tapi hormatnya masih ada.
"Boxer?" soal along dengan kepala dah terjenguk dari atas tangga dengan sengihan.
Mata Hani dah membesar satu inci dari biasa. 'Adik-adik' dia pun aku nak kena jaga ke? Melampau tau along ni. Silambam karang!
"Itu pun nak tanya Hani ke?" bidas Hani sambil bingkas berdiri dan bercekak pinggang ke arah lelaki bertuala di atas tangga itu dengan muka meluatnya.
"Tak boleh tanya ke?"
"Isyyy... Pergi kahwinlah!" komen Hani pendek sambil duduk semula menghadap nasi gorengnya. Pagi-pagi Isnin dah gaya macam nak pergi berperang walhal masing-masing dah disiapkan dari malam tadi lagi. Memang nak kena along ni. Sengaja nak membangkitkan hormon adrenalin aku! gumam hati Hani sendirian.
"Lain kali, Hani siapkan semua persiapan along tu dari atas kepala sampai ke kaki dia pagi-pagi, lepas tu letak terus atas katil. Tak adalah semuanya dia nak tanya," komen angah yang sejak tadi hanya memerhati. Sesekali timbul juga rasa kasihan pada adik bongsunya yang seorang ni. Sejak walid dan umi menunaikan haji, dialah yang menyediakan semua makan pakai abang-abangnya yang tak semenggah ini. Kalau seorang dua, tak apa. Tapi ini sampai tiga orang!
"Ala, along tu mengada-ada aje lebih. Hani dah siapkan semuanya atas katil pun sebelum turun tadi. Tapi lain yang dia pesan semalam, lain pula yang dia nak pakai hari ni. Angah dengan ancik boleh aje cari sendiri dalam almari. Dia yang..."
"Yuhuuu... Morning, semua!" tegur satu suara.
Hani mengerling sekilas. Heh, dah turun dah pak cik yang seorang ni. Kalau pak cik yang tadi tu cerewet tentang pakaian, yang ini pula pasal makanan. Dua beradik yang bersatu dalam satu perkataan. Cerewet. Harap-haraplah dia berkenan dengan menu pagi ini. Kalau tidak, rosaklah program Hani pagi ni. Ada juga yang punch card merah macam selalu.
"Waalaikumussalam. Selamat pagi. Duduklah. Sarapan sama."
Hani tersengih kecil tengok muka muncung ancik. Bengang la tu, kena perli setepek depan muka. Bajet orang putih la tu. Morning konon.
"Wahhh... Nasi goreng kampung. Bagus adik ancik ni. Sanggup menerima cabaran ancik untuk memasak nasi goreng di pagi Isnin macam ni. Emmm... Tapi kan. Ancik rasa, macam ada yang tak cukup aje ni," komen ancik sambil janggut yang tak berapa nak ada itu diusap perlahan berkali-kali.
Mata Hani dah meliar ke arah hidangan di hadapannya. Nasi goreng kampung untuk semua orang. Telur dadar buat lauk. Apa lagi, eh? Matanya langsung mengerling sekilas ke arah ancik yang dah ambil tempat bertentangan dengan angah.
"Ancik nak lauk lain ke? Hani tak sempat nak masak la. Hani kena masuk office awal hari ni."
Ancik sengih sambil geleng perlahan.
"Bukan lauk daaa, kichhi. Milo ais ancik mana, eh?"
"Alamak! Lupa! Dah buat dah, ais aje belum taruk. Kejap, eh?!"
Laju saja langkah diatur ke arah dapur. Peti ais dibuka lalu ketulan ais batu diketuk keluar. Mencicit dia berlari ke arah ruang makan. Cepat Hani, cepat. Ini ada juga yang pergi kerja tak sempat breakfast nanti.
"Nah, tuan muda. Silakan minum."
"Hehehe. Terima kasih, adindaku. Ehhh... Kejap!"
Sekali lagi suapan pertama nasi goreng ke mulut Hani terhenti. Dengan kening berkerut, dia menyoal lagi.
"Ada apa lagi ni, ancik?" soal Hani dengan wajah yang mula nak ketat.
"Telur separuh masak ancik mana?"
Dia nak telur pula! jerit Hani dalam hati.
"Bukan ancik kata nak makan Nasi goreng kampung ke pagi ni? Jadi Hani tak buat la telur separuh masak tu. Lagipun, telur goreng kan ada ni," balas Hani tak puas hati.
"Yap. Itu betul. Tapi telur separuh masak tu kan makanan wajib ancik dan khasiat antara kedua-dua tu sesungguhnya tidaklah sama, wahai adikku. Telur separuh masak untuk kesihatan, telur goreng mengancam kesihatan. Hani ni, takkanlah Hani tak tahu yang telur separuh masak tu kunci dan rahsia suara ancik yang sedap selama ni?"
Suara sedap? Hani dan angah dah saling berpandangan. Setakat 10 kali pergi uji bakat Akademi Fantasia, 5 kali uji bakat Bintang RTM tapi setakat stage dua aje lulus, sedap ke tu?
"Haaa... Tu nak mengutuk la tu. Eh, jangan pandang ancik sebelah mata tau! Sekarang ni, mungkin ancik cuma jadi backup singer. Lima tahun lagi, mana tahu ancik diberi peluang berduet dengan Awie? Haaa... Time tu, jangan harap nak dapat tandatangan ancik tau! Tuah ayam nampak di kaki, tuah ancik ni... Dekat muka handsome dan kotak suara yang menawan ni tau!"
Hani dah tekup mulut sendiri menahan tawa. Angah pula hanya mampu menggeleng. Dari 5 tahun lepas dok berangan nak duet dengan Awie tapi sampai sekarang, batang hidung Awie pun dia tak pernah jumpa.
"Sudahlah tu ancik, makan aje apa yang ada. Ini rezeki kita pagi ni. Tak payahlah nak bertelur bagai. Ni... Telur goreng ni kan ada? Ini pun dah cukup syukur dah."
Ancik kerling sekilas pada angah, tayang muka tak puas hati.
"Ala, ngah. Kau apa tau. Aku guna suara nak cari makan. Lainlah kau..."
"Cari makan, cari makan juga. Bila pula kau nak guna suara merdu kau tu masuk tadarus al-Quran?"
Tadarus al-Quran? Hani dah ketawa sakan dalam hati. Kalau beria-ia ketawa nanti, ada juga yang kena paksa masak bukan-bukan malam nanti. Baik punya tarbiah pagi ancik kena dengan angah. Terbaik!
"Ah, sudah... Mulalah tu," bidas ancik sambil juling mata ke atas.
"Aku ni cuma bertanya..."
"Kau simpan ajelah, ya..."
"Opppsss... Stop sebentar! Maaf cakaplah ya, tapi kalau abang-abang semua nak bertekak. Silakan. Hani dah lewat ni. Hani pergi dulu, eh?" celah Hani yang sudah siap sedia dengan beg galas belakangnya. Tangan ancik dan angah ditarik silih berganti sebelum disalaminya.
"Eh... Hani tak makan lagi ni!" jerit angah bila melihatkan pinggan di tempat duduk Hani belum terusik langsung. Hanya Milo saja yang terusik separuh.
"Hani makan dekat kafe aje nanti!" balas Hani yang terkial-kial menyarung kasut sneakernya.
"Hani masuk kerja pukul berapa?"
"Pukul 9!"
Pukul 9? Jam di pergelangan tangannya dikerling sekilas. Baru pukul 7.30 pagi. Kalau setakat dari sini ke Bandar Baru Bangi, bukan jauh pun. 10 minit dah sampai. Apa yang lewatnya?
"Awal lagilah, Hani. Apa yang tak menyempatnya ni?" soal angah yang dah ada di muka pintu sambil menatang pinggan.
"Hari ni Hani nak kena run pilot plant. Pukul 8 dah kena start up. Pukul 9 tu dah kena bawa masuk raw material dah. Hani takut budak-budak tu tak buat apa pun pagi ni. Jadi Hani kena datang awal."
"Nak kena run plant ke, atau nak sarapan dengan Wari?" tebak angah dengan senyum senget.
"Ha? Wari? Memang taklah, kan! Hani dengan dia tak ada apa-apalah. Friends forever ever after."
Angah gelak kecil.
"Angah gurau aje. Nah, rasa sikit. Tak baik keluar rumah tanpa jamah makanan yang dah siap terhidang. Baca bismillah dulu."
"Bismillahirrahmanirrahim. Amin!"
Tersenyum angah apabila melihat gelagat Hani yang bersungguh-sungguh mengunyah nasi yang disuap sepantas yang mungkin sambil tangan ligat mengikat tali kasutnya.
"Okey. Hani pergi dulu, ya!"
"Hati-hati drive!"
"Ini Naurah Tihani la angah. 160 km/jam konar baring tu wajib. Assalamualaikum, Ustaz Nazran!"
"Waalaikumussalam Hani," balas angah sambil tersengih-sengih sendiri.
Jauh di sudut hati, kata-kata Hani tadi diaminkan supaya makbul. Hasratnya untuk meneruskan legasi walid harus dikotakan.
"Laaa... Hani dah pergi ke?" tegur suara di belakangnya.
"Haah. Ada hal katanya. Ada apa, long?"
"Stoking aku," komen along sambil tayang muka tak puas hati.
"Stoking kau ada dekat rak tiga tingkat sebelah almari baju. Ada dalam bakul dekat tingkat pertama."
"Eh, mana kau tahu? Ajaibnya!"
Angah sengih.
"Tak ada ajaib manalah, long. Bukan ke segala tempat dalam bilik kau tu dah penuh dengan sticky note yang Hani tulis? Aku yang sekali-sekala masuk pun sempat baca semuanya, long," balas angah sambil berlalu masuk ke dalam membiarkan along termangu sendiri.
"Haah kan, aku pun tak terfikir nak tengok dekat kertas warna warni yang Hani tepek dekat bilik tu. Ah, Nazri... Dah tua kau ni agaknya!" bebelnya sendirian sebelum join adik-adiknya bersarapan sama di ruang makan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro