Bab 9
Bila dah boleh keluar wad, mak nampak lagi seronok sebab boleh balik ke rumah. Senyuman mak meleret sampai ke telinga bila nampak pintu pagar rumah kami. Dia tarik tangan aku cepat-cepat suruh buka pintu. Perangai kalah budak kecil.
Usai menjengah masuk, mak terus meluru masuk ke biliknya. Ah, rindu la tu dah berhari-hari tak tidur di situ. Aku membuntuti pergerakannya. Mak duduk di birai katil sambil memeluk bantal kepala arwah abah. Allah... Terkedu aku. Gamaknya mesti dia terlalu rindukan arwah abah sampai jatuh sakit. Beg mak aku letak di sudut bilik. Nanti-nantilah aku kemaskan.
"Mak rehatlah no. Kimi keluar nak beli makan sat," kataku.
Senyap.
Mak tak bersuara apa-apa. Aku tengok mak nampak puas dapat balik ke rumah. Orang tua-tua macam tulah. Dia kata tidur tak lena bila bermalam di hospital tapi aku yang meneman mak setiap malam, elok saja dia tidur siap pakej berdengkur. Kroh, kroh, kroh bunyinya!
Kak Ana dan Kak Izah dah balik ke rumah mereka. Maka tinggallah aku dengan mak saja di dalam rumah ni. Bila aku perhati sekeliling, memang sunyi. Rumah besar tapi penghuninya cuma seorang! Ibarat terpenjara seorang diri. Agaknya inilah yang mak tanggung selama ni. Kesepian.
Aku kerling jam sekilas dan cepat-cepat melangkah ke depan. Sampai di depan pintu depan, terkejut beruk aku bila Hazie kaku berdiri di situ. Hesy, aku tak dengar pula siapa-siapa beri salam dan agaknya dah berapa lama dia menunggu di depan?
"Nak apa?" soalku mendatar.
Tanpa senyuman, dia menghulurkan mangkuk tingkat kepada aku. Lain sangat sikap dia ketika di wad dahulu. Senyuman simpul manis sudah cemberut jadinya. Langsung tiada yang manis-manis di wajahnya. Jelingan menikam sampai ke kalbu. Mesti dia dah terasa hati dengan kata-kata aku tempoh hari.
Saat tu aku hanya diam memandang wajahnya. Kau datang dengan niat nak sedekah makanan tetapi punyalah kedekut senyuman. Pi baliklah! Itulah yang aku nak jerit depan-depan muka dia tapi nampak kebudak-budakan pula. Aku bersabar sebab mak ada di dalam. Nanti kalau kami berperang mulut, mahu naik darah mak aku.
"Apa ni?" soal aku sekadar melayan tetamu tak diundang itu. Ya, aku tau itu mangkuk tingkat tapi apa isi di dalamnya?
"Untuk cikgu. Mesti makan ni sebelum makan ubat. Saya masak lauk kegemarannya," pesannya. Sekali lagi dia menghulurkan mangkuk tingkat tadi bila aku tidak menyambut. Malas-malas aku mencapainya. Eh, ringan aje!
"Untuk aku dengan mak ke ni?" Gatal mulut aku bertanya. Tau apa dia jawab?
"Untuk Cikgu Rodziah seorang saja. Orang sihat boleh cari makan sendiri. Jangan malas usaha! Kalau tengok dari saiz badan, tak makan setahun pun tak apa, kan!" kata Hazie dengan muka kering dan terus blah masuk ke dalam keretanya.
Wah, dia hamburkan sekali dalam satu nafas. Hazie mana pernah buat macam tu kat aku. Buang tebiat agaknya. Sebelum blah, sempat lagi dia menjengoi muka di tingkap kereta bersama-sama pesanan penaja.
"Jangan lupa basuh. Nanti hantar kat kilang. Limited edition tu," katanya seraya terus memecut pergi. What? Dia ni memang berlagak bos. Mangkuk tingkat besi buruk aje kut. Bersepah jual di Kedai Perkasas Hesin di depan jalan besar tu. Bukan akulah nak cuci dan pi hantar balik mangkuk tingkat ni. Silap hari bulan aku lempar masuk dalam bendang!
Sebut pasal Hazie, sejak zaman sekolah, dia kedua popular selepas Salwa. Dia pelajar tingkatan empat kelas paling hujung. Aku pelajar tingkatan lima kelas paling depan. Jadi kalau aku nak ke tandas, memang kena lintas kelas dia. Kerap juga kepala dia sujud atas meja bila dekat-dekat hujung waktu balik. Asalkan aku lalu aje, dia mesti tidur! Tidur! Tidur! Langsung tak fokus. Kadang-kadang aku yang termalu bila dia kena denda berdiri di tepi koridor sebab tak siap kerja. Apa punya perempuanlah. Pemalas.
Lupa nak cerita, Hazie ni anak murid kesayangan mak aku. Selalu kita dengar cikgu-cikgu akan sayang murid yang pandai. Ini terbalik sikit. Mak aku sayang gila kat dia. Tak taulah apa yang bagusnya tentang dia! Jampi serapah apa yang dihembusnya. Masa majlis sambutan Hari Guru dia hadiahkan bantal bersaiz king dekat mak aku. Punyalah seronok mak aku tu. Dia kata dia jahit sendiri. Aku sikit pun tak percaya.
Pada aku, Hazie Tsuraya ni cuma budak perempuan yang biasa-biasa tapi ada daya penariknya. Dia cantik walaupun kadang-kadang tu nampak blur. Dia budak kelas hujung-hujung yang ringan tulang membantu guru-guru. Kalau kena marah pun dia masih tersengih-sengih. Cikgu nak marah pun tak jadi marah. Dengan stok muka cantik macam dia memang ramai yang nak mendekat. Termasuk aku!
Satu lagi dia terlalu jujur. Pantang disoal, habis semua dicerita. Sikap itulah membuat aku selalu geram juga dengan dia ni. Disebabkan mulut dialah, Cikgu Johari serbu tandas lelaki. Sekali dengan aku kena heret ke bilik disiplin. Mak aku memang naik hantu dengan aku masa tu padahal yang sebenarnya, kebetulan masa aku pi ke tandas Tamrin dan kawan-kawan lain dah mula kepul asap rokok.
Aku? Aku pergi tandas sebab nak usyar dialah! Hehehe. Alang-alang dah berkumpul ramai-ramai aku sempat sedut sekali aje habuan lepas gian. Tup-tup 'Komander' Johari dah terpacak di depan pintu dengan rotan halus berbisa tu. Kalau dah kena tangkap, mesti mak aku dapat tau. Selepas tu, abah pun tau. Teruk aku kena marah dan amaran. Bermula hari tu, mak kontrol habis hidup aku. Dengan siapa aku keluar dan berkawan semua dia ambil tahu. Hilang kebebasan aku seketika bila arwah abah simpan kunci motor. Tak boleh dah aku melencong ke Kedai Taha pada waktu petang.
Tapi itu dululah cerita masa pada zaman sekolah. Aku dah lupakan pun tetapi aku memang tak boleh lupa dengan Hazie ni. Dalam marah ada secubit rasa yang aku pendam jauh dalam sudut hati. Hanya aku yang tahu.
Aku membelek mangkuk tingkat tadi. Gagal meneka isi di dalamnya. Tiada bau. Pemberian Hazie diletakkan di atas meja makan di dapur. Aku terus melangkah menghampiri bilik tidur mak.
Aku berdiri di tepi pintu untuk menjenguk dan memerhati turun naik nafas mak. Berlapang dada bila mak masih bernafas dan sudah tidur.
Aku terus mengunci pintu dan melompat masuk ke dalam kereta. Otak mula ligat untuk menentukan arah perjalanan. Aku pun tak pasti kedai makan mana yang sedap. Ah, mana-mana pun boleh asalkan dapat isi perut yang mula berkeroncong. Itulah susahnya kalau lelaki malas ke dapur. Asyik kena keluar aje cari makan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro