
9. Orang-orang Kampung
Lewat petang hari Sabtu, mereka tiba di rumah inap yang siap ditempah Idris. Tari terlebih dahulu menempatkan barangan ke dalam bilik utama dan mengurung diri.
Tiada khabar dari dalam. Mesej Izhan pada Tari dibaca tanpa balasan. Panggilan telefon Izhan mengundang deringan yang kedengaran hingga ke ruang tamu. Hanya senyap apabila dimatikan oleh Izhan. Ketuka di pintu juga tidak mendapat respon Tari.
Izhan merenung telefonnya. Lama. Keluhan terbit di hujung bibir ketika dua perut berkeroncong serentak. Wajah diangkat Izhan. Dia saling berpandangan dengan Rian.
Mata yang berkedipan pun terasa janggal.
"Tunggu kejap lagilah kita keluar. Aku nak tanya Tari dia nak makan apa. Seharian dah dia berlapar. Pagi tadi dia cakap makan sandwic saja."
"Aku okey. Tak ada hal."
Izhan bangun dan menuju ke bilik Tari sekali lagi.
"Tari, aku dengan Rian nak keluar makan. Nak pesan apa-apa tak?"
Cuma hening rumah yang menyapa. Izhan melekapkan telinga ke daun pintu. Ditenyeh cuping telinga berharap ia berfungsi seperti stetoskop. Apa pun tidak didengar maka dia semakin melekap di situ seperti cicak dipenyek lesung.
Ketika jurus kedoktoran hampir buat dia menembusi papan berengsel itu, tidak semena pintu dibuka dari dalam.
Pantas Tari mengelak ketika Izhan tergawang-gawang di udara hendak jatuh. Nasib abangnya baik dek sempat berpaut pada tombol pintu.
"Kau nak belanja?" soal Tari yang sudah siap bertudung.
Izhan mengangguk kecil. Tidak sangka adiknya muncul apabila diumpan dengan makanan.
"Okey, jom. Aku ada cadangan restoran yang dah lama aku nak singgah."
Malam itu, Tari makan besar. Dia memesan nasi putih berlaukkan tom yam ayam, ikan siakap tiga rasa dan ketam goreng untuk diri sendiri. Rian dan Izhan pula masing-masing hanya makan nasi goreng.
"Tari, kau boleh habiskan ke semua ini?" Izhan menolak segelas air suam ke arah Tari.
"Boleh. Memang bertahun dah teringin nak makan benda ini kat sini." Tari menyua baki nasi ke dalam mulut. Setelah itu, lauk yang masih banyak diratah-ratahnya.
"Kau baru keluar dari hutan ke?" sindir Izhan.
"Hmm. Hutan yang nak baring atas pokok kena bayar beratus. Nak petik daun buat alas perut pun pengerasnya berpuluh ringgit. Setiap hari kena catu daun yang sehelai. Kenyang letak tepi. Kena kerja pula dengan spesis harimau, singa, buaya." Serius jawapan Tari.
Rangup ketam goreng dengan perisa cukup manis masin buat Tari terpejam rapat matanya. Sepenuh hati dia menikmati hidangan.
"Jadi kenapa kau nak sangat tinggal dalam hutan itu? Apa kau dapat dari susah payah? Kau dah macam abaikan diri sendiri." Izhan menolak segelas air suam miliknya pula kepada Tari. Gelas adiknya itu sudah kosong.
"Jawapan biasa aku, sebab aku nak duit." Tari mencebik.
"Berbaloi ke? Korbankan kebahagiaan untuk hidup macam ini? Bukannya angah kau ini tak tahu tempat kerja kau punya toksik itu macam mana."
Dedaunan kerisauan Miyah dan Idris di rumah tentang anak perempuan yang hidup sendirian di kota turut terbang ke pokok gusar Izhan. Dia pernah ada di posisi Tari. Berhempas pulas bekerja di hospital dan menjadi tempat menadah cacian dengan gaji yang tidak seberapa.
"Macam mana kau tahu? Tak pernah aku cerita. Kat ibu abah pun tak cakap. Apa pun angah, kan bersusah susah dahulu bersenang senang kemudian? Bahagia boleh tangguh. Dah ada duit, barulah sedap sikit nak bagi banyak duit kat keluarga, beli itu ini."
Semua lauk sudah diratah habis. Setiap pinggan di atas meja disusun elok bagi memudahkan pekerja mengangkutnya nanti.
"Aku bukan nak kau ikut jejak aku ke apa. Berhenti kerja, duduk kampung. Tahu sangat peluang kerja kat Kelantan itu tak seberapa. Tapi kau perempuan, Tari. Kami risaukan keselamatan kau," ujar Izhan turut menyampaikan isi hati ibu bapanya.
Mereka sudah kering air liur memujuk tetapi Tari dan keinginannya tiada siapa yang boleh membantah. Namun, melihat kepada perubahan raut wajah Tari, Izhan tahu yang nasihatnya dicurahkan ke daun keladi.
Mahu neutralkan kecamuk Tari yang sedia ada sejak petang tadi, Izhan menyambung, "Apa kata kau nikah saja? Aku ada ramai kawan lelaki elok untuk taaruf dengan kau."
Tidak semena, Rian yang dari tadi membisu tersedak. Lekas dia menghirup teh aisnya.
Tari kini menjegil Izhan. Dia kemudiannya mengangkat tangan tinggi ke arah pelayan restoran.
"Akak, kira akak. Abang depan saya ini yang akan bayar." Tari bangkit. Telapak tangan dihulurkan pada Izhan. "Kunci kereta."
Menikus, Izhan segera menyerahkan kunci. Dia benar-benar sudah menjolok sarang tebuan.
***
Beg kecil tersangkut di bahu. Jubah berlipat digantung pada lengan. Langkahnya anggun dengan kasut bertumit yang berkeletak keletuk pada lantai lobi dewan yang dipenuhi oleh bakal graduan yang lain. Masing-masing kecoh mengemaskini kehidupan dengan rakan-rakan.
Ada juga yang bergelak ketawa bersama keluarga yang datang meraikan. Cemburu yang terbit lekas Tari padamkan. Mata melilau mencari kelibat seseorang.
"Indah Mentariku sayang! Sini!"
Tidak jauh, Meen melambai. Dan Tari laju berlari ke dalam pelukan Meen, melepaskan rindu yang terbuku. Alam maya yang menghubungkan mereka jauh berbeza dengan tujahan suara yang bersatu dalam udara yang sama.
"Eh, abang Izhan ada juga?" Meen mengangkat tangannya, mesra. Seketika kemudian dia melirik lelaki di sisi Izhan. "Hai, Rian."
Tari tercengang.
"Macam mana kau kenal Rian? Aku rasa tak pernah tunjuk pun muka dia kat kau?"
"Kau apa tahu? Masa kau sebut nama dia hari itu, aku terus tanya mata-mata aku. Dah, shush. Tak penting. Jomlah jumpa geng kita dulu. Kejap lagi dah nak masuk dewan," ajak Meen seraya sudah menarik tangan Tari.
"Angah, nanti ambilkan video dan gambar aku naik pentas," pesan Tari sambil menahan kaki diseret Meen. Hanya apabila Izhan mengangguk, Tari mengekori langkah atlet Meen.
Izhan dan Rian pula keluar dari kesesakan dan mencari ruang-ruang rehat di bawah pokok. Hendak berteduh di bawah kanopi yang disediakan, setiap tempat sudah penuh. Terlalu melemaskan.
Di bawah pokok rendang, mereka duduk bersila. Dari situ kelihatan Tari dan teman-temannya berkejaran merakam video mengikut trend terkini. Tawa masing-masing mengalahkan segala haiwan di hutan.
"Makin tak ada masa nak berbual sesama sendiri budak-budak zaman sekarang. Sibuk nak ikut benda tular kat media sosial," kritik Izhan.
"Orang yang nak cerita, akan cari masa untuk beritahu, Han. Begitu juga orang yang sedia mendengar, akan sentiasa ada untuk tadah telinga. Kita yang terbiasa cara kita, tak faham cara mereka," balas Rian.
Izhan tersenyum. Rian yang sebaya kumpulan pelajar yang dilihatnya sekarang barangkali lebih memahami berbanding dia.
"Eh, Rian. Kau punya majlis graduasi bila? Sekarang dah musim konvo ini."
"Aku tahun lepas lagi sebab program aku tiga tahun saja. Tari punya empat tahun," jelas Izhan seraya mengibaskan baju kemejanya. Panas.
"Oh, lain. Tari ambil pentadbiran perniagaan. Kau pula belajar apa?"
Rian menoleh ke arah Izhan. "Psikologi."
"Kenapa kau pilih bidang itu? Minat? Nak kata Pak Tahir dengan Che Uda suruh, aku tak rasa dia orang tahu apa benda psikologi itu."
Rian mengangguk kecil. Teringat semula asbab dia memilih jurusan itu, Rian mencarik senyuman.
"Aku ada seorang kawan yang minat dengan psikologi. Kalau ada pertandingan pengucapan awam ke, penulisan esei ke, dia mesti pilih tema kesihatan mental. Lepas itu kau ingat tak? Habis saja SPM, aku ke luar negeri untuk kursus kemahiran?"
Izhan yang mengerutkan dahi ketika mengorek memori tiba-tiba bertepuk tangan satu kali.
"Ingat! Ramai orang kampung puji sebab kau dah pergi belajar cara uruskan pertanian untuk tolong Pak Tahir."
Mendengar pujian yang tidak tenggelam setelah bertahun-tahun itu, Rian tersengih. Mata Rian kemudiannya tercari-cari susuk Tari di antara belasan rakan sekelasnya. Menjumpai gadis itu sedang tersenyum pada kamera, Rian menyambung cerita.
"Sejak itu aku dah kurang berhubung dengan kawan sekolah. Hari keputusan SPM keluar pun, aku tak dapat hadir. Bila nak daftar untuk sarjana muda pula, aku tak tahu nak pilih apa. Aku tak minat mana-mana bidang. Masa itu aku teringat dekat kawan lama aku. Tersangkutlah psikologi. Pilihan utama. Ada berharap, kat universiti aku boleh jumpa dia lagi," jelas Rian.
"Jumpa tak?"
Rian menggeleng. "Dia ambil jurusan lain. Universiti dia pun negeri lain, Han."
Usai cerita Rian, mereka berdua bermenung. Lama.
"Jodoh pertemuan di tangan Allah, Rian. Aku doakan, kau berjumpa dengan dia nanti. Tapi, kau seronok ke belajar benda yang kau tak minat? Lepas belajar kau terus duduk kampung. Tak cari kerja ikut bidang?"
"Minat boleh dipupuk. Aku okey saja. Pasal kerja itu, tawaran banyak tertumpu kat Selangor dan KL saja. Aku tak boleh, Han. Jiwa aku melekat dekat kampung dan kebun-kebun ayah. Itu yang balik tolong ayah usahakan tanah dia."
Mendengarnya, Izhan yang tercuit hati berdekah ketawa.
"Kau berjodoh dengan aku, Rian. Apa kau fikir sama dengan aku. We have same brain cells. Tak ada tempat yang boleh lawan Kampung Langsat."
Izhan dan Rian saling bertatapan sambil senyuman. Seolah dunia hanya milik mereka berdua.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro