
32. Mohon Waktu Sebelum Kita
Daripada bersusun depan rumah, kini ia sampai di anjung pustaka. Malah ada beberapa kotak yang dibuka Tari untuk disusun mengikut genre.
Imran dan yang lain sudah berkumpul semula di laman di atas motor masing-masing setelah meninggalkan kotak buku kepada Tari. Mereka berbual kuat dengan sekejap topik bola, sekejap badminton sebelum tiba-tiba menyentuh perihal hari kiamat.
Tersenyum senget Tari lalu sekadar menggeleng. Baginya, tidak mengapa untuk membahas perihal apa pun selagi tidak berlandaskan nafsu liar yang memenangkan perkara lucah, rasis atau pegangan ekstrim yang lain.
Sesiapa pun punya banyak persoalan yang perlu sentiasa dilontarkan. Lebih-lebih lagi mereka golongan remaja yang tinggi tahap inkuirinya.
Dan barangkali begitu juga dengan remaja lelaki yang tidak berganjak dari sisi kotak buku. Pasti ada yang ingin dia ketahui daripada buku Tari yang berlambak.
"Haris suka baca buku?"
Novel di dalam tangan remaja lelaki itu lekas diletakkan ke dalam kotak semula. Haris tersenyum kelat lalu menggeleng.
"Tapi nampak macam berminat?"
"Saja baca tadi."
Tari mengangguk.
"Bila baca, ada apa-apa yang menarik ke?" umpan Tari.
"Ada. Penulis itu banyak salah ejaan. Macam tak ada editor yang sunting. Ganggu pembacaan walaupun jalan cerita dia sedap. Tapi tak tahu nak salahkan dia atau tak. Genre sains fiksyen. Banyak terma tema futuristik yang kompleks dan faham saja kalau ada kesilapan jika tak cek betul-betul."
Terkedu Tari. Dia kagum tetapi reaksinya tertahan agar tidak membuatkan remaja itu malu dan fikir jawapannya tadi berlebihan.
"Awak terbiasa ke dengan perkataan itu semua sampai nampak saja terus cam mana silapnya?"
Haris mengangguk.
"Saya banyak baca ensiklopedia. Atau buku bukan fiksyen pasal sains dan angkasa lepas kat perpustakaan sekolah. Sebab itulah saya jarang baca novel genre sains fiksyen karya penulis Malaysia. Sebab tak suka dengan kesilapan yang banyak macam ini."
"Baca genre lain?"
Pertanyaan Tari mendapat anggukan laju. Agaknya tidak sedar dia sedang mengeyakan soalan pertama Tari.
"Belum jumpa permata kot? Nak akak cadangkan? Sebenarnya banyak saja penulis lokal yang hebat. Cuma genre ini belum popular dalam pasaran. Sebab itu kot susah nak cari. Novel tadi, versi 10 tahun lepas. Penulis dah revamp dan akak juga ada versi terbaharu. Nak? Jalan cerita makin menarik," cadang Tari.
Langsung bersinar mata Haris. Dia mengangguk lagi buat Tari risau terkehel leher remaja lelaki itu.
"Oi, kau nak tolong susun buku juga ke? Tak, kan? Cepatlah. Tinggal sejam saja lagi kita boleh guna gelanggang," jerit Imran. Sudah malas hendak menunggu perbualan temannya itu tamat.
"Tak jadilah, kak. Kalau saya pegang buku, apa kata dia orang pula?" ujar Haris. Segan.
"Esoklah datang. Ada majlis makan-makan. Masa semua orang sibuk melahap laksa, Haris cecepat jumpa akak kat kaunter. Rumah Buku Delima akan bagi pinjam."
"Boleh, kak. Jumpa esok, ya."
Haris lekas melompat turun melangkaui tujuh anak tangga.
Beruk di hutan juga mungkin terkejut dengan tingkah berbahaya anak muda itu apatah lagi Tari yang hilang separuh nafas. Jika cedera Haris, kecoh nanti orang kampung yang tentunya menggandakan tohmahan ke atas Rumah Buku Delima yang dibuka secara rasmi juga belum.
Tari menyelongkar kotak-kotak buku. Novel yang bergenre sains fiksyen terlebih dahulu diasingkan. Dia bekerja dengan ingatan mahu menghasut Haris untuk membaca kesemua permata yang belum Haris temukan di luar sana.
"Betullah apa yang kau cakap, Rian. Jangan pandang rendah dengan bacaan orang kampung sini. Yalah. Entah-entah latar belakang keluarganya, anak beranak saintis. Mana kita tahu," bebel Tari.
***
Pagi itu Tari sibuk memeriksa juadah untuk jamuan pembukaan Rumah Buku Delima. Rasa teruja meringankan setiap langkahnya.
"Mak Su, kuah lemak laksa dah tambah?"
Keluarga mak saudara di luar negeri itu juga sanggup mencuri masa untuk meraikan projek kecil Tari. Pada wanita awal 40-an dalam persalinan kurung pesak, Tari melemparkan senyum.
"Dah. Tak tahu pula Imran angkut satu kelas dia datang sini. Sedap tengok semua makan tadi. Kalau mak su tahu, memang kita masak lagi banyak."
"Tak apa, In sha Allah cukup sampai petang."
Tari memeluk lengan wanita itu sebelum bergerak ke belakang pustaka. Sebuah khemah dipasang siap untuk kerja-kerja memasak. Miyah yang berpanas di bawahnya menghadapkan muka ke kipas setinggi lutut langsung berkalih pandang ke arah Tari.
"Ada apa-apa yang tak cukup?" soal Miyah.
"Acar timun dah nak habis."
Miyah lekas bergerak ke bekas yang tersusun mencari acar timun. Sementara itu, Tari meliarkan mata ke satu dapur yang masih berasap. Ada kuali besar masih berkelentang kelentung untuk ayam masak merah.
Tari mengorak langkah ke arah itu lalu tercegat dengan kening berkerut. Dia dan tukang masak tidak dijemput itu saling berpandangan buat sesaat dua.
"Kau kenapa ada kat sini? Kan ibu aku ada cakap yang lauk gulai ayam dah lebih dari cukup. Buat susah saja nak masak banyak," omel Tari dengan kedut hidung yang menikmati aroma masakan yang menusuk hidung.
Rian mencarik senyum.
"Tak semua orang suka makan gulai."
"Tapi hampir semua."
"Kecuali kau."
Loceng hati Tari bergema. Sekali lagi. Kali ini lebih kuat malahan mengiringi kakinya yang seakan terapung. Tubuh menjadi ringan seperti belon yang dilepaskan ke udara.
"Kau belum makan, kan Tari? Tunggu kejap. Dah nak siap ini. Kau pergilah depan. Ayam masak merah dengan acar timun nanti biar aku bawa."
Pada Rian yang memperlahankan api dapur, Tari tenung lama. Jemari hampir berpaut pada bahu lelaki itu agar diri tidak dibawa semilir kencang yang mengerti bahasa hati.
Serentak itu, fikiran Tari disinggah banyak persoalan. Rupanya dia tidak diapungkan jauh daripada tanah. Seorang Tari masih terikat pada tali kebimbangan yang tidak pernah meninggalkan diri.
Ada hal yang perlu Tari utarakan.
"Rian," seru Tari.
"Ya?"
"Kau rasa semua ini akan berhasil ke?"
Berkerut dahi Rian. "Maksud kau?"
"Kita, yang saling mendekati. We're good friends since forever. Kau rasa kita mampu ke capai hati satu sama lain? Melebihi batas seorang sahabat?"
Lidah Rian menjadi kelu. Bauan tumis ayam masak merah yang manis sama sekali tidak memulihkan pahit di hujung lidah. Kali kedua perasaannya dibongkar begitu sahaja oleh gadis itu, Rian mahu mengumpul kekuatan.
Sudah tiba masanya untuk dia juga menapak keluar daripada tirai kiasan hati.
"Dari dulu lagi, hati aku kat sini saja. Selalu ada. Tak apa kalau kau takut atau tak yakin. Kita boleh sama-sama usaha, Tari. As long as you are ready to make it happen with me. Kau sudi tak?"
Tari menghela nafas dalam. Apa yang dituturnya tadi hanyalah mukaddimah sejuta soalan.
"Kau tahu aku masih struggle dengan aku punya mental health. What if because of me, at the end we aren't happy? Kau masih nak ambil risiko ini?"
Senduk dalam genggaman Rian letak di dalam besen di sebelah dapur. Sarung tangan ditanggalkan. Dia bangkit lalu berdiri menghadap Tari.
"Aku tahu. Dan aku masih akan pilih kau. Kau bukan risiko, Intan Mentari. Kau peluang yang aku tak nak lepaskan."
Selangkah, Tari mundur. Dia menekur tikar mengkuang yang dihampar di bawah khemah. Warnanya merah. Bunganya kuning. Tiada hijau yang meyakinkan hati untuk membuat keputusan.
"Kau tahu? Aku tak percaya satu benda ini tapi ia selalu berlaku dalam hidup aku. Any happy moment in my life will brings bad luck. Hari ini hari penting untuk aku. Aku nak berhati-hati. Jadi, boleh tak kau bagi aku masa? Aku akan bagitahu jawapan aku di lain hari."
Rian meleretkan senyuman seraya mengangguk perlahan. Mampu membicarakan hal hati sudah menjadi pencapaian besar buatnya. Cukuplah untuk hari ini. Jiwa Rian sedang dipenuhi kuntuman bunga-bunga yang harum.
Gadis itu berlalu pergi, turut membawa separuh warasnya. Rian tersengih sendiri.
"Amboi, dua merpati sejoli. Suka kau, ya? Cakap campur-campur Bahasa Inggeris ingat akak ... faham? Melepas aku nak simpulkan perbualan kau orang."
Teguran lantang dari bawah khemah buat Rian lekas berpaling. Ada Jaja dan Miyah di situ yang saling melopong. Liur kesat ditelan Rian. Sengihnya hilang digantikan senyuman kekok.
"Bahasa orang muda, Ja. Manalah kita yang tua nak faham. Tambah pula telinga pun tak berapa nak dengar dah," ujar Miyah seraya menghulurkan sebaldi kecil acar timun kepada Rian. "Bertuah punya budak. Datang minta acar tapi begitu saja perginya. Kau bawa ke depan, Yan."
Baldi itu disambut Rian dengan anggukan kecil. "Baik, mak ngah."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro