Angka pada skrin telefon menunjukkan enam setengah petang. Langit masih cerah, barangkali ingin lama melayan senja.
"Maghrib lambat sekarang," tegur tok wan apabila melihat Tari mengerling telefon.
"Tahu. Sebab itu tok wan tak terkejar nak bersiap pergi masjid."
Lama mereka membuang pandang ke dada langit. Awan putih yang tebal sedikit kekuningan. Menyambut pulang matahari di ufuk barat.
"Kat sekolah bukan ke dia belajar sama dengan Tari ke?"
"Dia? Siapa? Kita nak bercakap pasal Rian lagi ke ini?"
Tok wan yang diam memberi kesimpulan bahawa telahan Tari benar.
"Itu zaman bila, wan? Lima enam tahun lepas. Dah masuk universiti, kita orang belajar benda berbeza. Tari ambil bisnes. Mamat itu kalau tak silap masuk fakulti sains sosial. Jurusan apa ... malaslah nak ingat."
Tok wan mengengsot ke belakang dan bersandar ke dinding dek kekenyangan.
"Apa yang ufti uftinya? Kat kerajaan mana dia pergi belajar?"
Tari menepuk dahi. Nafas ditarik dalam sebelum dia menjelaskan semula dengan terma yang lebih mudah kepada tok wan.
"Dari tadi tanya pasal Rian. Dia itu suku sakat Nek Timah, anaknya Che Uda. Tak ada ke soalan-soalan untuk cucu tok wan ini?"
Terjuih bibir kecil tok wan.
"Dah selalu jumpa. Tok wan tahu banyak pasal Tari."
"Apa yang selalunya? Orang dah empat bulan tak balik. Lepas itu bila dah habis semester akhir lagi tiga minggu ini, Tari ada latihan industri selama enam bulan. Lagi susah nak menyelit pulang ke kampung halaman tercinta, tau!" adu Tari.
Beremosi dia apabila dicucu tirikan oleh tok wan begitu sahaja.
Tok wan ketawa halus. Lengan Tari digosok-gosok tanda memujuk. Perbualan diteruskan kepada topik kehidupan sehari-hari Tari di kolej. Segala hilaian dan dekahan di anjung, terlepas dari bibir mungil Tari.
Dia tidak mahu waktu berlalu. Tetapi hakikat masa itu pencemburu, raut senja semakin jelas.
"Tari gerak dulu, wan. Kalau sempat singgah esok, Tari datang. Nak kena cepat sebab ibu ada pesan barang dapur."
Tangan tok wan disalami Tari. Wajah tanpa kedut kecuali labuh lemak-lemak pipi dicium Tari bertalu-talu.
Mereka berlambaian sebelum Tari berbasikal ke kedai Kak Jaja. Senarai pesanan ibu yang panjang cepat disiapkan oleh Tari. Usai menerima baki bayaran, terkedek dia menjinjing dua plastik besar.
Termenung Tari di hadapan basikal.
"Sepatutnya aku datang dengan lori tadi." Meleret keluhannya.
"Nak aku tolong?"
Tari menoleh pada suara yang menegur. Siluet hitam lelaki tinggi lampai membelakangi matahari senja berjalan mendekatinya. Semakin lama semakin jelas mata jernih yang membalas renungan Tari.
"Tak apa. Boleh saja ini."
Plastik diletak pada kedua-dua pemegang basikal. Tergugat basikal tua dibebani begitu. Cepat-cepat ia ditahan Tari daripada rebah menyembah bumi.
"Aku datang dengan motor."
Lelaki yang menuding motornya itu membawa sorotan Tari ke arah yang sama.
Pada motor dan basikal, Tari pandang bersilih ganti. Sama-sama tua kerepot dan berkarat. Terlepas tawa kecil di hujung bibirnya.
"Tergamak kau, Rian. Motor zaman Jepun itu tak berapa larat dah. Entah-entah sempat bawa kau balik sampai rumah saja," seloroh Tari seraya naik duduk di pelana yang koyak rabak kainnya.
Rian tergelak sama.
"Okeylah zaman Jepun. Kau? Basikal Parameswara."
Tari membeliakkan mata. Mulut terbuka mahu membalas tetapi dia sudah kekeringan idea. Bibir berjahit kembali lalu dia memberi seulas senyuman tipis.
Masing-masing kemudiannya membisu. Semilir janggal berpusar di antara mereka berdua. Dia mengerling Rian yang turut meliriknya.
"Hmm ... kau pun cuti minggu belajar ke?" Tari bersuara. Tidak betah dengan sunyi.
"Ya, sampai lusa. Lepas itu kena balik Bangi."
"Aku pun. Cuma awal sikit. Pagi esok gerak sebab nak sampai Kuantan awal. Abah akulah. Nak balik hari kata dia. Ada mesyuarat geng ketua kampunglah apalah. Selalu tak menyempat," leter Tari sebelum perasan bahawa dia terlebih berkongsi info. Bibir lekas dikunci.
"Maksudnya dia kuat lagi nak aktif jadi tok ketua. Kalau Mak Ngah Miyah macam mana? Sihat? Tok wan?"
Rian mula bersilang tangan. Memberi fokus pada Tari.
"Alhamdulillah, sihat walafiat semua. Tok wan itu, kalau bertanding larian pecut 100m dengan Imran pun dia boleh menang tau. Aku sebenarnya dari rumah dialah ini. Tok wan asyik tanya pasal kau. Kalau kau ada masa, pergilah jenguk dia. Dah bosan sangat dia kat rumah itu."
Perihal tok wan diperisakan sedikit dengan harapan Rian benar-benar menziarahi wanita lewat 80-an yang tentunya kesepian. Sudah diajak
"In sha allah. Lama gila tak jumpa tok wan. Kali terakhir pun masa terserempak kat masjid raya tahun lepas. Esoklah aku cuba cari masa. Eh, tok wan makan lagi tak nasi lemak sambal sotong Kak Jaja? Macam nak belikan untuk dia."
Bersinar mata Rian. Dia masih ingat makanan kegemaran tok wan yang satu itu. Kening terjongket tinggi apabila Tari keras menggeleng.
"Nasi lemak sambal kosong boleh. Lauk liat macam itu gigi dia tak lut dah. Dengan gigi palsu pun dia tak berani nak makan."
Meletus tawa mereka berdua serentak dengan nyalaan lampu di seberang jalan. Gigi putih setiap seorang tampak lebih terang pada hari yang beransur malam.
Tari mendongak ke langit yang keunguan. Matahari sedang terbenam menyediakan diri untuk memulakan tugas di sebahagian lagi bumi. Tari tertanya akan mengapa masa terlalu gopoh berlalu.
"Oi, merpati dua sejoli," seru Jaja dengan meleret di muka pintu kedai. Hanya kepala yang terjengul. "Akak dah nak tutup kedai. Kau berdua tak nak balik lagi ke? Nak masuk Maghrib ini banyak syaitan. Bahaya. Tidak iblis, nafsu."
Berbunyi lancang kebenaran yang dituturkan oleh Jaja.
Tari mengetap rahang. Panas bagai dipanggang pipinya. Kata-kata wanita itu menjadi tamparan kedua untuk dia pada hari itu.
"Ya, ya. Nak baliklah ini. Pergi dulu, Rian!"
Terkocoh-kocoh dia mengayuh basikal meninggalkan Rian yang turut menerpa motor.
"Baru nak beringat, kan? Akak nampak, bang oi. Suka itu sukalah juga. Ada batas yang kena jaga. Apa orang panggil? Ikhtilat," tambah Jaja ketika mengunci pintu kedai.
Rian hanya tersengih. Ujaran itu ada menyentap hati. Tadi darah mudanya hendak melenting tetapi segera dia beristighfar.
"Baiklah, kak Jaja. Terima kasih untuk nasihatnya," balas Rian sopan. Helmet disarungkan. Motor buruknya terbatuk-batuk saat dihidupkan. "Balik dulu, kak."
"Bawa motor elok-elok!"
Sayup pesanan Jaja ketika motor sudah bergerak jauh. Rian hanya mengangkat tangan tanda dia menerima pesan.
Ekzos yang bising itu menemani sarat fikiran dan hati yang berat.
"Ya Allah, aku tak boleh move on lagi rupanya."
Wajah Tari yang merah padam tadi semakin diusir semakin jelas di layar ingatan.
Azan maghrib berkumandang. Rian memaksa pecutan motor lalu memasuki perkarangan masjid.
"Maghrib ini banyak syaitan. Tidak iblis, nafsu."
Pita suara Jaja sengaja diulang Rian dalam kepalanya.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro