
15. Pulang
"Peluang."
Tari bersandar ke tiang kaki lima bangunan. Tangan bersilang pangkah ke dada dan jemari menepuk kedua-dua belah bahu.
"Bagi peluang kat diri kau untuk cari jawapan, Tari."
Nafas ditarik dalam. Dalam buku lima dia genggam semangat. Tari mengerling pintu kaca klinik di belakang. Ia dibuka dan kedai nasi kukus ditutup. Mata melilau ke sekitar. Tiada sesiapa.
Waktu yang sempurna.
Kaki diangkat melaksanakan derapan pertama.
"Tari, awal turun makan? Selalunya makan bekal sandwic kat surau saja?"
Tari berpaling dan terpana. Sekumpulan besar rakan sekerjanya berada di belakang. Pada wanita yang menegur, Tari berikan sengihan.
"Terlebih lapar hari ini, Kak Nita."
"Awak mesti tak tahu. Kedai ini memang tutup hari Khamis. Jadi kami semua sepakat nak pergi kedai nasi ayam sebelah sana."
Terangguk-angguk Tari. "Banyak pula kedai makan kat sini. "
"Jomlah," ajak wanita itu.
"Jap, saya sebenarnya ... ."
"Jemput masuk ke Klinik Suria, cik dan encik semua. Hari ini kami ada agihan minuman percuma. Silalah ambil, ya?"
Pintu kaca klinik dikuak dari dalam memunculkan wanita berbaju kurung yang tersenyum manis.
"Rezeki jangan ditolak, musuh jangan dicari. Mari kita masuk sini dulu lepas itu gerak pergi kedai." Nita yang mengepalai kumpulan itu menyerbu klinik. Tari diheretnya bersama.
"Cantik klinik ini, ya? Tapi macam tak ada orang. Baik awak buka klinik yang sakit biasa-biasa saja. Kalau macam ini terus, tak untung." Nita mencapai sekotak air minuman.
"Terima kasih untuk perhatiannya. Yang datang sini pun sakit biasa-biasa juga. Cuma orang lain saja yang tak nampak sakit mereka. Sebab itu kita buka klinik. Manalah tahu kot pesakit itu datang nak dapatkan rawatan?" ujar wanita itu seraya melirik pada Tari.
"Oh, sakit apalah yang macam itu. Kita orang gerak dululah. Terima kasih untuk minumannya."
Nita sekali lagi menjadi kepala kumpulan. Sekelip mata klinik itu dikosongkan. Yang tinggal hanya wanita tadi, pembantu di kaunter dan juga Tari.
"Ya, cik? Ada apa-apa yang saya boleh bantu?"
Tari menggaru kepala yang berlapik tudung. Dengan teragak-agak dia menarik surat di dalam beg lalu diserahkan kepada wanita tadi.
Ketika surat itu disambut dan dibaca wanita itu, Tari bersuara.
"Saya bukannya nak datang sangat. Tapi doktor kat klinik itu yang sarankan saya ke sini. Saya ikut apa yang dia cakap saja," jelas Tari.
"Tak apa. Yang penting dah sampai sini. Selamat datang ke klinik kami. Saya Doktor Umairah, antara psikologis klinikal di Klinik Suria."
Mereka berdua bersalaman sebelum Tari dijemput ke biliknya. Umairah memulakan perbualan dengan rinci menyoal perihal nota yang dititipkan dalam surat yang diberikan oleh Tari.
"Saya ada kena buat apa-apa ke? Macam ... uh ... isi borang yang ujian Psikologi itu?"
"Awak tahu? Saya baru saja nak terangkan. Kalau awak berminat nak buat, boleh."
Tari tersenyum tipis.
"Saya memang selalu ambil tahu perkara berkaitan kesihatan mental. Jadi dah maklum pasal ujian-ujian Psikologi. Tapi ... ," jeda Tari sebelum senyumannya hilang. Dia berdehem. "Saya datang bukan sebab nak kata saya ada masalah mental ke apa. Cuma yalah, doktor klinik itu yang cadangkan saya ke sini. Saya ikut saja. Bukan nak sangat pun."
"Baik, saya faham. Awak boleh ambil borang kat kaunter depan. Lepas itu sama ada nak jawab kat dalam bilik atau di luar, ikut keselesaan awak," saran Umairah.
"Kat luarlah. Saya segan. Lagipun sebenarnya saya bukan nak kata yang saya ada sakit mental jadi buat ujian. Tak. Saya cuma rasa alang-alang datang, baik buat saringan itu," ujar Tari untuk entah ke berapa kali lalu bangun dan menuju kaunter.
Borang yang dihulurkan padanya diambil sebelum dia berlalu ke meja bulat di satu sudut. Jauh daripada pintu malahan kaunter. Tersorok juga di sebalik pokok bunga.
Item-item di dalam borang itu dibaca Tari dengan teliti. Menggunakan skala yang diberikan Tari meletakkan nilai pada setiap item tanpa berfikir panjang. Setelah selesai, dia menyemak semula.
"Apa pasal aku letak nilai tinggi-tinggi ini?"
Tari lekas bangun ke kaunter.
"Cik, saya nak minta borang baharu boleh? Sebab bila saya tengok balik, semua saya tanda yang situasi itu macam kerap menggambarkan diri saya. Saya rasa tak fokus masa baca soalan."
Gadis di kaunter menurutkan permintaan Tari. Apabila mendapatkan borang baharu, Tari menyorok lagi untuk menjawab. Seusai menjawab, dia ke kaunter lagi.
"Maaf sangat, cik. Saya rasa otak saya tak berapa nak hadam soalan. Kali ini pun saya letak nilai tinggi semua item. Saya nak borang lain."
Kali ini gadis itu sedikit ragu. Dia menoleh ke sisi apabila Umairah menguak pintu bilik.
"Tak apa. Bagi helaian baharu pada Cik Tari. Cik Tari, ini yang terakhir ya? Lepas itu kita sambung borak kat bilik saya."
Tari mengangguk dan mencicit ke penjuru klinik. Item dibaca buat kali ketiga. Kali ini dia sengaja mahu menanda situasi pada satu-satu item itu tidak langsung menggambarkan dirinya yang diwakili nilai kosong.
"Saya dapati diri saya sukar untuk ditenteramkan. Kosong."
Kali ini bacaannya laju. Sudah tahu apa yang disoal. Dia bangun. Tercegat lama Tari di situ.
"Aku tak suka tipu diri sendiri," bisik Tari. Dia menghempaskan duduk. Semua jawapan kosong dalam kotak diganti dengan nilai tiga.
Liur gugup ditelan Tari. Jikalau dia sendiri tidak percaya akan diri, entah siapa lagi yang berani memeluk haru di jiwa dan hati.
"Apa yang tak kena dengan saya sebenarnya, doktor?" Mendatar suara Tari di dalam bilik yang kecil tetapi lapang itu.
Umairah merapatkan tubuh ke meja. Jemari bertaut kemas. Renungan tenangnya menyambut kelam pandangan Tari.
"Mari kita sama-sama cari apa dan kenapa, ya? Saya kat sini akan bimbing awak hadapi masalah yang awak hadapi. Actually, you are doing so good by far. You acknowledge that there is something wrong with your mind, your body. By the time you know that you need help and seek for it, you already halfway to recover yourself."
Automatik Tari menampilkan senyuman. Tabiatnya membalas ujaran yang baik-baik untuk dirinya.
"Saya tengok inventori yang awak jawab tadi. Tiga kali awak jawab. Tapi akhirnya semua borang menunjukkan keputusan yang sama. I can say that you are in denial phase right now. Boleh saya tahu kenapa?"
Soalan Umairah seperti memaksa Tari membuka satu pintu yang siap-siap dikunci mangga olehnya. Ada rasa tidak selesa menyelinap di hati. Bukan kerana ditanya begitu tetapi dia yang enggan menjawab.
"Tak apa, Cik Tari. Ambil masa awak. Bila awak dah bersedia, saya ada kat sini untuk mendengarnya."
Wajah Umairah yang masih tenang Tari perhatikan.
Wanita itu bukan Miyah, si ibu yang akan merisaukan segala masalah yang dia hadapi. Yang buat Tari memendam kembali apa jua rasa yang singgah di hati.
Wanita itu bukan Indah, kakak yang akan membalun dia jika dia merepek tentang otaknya hilang.
Meen mungkin menjadi insan untuk dia meluah segala resah tetapi bukan selamanya mampu menadah seribu satu luahannya. Dan Umairah bukan Meen.
Juga bukan Cici yang sukar dia percaya untuk menyimpan rahsia di tempat kerja.
Umairah bukan sesiapa tetapi orang yang tepat untuk Tari pada saat itu.
"Saya tak boleh sakit. Saya kena kerja. Saya nak buang rasa sakit ini tapi tak tahu cara dia. At first I thought it is just a grieving phase but when I look back, it started way more early. Probably since my internship? Ia cuma bertambah teruk lepas tok wan saya meninggal. Saya tak rasa normal."
Mangga pintu yang pertama dibuka Tari.
Tekanan yang membarah akan melarat jika dia tidak mula menyentuh dan mengenalinya. Entah apa di sebalik pintu itu, Tari memujuk hati untuk bersedia.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro