Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

14. Maju Atau Mundur?

Solat di masjid. Nyaman. Makan di restoran. Sedap. Ambil udara di pinggir kota. Tenang.

Bibir Tari yang kering mencalit senyuman tipis.

"Babai, Cici. Terima kasih sudi bawa aku jalan-jalan. Bawa kereta elok-elok!"

Mereka berlambaian sehinggalah kereta Cici bergerak pergi dan hilang dari pandangan. Tari berpaling ke rumah. Gelap. Senyumannya pudar. Dia melangkah ke dalam rumah.

Pintu dikatup. Di situ Tari berdiri lama. Tidak semena, dia terjelopok. Udara disedut dalam-dalam tetapi nafasnya tidak puas. Dada ditumbuk berkali.

Ruang tamu yang sunyi tiba-tiba bergema dengan nada dering telefon Tari. Serentak itu, jantungnya berdegup laju. Peluh dingin merayap ke setiap inci kulit.

Ketar tangan Tari menggagau beg dan mengambil telefon. Nama Indah terpapar pada skrin. Ikon hijau diseret ke atas.

"Seharian aku cuba telefon kau. Kenapa reject call aku?"

Tari diam.

"Tak tahu," jujur Tari. Dia juga tidak tahu mengapa dirinya begitu. "

"Ibu suruh tanya kau okey tak? Semalam kau tak cakap apa sangat. Menangis pun tidak. Macam orang tak betul. Dia risau."

"Aku okey. Cakap kat ibu jangan risau. Along, aku ada nak buat sesuatu. Aku matikan panggilan, eh."

Tanpa sempat berbalas salam, Tari menekan ikon merah. Dia segera memeriksa sejarah panggilan. Ada puluhan panggilan daripada Indah, Meen, Izhan dan juga beberapa kenalan di tempat kerja yang sudah dia tolak.

Tari berasa janggal dengan diri sendiri.

Pada esok dan hari seterusnya sehingga genap sebulan yang lama buat Tari, diam-diam dia memendam rasa aneh itu. Kerja diteruskan tidak seperti kebiasaan. Dia tahu ada yang tidak kena dengan dirinya. Apakah ia, Tari tidak pasti.

"Kau tak nak pergi klinik?"

Cadangan Cici yang bernas di suatu hari yang menyerabutkan mengapungkan Tari daripada kekusutan. Ada satu tali yang kusut dalam kepala terlerai. Usulan Cici telah membawa Tari singgah ke klinik berdekatan pejabat ketika waktu makan tengah hari.

"Saya nak doktor scan tempurung kepala saya boleh tak?" Duduk sahaja di depan doktor, itu soalan pertama Tari.

"Kenapa, cik? Cik ada alami apa-apa kecederaan ke sebelum ini? Kemalangan ke? Terhantuk kepala ke? Ada?"

"Tak."

"Cik ada rasa pening atau kepala berdenyut teruk?"

Tari menggeleng.

"Sakit kepalanya di bahagian mana?"

"Tak ada. Cuma saya rasa otak saya ini ... hilang. Saya nak doktor scan untuk cek dia ada ke tak dalam kepala saya ini."

Doktor wanita itu mencarik senyum.

"Apa yang Cik Tari rasa sampai cakap macam itu?"

"Saya selalu rasa hanyut dan terapung. Macam tak dapat nak berpijak di bumi nyata. Saya banyak tak perasan rutin harian atau perkara di sekeliling saya. Bila buat kerja saya kena cek banyak kali sebab otak saya tak pick up. Dia hilang, doktor," ujar Tari dalam masih waras menilai betapa tidak logik kata-katanya.

Tetapi pada saat itu pun Tari terpujuk bahawa dia cuma bawa hati dan bukan otaknya.

Doktor menganggukkan setiap satu patah yang keluar dari mulut Tari. Dia menaip sesuatu pada papan kekunci.

"Ada lagi ke bahagian lain kat badan awak yang awak rasa tak selesa?"

Tari meletakkan kedua-dua belah tangannya ke atas meja. Dia tidak berbuat jenayah namun ada desakan di dalam diri memaksa dia menyerah diri pada wanita itu.

"Tangan saya selalu rasa kebas. Kadang terketar. Doktor rasa, adakah sebab otak saya dah tak berfungsi jadi sistem saraf pun down?" soal Tari senafas. Di hujungnya dia mengah.

"Tarik nafas dulu, Cik Tari. Tarik ... humph. Tahan kejap dan perlahan-lahan lepaskan ... fuh," ajar doktor itu sambil memastikan Tari mengikuti tingkahnya. "Baik, macam ini. Saya ada kenalan yang lebih pakar tentang keadaan awak. Klinik dia ada dekat-dekat sini juga. Daripada apa yang awak ceritakan, saya dah notakan dan saya akan buat surat rujukan untuk awak berjumpa dia. Boleh ke macam itu, Cik Tari?"

Tari mengeluh panjang. Maksudnya belum ada penyelesaian dan dia masih perlu hidup begini. Lambat-lambat Tari mengangguk sebelum dia sempat menyelit soalan, "doktor betul tak nak scan kepala saya dulu?"

Wanita berkot putih yang tidak lokek dengan senyuman itu hanya menggeleng. Senyuman itu pula berbalas tipis oleh bibir Tari. Rasa selamat menyusup ke hati dek apa yang dia merepek tadi tidak dihakimi sewenangnya.

Bersama surat yang diserahkan padanya, Tari naik ke pejabat. Waktu rehat sudah habis meskipun perut belum terisi. Sudah biasa, keroncong di perut Tari buat tidak peduli.

Cici yang sedari tadi menanti di meja terus menyerbu dia.

"Klinik Suria. Ini klinik yang kat hujung bangunan depan, kan?" Cici membuntangkan mata. Melihat Tari mengeyakan, mulutnya ternganga. "Itukan klinik untuk orang sakit mental!"

Mulut yang melopong itu terus ditekup Tari.

"Shush! Nanti orang dengarlah. Perlahan sikit suara kau itu."

"Kau sakit ... ," jeda Cici seraya jari telunjuk berpusing di kepala.

Ruang selamat di klinik tadi terus tenggelam dek kabus. Tari sekadar mengangkat bahu. Bebelannya tentang otak hilang kepada doktor tadi tidak diceritakan. Entah apa yang Cici akan labelkan pada dia jika mendengarnya.

"Bila kau nak pergi?"

"Entah. Ish, susahlah. Kalau aku pergi waktu rehat, mesti terserempak dengan geng pejabat yang selalu makan kat restoran nasi ayam kukus kat lot sebelah itu." Tari mendecit.

"Kau pergilah hari Khamis. Kedai itu tutup."

Dua pasang mata berbalas pandangan dengan rancak sinar harapan. Namun hanya untuk seketika Tari nampak peluang itu. Surat di tangan Cici diambilnya semula lalu disimpan ke dalam beg.

"Masih berisiko. Macam mana kalau ada sesiapa perasan juga? Mahu kecoh satu jabatan. Entah-entah sampai kena buang kerja."

"Oi, mulut itu! Negatif sangat," tegur Cici.

"Tak mustahil. Lagipun kita ini bukan permanent staff. Entah-entah tanpa sebab pun boleh bila-bila masa dibuang, apatah lagi kalau aku ada penyakit mental?" Sangkaan Tari menjangkaui normal. Memikirkan perkara buruk untuk diri bersedia dengan masa depan yang kelam.

Tari merapatkan kerusinya ke meja. Bersedia untuk menyambung kerja yang tidak pernah berhabisan.

"Jadi kau tak nak pergi?"

Cici dikerling Tari. "Tak kot?"

"Aku tak setuju. Kau ini tak faham lagi. Cuba dengar cabang masa depan yang kau ada sekarang. Kalau kau kerja tapi sakit, sia-sia. Kalau kau kerja dan sembuh, itu membanggakan. Kalau kau berhenti dan sakit, itu rugi. Kalau kau berhenti dan sembuh, itu peluang. Nampak tak?"

Mata Tari menyepet. "Nampak apa?"

"Terus sihat itu lagi banyak kelebihan. Lagipun, hilang kerja boleh cari. Hilang diri kau? Takkan jumpa kat mana-mana dah," simpul Cici.

Tari mengulum bibir. Sedikit bermuram dengan tujahan realiti Cici. Tari belum bersedia untuk kemungkinan terpaksa melepaskan posisi di tempat kerja yang diperolehinya setelah bersusah payah.

***

Khamis pertama. Gagal.

Baru sahaja Tari hendak menjejak kaki lima klinik, sekumpulan pekerja daripada jabatan pemasaran yang dia kenali berbondong-bondong melewati laluan yang sama. Rancak mereka bercerita tentang nasi padang yang dimakan di bangunan sebelah.

Panik Tari terus mengangkat kaki beredar.

Khamis kedua.

"Apa pasal buka pula hari ini?" Tercegat Tari di hadapan kedai nasi kukus yang beratur panjang pelanggannya. Dahi berkerut seribu.

"Hari lahir tuan kedai. Dia bukalah dan nasi dijual separuh harga. Marilah, Tari. Kita makan sama-sama. Awak jarang join kita orang. Tak apa. Kali ini, akak belanja," ajak salah seorang pekerja di jabatannya.

Tari hanya tersengih.

"Betul ke akak nak belanja?"

Gagal.

Khamis ketiga.

Tari gagal. Lagi. Kali ini klinik itu pula yang ditutup. Papan yang tergantung di pintu menyatakan bahawa tempat itu sedang dibaik pulih untuk dua minggu lamanya.

"Dahlah! Aku putus asa!"

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro