Second day - 5 Oktober 2017
Ketukan di pintu yang bertalu-talu mengejutkan Nia daripada tidur nyenyak. Kepalanya terasa berat seperti ada jarum yang mencucuk. Apabila dia cuba membuka mata, urat saraf di bahagian mata bagai tersimpul kemas.
Bayangan kejadian semalam terlintas di fikiran. Bulu roma meremang. Dalam keadaan bilik tidur yang gelap, entah kenapa dia merasakan ada mata yang memerhatikannya. Seram sungguh.
"Nia... bangun solat Subuh. Dah lewat ni. Nia...,"panggil Ibu dari luar bilik.
Dengan susah payah, Nia bangkit dari pembaringan dan berjalan menuju pintu. Dia tak larat. Badannya terasa sejuk hingga ke tulang hitam. Tombol pintu dipulas lemah.
"Nia. Cepat pergi solat Subuh,"ujar ibu tegas sebaik saja pintu dibuka. "Ish, kenapa muka pucat ni? Demam ke? Hah! Itulah... siapa suruh balik lambat? Dalam hujan pula tu. Kan dah demam ni."
Tanpa membalas seperti biasa, Nia pantas memeluk ibunya. Rasa tenang dalam dakapan hangat ibu.
"Sudah. Pergi solat cepat. Subuh dah nak habis ni." Ibu menolak tubuh Nia lembut.
"Ibu... demam."
"Kalau nak sembuh, pergi solat. Bersyukurlah Nia. Sakit itukan penghapus dosa."
Nia mengangkat muka memandang ibunya. Senyuman nipis diukir. Ibu dan kata-kata hikmahnya, seperti selalu.
"Baik, ibu."
* * * * * *
Nia menarik nafas perlahan. Tali kasut diikat kemas. Air botol mineral diteguk beberapa kali.
"Nia, kata demam. Sekarang nak keluar pergi mana pula?"
"Nak pergi jogging, ibu. Biar keluar semua peluh. Baru cepat sihat."
"Hati-hatilah kalau macam tu. Balik awal tau. Nanti boleh sarapan sama-sama."
"Baiklah. Kejap je ni. Pergi dulu ibu." Nia menyalami ibunya. Jam di tangan dikerling. 7:10 pagi.
Dia mula berjalan menuju taman yang berdekatan. Tempat kegemarannya setiap hujung minggu untuk beriadah bersama keluarga.
'Such a very nice place with a peaceful view,' bisik hati Nia.
Sungguh dia mensyukuri nikmat keindahan alam semesta yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Suasana pagi itu sungguh hening dan menyamankan. Menghirup udara segar adalah terapi terbaik. Kawasan taman yang masih lengang dipandang dengan penuh semangat. Dia lebih suka begini.
Nia mulakan aktiviti dengan senaman ringan. Setelah lima minit, dia mula berjoging mengelilingi tasik yang terbentang dengan luas. Pokok yang ditanam sepanjang laluan menambahkan aura yang menenangkan.
Tidak seperti biasa, Nia menghabiskan satu pusingan sejauh 2 km itu dalam tempoh 15 minit. Walhal selalunya dia hanya mengambil masa selama lapan minit.
Nia kini berada di titik permulaannya semula sambil termengah-mengah. Nafasnya terasa sesak.
'Satu pusingan je lagi, Nia. Kau boleh! Nia boleh! Malaysia boleh!'
Tapi semangatnya pudar kerana air mineralnya sudah habis. Sudahlah tekaknya kehausan. Kedai di sekitar taman pula masih belum dibuka awal pagi.
Peluh di dahi dilap dengan hujung baju. Nia mendekati bangku berdekatan yang berhadapan dengan tasik. Penat. Sebaik sahaja mahu duduk, dia perasan akan sesuatu.
Ada sebuah beg hitam yang terletak elok di sebelah bangku itu. Beg siapa agaknya Tanpa menghiraukan ia, Nia duduk sambil meminum setiap titisan akhir air dari botol mineral. Dahaga!
Sedang ralit menikmati keindahan alam, angin mula bertiup perlahan.
"Argh... tetiba rasa sejuk. Hari ini nak hujan juga ke?" Nia mendongak ke langit. Tak ada tanda nak hujan pun.
Langit semakin cerah dan berwarna kekuningan kerana matahari mula memunculkan diri. Tirai cahaya diserakkan. Nia mengucapkan rasa syukur kerana masih mampu melihat keanggunan matahari.
Bunyi tapak kaki dari belakang mendorong Nia untuk berpaling. Tapi tiada sesiapa. Dia mula berasa tak selesa. Badannya berpeluh sejuk. Keinginan untuk pulang berkobar-kobar dalam hati.
Sebaik saja dia bangun untuk meninggalkan taman, bahunya merempuh seseorang.
Lelaki misteri semalam.
Masih dengan pakaian yang sama.
Redup pandangannya juga masih sama.
Rupanya beg hitam tadi milik lelaki itu. Nia melihat dia menyandang beg tersebut di bahunya.
Seperti kelmarin, wajahnya masih tidak jelas kerana penutup muka yang dipakai.
Kaki Nia dirasakan lemah longlai. Mukanya sudah pucat tak berdarah. Melihat lelaki ini, dia teringat pula akan teksi...
Ngeee...
Nia berundur selangkah. Kemudian selangkah lagi. Dan terus berpaling ke belakang lalu berlari selaju yang mungkin. Mengalahkan pelari pecut negara.
Setelah agak kejauhan, dia berhenti dan memandang ke arah lelaki itu semula. Dirinya masih diperhati. Lelaki itu langsung tak berganjak daripada bangku.
"Kau apahal tengok aku? Psiko!" Nia berbisik sebelum menyambung maratonnya.
Nia berhenti berlari apabila matanya berpinar. Kepala semakin berdenyut sakit. Ketika berada di lorong rumahnya, sebuah kereta MyVi berhenti. Tingkap kereta diturunkan. Terpacul muka Kak Ros, jiran sebelah rumah.
"Nia, pergi mana pepagi ni?"
"Pergi joging kat taman. Exercise sikit. Akak nak pergi mana?"
"Pergi pasar. Mak suruh akak belikan lauk untuk masak hari ni."
"Oh...." Nia mengangguk kepalanya.
"Nia, betul ke Nia pergi jogging? Ke... pergi dating? Haa... bagitau ibu Nia karang baru tau."
"Mana ada dating. Tak nampak ke orang dah berpeluh ni? Dating amendenya kalau boyfriend pun tak ada."
"Ya ke? Habis yang asyik ikut dan perhatikan Nia dari tadi tu siapa?"
Nia berpaling ke arah yang ditunjukkan Kak Ros.
Gulp!
Liurnya ditelan kesat. Lelaki itu lagi!
"Mana ada, kak. Nia tak kenal dia. Entah dari mana datangnya."
"Benar atau tak, hanya Nia, dia dan Allah Swt je yang tahu. Jadi, Nia jangan buat benda tak elok. Dosa. Okey, bye... Akak minta diri dulu."
Setelah memberi tazkirah ringkas, Kak Ros meninggalkan Nia terpinga sendirian.
Apa yang menimbulkan rasa tak puas hati, lelaki itu masih tercegat berdiri memandangnya.
Kalau diikutkan hati hendak saja dia serbu lelaki itu dengan soalan-soalan KBAT. Tapi memandangkan lelaki itu ada kaitan dengan kejadian semalam, Nia membatalkan hasratnya.
Tanpa menghiraukan lelaki itu, Nia berjalan pulang ke rumah.
Dari dalam rumah, Nia mencari kelibat lelaki misteri. Namun tiada.
Macam mana dengan keselamatan diri dan keluarganya? Lelaki itu mungkin saja pembunuh atau penculik bersiri.
'Apa kau nak buat Nia? Kau dah dedahkan tempat tinggal kau kepada penjenayah!'
"Nia tengok apa tu?" Ibu menegur dari belakang.
"Err... tak ada apa ibu." Bagi Nia, ibunya tak perlu tahu hal ini. Dengan harapan agar lelaki itu tidak lagi memunculkan diri.
"Dah. Pergi sarapan lepas tu makan ubat. Ibu dah letak panadol atas meja. Lepas habis makan semua, pergi tidur. Rehat."
"Kenapa kena makan ubat?" Nia bertanya dengan muka keliru.
"Entah. Ibu pun tak tahu. Tadi ada budak tu cakap dia demam,"ucap Ibu bersahaja.
Nia meletakkan tangan ke dahi. "Tak demam pun. Dah sembuh kot. Tak payahlah makan ubat."
"Hesy... tak boleh. Kena makan ubat juga. Biar betul-betul sembuh dulu."
"Baik ibu...."
Tangan menyentuh dahi sekali lagi. Tak rasa apa-apa pun. Kepala juga sudah tidak berdenyut. Badannya sudah berasa sihat dan ringan seperti sediakala. Tak berpuas hati, Nia ke bilik untuk mengambil alat pengukur suhu badan.
37° Celcius. Suhu badan normal.
Peliknya...
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro