Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

TEASER 3

‘‘FEESA, cuba kau pandang depan,’’ arah Aliya sambil matanya tidak lepas memandang merpati dua sejoli yang sedang sakan berborak tidak jauh dari mereka.

Nafeesa berhenti melangkah apabila lengannya ditarik Aliya. Mendengar arahan sahabatnya itu, kepala lantas ditoleh ke arah berkenaan. Figura Aariz dan Lina menarik perhatian mereka.

‘‘Aku pelik sebenarnya dengan si Aariz ni. Dia suka kacau kau, pandang kau senyap-senyap dalam kelas tapi pada masa yang sama, dia rapat dengan Lina. Dia ni playboy ke apa?’’ ujar Aliya sehingga timbulnya kerutan pada dahi.

Nafeesa di sebelah diam tidak berkutik. Tangan mencengkam hujung baju kurung yang dipakai. Dipandang manusia di hadapan mereka sehingga mahu tembus.

Tanpa dia sedar, ada satu perasaan halus sedang menyelinap masuk ke dalam ruang hatinya. Jangan ditanya perasaan apa kerana dia juga tidak tahu dan tidak mahu tahu. Yang pasti, niatnya datang ke tempat ini hanya untuk menimba ilmu dan mendapatkan segulung ijazah yang hendak dihadiahkan kepada keluarganya.

Cinta? Lambat lagi.

Aliya memandang ke sisi apabila merasakan tiada tindak balas yang diberi. Nafeesa sedang asyik memandang ke arah pasangan itu.

‘‘Kau okey tak?’’ soal Aliya sambil menepuk lembut bahu Nafeesa.

‘‘Okey,’’ jawabnya perlahan untuk menutup kegugupan yang melanda diri. Senyuman palsu ditayangkan untuk menutup rasa ganjil yang datang bertamu.

‘‘Betul kau okey?’’ Ulang Aliya sekali lagi. Nafeesa kelihatannya sedang cuba menyembunyikan sesuatu.

‘‘Ya, aku okey.’’ Satu senyuman nipis digariskan untuk menyakinkan rakannya.

Nafas disedut dalam dan dihembus panjang. Pada masa yang sama, dia cuba membuang segala spekulasi yang mula bertapak dalam otaknya.

‘‘Kau… cemburu?’’ soal Aliya tidak percaya. Tidak lama selepas itu, tangan menekup mulut rapat.

‘‘Apa kau ni? Tak ada masa aku nak cemburulah,’’ nafi Nafeesa keras.

‘‘Kau tipu! Aku kenal kaulah. Baik kau mengaku cepat. Kau suka dia kan?’’ Jari telunjuk dihala tepat ke arah Nafeesa.

‘‘Memang taklah! Kau ingat dia sorang je ke yang hensem dalam kolej kita ni? Dah aku nak balik bilik. Melayan kau ni sampai esok pun tak sudah,’’ rungut Nafeesa meneruskan langkah meninggalkan Aliya terpingga sendirian di belakang.

‘‘Tapi, aku tak cakap pun dia hensem.’’ Aliya menggaru kepala di sebalik tudung yang dipakai. Bila masa pula dia puji Aariz?

‘‘Hei, tunggu akulah!’’ Dia berlari anak mengejar langkah sahabatnya yang sudah jauh ke depan.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro