MHS : 89
"SAYA cari awak bagai nak gila, sayang. Sini rupanya sayang pergi." Bahu Erisha terasa basah. Pasti angkara drama air mata Tengku Hael. Murah benar nilai air mata seorang lelaki bernama Tengku Hael.
Encik Razlan menjadi perhatian. Oh, inikah bukti jelas betapa Encik Razlan menyebelahi Tengku Hael? Apa yang dia enggan, menjengah di depan mata gara-gara Encik Razlan mengasihani orang luar.
"Inilah peluang awak, kan? Awak tahu semua orang berpihak dekat awak, sebab tu tanpa segan silu awak cari saya dan harapkan saya berlembut dengan awak? Kononnya apa yang semua orang cakap dah menyedarkan saya yang apa saya buat ni salah, keji?"
Cemuhan orang awam di hospital tadi, masih lagi terngiang-ngiang. Erisha menghempaskan kain tuala ke lantai. Pelukan langsung terlerai.
Erisha menyeka air matanya. Semua orang di situ berkata buruk tentang dia. Encik Razlan turut menyalahkannya.
"Sayang," panggil Tengku Hael seraya merentap tangan Erisha. Terhenti langkah Erisha dan terus berpusing mengadapnya.
"Lepaskan sayalah." Erisha meronta.
"Orang cakap apa pun, sayang tak bersalah pun bagi saya. Saya yang salah... cukup pengakuan saya sajalah yang sayang pandang, jangan fikirkan orang..." Belum sempat meneruskan kata semangat untuk Erisha, Erisha memintas.
"Awaklah yang saya paling pandang, Hael. Saya bukan nak pengakuan saja daripada awak, saya tak nak awak berharap dalam hubungan ni, sebab awak berharaplah awak bawa saya sejauh ni," luah Erisha dengan takungan air mata yang mulai melimpah.
"Nanti saya ambil cuti untuk bawa sayang jumpa mama sepertimana sayang nak," usul Tengku Hael. Hatinya rapuh menyaksikan deraian air mata Erisha. Janganlah menangis, sayang.
Gelora Erisha surut. Dia mendongak, memandang sepasang mata itu.
"Bila?"
Tahulah dia, Erisha benar-benar mahu meneruskan niatnya. Salahkah dia menghalang, Ya Tuhan? Dia cuma tak mahu Erisha melalui derita lagi. Tapi, dia perlu sedar. Dialah derita terbesar buat Erisha.
"Buat masa ni... Raes banyak check up. Esok pun Raes kena check up. Minggu depan boleh?" Tengku Hael mengesat lembut air mata Erisha.
"Boleh." Dia tidak lagi meronta. Kelihatan beransur tenang.
"Tapi dengan satu syarat." Tengku Hael jeda.
Erisha tidak bersuara. Dia hanya menanti perkataan Tengku Hael seterusnya.
"Izinkan saya mencintai sayang selama masa yang ada. Saya nampak sangat yang hubungan ni akan berakhir walaupun seberapa banyak pun saya merayu," pintanya disusuli alasan. Wajahnya serius, tak seperti beberapa hari lepas yang ketara sedih dalam pertuturannya.
"Awak yakin awak boleh lepaskan saya dengan mudah bila semua hal saya selesai?"
"Ya sayang. Itu awak nak, kan?" Tengku Hael meraih perlahan tubuh itu ke dalam dakapan.
Dia memeluk demi menyembunyikan tangis daripada insan yang lemah sepertinya, menjadi pandangan seorang wanita yang enggan cintanya lagi.
"Saya tak pernah jadi yang terbaik buat sayang. Saya fikir semua yang saya buat untuk sayang, dah memadai. Tapi, tanpa saya sedar melalui kebenaran yang awak dah jelaskan, saya dah bawa kecewa dalam hidup sayang. Dalam pada tu pun, saya menjadi pembimbing yang ada kalanya tak selalu berjemaah dengan sayang. Kita banyak sibuk bekerja," bisik Tengku Hael satu per satu. Di mana ada kesalahan yang dia sedar, dia ungkap. Erisha sendiri, tak pernah terdetik keadaan itu mereka kurang lalui bersama.
"Saya nak selama beberapa hari yang ada, untuk menjadi lelaki versi terbaik untuk sayang. Suami yang membahagiakan sayang dari segi zahir. Sebelum ni, kita tak ada quality time untuk pilih keperluan sayang bersama-sama. Saya je kan beli atas talian. Lepasni, saya bawa sayang pergi beli baju, beli tudung, beli semua keperluan sayang." Kedengaran jelas giginya berlanggar. Mungkin dia sedang menahan tangis.
Dia mengenali Tengku Hael, mustahil lelaki itu akan mudah menerima perpisahan. Pasti ada saja permintaannya.
"Boleh tak kita lalui permintaan saya selama beberapa hari terakhir ni?" Dia merungkaikan pelukan. Sepasang matanya laju sahaja memandang wajah wanita yang dicintai itu.
"Kalau itu yang boleh saya buat jugak selama masa yang tinggal sebagai seorang isteri, bolehlah jawapannya. Sekurang-kurangnya bila dah bercerai, di saat terakhir saya dah jadi isteri yang menunaikan tanggungjawab. Tapi, hanya sekadar keperluan awak jugak, bukan batin."
Hatinya hancur punah. Bercerai? Mudah Erisha menyebutnya. Hendak dia merayu. Dia tak sanggup berpisah. Sehari hilang dia dah tak menentu. 10 tahun berpisah, raganya pasti tercarik.
"Faham, sayang." Wajah itu dibelai penuh kasih. Andaikan aku mampu menyentuh paras rupa itu sampailah akhir nafas.
"Atas nama Allah, saya cintakan sayang sepenuh hati. Sayang hidup baik-baik lepasni, kalau sayang sedih disebabkan apa-apa pun yang membawa sayang dalam rasa tak ada siapa sayangkan sayang, ingatlah saya tak pernah putus cintakan sayang, cinta saya sentiasa ada buat sayang. Nak saya datang untuk mendengar luahan sayang pun saya boleh." Kepala Erisha diusap perlahan. Ya Allah, sejauh manapun isi hatinya, benci atau enggan dengan aku, di hati aku sebaliknya.
Dia isteri yang baik. Aku nampak semua tu dalam diri dia. Aku kenal dia dah lama. Kerana dendam, kebaikannya pudar. Engkau jauhkanlah dia dari dihisab api neraka. Aku ampunkan segala dosa-dosanya.
"PAK Ngah cakap, dia dah dapat info tentang ibu. Inn Shaa Allah... dalam dua tiga hari dia tahulah lokasi ibu." Tengku Hael bersuara usai bacaan doa. Sudah dua hari, mereka mengerjakan solat berjemaah bersama-sama.
Tengku Hael selalu pulang ke rumah selepas sahaja bunyi azan berkumandang. Tak kira la zohor mahupun asar. Padahal hanya beberapa minit sahaja sebelum waktu pulang.
"Kenapa dia tak cakap dengan saya je? Keji sangat ke saya ni? Perbuatan aje kan yang buruk sangat, ni sangkut paut saya sekali." Nadanya berbaur meluat.
"Tak baik buruk sangka macam tu. Pak Ngah cakap dia call sayang tak dapat, dia ingat sayang yang merajuk dengan dia. Dia kirim salam," tegur Tengku Hael seraya menyampaikan luahan terkilan daripada Pak Ngah. Dia rasa, Pak Ngah hanya menganggap Erisha tak perlu meneruskan dendam. Itu saja.
Apa sekalipun, Erisha berhak. Dia juga sentiasamengakui bersalah.
"Lepastu baik sangat ke orang yang fikir saya ni teruk? Ada ke diaorang masa saya lalui perit kehidupan saya? Tak ada, kan?"
Tengku Hael ada. Sentiasa ada. Dia boleh ada semasa Erisha mahu melahirkan arwah Zahra. Hanya kurangnya, dia tidak tahu sebegitu dalam. Dia hanya melihat dari jauh. Apa yang dia lihat, cuma bahagia. Teruknya dia. Dia sendiri tak pernah bertanyakan ketika mendengarkan perbualan Erisha dengan Kak Alia di meja makan beberapa bulan yang lalu.
Tapi, mampukah dia mendalami kebahagiaan orang yang dicintainya bersama orang lain? Sudahpun dilalui, masih membuatkan hatinya meluap-luap darah.
"Macam mana hidup sayang selama dengan Khairi?" Dia cuba ingin tahu.
Soalan itu, tak pernah terlucut dari bibirnya. Itu kisah lalu Erisha. Seorang suami tiada hak mencampuri. Semua itu akan menyebabkan pertengkaran.
"Hidup saya hancur." Erisha ingin berdiri.
"Ceritalah kejap, sebelum saya masuk kerja." Tengku Hael meraih perlahan tangan Erisha. Ya, tidak baik menyoal kisah lama. Tetapi, siapa tahu dia mampu lebih memahami Erisha dan boleh melembutkan hati Erisha dengan belaian kasih sayangnya yang jauh lebih baik berbanding Khairi.
"Semuanya derita. Pada mulanya je saya dapat kasih Abang Khairi, tak lama lepastu dia termakan hasutan Kak Alia. Apa saya buat, semua buruk pada mata Kak Alia. Bukan itu je, Kak Alia pernah buat saya hampir gugur. Dia mesin nenas lepastu masukkan dalam makanan, kuantiti nenas tu bukan main lagi banyak. Itu kali pertama dia bagi saya makan masakan dia."
"Ya Allah, apa jadi?"
Gugur? Betapa kejamnya wanita bergelar Kak Alia itu. Ya Allah, kerana itulah Erisha meluah sendu saat merasakan masakan Kak Alia.
"Saya hampir gugur kan saya cakap. Saya makan sikit je, buat rasa-rasa. Tapi, petang tu perut saya sakit. Dia gunakan cara tu dan fitnah, cakap saya ni sengaja nak gugurkan anak sebab saya kan paksa adik dia kahwin dengan saya. Padahal, adik dia yang datang dekat saya, dan nak bertanggungjawab." Erisha menggeleng mengenangkan nasibnya tika itu. Dia sudah tawar hati dan lali. Mahu mempertahankan diri, tapi tak berdaya. Sarat lagi.
Andaikan boleh putar masa. Aku sanggup menggalas tanggungjawab Khairi. Tak kiralah anak siapa pun. Bukan Erisha yang bersalah.
"Lepastu dia bawa dekat saya kopi, setiap hari, ada jugak dalam sehari, hampir bergelas-gelas. Dia selalu cakap dekat Abang Khairi tu air mata kucing. Saya pun bengang, takkanlah Abang Khairi tak boleh bau kopi semerbak tu. Ada la dalam dua tiga hari jugak saya muntah, dahlah pahit je."
Tengku Hael mencerna ingatannya. Dia pernah mempelawa Erisha minum kopi. Macam mana dia boleh terlepas fakta bahaya sebegitu?
"Masa sayang mengandung saya ada pelawa kopi. Sorry sayang." Tengku Hael mula dihurung rasa bersalah.
"Kopi awak sekurang-kurangnya sedap, ada saya susu. Dia buat tu pior pahit kopi. Awak buat pun sekali je, ini Kak Alia. Sikit-sikit kopi." Dia memang tak boleh lupa. Macam-macam idea licik Kak Alia.
Erisha jarang mengadu sakit. Andai dia terlepas mana-mana tanggungjawab menjaga dia sebaiknya, ampunilah aku Ya Allah. Terima kasih kerana berkat kasihMu, dia masih cekal bersama aku.
"Sayang tak pernah cukup makanan masa dengan Abang Khairi?" Rambut Erisha diselit ke belakang cuping telinga. Luahan Erisha tersirat tadi ditangkap, menginap ruang tanya di dalam hati.
"Makanan ada aje. Tapi, Kak Alia duduk dengan kami. Dia sajalah masak. Dia tak nak saya masuk dapur, katanya saya kan mengandung nanti jatuh ke apa." Walhal Kak Alia menawar diri demi kemusnahan hidup Erisha.
Sebelum dia melahirkan, dia jatuh gara-gara Kak Alia sengaja mencuci pakaian di dalam bilik air, muslihatnya mesin rosak. Lantai tak nampak licin, sekali pijak nasibnya tubuh menjengah lantai. Kuat. Khairi pula sudah hilang perhatiannya. Tuhan saja menyaksikan detik dia merasakan sakit dan melalui tanda-tanda bersalin. Kak Alia benar-benar teruk.
Ah, Kak Alia sudah meminta maaf. Tak perlulah sindir sangat wahai hati.
Kasihan isterinya. Andai dia tahu semua ini hari mereka di kampung Khairi. Mati lelaki itu dikerjakannya. Soalannya tak terlalu menjawab, Erisha masih tak mengakui pengambilan makanannya selama hidup bersama Khairi. Khairi tidak tahukah tanggungjawabnya?
Sudahlah dibiarkan Erisha menjamah makanan kakaknya. Mana pergi akal lelaki itu? Ditelan angkara terhasut cerita yang tak betul? Andai Erisha inginkan aku, dia tak pilih kau sebagai suaminya! Dia berdendam, semestinya aku pilihan untuk terima hal keji kau buat. Tapi, dia dah pasrah dengan perbuatan kejam mama aku. Boleh kau terhasut dengan cerita bodoh kakak kau? Begitukah cinta? Kalau cinta, perkara kecil pun kita peka.
Ada juga, Tengku Hael tak peka. Terutamanya berterusan menyimpan rahsia lalu, sehingga Erisha menaruh perasaan benci terhadapnya. Dia sama saja seperti Khairi, membiarkan hal menyakitkan menjengah hidup Erisha iaitu mama.
"Sayang gembira tak dengan layanan saya masa saya jaga sayang masa mengandung?" Tengku Hael masih menyambung, matanya merah. Dalam hati, perasaannya bercampur. Dia mengasihani cintanya dan dia berjuang mencari perbezaan demi cintanya. Setidaknya dia kuat demi beberapa hari yang tinggal.
"Saya bersyukur. Sekurang-kurangnya ada orang menghargai penat lelah saya."
Sepanjang Erisha mengandung, wanitanya itu sentiasa terjaga. Penat lelah, susah hendak berkunjung. Kecuali, sibuk nak pergi kerja ketika sarat. Comel saja isterinya sewaktu itu. Bolehkah dia berbangga dengan perhatiannya ini? Bagaimanapun dia tetap dibenci.
"Saya akan sentiasa menghargai sayang. Cuma saya minta maaf, saya ada terlepas untuk tanya sayang apa sayang nak masa mengandung, mengidam," ucap Tengku Hael memaksudkannya. Satu itu, dia ingat. Kalau tak, memang Erisha tak ungkit semasa duduk di rumah Kak Alia. Tak ada istilah buat cerita, Erisha kalau ungkit, memang betul dia terkesan.
Sekecil-kecil salah pun dia dah buat. Kesalahan besar yang sering diungkit oleh Erisha? Lagilah dibenci.
"Yang saya marah dekat rumah Kak Alia tu, sebab awak tak bagi saya makan makanan berat, kan? Rendang kan berat." Dia tak terlalu terkesan. Lainlah waktu raya.
"Sekarang ada rasa tak yang sayang nak makan apa-apa? Saya boleh buat, dan... Kita boleh berkelah. Saya cuba siapkan kerja before 5." Entah mana idea itu datang. Tak semena-mena menerpa fikiran. Dia ingin menghakis, setidaknya sebesar hama pun jadilah selama masa yang ada.
Lagipun, dia ada buat carian meluangkan masa bersama isteri. Semestinya, satu daripada senarai aktiviti menawar pilihan. Hatinya berharap.
"Esok je la." Jawapan Erisha mematahkan sedikit semangatnya.
"Petang ni la sayang. Sayang mesti bosan je duduk rumah. Kita tinggalkan Raes dekat Aiza, kejap lagi saya cakap dengan dia. Aiza ada cakap, dia minta nak tambah jam, sebab dia perlukan duit. Kebetulan kita bagi dia peluang rezeki. Tak lama, after tu kita pergi beli barang rumah je." Tengku Hael masih mencuba nasib.
"Awak tak penat ke? Semalam aje dah kerja sampai malam. Balik pun awak sempat lagi basuh kereta saya." Semangat Tengku Hael bukan bersenda. Semalam, lelaki itu pulang dan mengajaknya ke luar. Rupanya minta teman, mahu cuci kereta miliknya.
Boleh tahan lencun semalam, Raes terkebil-kebil dek ayahnya menjirus air.
"Saya basuh supaya tak kotor. Dah dua hari berehat. Mana tahu sayang nak pakai ke mana-mana sekitar sini. Saya boleh jalan kaki je gerak ke office."
Dia masih ingat bait kata Tengku Hael. Selepas kehadirannya semula, hal lain yang dia suka seperti motor dan kereta, sudah hilang makna baginya.
"Lama saya tak naik motor awak." Erisha menyalam tangan Tengku Hael sebelum menuju ke katil.
"Sayang nak ke?" Teruja nadanya.
"Minggu ni Hafiz datang, saya suruh dia naik motor saya je," ujar Tengku Hael lalu menyusul berdiri. Kaki sudah berlainan arah, tujuan mahu menggapai telefon.
Erisha enggan melarang. Nanti dilabelkan joy killer.
"Saya ada buat spaghetti cabonara, kegemaran awak," beritahu Erisha sambil mengemas katil. Sebagai balasan Tengku Hael mencuci keretanya.
"Sayang masak untuk saya?" soal Tengku Hael tidak percaya. Laju perut memainkan peranan.
"Ya. Saya tengok banyak sangat stok spaghetti. Tapi saya tak guna la yang tu."
"Sayang masak sendiri, kan? Lamanya saya tak makan spaghetti sayang masak. Itu sebab saya beli stok tin prego tu, itu je pengubat rindu."
"Saya tahu awak suka pasta segera daripada zaman kita universiti lagi. Tapi, jangan amalkan selalu. Alang-alang awak ambil, tengok dekat peti sejuk sekali. Saya ada tampal dah cara-cara dan bahan memasak, resipinya dan rasanya sama seperti yang saya pernah..." Bicara Erisha terjeda. Dia terasa tubuhnya dipeluk mengejut.
"Terima kasih sayang."
"Ya, kasih diterima." Kekok suara Erisha membalas.
Tengku Hael senyum tenang. Tuhan, sedikit inipun aku sudah merasa bahagia. Alhamdulillah.
Tangannya tak lupa meraih Erisha.
"Nak pergi mana? Saya nak kemas katil ni."
"Teman saya ambil spaghetti, dekat luar ada Aiza. Malu." Sengaja Tengku Hael menggunakan alasan itu. Jari tangan sebelah kanan masih ligat menaip mesej buat Hafiz. Tak jadi call!
"Malu apanya. Bukan saya yang ambil dia jadi pekerja. Awak tu yang ambil. Pergi je dapur, saya dah isikan spaghetti tu dalam bekas. Dalam pinggan pun saya dah isi. Air pun saya dah sedia, cuma buka peti sejuk je ambil. Sekejap saya menyusul."
"Kalau macam tu, saya kemas sekali dengan sayang," tukas Tengku Hael, kakinya mengubah arah. Bahu Erisha dipegang, seperti bermain anak ayam. Dia pula ikut belakang.
Erisha terlucut tawa kecil. Ada saja ragam dan agenda semata-mata mahu berkepit.
Jujur, jauh dari sudut yang terdalam di hati, wujud rasa gembira. Mungkin kerana dia sudah mampu berdamai seketika dengan Tengku Hael.
DERAP hujan menimpa atap zink berpadu dengan dentuman guntur di dada langit menandakan hujan semakin lebat. Erisha masih menunggu di ruang tamu. Dia risau, Tengku Hael belum pulang.
Katanya sebelum pukul 5, solat berjemaah pun belum. Tengku Hael perlu melawat tapak projek katanya, ada masalah.
Mata meliar di kawasan laut yang tidak jauh jaraknya dari rumah. Dia terfikir jugak waktu hujan-hujan macam ni tak naik air ke?
Erisha menongkat dagu di atas paha, setiap selepas 5 minit pasti matanya melirik tengok jam di pergelangan tangan.
Baru sahaja Erisha mengeluh, kedengaran suara Tengku Hael berteriak kuat. Erisha lantas bangun dari tangga dan berlari anak ke luar.
"Awak! Awak ke tu?" jerit Erisha kuat. Hujan yang lebat membatas penglihatannya.
Erisha cepat-cepat keluar. Selipar disarung seraya langkahnya menuju ke arah Tengku Hael. Lelaki itu selamba senyum dan mendepakan tangan. Hendak sahaja Erisha ketuk Tengku Hael menggunakan payung yang ada di celah jemari saat ini.
"Awak buat apa ni? Awak tahu tak hujan? Awak nak kena sambar dek petir? Sia-sia je mati katak."
Dagu Erisha dipagut seraya dia memandang wajah itu bersama senyuman paling manis. Alahai, adanya senyuman berlesung pipit itu, jelas kelihatan di mata ketampanan Tengku Hael.
Erisha enggan mempedulikan itu. Matanya menyapa baju Tengku Hael yang sedikit lencun. Kain batiknya dihamparkan ke belakang tubuh Tengku Hael, menutupi kedua-dua bahu.
"Sayang risaukan saya?" Dari dekat wajah bersih tanpa bendasing itu membuatkannya terpesona. Sungguh jelita isterinya.
Tengku Hael merapatkan tubuh ramping Erisha. Enggan Erisha terkena rintik hujan.
Erisha melarikan pandangan. Bimbang dia jatuh hati dengan senyuman itu dan mata Tengku Hael yang memukau.
"Saya cuma risau saya jadi janda," dalih Erisha cepat.
Tengku Hael tersenyum lagi. Perkataan menggembirakan ke?
Berapa ramailah yang akan menjadikan sayang pujaannya? Begitu mempersonakan. Dia tenang. Alangkah indahnya andai cuma dia memiliki detik ini buat selama-lamanya?
"Saya minta maaf sayang, hujan. Tak jadi picnic kita. Tapi, saya ada sediakan bilik menarik untuk sayang, dekat resort."
Dia sentiasa ada saja rancangan lain.
"Sekarang?" soal Erisha, tak percaya.
"Ya sayang, jom." Ketampanan Tengku Hael tak terbatas dek hujan. Wajah itu memagut seketika perasaan terpegun.
"Awak tukar baju dulu dan mandi. Demam belum baik lagi tau, jangan mengada."
Tengku Hael mengangguk manja.
"Thank you sayang risaukan saya." Walaupun tak jauh, payung pada pegangan Erisha beralih ke dalam genggamannya.
Boleh tahan sejuk hujan ni! Payung ada di lobi. Jauh jaraknya andai dari vila yang terletak di hujung resort. Senang dijelaskan, belakang resort. Dia pun satu, terus menonong menuju ke arah villa. Memang tak mungkin hendak mengubah arah ke lobi. Dia teruja ingin mempersembahkan kepada Erisha persiapan perkelahan. Dia mahu mengulangi detik mereka di resort dulu, tetapi dalam versi lebih membahagiakan.
Sudut bersebelahan villa itu terlihat seorang lelaki berpakaian hitam dan bertopi. Kelihatan lelaki itu menjawab panggilan. Rintik hujan lebat tak menganggu rentak suara panggilan itu. Suara seorang perempuan berusia.
"Awasi mereka lagi, pastikan jangan ada sesiapa. Hanya perempuan tu saja yang saya nak." Panggilan langsung ditamatkan.
________________________
WRITER COMMENT : Saya sukakan kebahagiaannnnn chapter inihhh. Agak-agak Erisha boleh terima setulusnya Tengku Hael lepas ni?
Saya bagi boleh, nak? Komen2😂
Saya ada baca komen sebelum ni, marah betul ek dkt erisha🫣tp kita pun sama🤧dah tulis pstu baca balik, geram dgn erisha. Tp saya tknk ada org ketiga di saat dh nak habis. Biarlah antara tg hael kuburkan perasaan dia atau peroleh cinta dia.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro