Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

MHS : 73

ERISHA membelai tangan tua itu. Tangan seorang ibu yang pernah menyusun kasihnya dengan sempurna. Tangan yang kini lemah, namun masih mampu memberi ketenangan kepada Erisha. Dia merasakan kehangatan dan kasih sayang yang tak pernah pudar.

"Hael tahu?" soal Kak Alia seraya membasahkan kain.

"Tahu pasal apa yang dah jadi 10 tahun lalu?" balas Erisha, memastikan pertanyaan itu. Dia tak berpaling, matanya kekal berpusat pada Makcik Saadah. Lagipun, dia sudah lali disoal dengan hal itu.

Namun dia tidak menidakkan setiap kali soalan itu diungkit, ia seakan memahat luka lama yang sudah cuba disembuhkan.

"Ya. Hael okey ke dengan teman Risha dekat sini?" Kak Alia menyambung, suaranya semakin perlahan, bimbang pertanyaannya akan mengguris perasaan Erisha.

"Akak rasa dia boleh izinkan Risha ke sini kalau dia tahu hakikat tu? Bagi Risha memang semua tu dah berlalu. Apa yang dah jadi, Risha dah terima. Tapi perasaan merelakan ni tidak mudah pada dia," jawab Erisha, dia cuba mengawal nadanya agar tidak ketara sayu. Dia mampu melepaskan luka lalu namun Tengku Hael? Takkan semudah dirinya.

Lelaki itu bergelut dengan perasaannya bertahun-tahun tanpa mengetahui kisah sebenar. Berusaha melawan perasaan pilunya. Terpaksa mengunyah pengakhiran yang cukup menghancurkan. Tetapi seandainya Tengku Hael tahu kenyataannya ditinggalkan, Tengku Hael takkan memberi dia keizinan menapak di dalam rumah ini, apatah lagi untuk menemui bayang Khairi.

Kak Alia dihurung pilu. Kebahagiaan Erisha dulu musnah sekelip mata angkara adiknya. Setelah bersulam semula, Erisha masih tewas untuk mengusung kebenaran meniti pengetahuan Tengku Hael.

Makcik Saadah hanya mampu menyaksikan bicara itu dengan air mata yang berlinangan, derita masih menyelimuti hidup menantunya. Menantunya terpaksa menyembunyikan perit kisah lalu dari pengetahuan Tengku Hael. Bahagia menantunya itu tidak sedetikpun menjengah.

"Akak minta maaf, akak juga punca..." suara Kak Alia tersekat-sekat, jelas menandakan rasa bersalah yang menghantui dirinya.

"Risha memilih untuk menyimpan rahsia ni, akak. Ini bukan salah sesiapa, Perihal bahagia, tak tertinggal sesaat pun Risha tak rasa bahagia selama kembali bersama Tengku Hael." Erisha menyentuh tangan Kak Alia, menyalurkan kebenaran rasa seperti yang diungkapkannya. Dia ingin Kak Alia tahu bahawa segala yang terjadi sekarang ini, adalah pilihannya.

Suara Makcik Saadah memecah keheningan. "Tapi mak kecewa sangat dengan apa yang jadi. Hampa hati mak ni Risha," sela Makcik Saadah. Dalam keadaan terbaring, dia mendesak secebis suara tersisa, mengizinkan ruang meluahkan yang terbuku.

"Mak..." Kak Alia merapati Makcik Saadah.

"Adik!" Kak Alia memanggil Khairi, dia lantas berdiri.

Makcik Saadah sudah sekian lama tidak bersuara, dia dan Khairi cukup merindui suara maknya.

"Mak tak nak dia masuk bilik mak, kakak. Mak cuma nak cakap dengan Risha." Makcik Saadah enggan mendapat perhatian anaknya, dia hanya mahu bicara dengan Risha.

Menantunya itu menjadi mangsa anak-anaknya. Setiap kali mengenangkan itu, hatinya yang cukup mengasihi Erisha, sedih! Pedih!

Tega mereka melakukan itu. Sehingga Erisha tetap mampu kuat menghadapi mereka sekarang ini.

Makcik Saadah menatap Risha dengan mata yang penuh hiba.

"Mak tahu kesedihan Risha tanpa ibu. Mak tahu perasaan Risha. Mak tahu susahnya Risha dan perasaan Risha. Mak usaha bantu arwah umi gembirakan Risha, tapi anak mak yang hancurkan usaha mak, hancurkan hidup Risha." Kata-kata itu penuh dengan kepedihan yang terpendam sekian lama.

"Bila mak tahu Risha dan Khairi berpisah, hidup mak tak pernah tenang, Risha. Rupanya Risha sanggup pertaruhkan diri demi jaga hati mak dan maruah mak sekeluarga, Risha biarkan ibu Risha buang Risha. Fikirkan hidup Risha lepas Khairi ceraikan Risha, mak ralat sangat. Mak ni patutnya pantau hubungan anak-anak mak, menyaksikan dengan mata mak sendiri, tapi mak cuma dengar cerita kakak yang hubungan Risha dan Khairi baik-baik saja. Bahkan mak tak tahu perginya cucu mak." Satu per satu perkataannya sesak terlahir, namun dia cuba semampunya. Inilah peluangnya untuk meluahkan segalanya.

Terdengarkan suara maknya setelah sekian lama, Khairi menyelak langsir. Dia ingin menapak lagi, namun patah kata yang terlahir, merapuhkan jiwanya. Rasa bersalah menyelubungi dirinya, membuatkan dia sukar untuk melangkah masuk ke dalam bilik itu.

"Mak salah sangat Risha. Mak salah didik anak mak untuk perempuan sebaik Risha. Mak bukan mak yang sempurna, mak sakitkan hati anak-anak mak dengan membandingkan mereka sampai membuatkan kakak simpan dendam dengan Risha. Paling menghancurkan hati mak, rupanya Khairi menodai Risha." Makcik Saadah meluahkan rasa hatinya, mengakui kesilapan yang selama ini menghantui dirinya.

"Mak, bukan salah mak. Kakak bukan anak yang baik, kakak bukan kakak yang baik. Kakak yang hancurkan hubungan adik kakak sendiri, kakak cemuh Risha, kakak yang buat onar dan buat cerita sampai Khairi ceraikan Risha." Luahan Makcik Saadah, disangkal oleh Kak Alia. Pedih hatinya, ternyata sekian lama mak berdiam, mak memendam rasa sayu kerana mereka.

"Mak yang didik kakak dengan perbandingan sampai buatkan kakak dengki dengan Risha, mak bentuk kakak. Mak punca kakak terniat hancurkan kebahagiaan Risha dan Khairi." Masih terngiang-ngiang di telinganya, hakikat yang akhirnya diceritakan oleh anak-anaknya 4 tahun lalu. Pedih jiwanya, sesak dadanya mendengar penderitaan yang dialami oleh Erisha.

"Mak... Kakak sepatutnya tak ikut hati berdendam dengan Risha. Kakak sendiri yang salah. Mak tak salah, janganlah salahkan diri mak." Kak Alia mengakui kesalahannya, air matanya menodai pipi, menyesali perbuatannya yang telah merosakkan kebahagiaan adiknya sendiri.

"Apa yang dah jadi ni suratan takdir Risha. Bukan Risha tak pernah gembira hidup dengan Abang Khairi, Abang Khairi pernah beri kebahagiaan kepada Risha. Dan... Kak Alia, Risha tahu kalau Risha dekat tempat akak, Risha akan rasakan yang sama.

Risha pun akan bencikan kehadiran Risha yang selalu disebut-sebut oleh mak. Tapi, Risha terima, Risha dah lalui semua dan sekarang hajat mak dan arwah umi nak bahagiakan Risha dah kesampaian." Erisha berkata dengan penuh ketulusan, hatinya benar-benar ikhlas memaafkan dan melupakan segala yang telah berlaku.

"Mak, Kak Alia, Abang Khairi, lupakan kisah yang dah lalu. Risha tulus maafkan dan lepaskan dengan ikhlas setiap perkara yang terjadi." Erisha mengakhiri kata-katanya dengan satu senyuman, berharap ia dapat menghapuskan segala duka yang masih berbekas.

"NUR Zahra Binti Khairi." Khairi berpaling ke sisi usai menyebut sebaris nama itu.

Sebaris nama yang masih kelihatan pada tenunan kain sapu tangan pemberian Erisha 4 tahun lalu.

Erisha menyarungkan kasut. Kakinya menuju ke arah pangkin yang diduduki Khairi. Sedari tadi dia melihat Khairi merenung sapu tangan pemberian arwah Zahra.

"Kalau Zahra ada mesti dia happy tengok abang simpan sapu tangan ni lagi," ujar Erisha sambil merenung tenunan nama itu.

Pagi tadi, segala-galanya sudah berakhir. Tiada apa lagi yang akan membuat mereka janggal dan dia harap Khairi juga merasakan begitu.

"Abang selalu marah Zahra bila dia datang dekat abang dengan panggilan ayah," bahas Khairi usai disapa oleh Erisha. Namun, suaranya sukar terluah. Terasa pedih setiap bait katanya.

Erisha mendengar.

"Dia tak pernah berhenti panggil abang, ayah. Tapi... kenapa dalam ni tertera encik buat abang?" Tanpa sedar matanya merah berlinangkan titisan hiba.

"Sebab dia nak ikut cakap abang. Dia selalu tanya Risha panggilan apa yang sesuai, tapi Risha selalu minta dia panggil abang 'ayah'. Dia tahu panggilan 'encik' tu dari cikgu, sewaktu dia tanya dekat sekolah," balas Erisha menceritakan detik itu. Dia menyedari air mata itu.

Bukan niatnya merasakan saat ini berharga, namun dia bahagia atas nama Zahra.

Jari Khairi menggigil saat menyentuh sebaris nama anaknya dan tenunan 'Zahra sayang Encik Khairi dan ibu'. Sampai macam tu Zahra nak ayah pandang Zahra. Teruknya ayah, Zahra!

"Abang tak pernah hargai arwah. Jauh sekali untuk hargai Risha. Banyak dosa abang terhadap arwah dan Risha." luahnya, suaranya bergetar dengan emosi yang cuba dipendam selama 4 tahun ini. Terlalu berat kesalahan yang dia bawa sepanjang perkahwinan mereka.

Khairi menghela nafas panjang sebelum menyambung, "Abang datang ke hospital waktu Risha lahirkan arwah, tapi sikitpun abang tak terdetik nak teman Risha mahupun azankan arwah." Wajahnya dipenuhi penyesalan yang jelas.

Khairi mulai dihambat rasa bersalah. Erisha membawa pandangannya ke arah bertentangan. Perlukah dia ditelan arus duka ini lagi?

"Waktu Risha minta abang tuntut jenazah arwah, abang langsung tak peduli." Khairi menggeleng perlahan, kesedihan tersirat dalam setiap luahannya.

Dia jatuh di lembah sengsara, dia tewas mendengarkan bait luahan Khairi, air matanya langsung bergenang.

"Risha dah sehabis daya cuba menghapuskan fikiran rasa bersalah yang membelenggu abang. Risha cuba menerima abang. Tapi..." Perasaan ini begitu berat di dadanya.

Dia menyedari setiap perasaan kesal yang dirasai Khairi sepanjang mereka hidup bersama. Andai Khairi tak berterusan diulit penyesalan, Khairi takkan mengecewakannya dan arwah Zahra.

Tengku Hael yang mendengar setiap kata-kata itu dari kejauhan, hatinya terasa pedih. Biarpun Erisha memang bersama dengannya sekarang tetapi mendengarkan kebahagiaan yang pernah Erisha cuba wujudkan bersama Khairi, hatinya hancur. Dia tak ingin tahu pun! Kenapa dia perlu terdengar semua ini!

Tengku Hael berlalu membawa diri seketika, membiarkan Erisha dan Khairi sendiri.

Erisha menundukkan kepala, air matanya menitis ke pipi.

"Risha akui Risha melalui saat-saat sukar itu seorang diri. Melahirkan Zahra tanpa abang di sisi, dan kemudian kehilangannya... itu sesuatu yang sangat menyakitkan setelah apa yang abang dah buat pada malam tu terhadap Risha.

Risha memang salahkan abang, Risha memang bencikan abang, keji dengan perbuatan abang." Erisha menghentikan seketika perkataannya. Sebak mengurungi dadanya.

Dia mengangkat wajahnya, menatap Khairi dengan mata yang basah.

"Tapi Risha tahu abang dah menyesal, Risha dah betul-betul boleh terima abang. Risha beri abang peluang. Memang Risha tak sangka abang sanggup dengar cakap Kak Alia sampai abang lari tinggalkan Risha ketika Risha memerlukan abang ada di sisi Risha sewaktu melahirkan Zahra..."

Suara Erisha menusuk ke dalam hatinya, sungguh... Itu semua segala kesalahannya.

"Abang terlalu terperangkap dalam kenangan Risha bersama Hael, abang terlalu fikir Hael jauh lebih baik berbanding abang yang sanggup gunakan cinta setelah abanh dah meragut maruah Risha.

Abang tenggelam jauh dalam rasa bersalah yang akhirnya menghapuskan peluang masa sehingga abang lupa untuk menghargai apa yang abang ada. Maafkan abang Risha."

"Risha jujur, memaafkan bukanlah sesuatu yang mudah. Luka tu memang terlalu dalam. Memaafkan takkan menghapuskan semua kesakitan. Tapi ia boleh menjadi langkah pertama untuk kita berdamai dengan masa lalu. Jadi, abang... Risha maafkan abang. Bukan kerana apa yang telah berlaku itu semata-mata dah lepas, tapi kerana Risha percaya pada kekuatan memaafkan. Demi Zahra, dan demi masa depan kita sendiri."

Suratan, suratan memisahkan mereka tatkala Khairi tidak lagi mampu menghadapi bahagia dalam rasa penyesalan berpisahnya kisah cinta antara Tengku Hael dan dia.

Sapu tangan itu menggamit lagi perhatian Erisha.

"Risha tahu abang rasa bersalah atas apa yang terjadi, tapi terus-terusan menyeksa diri takkan bawa Zahra kembali. Kita kena kuat untuk dia, kena belajar untuk hidup dengan kehilangan ini."

Khairi menundukkan kepala, memejamkan mata sejenak. Khairi mengangguk perlahan, matanya masih basah itu dibawa ke arah nama pada sapu tangan itu.

"Abang akan cuba, Risha. Abang akan cuba lepaskan masa lalu dan mula menghargai apa yang masih abang ada."

Erisha membalas dengan secebis senyuman yang mampu tersisa. Dia menyeka air matanya.

Masa lalunya telah selesai. Tiada lagi beban tertinggal.

____________________
WRITER COMMENT : Siapa pun tak boleh terima kalau terjadi hal gila macam ni pd ms lalu hidup dia, tapi semua tu dh jadi, dengan mak mertuanya ada kaitan berat dalam hidup dia sebagai orang yang pernah menitipkan kasih.

Uhuk btw hael terdengar tu, acenee🤔

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro