Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

MHS : 2

(16 tahun sebelum kejadian)

USAI Riffyaz mengetuai solat terawih berjemaah di Masjid Arau Kulai, kedengaran lantunan suaranya mengalunkan doa selepas mengerjakan solat.

Bacaan doa diakhiri dengan kalimah amin lalu disusuli salam di antara jemaah masjid yang mulai beransur untuk pulang ke teratak masing-masing.

Seorang budak perempuan menyelak kain penghadang di bahagian makmum seraya memerhati dengan lebih jelas seorang remaja baru sahaja memasuki masjid, bergegas meninggalkan masjid semula.

“Entah apalah dia, baru nak solat la tu, datang masjid bila orang dah habis solat.” Suara kecil kanak-kanak perempuan itu mengomel.

Dia beralih pandangan ke arah si ayah yang masih setia di sejadah melanjutkan doa.

"Anak ibu tengah tengok apa tu?" tegur satu suara perempuan sambil meraih tangan kecilnya.

Erisha mendongak. Raut wajah ibunya menjamah di ruangan mata.

"Tengok ayah," jawabnya sambil mempamerkan senyuman.

"Eh... mana ayah, ibu?" Ibu tersenyum melihat mata bundar anaknya meliar-liar mencari si ayah.

Elina menghalakan jari telunjuknya ke arah bahagian rak Al-Quran. Bebola mata Erisha mengikuti arah yang ditunjuk. Erisha senyum riang apabila melihat ayahnya yang sedang menunggunya dan ibu di bahagian bacaan Al-Quran di saf lelaki.

"Ayah!" jerit Erisha riang.
Tangan Erisha diraih oleh Elina dengan lembut sekaligus menghentikan Erisha dari berlari.

"Risha tengok tu ada pakcik yang tengah solat lagi. Perlahankan suara dan jangan lari-lari," tegur Elina sambil memegang kedua bahu anak Erisha.

“Tapi terawih kan dah habis?”

“Mungkin pakcik tu qada solat, sayang. Shhh, jangan bising ye sayang.”

Riffyaz meletakkan jari dimulut agar Erisha memperlahankan suara kerana mereka masih di dalam masjid.

Erisha lantas menunduk tanda meminta maaf. Baiknya ganti solat. Tak semua orang mampu.

"Maafkan Risha ibu." Erisha memohon maaf. Kaki kecilnya menapak perlahan ke arah Riffyaz.

Tak sampai beberapa langkah, dia terkedu sesuatu.

Seorang budak lelaki yang baru sahaja melepasi ayahnya dengan teguran panggilan 'ayah' dipandang tajam. Man.

Giginya diketap lalu mengejar langkah Man dengan telekung yang asyik terpijak. Tak kira, nak kejar jugak! Kawannya itu memang sengaja kacau ayahnya di depan dia! Ibu cakap, Man ni budak bertuah sebab cepat faham seperti dirinya walaupun masih usia kanak-kanak. Bertuah memang bertuah. Bertuah sangat! Saje ganggu ayah orang.

"Dah, mari duduk sini, jangan kejar Man tu.”

Dengan hentak kaki tanda protes, Erisha mengambil tempat duduk di paha Riffyaz. Lantaran terus membisik. Sempat dia menjelir lidah ke arah Man. Man suka mengusiknya! Bijak betul, kata ibulah. Katanya pulak, bijak cari gaduh. Ergh, geram!

“Man cakap dekat Risha dia nak ambil ayah jadi ayah dia. Geram je tengok.” Petah dia meluahkan rasa marah seiring mimik muka.

Persis isterinya. Copy paste betul, anak ayah ni. Lebih menjadi pun sebab isterinya kuat mengajar Erisha menutur perkataan 'geram je tengok'. Habis terikut.

Riffyaz tidak hanya mendengar sahaja, dia juga memerhati sekejap langkah isterinya menuju ke arah mereka. Dia sudah menyediakan kerusi buat Elina.

"Sayang duduk atas kerusi tu." Dia memberi arahan itu sambil menyambung memberi perhatian kepada anaknya semula.

"Man tu dah biasa panggil semua orang kat masjid ni 'ayah', kan?" Berkali-kali dia mengingatkan. Dia tahu anak perempuannya ini terpalit cemburu. Dengan ibu pun cemburu, apatah lagi orang lain. Berganda jawabnya!

Bayang Izz yang mula kelihatan di sebalik pintu selepas ruang wuduk lelaki.

"Man tu saja je. Dahlah nanti Risha nak dapat adik lagi, kongsi ayah lagi. Ni kena kongsi dengan orang lain. Kesian kita Along." Erisha sengaja mengaitkan Izz.

"Hurm, baru datang dah kena petik nama." Izz senyum hambar seraya meleraikan bajunya yang disinting.

"Man tu dah banyak ayah, ayah ada dua je anak. Macam mana pun ayah tetap sayang anak ayah, puteri sulung ayah, anak perempuan ayah yang sulung ni." Hidung Erisha dicuitnya manja.

Mudah sahaja mengukirkan semula senyuman di wajah Erisha. Tetapi, benarlah dia tetap menyayangi anaknya. Tak sangka, rezeki tuhan dan tinggal sebulan sahaja lagi, dia bakal menerima dua cahaya mata lagi.

"Along?" Izz menduga.

"Mustahil tak sayang anak yang lagi sulung ni. Dengar sini Izz, walau Izz bukan anak kandung ayah, dalam hati ayah Izz tetap anak ayah, anak kandung ayah. Biar apa-apa pun orang kampung ni cakap tentang status Izz dengan ayah, ibu dan Risha, Izz tetap anak ayah, anak Muhammad Riffyaz. Faham tak Izz Amsyar?" Riffyaz menegaskannya. Bahu Izz dipegang sambil matanya tepat pada sepasang mata Izz.

"Izz faham, ayah. Terima kasih sebab sudi terima Izz jadi anak ayah. Ibu, terima kasih juga sudi terima Izz jadi anak ibu." Izz mengucapkan terima kasih. Sebak suaranya menuturkan kata.

"Tak payah terima kasih, daripada Izz lahir sampai Izz besar, pada hati dan mata ibu, Izz anak ibu. Walaupun Izz tak lahir dari rahim ibu, Izz tetap anak ibu dunia dan akhirat," ucap Elina bersama senyuman manis terukir di bibir. Tubuh Izz dibawa ke dalam dakapan. Dia sayang Izz.

"Izz sayang ibu." Izz membalas erat pelukan ibu.

"Risha pun sayang banyak-banyak dekat ibu!" Erisha mencelah di celahan pelukan Elina dan Izz.

Semua yang berada dalam babak sedih kini bertukar babak geli hati semula dengan telatah Erisha lagi.

"Sayang jangan dekat sangat." Sempat Riffyaz menegur.

"Risha, dah sayang. Kejap lagi ibu terpegang ayah terbatal wuduk pula, ibu tak larat nak bangun ambil wuduk ni."

"Ayah kan boleh dukung!" ujar Izz dan Erisha serentak.

"Ayah tak kesah nak dukung ibu. Kesahnya dekat sini tak boleh masuk bilik wuduk wanita," terang Riffyaz.

"Tak batal pun." Elina memotong sambil menjeling. Ingat tak tahu ke sebenarnya tak larat juga nak dukung kita. Yelah dah berbadan tiga, mana nak larat. Sorang dulu pun dah terkial-kial.

Riffyaz mengunci mulut si isteri dengan satu bisikan. Cepat saja si isteri tersenyum.

Sebaliknya anak-anak, memandang sesama sendiri. Ada sesuatu mereka nak tanya. Akhirnya Izz menjauh dari Erisha. Entah apa yang Erisha enggan buat, merajuk Izz dibuatnya.

"Ayah, boleh Risha tanya ayah satu soalan?" Monyok mukanya. Terpaksa! Nanti tak ada kawan dekat rumah!

Izz dah senyum.

"Boleh, tanyalah." Riffyaz memberi kebenaran sambil mencuit manja hidung Erisha.

"Kenapa kita kena...” Erisha terjeda. Baju Izz diusik.

“Kena apa ea Along?”

“Iktikaf.”

“Oh ya... Kenapa kita kena iktikaf, ayah?” Erisha memandang Riffyaz semula.

Izz mengangguk lalu menekan suaranya, “Satu lagi tertinggal,” bisik Izz.

Tahulah dia, soalan daripada Izz. Dia melirik si isteri. Ada je gelagat anak-anak mereka tu.

“Sebab nak dapat malam lailatul...”

“Lailatulqadar, adik.” Sebelum Erisha menoleh ke arahnya, dia bersuara.

“Kenapa kita kena iktikaf ayah? Sebab nak dapat malam Lailatulqadar ke?” Itu pun sebutan susah itu taklah sempurna.

"Boleh ayah jawab?" pinta Erisha lagi. Tangannya digabung dan mata berkelip-kelip agar Riffyaz menjawab persoalannya. Lagipun si Along ni, tak nak tidur sini. Tapi, dia pun tak nak jugak, besar sangat masjid. Polos isi hatinya.

Riffyaz menukar pandangan anak matanya ke arah Elina. Elina masih tersipu malu lalu mengangguk. Entah apa la sang suaminya menjanjikan dengan bisik tadi. Riffyaz mengukir senyuman indah pada Elina kemudian mengemaskan kedudukan anaknya.

Erisha senyum gembira seperti biasa apabila Elina membalas senyuman ayah. Seperti biasa, ayah suka minta green light ibu. Walaupun benda kecil.

Dia berlalu mengambil tempat di paha Izz. Izz lantas memeluk adiknya kemudian bersedia mendengar jawapan ayah.

“Betul la tu, salah satu sebab kita beriktikaf adalah untuk mencari malam Lailatulqadar, yang dianggap sebagai malam yang penuh keberkatan dalam bulan Ramadan. Malam Lailatulqadar lebih baik daripada seribu bulan dan pada malam itu, Allah SWT menurunkan rahmat dan pengampunan kepada hamba-hamba-Nya yang beribadah dengan ikhlas. Jadi, tak bolehlah fikir tak nak tidur masjid. Dah tahu ada kebaikan, dah tahu sebabnya, tak boleh nak pujuk-pujuk ibu cakap tak nak,” serkap Riffyaz terus usai menjawab persoalan anaknya. Bukan dia tak tahu, anak-anaknya cuba mengelat.

Muka Erisha dan Izz berubah. Alamak, ayah tahulah, Along. Matanya menyambung bicara.

Izz buat riak muka tidak bersalah.

"Aiyok adik," bisik Izz di telinga Erisha. Sengaja mengusik padahal dia yang kepala, dia yang pengaruh Erisha. Erisha kan petah dan banyak cakap, mesti berani ikut je cakap orang.

Erisha menjegilkan matanya apabila Izz mengusiknya. Isy... beritahu ayah along yang nak sangat karang. Mulutnya digerakkan tanpa mengeluarkan suara.

Sempat Izz buat muka tidak peduli.

“Jadi iktikaf itu penting sebab nak dapatkan malam Lailatulqadar ya, ayah?” Izz yang bersuara. Ingin menyelamatkan diri.

Tengoklah muka Erisha dah merah. Seronok betul hatinya dapat mengusik Erisha.

Izz tahan gelak menyaksikan adiknya hampir ingin merengek.

Erisha tunjuk buku lima bersama mimik muka marah. Izz lelah menahan ketawa yang membuak-buak di hati. Riffyaz dan Elina melakar senyuman bahagia melihat gelagat anak-anak mereka.

“Ya, betul. Tetapi iktikaf juga mempunyai tujuan lain yang penting. Ia adalah cara untuk kita mendekatkan diri kepada Allah SWT, menjauhkan diri dari kesibukan duniawi, dan memperbanyakkan ibadah seperti solat, membaca Al-Quran, dan berzikir. Macam yang kita nak buat sekarang.”

Sehingga siang mereka di masjid itu. Iktikaf malam itu berakhir pada waktu subuh. Mereka turut mengerjakan waktu dhuha dan beberapa bacaan surah sebelum meninggalkan masjid.

"Assalamualaikum." Riffyaz mengalihkan pandangan. Semua serentak menoleh melihat si gerangan pemberi salam.

"Waalaikumussalam," jawab Riffyaz, Elina, Izz dan Erisha. Riffyaz mendukung anaknya mengikutinya bangun sekali.

Riffyaz menghulurkan tangannya menyalam kedua-dua lelaki yang datang memberi salam tadi.

"Maaf kami mengganggu encik. Encik, Riffyaz Iskandar Bin Yusuf, betul?" Riffyaz mengangguk kemudian senyum.

"Ya, saya. Apa yang boleh saya bantu?"

"Kami mendapat laporan bahawa Encik Riffyaz dituduh membunuh Tengku Kamarul."

Tercengang Elina. Beberapa orang yang masih berada di situ turut bungkam mendengar dakwaan dua orang lelaki di pintu utama masjid.

"Apa maksud tuan?" Bergetar suara Elina. Wajah dua orang lelaki berpakaian seragam polis itu dipandang resah.

"Kami cuma melakukan kerja kami, tolong berikan kerjasama." Salah seorang daripada kedua-dua polis itu menegaskannya.

"Tuan berdua pasti silap dapat laporan, suami saya takkan bunuh orang!" bantah Elina sekerasnya.
Izz memegang tangan Elina, bimbang ibunya bertindak luar kawalan.

"Sabar Lin."

"Nak sabar apanya abang!" Naik seoktaf nada suara Elina.

Kepalanya mula terpinar, tangannya pula jatuh ke perut. Elina mulai resah. Adakah ini motif sebenar kedatangan adiknya dua hari lalu?

"Puan diminta bertenang. Kami datang bersama bukti-bukti serta waran untuk menangkap Encik Riffyaz, kami bukan datang dengan tangan kosong, kes ni baru saja terjadi." Lelaki itu menghulurkan sehelai kertas kepada Elina.

Bergetar tangan Elina membuka surat itu. Dia melorot jatuh, air matanya juga turut jatuh.

"Tak!" Elina menafikan.

Izz cepat pegang ibunya, begitu juga Riffyaz. Riffyaz terkejut melihat kain Elina mengalir darah.

"Sayang," panggil Riffyaz kuat. Lebih merisaukannya saat menyedari muka isterinya berpeluh.

"Darah!" Izz mulai menggigil.

"Ya Allah sayang! Izz, bawa Erisha! Tuan berdua, saya perlu bawa isteri saya ke hospital dengan segera."

"Ikut kami, kami akan bantu Encik Riffyaz agar tiba dengan selamat."

"Terima kasih. Izz, jaga Risha!" pesan Riffyaz lagi.

"Abang, sakit..."

Riffyaz mencempung Elina. Tangannya yang terkena darah tidak dihiraukan, yang penting sekarang ini isterinya segera mendapat rawatan. Isteri dan anak-anaknya perlu diselamatkan.

Malam di saat penghujung ramadan itu menjadi saksi. Keluarga mereka, hancur.

Sekelip mata.

ESAKAN-ESAKAN kecil kedengaran di cuping telinga, esakan itu seperti hampir dengannya. Esakan yang seringkali didengarinya suatu tika dulu ketika isterinya menghadapi dugaan berat. Riffyaz diselebungi rasa pilu. Perasaan yang bercampur baur memenuhi ruang wad.

Riffyaz tak henti menepis air matanya. Elina seharusnya melahirkan pasangan kembar namun komplikasi mengakibatkan anak-anak mereka tidak dapat diselamatkan.

Izz yang menyaksikan dari kaca yang menembusi pandangan ke dalam wad telah mengalirkan banyak air mata. Hatinya sedih mengenangkan nasib yang baru menimpa keluarganya.

Ayahnya akan dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut seperti yang diterangkan semula oleh pegawai polis tadi kepada Umi Eza.

"Along, mana ibu? Ibu sakit lagi?"
Izz tersedar. Dia lantas mengelap air mata yang tumpah. Setelah memastikan matanya tiada sisa air mata baru dia mengalihkan wajah pada Erisha.

Sebak mengurungi dadanya tatkala matanya jatuh pada wajah manja milik adiknya.

Wajah itu tetap menyuluh sinar bahagia biarpun dikala mereka derita. Wajah itu juga menyalurkan kekuatan kepada mereka sekeluarga.

Dia melutut di depan kerusi Erisha duduk. Tangan Erisha digenggamnya lembut manakala pipi Erisha yang masih basah dengan linangan air mata dikesat perlahan-lahan.

"Ibu sakit lagi adik. Adik janganlah menangis, Along ada dengan adik," pujuk Izz perlahan.

"Adik nak jumpa ayah dan ibu, Along," pinta Erisha sambil memeluk abangnya.

Eza iaitu sahabat kepada Elina dan Riffyaz hanya menyaksikan dengan rasa yang simpati menujah halaman hati.

"Abang," seru Elina. Matanya merah sebaik sahaja dibuka luas.

Ketika sukar bertarung melahirkan anaknya, dia bukan sahaja menangis kerana sakit tapi kerana sedih akan nasib yang bakal menimpa mereka.

"Abang," seru Elina lagi.

Riffyaz tak berdaya hendak menyahut. Suaranya ketika itu seperti tidak rela keluar. Dia tidak sanggup mahu menjelaskan apa yang terjadi. Tambahan lagi dia akan meninggalkan Elina sebentar nanti untuk dibawa ke balai polis.

"Abang... jawablah. Lin tahu... abang ada kat sini. Janganlah mengelak dari Lin... Lin perlukan abang." Elina merayu bersama linangan air mata. Dia menangis apabila tiada sahutan.

"Abang janji dengan Lin akan teman Lin. Lin sakit... abang. Lin sakit sangat, Lin tak nak... orang lain di sisi Lin. Lin cuma nak abang dan anak-anak Lin, hanya abang dan anak-anak yang mampu bahagiakan Lin." Kini lebih kuat suara keperitan Elina bersama tangisan.

Riffyaz meraup wajahnya. Hatinya semakin kuat ingin menerpa ke arah isterinya namun dia tetap mengawal diri. Dia hanya mahu berdiri di belakang langsir tanpa bersuara. Biarlah dia mendengar sahaja.

"Lin tahu anak kita tak selamat. Lin tahu abang, janganlah kerana itu abang mengelak dari Lin. Lin tahu abang tewas bila tengok Lin nangis, Lin lemah, tapi percayakan Lin yang Lin redha kita tak ada rezeki nak ada anak lagi."

"Abang tak kuat Lin, abang tak sanggup nak berhadapan Lin. Abang tahu Lin pura-pura. Janganlah seksa abang sayang, abang tak nak dengar sayang tipu abang." Sebak. Lara hatinya mencengkam.

"Lin tahu suami Lin sayang Lin dan anak-anak. Dengar Lin abang, Lin yakin abang tak buat semua tu. Pergilah abang, pergi dengan tujuan mempertahankan diri abang. Janji dengan Lin yang abang akan kembali pada Lin dan anak-anak."

Lama mereka berdiam, hanya tangisan yang memecah keheningan.

Riffyaz tidak betah terus mendengar tangisan Elina. Hati sungguh meraung duka. Berat hatinya untuk meninggalkan Elina sendirian. Namun, tiada daya dia berterusan menangisi di situ.

Langkahnya dipaksa jua.

Bunyi pintu ditutup membuatkan Elina memejamkan matanya. Perit!

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari menemui penderitaan, dari takdir yang buruk dan dari keberhasilan musuh.

Engkau kuatkanlah hatiku, Engkau kuatlah juga hati suamiku serta anak-anakku.

Engkau Maha Pengasih dan Maha Penyayang, kembalikanlah Riffyaz kepadaku dan anak-anak semula dan Engkau lindungilah dia daripada menjadi sasaran fitnah.

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro