Bab 2
"I'M your husband."
Terasa berhenti jantungku. Bergegar kepalaku. Berdentum seluruh dunia saat kata-kata itu menembusi telinga. Apatah lagi, ia dituturkan dengan sangat senada, sangat selamba, sangat bersahaja.
Keluar dari celahan bibir lelaki itu yang kini menjatuhkan kaki ke atas lantai, duduk membelakangiku di birai katil, mengambil T-shirt kelabu yang entah datang dari mana dan menyarungnya ke tubuh.
Aku cuma terpaku. Masih dengan jantung terhenti degupan, kepala bergegar dan dunia berdentum. Segala-galanya terasa kosong. Sunyi sepi.
"Hei..."
Sayup-sayup, suara garau itu berbunyi lagi. Mata buntangku masih tepat kepada dia yang perlahan-lahan berpaling. Kemudian menggerak tubuh dan datang merapat. Semakin rapat dan rapat dan...
Pipiku terasa disentuh.
Mata yang sedia buntang serta-merta membesar. Tanganku laju menepis jari-jemari yang melekat di pipi. Tidak cukup dengan itu, aku menolak dadanya kuat-kuat. Reaksi serupa yang aku buat beberapa ketika lepas.
"Jangan sentuh aku!"
Aku menengking lantang. Gebar yang sedari tadi menutupi tubuh ditarik lebih dekat ke dada. Tindakan refleks walhal tubuhku berbalut elok.
Dia melirik sekilas, sebelum bangkit dari katil. Berdiri dengan anak mata yang jatuh ke bawah. Kepalaku automatik terdongak ke atas. Melawan renungannya. Gegendang telinga masih terngiang-ngiang dengan pengakuan di luar jangkaan.
"I'm your husband."
Bila masa aku bernikah? Aku cuma sudah bertunang. Tunanganku pula bukan lelaki ini. Sama sekali bukan!
Mengingati hakikat tersebut, dadaku memberat. Mata semakin lebat bertakung. Tidak dapat ditahan. Wajah Muzaffar yang melintas dalam fikiran, menyesakkan lagi jantung.
Oh, Tuhan! Macam mana aku mahu berhadapan dengan dia?
"Apa... Apa yang kau... Dah buat pada aku?"
Terketar-ketar aku mengulang soalan serupa tadi. Tangan yang masih memegang gebar, digenggam lebih kuat. Mahu menahan getaran tubuh yang tidak habis-habis menggigil dan tujahan dalam otak yang tidak sudah-sudah memikirkan kemungkinan buruk itu.
Dia melepaskan keluhan. Agak kuat bunyinya. Agak berat. Matanya berkelip sekali sebelum mulutnya terbuka.
"Inara..."
Dan menyeru namaku. Wajahku terasa berderau. Lelaki ini... Lelaki asing ini tahu namaku.
"Ayudia Inara..."
Dia tahu nama penuh aku.
"Ara tahu tak? Ini dah kali ke berapa Ara buat adegan macam ni? Menjerit macam ni, tanya abang macam ni, tolak abang macam ni..."
Dahiku sedikit-sedikit berkerut. Tidak faham.
"Dah kali kelima." Dia menjawab sendiri, seraya mengangkat kaki ke depan. Elok berdiri di hadapan langsir yang tergantung dari siling ke lantai. Dengan sekali tarik, langsir tersebut terbuka luas. Cahaya terang serta-merta menembusi masuk. Aku memusing kepala ke kiri dan mengatup mata. Silau!
"Dan kali kelima juga, abang perlu ulang..."
Mataku terbuka semula. Kepala dikalih memandang dia yang masih berdiri di depan jendela. Membelakangi cahaya mentari pagi. Aku mungkin sudah gila, tetapi lelaki asing ini tiba-tiba kelihatan bersinar. Rambut hitamnya bersinar. Mata hitamnya juga tampak bersinar. Memancarkan renungan kepadaku.
Ada sesuatu yang tersirat dalam pandangan matanya. Entah kenapa, itu yang terlintas dalam akal fikiranku.
"Yang abang ini..."
Dia melekapkan sebelah tangan ke dada.
"Suami Ara. Suami yang sah. Di sisi undang-undang dan juga agama."
Hujung katanya lebih tertekan. Seperti mahu menegaskan perkataan 'agama'. Anak telingaku rasa dicuit. Anak tekak terasa geli. Agama? Huh, mudah dia menyebut agama, sedangkan dia... Entah apa yang dia sudah buat kepadaku?
Dadaku beralun ganas. Terasa terik setiap otot muka. Tegang dengan rasa berang yang membakar jiwa. Bercampur dengan kesedihan, kekecewaan dan entah apa lagi yang patut aku rasa sekarang.
"Inara..."
"Stop calling my name!" Aku menempik, entah buat kali ke berapa pagi ini. Wajahnya, aku tenung setajam-tajamnya. Walhal birai mataku bila-bila masa sahaja lagi, akan menumpahkan isi.
"Aku tanya. Apa..."
Bawah bibir diketap sekali.
"Apa yang kau..."
Cengkaman tangan juga diketatkan.
"Yang kau..."
Suaraku tersekat lagi. Lidah benar-benar tidak rela menitipkan apa yang bermain dalam fikiran.
"Kalau Ara fikir abang ada buat apa-apa pada Ara semalam..." Lelaki asing menyampuk dan berhenti di sekerat jalan. Dia masih seperti tadi. Menatapku dengan renungan seribu satu erti. Renungan yang aku tidak peduli maksudnya!
Yang penting pada aku sekarang cuma hal itu. Apa yang sudah berlaku antara aku dan dia semalam? Itu sahaja!
"Jawapannya tidak."
Nafasku terlepas sendiri. Setitis tangisan menitik di hujung mata. Bersalut lega walaupun aku sendiri tidak tahu kebenarannya. Tetapi sekurang-kurangnya, lelaki ini menidakkan. Lagipun, bukankah aku lengkap berpakaian sekarang?
"Not last night."
Aku tersentap. Sambungan katanya menyentak seluruh urat sendi dalam tubuh. Bibirku terketar-ketar menyoal.
"What is that supposed to mean?"
Riak wajahnya berubah. Seakan-akan baru tersedar diri melontar bicara yang tidak sepatutnya. Bibirnya juga menggeletar cuba memberi jawapan.
"Ara... Maksud abang..."
"Aku tanya, what is that supposed to mean?!" Tidak sempat dia menghabis kata, aku menengking lagi. Kecil besar kecil besar sahaja lelaki asing ini, di hadapan mataku sekarang. Dada yang baru beberapa saat berasa lega, kembali dihempap beratnya emosi.
Dia menggali nafas dalam-dalam. Bawah bibir diketap sekali, sebelum dia datang menghampiri. Jauh dari jendela, kembali dekat kepada katil. Aku mengambil tindakan spontan. Bingkas melompat turun dan menolak tubuh ke dinding. Macamlah dengan cara itu, dinding akan terbuka dan menelanku lenyap daripada lelaki ini.
Langkah kakinya terhenti di sekerat jalan. Wajah tampak berubah. Tampak kelat.
"Kita suami isteri, Inara."
Perlahan sekali suaranya. Sipi-sipi menyentuh telingaku.
"Kita buat apa yang..."
Dia menghenti bicara dan merenungku lebih dalam. Pandanganku semakin tebal berbalam. Aku bukan bodoh untuk meneka apa yang bakal dia sambung dengan bibir merah itu.
"Biasa suami isteri buat."
Serentak itu, tubuhku terlurut jatuh ke atas lantai. Air mata perlahan turun ke pipi. Pandangan pula ditala jauh ke hadapan. Otak tiba-tiba terasa kosong. Sangat-sangat kosong!
"Ara..."
Suara yang sama itu sayup-sayup memanggil.
"Inara."
Seruannya kedengaran lebih kuat. Lambat-lambat, aku mengalih perhatian. Kepada dia yang entah sejak bila berada dekat. Melutut betul-betul di sebelah.
"Kau bohong," gumamku antara dengar tak dengar.
Dia menggeleng perlahan.
"Tidak. Abang tak bohong."
Tawaku terlepas halus. Untuk apa, aku tidak tahu. Menyinis apa yang sedang berlaku sekarang, atau mungkin juga mengharapkan semua ini sekadar lawak tidak kelakar.
"Jadi, kau nak cakap yang aku betul-betul dah kahwin dengan kau? Dan aku..."
Bicaraku tersekat celah kerongkong.
"Aku..."
Nafas ditarik dan dihembus.
"Aku dah pun tidur dengan kau?"
Nah! Aku sudah lempar kata-kata nista itu.
"Kita suami isteri..."
"Cukup!" Aku mengherdik. Renungan semakin tajam menikam. Hidung kembang kempis menahan perasaan. Dengan rahang yang terketap-ketap, aku kemudiannya menyambung.
"Jangan sebut perkataan tu lagi. Kau ingat aku bodoh? Aku tolol? Hei, aku tak pernah kahwin dengan kaulah! Aku tak kenal kau! Aku dah ada tunang! Tunang aku orang lain! Dia bukan kau!"
Semakin lama, suaraku semakin meninggi. Dada semakin berombak. Naik turun dengan ganas. Cuba menyedut udara yang tiba-tiba terasa pendek. Kepalaku juga kembali berdenyut. Sakit!
Aku mengerut dahi, cuba bertahan.
"Ara..."
Tangannya terangkat cuba menyentuh bahu. Lebih pantas, aku tepis. Bahunya pula yang aku tarik bagi dekat. Dicengkam kuat.
Dia tampak tergamam. Aku tidak peduli.
"Tell me." Kali ini, suaraku jadi rendah. Jadi lirih.
Dia diam menanti. Masih dengan pandangan awal tadi. Bersama maksud tersirat yang tidak ingin aku mengerti.
"Siapa sebenarnya kau? Apa yang kau dah buat pada aku?" Aku menanya soalan yang sudah aku dapat jawapannya dan aku tidak percaya jawapannya.
Dia tetap membungkam. Suasana sekeliling sunyi seolah-olah dunia sudah berhenti berputar. Kami saling berpandangan. Saling bersabung tenung. Dia dengan tatapan tenangnya. Aku dengan rasa terdesak.
Tolonglah! Aku tak percaya semua ini. Aku tak percaya apa yang dia katakan. Aku tidak kahwin dengan sesiapa. Aku tidak pernah serahkan tubuh kepada sesiapa pun. Tidak pernah!
Seketika berlalu, dia menolak cengkaman di bahu. Tanganku longlai ke sisi. Sama longlai dengan segenap tubuh yang tiba-tiba berasa lemah. Dia membawa dirinya lebih rapat. Masih melutut di atas lantai. Kepalanya didekatkan kepada kepalaku.
Tidak sedikit pun aku berganjak. Bahkan, aku masih merenung tepat ke wajahnya. Seperti sudah dipukau.
Dahinya menyentuh dahiku.
"10 Februari 2018."
Dia berbisik. Aku terkulat-kulat macam orang tolol.
"Ara sah jadi isteri abang. Wanita yang abang akan jaga."
Kepalaku rasa diusap.
"Untuk selama-lamanya."
Usai mengatakan itu, dia mengatup mata. Aku sekadar terpaku. Keras melihat wajah lelaki yang dekat benar dan menerima desah nafasnya yang membelai muka. Telingaku mungkin sudah jadi setolol aku, kerana aku seperti dapat mendengar betapa beratnya desah nafas itu. Seolah-olah segala beban di dunia ini terselit di situ.
"Jadi tolong..."
Dia membuka semula kelopak mata.
"Percayakan abang."
Aku masih terkaku diam. Terpasung dalam kolam matanya. Entah apa yang aku cari di situ, aku sudah tidak tahu. Jawapan? Kebenaran? Kejujuran? Atau pembohongan?
"Inara..."
Tidak semena-mena, satu suara lain menyinggah hujung telinga. Aku tersentak kuat. Muzaffar!
Terus, aku menujah dada lelaki itu jauh-jauh. Mungkin tidak menduga tindakan tersebut, dia terjelepok di atas lantai. Aku bingkas bangkit.
"Aku tak percayakan kau," desisku seraya menggeleng kepala. Kaki diundur setapak ke belakang.
"Ara..." Dia mula mengangkat tubuh.
"Aku tak percayakan kau!" Belum sempat dia berdiri, aku sudah pun meluru ke pintu. Tombolnya dipusing. Daun pintunya ditolak luas. Kaki kananku melangkah keluar. Kaki kiriku...
Tersekat di dalam.
Aku menoleh ke belakang. Wajah lelaki itu terpampang depan mata. Sedang mencengkam sebelah lenganku.
"Lepaskan aku."
"Ara..."
"Lepaskan akulah!!!" Kuat, aku merentap tangan. Pegangannya terlepas. Aku tidak menunggu lama. Pantas mengangkat kaki. Namun...
Pinggangku tiba-tiba rasa ditarik. Tubuhku tersembam ke dalam pelukan dari belakang. Aku tergamam. Sesaat cuma.
"Lepaslah!" Sekali lagi, aku meronta.
"Aku nak pergi dari sini. Aku nak pergi!!!" Semakin kuat aku meronta, semakin kuat jeritanku. Semakin kuat juga dia memeluk. Bahkan, dia mula mengheret aku masuk ke bilik semula. Kedua-dua kakiku cuba ditahan di atas lantai.
Semestinya, gagal.
"Lepaslah! Lepaskan aku!!!"
"Please, Ara. Don't do this..."
Suaranya berbunyi dekat dengan telinga. Penuh rayuan. Peduli apa aku?! Sambil meronta dan meraung, anak mataku berlingas ke kiri ke kanan. Tangan juga tergawang-gawang cuba mencapai apa-apa sahaja.
Satu saat, tanganku menyentuh sesuatu. Tidak memikir apa-apa lagi, terus aku mencapainya, membawanya melepasi kepala dan...
Prang!!!
Satu bunyi kedengaran kuat. Disusuli dengan...
"Aduh!"
Tubuhku serta-merta bolos. Aku terkaku sejenak, sebelum sedikit-sedikit berpaling ke belakang.
Dia berdiri tidak jauh. Memegang kepala. Dari celah-celah jarinya, aku dapat melihat cecair merah yang menitik setitis demi setitis.
Aku kaku.
"Da... Darah..." Bibirku berbisik sendiri.
Dia mengangkat kepala. Wajah separuh berlinang dengan cecair merah itu. Anak matanya membulat sesaat, sebelum dia bergerak ke depan. Automatik, kakiku bergerak ke belakang.
"Da... Darah..." Bibirku masih dengan bisikan yang sama.
"I'm okay, Ara. Sikit saja ni..."
Aku sudah tidak peduli dengan kata-katanya. Tangan kananku diangkat lambat-lambat, hingga akhirnya berada depan mata. Kemas menggenggam pasu kaca yang separa hancur. Aku pandang kosong. Sebelah tangan lain tiba-tiba muncul. Merampas pasu kaca itu, membalingnya dan kemudian, menggenggam jari-jemariku.
Aku masih kaku. Masih dengan pandangan kosong. Melihat kepada tangan sendiri yang sebelum ini memegang kaca dan kini berada di dalam genggaman jantan.
"Ara, abang tak apa-apa. Jangan jadi macam ni. Please..."
Suara itu sangat jauh kedengaran. Sayup seakan-akan datang dari penghujung sebuah terowong.
"Ara..."
Masih sayup.
"Ara..."
Kali ini, aku menaikkan anak mata. Tepat kepada dia dan wajah separa berdarahnya. Serentak itu juga, satu bayangan lain melintas dalam fikiran.
Samar-samar dalam kegelapan. Ada sesusuk tubuh. Terbaring di atas lantai. Aku tidak nampak rupanya. Tetapi yang pasti, dia...
Berdarah.
Keluar dari badan dan mengalir di atas lantai. Banyak dan merah.
Zup!
Kepalaku rasa dirodok sesuatu. Pedihnya menusuk menembusi tengkorak dan masuk ke otak.
Aku mencengkam kepala. Dahi berkerunyut cuba bertahan. Ya Allah, sakit. Sangat sakit!
"Ara... Oh, God..."
Pegangan di tanganku terlepas. Pipi pula yang jadi mangsa. Terasa dikapit kedua-dua belah.
"Hey, look at me. Fokus..."
Mataku terpisat-pisat memandang. Nampak tak nampak. Kepada dia yang tidak kukenali. Kepada dia yang sedang memegang kedua-dua belah pipiku. Kepada dia yang sesuka hati mengaku suami. Kepada dia yang mengaku sudah menyentuhku.
"I'm your husband."
"Kita buat apa yang suami isteri buat."
Pengakuannya mula terngiang di telinga.
"Inara..."
Tidak cukup dengan itu, suara Muzaffar pula datang menyelit. Bergilir-gilir dan berulang kali. Serupa pita rosak. Bingit!
"Erghhh..." Aku mencengkam kepala lebih kuat. Urat darah atas dahi terasa terik. Otak seperti menanti saat untuk meletup.
"Ara..."
"Erghhh!!!"
Kali ini aku menepis jari-jemari di muka dan membiarkan diri terduduk di atas lantai. Melutut dengan tangan yang masih memegang kepala. Segala bayangan berdarah dan dua suara itu, saling berselirat terbayang dan berdengung.
Tidak habis-habis dan sangat menyakitkan!
Tubuhku senget sendiri ke sebelah, hampir tumbang menyembam lantai. Tidak pula menghempap. Dalam samar-sama mata, aku melihat dia yang sudah pun menyambut tubuhku. Aku mengalih cengkaman ke lengannya. Kuat, cuba menahan otak yang terasa hampir bersepai.
"Sa..." Bibirku terketar-ketar cuba bersuara.
"Sakit..."
Dia menarikku ke dalam rangkulan. Wajahku tersembam di dada. Mengerekot di dalam pelukan itu.
"I'm sorry, sayang... I'm so sorry..."
Telingaku seperti mendengar sesuatu. Tetapi jauh sekali bunyinya. Cengkaman di lengannya terlepas perlahan. Tanganku longlai ke bawah bersama mata yang terkatup sedikit demi sedikit, hingga akhirnya aku cuma nampak...
Kegelapan.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro