Bab 9
KEMBALI bekerja. Terasa lama benar tinggalkan pejabat. Rindu kerusi, rindu meja, rindu komputer dan rindu dia. Ah! Merepek nak rindukan dia. Takkan aku nak rindukan dia pula? Memang mustahil.
Eh, awak tipulah, Nurul. Awak memang rindukan dia. Bukan ke masa di Cameron Highlands hari tu awak rindu amat kat dia? Awak juga yang sebut-sebut selalu, alangkah indahnya kalau dia ada bersama. Tak ingat, Nurul? Ingat, aku ingat. Aku ingat semua tu, tapi aku nak buat macam mana kalau asyik terkenang-kenang?
"Amboi, senyum sampai telinga. Maklum, orang baru balik bercuti dengan buah hati," tegur Encik Faizal ketika aku sedang senyum-senyum ingatkan dia. Ah! Malunya. Mujur waktu itu tiada siapa yang sampai lagi. Hanya kami berdua. Aku pun pelik juga, selalunya jangan harap aku sampai dulu.
"Selamat pagi, encik," ucapku perlahan sambil pasang plug komputer. Pandang muka dia. Wajah yang buat aku terkenang-kenang selalu. Baru gunting rambut ke dia ni? Kemas aje rambutnya.
"Selamat pagi," jawabnya. Masih berdiri pandang aku.
"Encik baru potong rambut ke?" soalku. Pandang muka dia yang nampak menawan pagi ni. Ah! Mata dah rabun ni. Menawan apanya macam tu?
"Haah," jawab Encik Faizal sambil pegang rambutnya.
"Nampak segak," ujarku perlahan. Malas cakap kuat-kuat.
"Ya? Terima kasih."
Kan dah cakap. Pantang puji sikit. Mulalah kembang. Aku bangun. Nak buat air. Pasti kejap lagi Encik Faizal akan minta air sama.
Waktu aku bancuh Nescafe, Encik Faizal sampai.
"Hmmm, macam mana percutian, best?" soalnya. Terpaksalah aku hulur muk kepadanya dan aku buat lain untukku.
"Terima kasih," katanya.
"Hmmm, best," jawabku.
Encik Faizal menyandar di kabinet dan pandang luar. Dia hirup air dengan tenang. Kemas saja pakaiannya. Nampak segak. Nurul, jangan cari pasal. Dia tu bos awak. Awak juga yang tidak mahu gangguan perasaan. Awak juga yang cakap tak mahu terlibat dengan mana-mana lelaki. Lelaki itu menyusahkan saja, Nurul. Ya, aku tahu, tapi kenapa wajah lelaki seorang ini sering saja melintasi ruang ingatan? Apa kelebihan dia membuatkan aku rasa begitu?
"Bagaimana kerja encik?" soalku sambil bawa muk dan menyandar sama di kabinet. Yalah, 3 hari tak ada di pejabat, mahu tahu juga perkembangan terkini.
"Payah sikit awak tak ada. Rasa menyesal pula luluskan cuti awak. Kelam-kabut saya dibuatnya." Encik Faizal pusing badan dan pandang aku.
"Ini agaknya sebab saya asyik teringat encik. Semangat saya diseru selalu rupanya." Aku hirup air.
"Teringatkan saya?' soalnya.
"Eh, maksud saya..." Kelam-kabut aku cari alasan. Karang dia ingat lain pula.
"Okey-okey, saya faham," katanya sambil atur langkah ke singki. Dia basuh muk dan letak di atas rak. Dia mula bergerak selepas itu. Aku nampak dengan jelas ada segaris senyuman di bibir Encik Faizal.
Ah! Pasti Encik Faizal sudah fikir apa-apa. Kalau tidak, takkan dia senyum macam tu. Mulut ni memang, celopar sungguhlah. Buat malu saja.
Aku habiskan minumanku. Kemudian basuh muk. Bergerak perlahan tinggalkan pantri. Perasaan memanglah kacau-bilau. Masa tu Encik Faizal duduk di tempat Hisyam. Tak tahu apa yang dia suka sangat tempat Hisyam. Yang pastinya meja Hisyam memang berhadapan dengan meja aku. Rasa segan nak pandang muka Encik Faizal. Tapi tak apa Nurul, awak kan sudah ada kekasih.
Aku ke tempatku. Tak berani langsung pandang muka Encik Faizal. Malu habis dah ni. Dalam tak tentu arah, telefon bimbit berbunyi. Eja telefon.
"Helo, sayang..." Aku buat suara gedik.
"Wei, meroyan ke apa ni? Akulah..." Sah Eja terperanjat beruk.
"Ya sayang, nak apa?" soalku lagi. Kemudian angkat muka pandang Encik Faizal. Dia pandang aku dengan wajah serius.
"Wei, apa hal ni?" Eja masih terjerit.
"Okey, sayang. Nanti call balik. Nak sambung buat kerja ni. Bos dah masuk ofis. Bye, sayang." Aku tutup telefon. Malas nak dengar Eja sebut wei, wei. Ingat aku Ah Wei ke? Tapi aku percaya mesti Eja tengah melompat sekarang ni. Tak kesahlah. Janji aku boleh berlakon dengan baik.
Aku sambung buat kerja. Mana pulalah teman lain tak sampai-sampai ni. Tak selesa pula duduk berdua saja ni. Rasa lain macam.
"Teman lelaki telefon?" soalnya.
Aku angguk.
"Untunglah..."
Encik Faizal bangun. Lega. Mungkin dia nak ke biliknya. Tapi rasa lega tu lenyap tiba-tiba bila langkah Encik Faizal menghala ke arahku.
"Tengok sekejap." Dia pegang mouse dan tunduk memandang skrin komputer. Muka kami hanya berjarak beberapa inci saja. Rasa sesak nafas tiba-tiba.
"Saya ada simpan beberapa data dalam komputer awak ni. Nanti tolong tengok balik." Suara Encik Faizal benar-benar di tepi telinga.
Simpan data dalam komputer aku? Apa kes? E-mel tak boleh ke?
"Emmm." Aku angguk.
"Pasal annual dinner malam minggu nanti, boleh tak jadi couple saya? Sebab tema tahun enam puluhan. Mesti berpasangan."
Cepat aku pandang muka Encik Faizal. Mata kami bertentangan seketika. Makin semput aku rasa bila bertentangan mata begini.
"Boleh tak?" soalnya sambil angkat kening. Cepat aku pandang skrin komputer.
"Tengoklah nanti..."
"Saya kira tu satu jawapan setuju." Dia lepas mouse dan atur langkah semula ke biliknya. Fuh! Panas betul. Aku kipas muka dengan tangan.
"Bilik ni tak cukup sejuk ke?" soalnya.
Aku sudah tidak tahu untuk berkata apa. Memang pagi ni betul-betul jadi pagi yang serba tidak kena.
"Selamat pagi..." Hisyam muncul sambil ucap selamat pagi.
"Apa pasal pergi Krabi tak cakap?" Dia tanya aku sebelum aku sempat balas ucapannya. Seperti tadi aku masih tak tahu nak cakap apa. Memang aku rahsiakan percutianku, sebab ala-ala konon ke Krabi. Buatnya mereka kirim benda yang bukan-bukan, mana pula aku nak cari. Aku bukan pergi Krabi, aku pergi Cameron Highlands. Strawberi kering banyaklah.
Langkah Encik Faizal terhenti. Dia toleh pandang kami.
"Seronoklah tu..." Hisyam usik lagi.
"Mestilah seronok," jawabku.
"Habis, tak ada apa-apa ke untuk kita orang?" soalnya.
"Dah sampai sana memang tak ingat siapa-siapa dah. Sorry..." Aku senyum jahat.
"Menyampah!" balas Hisyam sepatah.
Aku sambung ketawa. Encik Faizal sekilas menjeling ke arahku. Wajahnya tiba-tiba berubah.
Ada yang tak kena ke? Tadi okey aje pun. Tak faham perangai dia ni. Cepat sangat berubahnya.
Ah! Pedulikanlah. Tengah fikir ni. Mana pula aku nak cari baju ala-ala Saloma?
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro