Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 8

PAGI-PAGI lagi aku sudah bersiap. Semangat hendak bercuti. Lama juga tidak ke Cameron Highlands. Apa mimpi Kak Husna ajak aku bercuti, aku pun tak tahu. Mungkin dia mahu tenangkan fikiran selepas apa yang berlaku. Tak mengapalah, ikutkan saja. Mana tahu dapat membantu sedikit meringankan tekanan Kak Husna.

Aku ditugaskan memandu kereta sepanjang perjalanan kami sehinggalah kami tiba di rumah agam milik keluarga Kak Husna. Kata Kak Husna, rumah itu adalah milik datuknya dan memang tempat mereka sanak-saudara lain menginap kalau bercuti di sini.

"Bestnya kak..." Kagum aku melihat rumah agam yang tersergam indah. Memang keluarga Kak Husna orang ada-ada rupanya.

"Dah lama banglo ni. Zaman atuk akak dulu."

Memang bangunan agak lama. Dari reka bentuknya saja sudah tahu ini pasti dibina dalam tahun 70-an.

Aku perhatikan sekeliling. Bunga-bunga ros berwarna merah jambu sedang mekar cantik.

"Ada orang jaga ke kak banglo ni? Nampak bersih dan kemas aje halaman. Bunga-bunga pun macam terjaga aje."

"Memang ada. Takkan nak biarkan macam tu saja? Ada penduduk di sini yang ambil upah uruskan banglo."

Kak Husna keluarkan kunci dari dalam beg tangan. Sambil menunggu Kak Husna buka pintu, aku pandang lagi sekeliling. Teringat telefon bimbit. Sepanjang perjalanan tadi memang tiada sebarang panggilan. Pasti Encik Faizal ingat aku dah sampai Krabi. Eloklah macam tu. Harap dia tak kacau aku langsung.

WhatsApp pun dia tak kirim apa-apa. Kosong. Terakhir malam tadi dia hantar. Berulang kali minta aku sedar diri.

Encik Faizal, aku bukan perempuan macam itulah. Walau aku pernah jadi gadis liar, tapi aku tak pernah serahkan tubuhku pada sesiapa. Aku tahu jaga maruah aku.

"Nurul rehatlah. Akak tahu Nurul penat tu. Akak dah pesan makanan kita. Nanti boleh kita makan sama-sama," panggil Kak Husna.

Aku angguk. Sebelum tu aku ke kereta. Nak bawa beg pakaian kami.

"Bilik Nurul bilik tengah, ya?" Elok selesai bercakap, Kak Husna berlari masuk bilik air. Aku dengar seperti dia muntah. Takkan mabuk jalan kut?

Aku bawa beg pakaianku ke bilik tidur yang Kak Husna arahkan tadi. Ada sebuah katil bujang dalam bilik. Terus saja aku letak badan. Letih sama.

Sedar-sedar sudah melewati waktu tengah hari. Dah petang rupanya. Makanan sudah tersedia di atas meja. Tanpa berlengah aku terus jamah makanan yang ada. Lepas makan, aku bancuh teh. Bawa muk keluar. Aku letak muk berisi teh panas berperisa strawberi di hadapan Kak Husna.

"Terima kasih," kata Kak Husna. Muka Kak Husna kelihatan pucat.

Aku senyum saja sambil duduk di atas kerusi besi menghadap pemandangan kaki bukit yang menghijau. Suasana petang juga sangat nyaman.

"Nasib baik petang ni tak hujan," kataku sambil hirup air teh.

"Yalah, terasa nyaman," balas Kak Husna lemah.

"Akak tak sihat ke?" soalku perlahan. Wanita yang pernah menjadi salah seorang penaung SISTER dan pernah bekerja di syarikat milik bekas suaminya, kelihatan sugul. Aku dapat tahu daripada Eja, sebaik sahaja bercerai, Kak Husna jual semua saham yang dia miliki. Jadi, sekarang ini Kak Husna bukan calang-calang janda. Janda banyak harta.

"Taklah. Mungkin akak tak cukup tidur." Kak Husna pegang pipinya.

Aku angguk. Mungkin juga. Kak Husna baru saja lepas bercerai, masakan boleh bersuka ria sesuka hati. Aku hirup lagi air teh. Kali ini aku pilih pandang bunga-bunga ros yang ditanam mengelilingi pagar. Ada warna merah hati, warna merah jambu dan juga ada warna putih. Cantik dipandang.

Aku pandang pula telefon bimbit Kak Husna yang berbunyi galak. Lambat saja Kak Husna ambil. Seperti tidak berdaya.

"Adik akak yang kacak tu," kata Kak Husna sambil senyum.

Aku senyum saja. Siapa lagi nak puji kalau bukan kakak sendiri?

"Assalamualaikum. Hmmm, apa mimpi telefon akak petang macam ni?" soal Kak Husna perlahan.

Aku pandang hadapan semula.

"Kalau bosan kenapa tak ajak buah hati keluar? Kata dah ada yang berkenan." Kak Husna sambung berbual.

"Bercuti ke Krabi? Habis tu, kenapa tak ikut?" Kemudian Kak Husna ketawa.

"Kesian adik akak ni. Hmmm, akak kat Cameron Highlands ni dengan adik angkat akak yang comel tu."

Cepat aku pandang Kak Husna.

"Mulalah tu merepek," kataku.

"Habis tu, akak nak kenenkan cakap dah ada berkenan. Kalau tidak, senang-senang akak pinangkan." Makin galak Kak Husna ni. Macam tak sedar diri saja.

"Ah! Terpulanglah pada Pacai. Kalau tak nak, tentang aje habis-habisan."

Nama Pacai? Tak ada nama lain ke? Tak glamor sungguhlah.

"Akak bukannya menghasut. Ambillah akak sebagai contoh. Memang dulu akak fikir reda mak ayah tu penting. Tapi bila akak disakiti zahir dan batin, akak rasa nak mengungkit. Sampai sekarang mak dan mak lang tetap tuduh akak yang bersalah sebab tak boleh mengandung. Salah akak ke kalau akak tak boleh mengandung?"

Aku pandang wajah Kak Husna. Ada seribu kedukaan sedang terpamer. Walau cuba disembunyikan dengan senyuman manis, tapi pahitnya terpandang juga. Air muka jarang menipu.

"Hmmm, jaga diri baik-baik. Waalaikumussalam."

Kak Husna letak semula telefon bimbitnya di atas meja dan sambung minum.

"Adik akak kirim salam."

"Waalaikumussalam," jawabku sepatah.

"Memang akak nak sangat adik akak tu berjodoh dengan Nurul." Kak Husna tersenyum cantik.

"Dah-dah, jangan nak merepek sangat."

Kak Husna ketawa perlahan. Aku nampak dalam ketawa dia berusaha menahan kesakitan. Kak Husna sakit ke? Aci lawan apa pun, pasti Kak Husna takkan cerita pada aku.

Tak mengapalah. Biar Kak Husna bertenang dulu. Lambat-laun nanti, pasti Kak Husna akan cerita pada aku. Tunggu saja. Dengan siapa lagi dia hendak meluah rasa kalau bukan dengan aku atau Eja?

HUJAN turun dengan lebat. Dingin benar-benar terasa. Kak Husna berkurung di dalam bilik sejak maghrib tadi. Entah kenapa mata pula tak mahu terlena.

Aku melangkah perlahan menuju ke ruang tamu. Tak sangka Kak Husna ada di ruang tamu.

"Akak belum tidur?" Aku menghampirinya.

"Belum. Akak tengok gambar-gambar lama. Ini gambar masa akak kecil lagi." Kak Husna serahkan sekeping gambar. Aku sambut perlahan.

"Ini gambar akak umur berapa ni?" Hampir ketawa aku melihat gambar Kak Husna. Berbeza betul dengan Kak Husna sekarang.

"Ini tak salah akak, akak sekolah menengah."

Kak Husna memang beritahu aku tentang keluarganya. Kak Husna ada tiga beradik. Dia ada abang dan seorang adik. Adik dia itulah yang hendak sangat dikenenkan dengan aku.

"Ini gambar adik akak yang segak tu." Kak Husna hulur pula sekeping gambar.

"Tak salah akak masa tu dia tingkatan dua."

"Gambar terkini tak ada ke, kak? Kut Nurul boleh tersuka tanpa sengaja." Aku buat lawak.

"Adik akak ni susah nak bergambar. Maklumlah, orang segak." Kak Husna ketawa-ketawa.

Aku perhatikan lagi gambar tersebut. Ada iras-iras Encik Faizal pun ada. Tapi takkanlah. Teruk dah aku ni. Asyik teringatkan Encik Faizal saja. Sikit-sikit Encik Faizal.

Kak Husna mengeluh perlahan selepas itu.

"Kenapa, kak?"

"Adik akak tulah. Akak risau kalau dia terima nasib yang sama seperti akak."

Kak Husna tak jelaskan pun aku dah tahu. Kes kena kahwin dengan pilihan keluarga. Sama seperti Kak Husna.

"Dia lelaki, kak. Lelaki kalau dah suka, sanggup lakukan apa saja. Mereka tak kesah apa-apa."

"Memang betul. Tapi keluarga akak lain sikit. Adik akak tu dengar ceritanya dah ada pilihan hati sendiri, tapi keluarga akak akan jodohkan dia dengan sepupu akak."

"Kenapalah keluarga akak masih macam tu? Suka sangat main paksa-paksa anak. Bila ada masalah, mulalah salahkan satu pihak saja." Aku pun tak faham kenapa keluarga Kak Husna suka sangat berbuat demikian.

"Takut harta jatuh ke tangan orang lain."

"Alasan dah basi. Alasan yang tak boleh diguna pakai. Suka sangat buruk sangka dengan orang lain. Macamlah harta tu adalah segalanya. Maaflah kalau Nurul cakap kasar. Bukan niat Nurul hendak mengutuk keluarga akak, tapi itu yang Nurul nampak selama ni." Aku bukan jenis cakap nak berlapik bagai. Kalau aku rasa tak puas hati, aku luahkan saja. Peduli apa aku.

"Memang betul pun. Memang begitulah keluarga akak."

"Langsung tak nak fikir tentang kebahagiaan anak."

Kak Husna senyum tawar. Aku tahu dia juga rasa serba salah. Nak kutuk lebih-lebih, serupalah membuka pekung di dada.

"Habis, macam mana dengan kekasih akak dulu?"

"Baru ni akak dapat tahu dia dah kahwin dengan pilihan keluarga dia."

"Pilihan keluarga juga? Hurm, tak tahulah Nurul nak cakap apa. Balik-balik pilihan keluarga."

"Mungkin sebab dia dah kecewa dan berputus asa."

"Kalau dia tahu akak nak bercerai, mesti dia tunggu akak, kan?"

"Jodoh tu rahsia Tuhan, Nurul."

Ya, memang betul. Kalau sudah tertulis jodoh dengan pilihan keluarga, hendak diapakan lagi?

"Errr, Nurul masuk bilik dulu, kak. Mengantuk dah datang. Selamat malam, kak."

"Selamat malam."

Aku melangkah masuk ke dalam bilik. Harap lepas ni dapatlah aku pejamkan mata. Dan berharap juga jangan terkenangkan Encik Faizal lagi. Tapi kenapa wajah dia juga yang menari di ruang mata?

Tak ada apa-apa kut. Sekadar terkenang saja. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro