Bab 7
"EHEM..."
Terkejut aku. Hampir terlepas muk di tangan.
"Encik..." Aku pandang wajah Encik Faizal. Dia bagi tau aku tadi dia ada kerja di luar. Kenapa tiba-tiba muncul?
"Berangan dah sampai Krabi ke?"
"Eh, mana ada..." Cepat-cepat aku nafikan. Sebenarnya aku teringatkan Kak Husna saja. Pagi tadi masa Eja hantar aku pergi kerja, Eja ada cerita pasal Kak Husna. Ingatkan aku seorang saja yang perasan. Rupanya Eja pun perasan. Eja cakap malam tadi Kak Husna makan tiga biji mangga muda. Tak ke pelik tu?
"Tak payah nak sembunyikan sangatlah. Macam saya tak tahu."
Sebenarnya Encik Faizal tak tahu apa-apa. Yang terbayang di kotak ingatannya ketika ini tak sama dengan apa yang ada dalam fikiranku. Tak sama langsung.
"Saya harap awak dengar nasihat saya malam tadi."
"Nasihat?" Kepala aku serabut fikirkan Kak Husna, jadi aku tak dapat tangkap makna kata-kata Encik Faizal.
"Nurul. Berbuih mulut saya bercakap malam tadi, awak langsung tak dengar?"
Serius, memang tadi aku tak ingat apa-apa.
"Ingat. Ingat." Baru aku ingat nasihat yang Encik Faizal maksudkan.
"Nurul, saya tau awak sayangkan teman lelaki awak. Tapi tolonglah. Cinta bukan alasan untuk awak jadi buta. Cinta pada lelaki bukan segala-galanya."
Encik Faizal berdiri di hadapanku. Dia renung aku. Aku tahu dia sedang berusaha untuk menyedarkan aku.
"Saya memang dah fikirkan perkara ni. Kalau dia tak suka macam mana? Kalau tiba-tiba dia minta putuskan hubungan macam mana?" Sengaja mahu mendengar bagaimana jawapan Encik Faizal.
"Habis, selama mana pula awak sanggup jadi hamba hanya disebabkan cinta? Tolonglah, Nurul. Lelaki tu sebenarnya tak sayang awak langsung. Dia hanya mahukan tubuh badan awak saja. Kalau dia benar-benar cintakan awak, dia tak berani sentuh awak pun."
Ada kesungguhan pada kata-kata Encik Faizal. Seolah-olah dia sedang berusaha menarik aku dari satu tempat yang sangat curam. Kalaulah dia tahu cerita sebenarnya, mungkinkah hubungan kami bakal menjadi retak? Silap hari bulan masa tu juga dia hantar aku ke bahagian lain.
"Awak kena bertegas, Nurul. Jangan lembut sangat. Lelaki memang suka mengambil kesempatan di atas kelemahan perempuan. Nak-nak yang menurut saja."
"Saya akan berusaha untuk memperbetulkan keadaan."
"Awak kena perbetulkan, Nurul. Jangan tangguh-tangguh lagi."
"Terima kasih, encik."
"Tak perlu ucap terima kasih. Saya tak buat apa-apa pun."
"Tapi sekurang-kurangnya encik dah nasihatkan saya. Dah sedarkan saya sesuatu." Sedarkan aku bahawa masih ada orang-orang yang mengambil berat tentang diriku walaupun mereka bukan siapa-siapa buatku. Membuatkan aku percaya, masih ramai orang baik-baik di dunia ini.
Aku habiskan minuman dan aku bawa muk ke singki. Cuci bersih. Seperti biasa, aku letak di atas rak pinggan. Selepas itu aku tinggalkan Encik Faizal. Mahu sambung buat kerja. Esok bermula cutiku selama 3 hari. Kata Kak Husna, dia sengaja memilih bercuti waktu orang lain bekerja demi mengelakkan kesesakan di Cameron Highlands.
"Nurul..." Encik Faizal panggil lagi.
"Ya, encik." Aku toleh pandang wajahnya.
Dia diam namun wajahnya seperti menyimpan sesuatu tetapi dia seolah-olah serba salah untuk luahkan.
"Ya, encik. Ada apa?"
"Istimewa sangat ke lelaki tu sampai awak tak boleh tinggalkan dia?"
Nak tanya pasal tu saja ke? Nak jawab apa ni? Aku mana tahu apa-apa.
"Istimewa sangat ke lelaki tu sampai awak sayang sangat kat dia?" Bibir Encik Faizal seakan terketar. Anak matanya membayangkan dia sedang marah sekarang ini.
"Dia sangat istimewa." Aku cuba membayangkan diri Kak Husna. Senyuman Kak Husna. Tingkah laku Kak Husna yang sangat menyenangkan dan semua tentang Kak Husna.
"Dia melayan saya dengan baik. Tak pernah berkasar dengan saya. Menerima diri saya seadanya. Tak pernah ungkit masa silam saya dan tak pernah mahu tahu siapa saya sebelum saya mengenali dia." Begitulah Kak Husna. Dia tak pernah mahu tahu siapa aku sebelum ini.
"Awak memang dah buta, Nurul. Awak dah tak boleh bezakan antara kebenaran dan kepalsuan. Percayalah cakap saya. Lelaki tu memang tak ikhlas terhadap awak."
Aku rasa sangat pelik. Kenapa Encik Faizal begitu bersungguh menghasut aku? Apa yang sedang cuba dia lakukan?
"Tapi dia tetap terima saya. Layan saya dengan baik. Bagi saya tu dah cukup."
Encik Faizal pegang dahinya.
"Awak berhak untuk dapat yang lebih baik. Masih ada lelaki yang akan sayangkan awak dengan ikhlas." Aku hanya sekadar tersenyum dan melangkah tinggalkan pantri.
Tak lama aku duduk di tempat dudukku, Encik Faizal juga keluar dari pantri. Dia terus ke biliknya tanpa menoleh pandang aku.
"Apa pasal dengan Encik Faizal?" soal Mia sebaik sahaja Encik Faizal tutup pintu biliknya.
"Kenapa dengan dia?" Aku pula soal Mia. Apa yang tidak kena dengan Encik Faizal sampai Mia boleh tanya aku macam tu? Aku rasa tak nampak apa-apa pun pada diri Encik Faizal hari ini melainkan dia bersungguh nasihatkan aku.
"Dia marah kita orang tadi tau masa kau pergi buat kira-kira kat bahagian stok. Teruk dia marah kita orang. Elok kau masuk, terus dia diam."
"Dah kau orang buat silap, marahlah dia. Kapal nak angkut minyak dah sampai pelabuhan tau. Jangan main-main. Kalau kita tak sediakan minyak, memang syarikat akan tanggung kerugian. Bukan sikit punya rugi."
"Bukan pasal tu. Benda tu kan dah selesai minggu lepas lagi."
"Habis tu?"
"Itulah aku tanya kau, kot-kot kau tahu kenapa tiba-tiba saja Encik Faizal naik angin. Tapi kan, aku tengok Encik Faizal tu macam ada masalah lain aje. Bukan masalah kerja. Lebih masalah peribadi."
"Ya?" Sejak bila pula Encik Faizal ada masalah peribadi? Tak ada pula dia beritahu aku. Selalunya cepat saja dia bercerita.
"Itu la yang kita orang nampak. Kau tak tahu apa-apa ke? Kau kan rapat dengan dia. Mesti dia ada cerita apa-apa."
"Betul, dia tak ada cerita apa-apa. Walaupun kami rapat, tak semestinya dia nak cerita hal peribadi dia pada aku. Agak-agaklah kau pun."
Aku pandang tepat muka Mia.
Dia ingat aku baik dengan Encik Faizal, semua masalah orang tu nak cerita kat aku?
Ini yang buat aku naik angin sama. Mujur tak ada sesiapa yang bawa mulut cakap aku ada skandal dengan Encik Faizal. Kalau ada, tunggulah orang tu. Memang aku ajar cukup-cukup.
"Manalah tahu..." Mia kembali ke tempatnya dan tinggalkan aku dengan tanda tanya. Kenapa Encik Faizal tunjuk perangai pelik hari ni? Memang dia tak tunjuk kemarahan dia pada aku, namun cara dia bercakap memang seperti ada masalah. Takkan sebab aku nak pergi Krabi dengan kekasih aku yang tak pernah wujud buat dia sentap?
Aku sambung buat kerja. Hal Encik Faizal biar dialah. Dia pun ada masalah dia sendiri.
"Nurul!" panggil Encik Faizal dengan suara yang agak kuat. Semua mata memandang ke arah pintu bilik Encik Faizal.
"Ya saya," jawabku laju.
"Masuk kejap," arahnya. Lepas tu Encik Faizal tutup pintu bilik dengan agak kuat.
"Cepat, Nurul. Jangan bagi Encik Faizal marah lagi. Teruk nanti kita semua kena marah." Mia bersuara dari tempat duduknya.
"Yalah, yalah." Aku bergegas masuk ke bilik dengan langkah yang agak laju.
"Ya, encik." Sedikit lelah aku kerana terkejar ke bilik Encik Faizal. Takut kena marah punya pasal.
"Disebabkan tiga hari awak tak ada, saya nak awak tolong saya siapkan beberapa kerja sikit."
"Boleh, encik." Tiga hari aje kut aku bercuti. Nak suruh buat kerja macam aku bercuti tiga bulan.
"Ada apa-apa lagi?" Aku bertanya bila melihat Encik Faizal hanya mendiamkan diri selepas tu.
"Nurul, saya bukan mahu masuk campur dalam urusan peribadi awak. Tapi boleh tak awak batalkan percutian awak tu?"
Ringan saja hendak berterus terang tapi aku rasa belum masanya lagi. Biarlah Encik Faizal hendak fikir apa-apa, aku tetap nekad untuk terus berpura-pura. Aku rasa hanya dengan cara ini sahaja untuk menyelamatkan keadaan. Biar aku mahupun Encik Faizal tiada apa-apa perasaan yang mungkin akan mengeruhkan lagi keadaan.
"Mana boleh, encik. Teman lelaki saya dah plan lama."
Dia tarik nafas dalam-dalam.
"Baru teman lelaki, Nurul. Bukan suami awak pun."
Aku pilih untuk berdiam diri. Tak guna aku berlawan cakap pada perkara yang tak wujud.
"Okeylah, encik. Saya nak sambung buat kerja ni. Banyak kerja nak kena buat."
Aku terus melangkah tinggalkan bilik Encik Faizal. Tak nak fikir apa-apa lagi. Apa yang ada dalam fikiran Encik Faizal sekarang ini, itu urusan dia. Namun, aku tetap hargai sikap prihatinnya terhadap aku. Tinggal lagi ceritanya yang tak berapa betul.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro