Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 6

AKU bermalam lagi di rumah Kak Husna. Kali ni Eja ikut sekali. Kami berdua tak mampu nak membantu apa-apa, tapi dengan temankan dia, aku rasa mampu mengurangkan kemurungan Kak Husna. Kak Husna perlukan teman untuk berbual bagi melupakan sedikit masalah dia.

"Macam mana? Boleh minta cuti?" Kak Husna letak buah mangga dan juga kuah kicap di atas meja sofa. Pelik, aku rasa kebelakangan ini Kak Husna gemar makan buah mangga muda. Kalau tidak, memang jarang aku tengok dia makan buah jenis masam ni.

"Beres. Tak ada hal."

"Alhamdulillah."

"Maaf, kak. Eja memang tak boleh nak cuti." Eja tunjuk muka sedih. Aku tahu Eja memang benar-benar kecewa tak dapat turut sama.

"Tak apa. Akak pun tak plan nak cuti. Saja nak pujuk hati. Maaf kalau akak dah buat kau orang susah hati pasal akak."

"Eh, tak adalah. Lagipun Nurul mana pernah ambil cuti. Bos pun baik hati bagi cuti."

"Bos lagi?" Serentak Kak Husna dan Eja bercakap.

"Kenapa?" soalku.

"Kau tahu tak, dalam satu hari aku dengar banyak kali kau sebut perkataan bos. Mesti kau sebut pasal bos kau, bukan? Takkan nak cakap bos aku pula."

Aku selalu sebut pasal Encik Faizal ke? Bila masa aku sebut pasal kawan tu?

"Nak nafikan lagi ke?" Kak Husna jeling sambil kupas buah mangga.

"Sumpah, tak ada kena-mengena pun dengan bos Nurul."

"Boleh percaya ke?" Eja pula buat muka tak percaya.

"Tolonglah. Jangan nak fikir yang bukan-bukan."

"Kau pergi kerja pun sekarang ni aku tengok dressing bukan main lagi. Tu apa buktinya?"

"Aku buat macam tu sebab aku nak berlakon aje. Aku nak bagi tau yang aku dah ada buah hati."

"Yang kau bodoh nak berlakon bagai tu dah kenapa? Kalau betul bos kau sukakan kau, terima ajelah. Nak tunggu lelaki turun dari langit?" Eja mula makan buah mangga yang Kak Husna hiris. Berkerut mukanya menahan rasa masam.

"Kau tak faham, Eja."

"Bukan aku yang tak faham. Sebenarnya kau tu yang tak faham."

"Kalau betul dia suka aku tak apa juga. Ni buatnya aku aje yang perasan dia sukakan aku macam mana? Aku kena juga jaga air muka aku."

Eja terdiam. Maknanya Eja tak tahu nak jawab apa-apa lagi.

"Akak tak nak masuk campur. Cuma akak harap, kau orang berilah peluang pada diri kau orang untuk menikmati rasa bahagia. Jangan terlalu bimbangkan perkara yang remeh-temeh. Perkara yang kau orang tak pasti akan berlaku atau tidak."

Aku dan Eja dengarkan saja.

Tengah sedap berbual, telefon berbunyi. Encik Faizal telefon. Cepat aku bawa telefon bimbit ke luar. Tak mahu Kak Husna dan Eja mendengar perbualan kami.

"Ya, encik. Ada apa?"

"Awak kat mana?"

"Rumah teman lelaki saya." Aku harap kalau Encik Faizal menaruh harapan terhadapku, dia akan mula tawar hati.

"Errr, boleh ke saya berbual dengan awak?"

"Boleh aje. Teman lelaki saya tak ada kat rumah."

"Dia ke mana?"

"Keluar kejap dengan kawan-kawan dia," bohong lagi.

"Awak sorang-sorang saja ke sekarang ni?"

"Haah."

Aku pandang langit yang bersih. Banyak bintang bertaburan. Sangat cantik. Sangat indah.

"Hurm, saya nampak langit terlalu banyak bintang bertaburan. Sangat cantik, sangat indah."

"Encik pun pandang langit ke?"

"Nampak. Awak pun pandang langit juga ke?"

"Haah. Cantik, kan?"

"Memang cantik."

Aku dengar Encik Faizal mengeluh selepas itu. Entah kenapalah dia mengeluh.

"Nurul."

"Ya, encik."

"Kalau saya tanya sesuatu, awak boleh jawab dengan jujur?"

Tiba-tiba saja dada berdebar. Dia syak aku tipu dia ke? Muka aku memang nampak macam orang menipu? Habis aku nak jawab apa kalau dia tahu aku menipu? Payah ni.

"Ya, encik nak tanya apa?"

"Awak memang sayangkan teman lelaki awak tu?"

Tolong jawab dengan berhati-hati, Nurul. Kadang-kadang soalan Encik Faizal tu soalan perangkap.

"Mestilah sayang. Bukan senang orang nak sayang."

"Kalau saya tegur, awak marah tak?"

"Orang yang tak boleh ditegur tu sebenarnya manusia paling rugi."

"Ya, sebab itulah ramai yang tak sedar mereka rugi."

"Encik nak cakap apa sebenarnya ni?"

Satu keluhan kedengaran lagi dari pihak sana. Seperti berat saja. Sebenarnya apa yang cuba Encik Faizal nak sampaikan pada aku?

"Nurul, saya baru kenal awak tapi saya rasa awak seorang gadis yang sangat baik. Sangat memahami dan sangat menyenangkan. Awak mampu buat saya tersenyum. Di celah-celah kehidupan saya yang serba berserabut dengan pelbagai masalah, awak ada menghiburkan hati saya."

Tiba-tiba saja dada berdebar. Encik Faizal hendak meluah rasa ke? Dia nak cakap dia sudah jatuh cinta dengan aku? Apakah firasatku terhadapnya selama ini memang benar? Bersediakah aku untuk menyambut cinta Encik Faizal?

"Encik juga seorang ketua yang sangat menyenangkan. Saya suka bekerja di bawah encik." Aku menjawab dengan tenang namun dada masih lagi berdebar.

"Terima kasih," balas Encik Faizal. Dia diam semula. Mungkin sedang berusaha menyusun ayat yang lebih baik.

"Sama-sama." Aku juga membalas kata-kata Encik Faizal.

"Saya sayang awak."

Aku bermimpi ke? Atau aku terbawa-bawa oleh perasaan syok sendiri?

"Maksud saya, saya sayang awak sebagai kawan dan rakan sekerja."

Aku harus rasa lega mendengar penjelasan Encik Faizal. Sayang sebagai kawan sahaja sepertimana aku sayang Eja, aku sayangkan kawan-kawanku yang lain. Wajarlah untuk dia risaukan aku selalu.

"Sebab saya fikir saya sayang awak sebagai kawan, saya rasa saya ada tanggungjawab untuk menasihati awak."

Aku senyum. Aku rasa seperti tahu saja apa yang bakal Encik Faizal katakan.

"Tolonglah, Nurul. Tolong jangan bersekedudukan macam ni. Sekalipun awak sayang dia, jangan sampai melakukan dosa besar. Itu bukan namanya cinta. Cinta bukan maknanya awak harus serahkan diri awak pada dia."

Kan aku dah cakap. Encik Faizal nak bagi ceramah.

"Saya sayangkan dia, encik. Saya takut dia tinggalkan saya nanti. Dialah cinta hati saya. Seluruh hidup saya, saya serahkan untuk dia." Nak tergelak aku. Boleh pula aku tuturkan ayat macam tu. Kalau Eja dengar, mesti dia muntah. Sebulan dia loya. Aku pun dah nak muntah ni.

"Jangan macam tu, Nurul. Jangan terus-terusan bergelumang dengan dosa. Sebelum awak sayang orang lain, tolonglah sayangkan diri awak terlebih dahulu."

Aku terdiam seketika. Kata-kata Encik Faizal itu mengingatkan aku kepada Kak Husna. Itulah kata-kata yang Kak Husna selalu ucapkan ketika aku kecewa atau sedang dalam keadaan berputus asa. Sebelum sayang orang lain, sayang diri sendiri terlebih dahulu. Bermakna Encik Faizal sangat mengambil berat tentang diriku.

"Terima kasih, encik. Lepas saya balik Krabi nanti saya akan fikirkan macam mana."

"Tolong jangan tangguhkan untuk berbuat baik. Awak kena hentikan sekarang, Nurul. Hanya awak saja yang mampu mengubahnya. Tolonglah sayang diri awak." Begitu bersungguh Encik Faizal menasihatiku.

"Saya akan berusaha, encik."

"Awak boleh lakukan, Nurul. Saya tahu awak seorang yang sangat kuat. Awak kena tahu yang diri awak sangat berharga."

Terharu aku mendengar kata-kata Encik Faizal. Pada waktu aku merasakan aku tidak dihargai, tapi masih ada insan-insan yang sudi memberi nasihat buat aku. Aku ada Kak Husna, aku ada Eja dan sekarang aku ada Encik Faizal. Mereka bukan ada pertalian darah denganku, tapi mereka sedia pimpin tanganku agar aku tidak tersesat jauh.

"Saya nak cakap itu saja. Sebagai kawan, saya rasa sebahagian tanggungjawab saya sudah saya laksanakan. Sekarang ni terserah pada awak untuk membuat pilihan."

"Terima kasih, encik." Tiba-tiba aku rasa terharu.

"Sama-sama. Awak kena tahu juga, saya selalu ada untuk awak."

Kak Husna pun selalu cakap macam tu pada aku. Betapa aku dihargai dan disayangi. Terasa keberadaan aku di sisi mereka.

"Saya sangat menghargainya."

"Okey, Nurul. Tak nak kacau awak lagi. Ingat pesan saya. Awak mampu berubah. Assalamualaikum."

"Walaikumussalam."

Aku hela nafas perlahan. Kemudian pandang langit yang terbentang luas. Mungkin Encik Faizal juga pandang langit yang sama.

Aku melangkah semula masuk ke dalam rumah semula. Kak Husna dan Eja pandang aku semacam.

"Ada nak buat penjelasan?" Terus Eja menyoal.

"Penjelasan apa?" Aku buat-buat tak faham.

"Bos kau."

"Tak ada apa bendalah! Aku nak tidur. Mengantuk." Aku terus ke bilik yang memang Kak Husna sediakan untuk aku dengan Eja.

"Cakap ajelah dalam hati ada taman. Tak payahlah nak sorok-sorok."

Malas nak layan. Bukannya Eja faham pun.

Elok aku terbaring, Eja masuk bilik.

"Wei, aku nak cakap sikit ni." Eja seperti berbisik.

"Apa bendanya?"

"Kak Husna tu bukan ke dalam idah? Okey ke dia keluar makan angin?"

"Aku pun jahil juga dalam hal ni. Tapi rasanya kalau mahu tenangkan fikiran, tak apa kut. Bukannya Kak Husna nak bersuka ria. Nampak macam keperluan untuk dia ke sana."

Eja angguk. Nampak dia sedikit berpuas hati.

"Kau jangan bimbanglah. Pandailah aku jaga Kak Husna nanti." Aku beri jaminanku pula. Takkanlah aku mahu biarkan Kak Husna buat perkara yang tak elok pula?

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro