Bab 4
AKU peluk cium Kak Husna. Kak Husna kelihatan sedikit cengkung. Wajahnya juga nampak murung. Apa lagi yang tak kena? Malam tadi tak cerita apa-apa pun pasal masalah dia.
"Hmmm, cantik pula akak tengok adik akak ni." Kak Husna pandang aku atas bawah.
"Bos Nurul yang baru itulah."
"Kenapa? Hmmm, dah terbuka hati nak pikat lelaki? Sebab tu dah pandai pakai gincu." Kak Husna senyum panjang.
"Tolong sikit, okey?" Aku jeling sekali.
"Habis tu? Adik akak yang dulunya kalau pandang dari belakang serupa jantan aje, tiba-tiba berubah wajah. Mustahil akak tak percaya Nurul dah jatuh cinta."
"Kak..." Aku merengek manja. Tak suka betul dikenenkan macam tu.
"Okey-okey. Apa kes bergincu sakan ni? Bibir pun dah merah menyala semacam." Kak Husna gelak perlahan. Gamaknya lawak sangatlah aku bersolek macam ni.
"Bos baru Nurul tu segak sikit orangnya."
"Kan akak dah cakap."
"Biarlah Nurul habis cerita dulu." Kami sama-sama melangkah ke meja makan. Perut memang dah gedik semacam. Memang lapar gila. Kali terakhir aku makan, tengah hari tadi. Encik Faizal minta temankan dia makan susyi. Mahu tak terkejut perut aku. Tak pernah-pernahnya makan susyi, tiba-tiba terpaksa telan makanan Jepun tu. Sebab hormatkan bos, aku buat bodoh aje.
"Wah, sedapnya..." Atas meja sudah terhidang makanan kegemaranku.
"Ikan apa ni, kak?" Aku sudu kuah asam pedas dan sumbat mulut.
"Ikan parang. Hati-hati, banyak tulang."
"Pergh, memang power." Aku terus duduk. Senduk nasi dengan rasa tak sabar.
"Tengah hari tadi, ada ke patut bos Nurul minta temankan dia makan susyi?" Mula nak mengumpat.
"Hmmm, bos lagi. Ini tidak syak lagi." Kak Husna juga senduk nasi selepas itu.
"Inilah Nurul nak cerita. Bos Nurul kali ni memang segak. Bujang lagi."
"Hmmm, bunyinya menarik."
"Disebabkan Nurul tak mahu ada skandal dengan bos sendiri, Nurul beritahu dia, Nurul dah ada teman lelaki. Manalah tahu dia tuduh Nurul syok kat dia ke. Maklum, Nurul dapat tahu dia memang hot kat tempat kerja. Payah nak buat kerja nanti. Tu balik tadi Nurul solek semacam. Kononnya nak keluar dinner dengan teman lelaki." Aku baca doa makan dan mula sumbat nasi ke dalam mulut.
"Ngeee... Macam-macam." Kak Husna tolak pipiku.
"Tapi dia memang segaklah, kak. Alang-alang boleh cair dibuatnya."
"Habis tu, apa lagi? Inilah peluang Nurul nak pikat dia."
"Nurul takutlah, kak."
"Sebab pengalaman rumah tangga akak?"
Aku diam. Sebenarnya tidak terlintas pun mahu ungkit kisah sedih yang berlaku terhadap rumah tangga Kak Husna. Sedikit pun tidak.
"Jangan sebab akak, Nurul takut nak bercinta. Tak semua lelaki tak berguna. Masih ada lelaki yang baik, yang boleh Nurul jadikan teman hidup." Suara Kak Husna mendatar dan kedengaran sangat kasihan.
"Bukan sebab akak. Akak tahu kan Nurul macam mana? Akak kenal daripada Nurul tomboi lagi sehinggalah sekarang. Nurul memang anti lelaki, kak. Bukan disebabkan masalah akak dengan suami akak."
"Akak faham. Akak cuma bimbang, Nurul tambah benci dengan lelaki. Akak nak sangat adik akak ni hidup bahagia."
"Nurul dah rasa cukup bahagia sekarang ni. Nurul rasa bahagia sebab Nurul ada akak." Aku sudahlah lapar. Kak Husna pula ajak main drama. Tersentap rasa selera makan. Tapi layan jugalah dia bercakap.
Aku tahu apa yang menimpa perasaan Kak Husna ketika ini. Lain kali kalau nak ajak aku main drama, jangan masak sedap-sedap. Goreng aje telur mata kerbau. Ini tidak, dengan asam pedas ikan parang. Dengan ikan bilis goreng cili api. Sambal belacan dengan ulam bayam rebus. Ikan masin lagi. Mana tak terbuka selera makan?
"Sudahlah. Nurul makan dulu. Nanti sambung sembang," kata Kak Husna.
Hah, faham pun. Aku sambung makan. Tiga kali tambah nasi. Lepas tu sambung hirup kuah asam pedas.
"Akak dah sah bercerai." Tiba-tiba Kak Husna bersuara waktu aku mahu angkat pinggan nasi. Jadi aku terpaksa duduk semula sebab mahu dengar cerita selanjutnya.
"Tadi akak ke mahkamah. Kes dah selesai."
"Kenapa akak tak cakap dengan Nurul? Bukan ke Nurul sudah pesan, kalau apa-apa hal, akak bagi tahu aje Nurul."
"Akak tak nak Nurul jumpa mak ayah akak. Sebab akak tak mahu Nurul melihat penghinaan keluarga akak terhadap akak. Akak tak nak Nurul tambah sedih." Air mata Kak Husna mengalir ke pipi. Jadi air mataku apa lagi? Seperti empangan pecah, laju saja mengalir.
"Akak jangan sedih, ya? Anggap akak sudah tiada jodoh. Yang penting lepas ni akak kena happy selalu." Aku tak tahu macam mana hendak memujuk sebab aku bukanlah seseorang yang pandai memujuk. Namun aku tahu Kak Husna perlukan kekuatan sekarang ini.
"Minggu depan dia kahwin." Tangisan Kak Husna kian berlagu. Terus aku peluk Kak Husna. Mahu berkongsi kesedihan dengannya.
"Malam ni Nurul tidur rumah akak. Nurul nak temankan akak." Aku putuskan begitu. Aku tahu Kak Husna perlukan seseorang untuk menemaninya. Aku bangun dan bawa pinggan ke singki.
"Terima kasih, Nurul. Akak memang perlukan Nurul," kata Kak Husna.
"Nurul memang selalu ada untuk akak. Akak jangan bimbang. Lagipun dalam dunia ni Nurul tak ada siapa-siapa. Akak sorang saja yang Nurul ada." Aku pusing badan dan nampak air mata Kak Husna mengalir lagi. Sebenarnya aku sendiri tidak tahu untuk memujuk Kak Husna, harap dengan menemani dia, mampu melegakan sedikit perasaan Kak Husna.
"Nurul nak mandi kejap, nanti kita sambung sembang." Aku keringkan tangan dengan tuala yang terletak di muka peti sejuk sebelum atur langkah. Sudah berbulan bekas suami Kak Husna tinggalkan rumah dan dalam tempoh itu aku selalu menemaninya. Jadi, rumah Kak Husna sudah jadi rumah keduaku.
SELESAI solat isyak, aku ke ruang tamu semula. Rumah teres satu tingkat itu sangat sepi aku rasakan. Kak Husna tiada di ruang tamu. Mustahil sudah masuk bilik. Mana mungkin dia boleh tidur waktu-waktu begini? Pada saat dia sedang berada di ambang kedukaan.
Aku lihat pintu terbuka bermakna Kak Husna sudah memilih untuk berada di halaman rumah. Aku bawa telefon bimbit keluar. Kelihatan Kak Husna sedang membakar sesuatu.
"Akak buat apa ni?" soalku.
"Akak nak bakar semuanya," kata Kak Husna sambil keluarkan satu-satu gambar dari dalam album gambar. Kak Husna sedang bakar gambar-gambar perkahwinannya.
Aku tidak tahu mahu berkata apa, hanya memilih untuk melihat saja perbuatan Kak Husna. Aku tahu hatinya rabak dan susah hendak dijahit semula. Kalau dengan membakar semua gambar itu boleh menyenangkan, bakarlah semua kenangan itu. Maka benarlah barang yang lepas jangan dikenang. Kalau dikenang merosak jiwa dan badan. Bakarlah semuanya.
Air mata Kak Husna tidak berhenti mengalir. Mungkin dia sendiri tidak menyangka, nasibnya akan jadi begitu. Perkahwinan atas pilihan keluarga dan dari kalangan saudara terdekat mungkin lebih menyakitkan kalau berlaku perceraian.
"Akak serahkan semuanya, tapi inilah yang akak dapat," esak Kak Husna. Angin malam yang bertiup sedikit kencang menerbangkan percikan bara yang terhasil dari gambar yang terbakar.
"Apa yang akak tak buat untuk dia? Semua akak buat. Akak korbankan semuanya. Kekurangan akak jugalah yang diungkit selalu sampai menjadi perbalahan keluarga. Mak dan ayah akak tuduh akak pembawa malang. Tak pandai jaga suami."
Aku pandang langit yang bertaburan jutaan bintang. Mencari kekuatan sendiri agar aku tabah berdiri di belakang Kak Husna. Nasib Kak Husna sudah tertulis begitu, tapi bukan bermakna kehidupannya bakal berakhir. Kak Husna seorang wanita yang tabah. Aku yakin dia akan melalui hari-hari yang mendatang dengan lebih tabah lagi.
Waktu itulah telefon bimbitku berbunyi. Encik Faizal dalam talian.
"Ya, encik? Ada apa-apa masalah?" soalku.
"Saya kat hadapan rumah awak ni, awak kat mana?"
"Maaflah encik, malam ni saya tidur di rumah teman lelaki saya. Saya tak balik rumah." Selamba saja aku berbohong.
"Oh, kalau macam tu maaflah. Saya ingat nak bagi awak tengok kertas usul. Maaf, ya? Kita jumpa esoklah."
"Okey, kita jumpa esok."
Seperti tergesa-gesa saja Encik Faizal tutup telefonnya. Ambil kau. Siapa suruh kacau aku malam-malam macam ni? Selepas itu cepat tangan cari nombor Eja.
"Eja, kau tolong tengok depan rumah kita ada tak kereta warna merah?" soalku.
"Kejap," kata Eja.
Aku menanti seketika.
"Haah, ada. Eh, dah blah pun kereta tu," jawab Eja.
Bermakna memang betullah Encik Faizal datang ke rumahku. Menyesal pula biarkan dia hantar dulu. Sekarang kan dia dah tahu aku tinggal kat mana.
"Tak apalah kalau macam tu. Bos aku aje tu. Nak hantar kertas usul," kataku. Baik aku terus terang sebelum Eja tanya apa-apa.
"Oh, ingatkan siapa tadi. Habis, kau ni kat mana? Tak ingat nak balik ke?"
"Malam ni aku tidur rumah Kak Husna."
"Okeylah kalau macam tu. Kirim salam kat Kak Husna."
"Insya-Allah. Assalamualaikum."
Apa hal pula Encik Faizal tu sampai ke rumah cari aku? Macam manalah kalau aku tak syak dia minat aku kalau sudah begitu luar biasa tunjuk perangai?
Aku menghela nafas. Pandang lagi langit. Kemudian pandang Kak Husna. Bukan salah Kak Husna kalau dia tersalah pilih suami. Takdir yang berkata begitu.
"Nurul boleh temankan akak pergi bercuti?" Kak Husna sapu air matanya.
"Boleh, kak. Akak cakap aje bila. Nurul akan temankan akak."
"Temankan akak pergi Cameron Highlands boleh?"
"Boleh, kak. Akak jangan bimbang pasal tu."
Kak Husna menyambung kembali membakar gambar-gambar. Untuk Kak Husna, aku sanggup lakukan apa saja. Inilah masanya aku membalas semua jasa Kak Husna.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro