Bab 3
Aku fikir aku seorang yang datang awal. Rupanya ada yang terlebih awal daripada aku. Dia tercegat dengan kemeja warna kelabu. Masih belum bertali leher. Bercekak pinggang sambil pandang tepat ke arahku.
"Jangan bimbang. Memang saya tunai janji."
"Apa pasal malam tadi saya call, langsung tak jawab?"
"Saya sibuk kopek ikan bilis." Aku jawab selamba.
"Takkan sampai satu malam?"
"Eh, encik ingat nak kopek ikan bilis tu kerja senang ke?"
"Awak ingat saya tak biasa buat kerja-kerja tu? Nak goreng saya pun agak-agaklah. Bukan susah sangat setakat ikan bilis. Lainlah kalau awak siang ikan jaws."
Melawan pula dia ni. Dahlah dera aku bagai, masih lagi nak berlawan cakap.
"Kan habis aje kopek ikan bilis tu boleh telefon saya?"
"Selesai saja, terus saya tidur. Encik pun tahu kan kalau saya dapat tidur." Marah pula aku tak jawab panggilan dia. Kalau dia tahu aku memang sengaja tak jawab panggilan dia, mesti dia lagi angin.
"Ada masak nasi lemak untuk saya?"
Aku angkat beg kertas berisi bekas makanan.
"Istimewa untuk encik. Sila habiskan."
"Kalau awak tak masak, memang teruk hari ni saya kerjakan awak."
"Sampai ke hati encik nak kerjakan saya?" Aku mengusik.
"Awak cubalah dulu. Tengok saya sampai hati ke tidak."
Aku bawa beg kertas menuju ke pantri. Ruang untuk kami berehat dan makan-makan.
"Demi encik, saya bangun pukul lima pagi. Kalau encik tak habiskan, memang inilah kali pertama dan terakhir encik rasa nasi lemak saya."
"Kita tengoklah dulu, tapi saya hargai usaha awak tu." Serius saja muka Encik Faizal. Dia pergi ambil garpu dan sudu bersama pinggan. Kemudian dia duduk di atas kerusi.
"Jemputlah makan..." Aku hidang nasi lemak depan dia. Dia baca doa makan dengan perlahan.
Dia suap nasi ke dalam mulut dan kunyah beberapa kali. Kemudian kunyahannya terhenti. Dia pandang aku dengan pandangan tajam.
"Kenapa? Tak sedap?" Aku dah sedih ni. Reaksi Encik Faizal macam tak suka.
"Betul awak masak?"
"Sumpah, saya yang masak." Tadi aku rasa sedih, sekarang bengang.
"Sambal ni ingatkan saya pada... Okey, tak apalah. Kalau betul awak masak, saya nak minggu depan awak masak lagi."
"Hah?"
"Buktikan yang awak tak tipu."
Ini namanya memang betul-betul cari penyakit.
"Mana boleh selalu makan nasi lemak, encik. Tinggi kolesterol."
"Kalau macam tu, bulan depan. Janji awak masak. Saya nak tengok sendiri awak masak."
"Encik tak percayakan saya ke?"
Kunyahannya terhenti. Dia pandang aku.
"Bukan macam tu. Sambal tumis ni bukan saja sedap, tapi ingatkan saya pada sambal tumis orang yang saya kenal dan saya sayang."
"Kekasih encik?"
"Hesy! Kalau saya dah ada kekasih, saya tak minta awak masak untuk saya. Hanya orang yang betul-betul saya sayang aje saya suruh masak." Encik Faizal sambung mengunyah.
Hanya orang yang betul-betul saya sayang aje saya suruh masak? Apa makna kata-kata Encik Faizal tu? Abaikan ajelah, Nurul. Kawan tu pun kuat merepek juga. Bukannya tak kenal siapa dia.
"Serius, memang sedap."
Aku anggap kata-kata Encik Faizal tu sebagai satu pujian, sebabnya dia bertambah lagi. Berselera betul dia makan. Terima kasih Kak Husna sebab ajar aku masak nasi lemak dan sambal tumis ikan bilis yang kena dengan selera Encik Faizal.
Telefon bimbit Encik Faizal berbunyi. Cepat dia ambil. Dia pandang skrin telefon dan terus jawab.
"Assalamualaikum, kak."
Kakak dia telefon agaknya.
"Tengah sarapan ni, kak. Akak masak ke?"
Encik Faizal pandang aku.
"Kalau orang lain tak naklah. Tak sedap macam akak masak."
Tiba-tiba saja rasa kecil hati. Maknanya aku masak pun tak sedaplah?
"Tapi kan kak, saya macam dah jumpa aje tukang masak nasi lemak saya." Dia pandang aku lagi. Cepat-cepat aku pandang tempat lain.
"Dia pandai masak nasi lemak. Sambal ikan bilis dia pun sedap. Setanding sambal tumis akak. Dialah cakap dia masak. Kalau dia tipu, tak tahulah saya."
Aku gigit hujung bibir. Geramnya. Nak bagi tau kaum kerabat dialah tu macam tak percaya aku masak.
"Insya-Allah, suatu hari nanti saya akan kenalkan dia pada akak."
Aku dengar gitu-gitu aje. Janji bukan aku orangnya yang hendak diperkenalkan kepada kakak dia.
"Cantik? Mungkin kut, tapi ada sesuatu pada dia yang buat saya cukup berkenan."
Encik Faizal ni cakap pasal siapa sebenarnya? Bercerita pasal orang lain, tapi mata tu asyik pandang aku.
"Okey, kak. Nanti bila saya senang, saya singgah rumah akak."
"Insya-Allah. Assalamualaikum." Encik Faizal letak tepi telefon bimbit dia. Dia sambung makan.
"Kakak kirim salam pada awak."
"Waalaikumussalam."
Suasana kembali sepi. Sesekali hanya kedengaran sudu dan garpu bertemu pinggan.
"Saya rasa saya memang dah jumpa seseorang yang saya cari selama ni." Tiba-tiba dia bersuara.
"Alhamdulillah. Saya tumpang gembira."
Encik Faizal senyum, tapi bukan senyum pada aku. Senyum pada nasi lemak. Tak tahu apa makna senyuman dia tu.
MENGHAMPIRI jam 5.00 petang, bahagian pemasaran mula lengang. Rakan sekerja seorang demi seorang tinggalkan pejabat.
Encik Faizal keluar dari bilik dia dan duduk di meja Kak Ida. Betul-betul berhadapan dengan mejaku.
"Encik nak air?" soalku bila melihat wajah Encik Faizal yang muram. Ada beberapa kertas usul yang perlu dia baiki. Pihak atasan kurang bersetuju dengan cadangan yang telah dia berikan.
"Boleh juga," katanya perlahan.
Aku bangun dan melangkah perlahan menuju ke pantri. Mahu sediakan teh panas buat Encik Faizal. Kasihan dia. Sudahlah usul tidak diterima, dipaksa pula buat usul baru. Mujur lelaki seorang ini punya sifat sabar yang tinggi.
Muk berisi teh panas aku bawa menghampiri Encik Faizal.
"Hmmm, saya balik dulu. Malam ni nak keluar dinner dengan boyfriend. Karang kalau lambat angin pula." Aku letak muk di atas meja. Saja cipta pembohongan sebab tak mahu lelaki tersegak di syarikat ni ingat aku syok kat dia. Susah nak buat kerja nanti.
"Okey, okey. Maaf sebab curi masa awak," katanya sambil pandang wajah aku. Rambutnya yang lurus nampak sudah tidak terurus.
"Terima kasih, encik," balasku.
Aku segera ke meja dan keluarkan beg tangan. Sikat rambut ala kadar dan tampal bedak ala kadar. Walau mahu menipu, tapi harus buat betul-betul. Biar Encik Faizal betul-betul percaya aku akan keluar dengan teman lelaki sebentar nanti.
"Hmmm, dah cukup cantik. Tak payah pakai alat solek pun dah cantik." Encik Faizal menyandar di kerusi kemudian dia hirup teh. Pandang aku dengan pandangan yang cukup lemah.
"Teman lelaki saya ni cerewet sikit orangnya. Nak saya cantik selalu."
"Hmmm, kalau teman wanita saya tak perlu cantik. Cukup sayang saya sudah."
"Bertuahlah siapa jadi teman wanita encik." Aku senyum namun senyumanku tidak berbalas. Penat agaknya sampai tak mampu nak gerakkan bibir.
"Saya pergi dulu," ujarku sambil angkat tangan.
"Hmmm, hati-hati."
Aku senyum lagi sambil atur langkah. Ingat balik ni nak singgah rumah Kak Husna. Mana tahu dia masak sedap-sedap. Tak payah susah-susah aku masak.
"Nurul." Encik Faizal panggil aku. Langkah terus terhenti. Cepat aku pandang dia. Mana tahu nak suruh aku sambung buat kerja semula ke. Janganlah. Pengsan aku nanti.
"Lelaki yang baik bukan setakat sayang awak, tapi bagaimana dia menghargai awak," katanya sambil pandang aku tak sudah.
Aku sekadar angguk sebab aku tak faham apa-apa. Aku mana pernah kenal lelaki, jauh sekali nak bercinta, jadi aku tak tahu apa-apa tentang lelaki. Maaflah, aku kurang berminat dengan dunia lelaki. Lelaki ini lebih banyak menyusahkan daripada menyenangkan.
Sebelum sampai pintu keluar, aku toleh pandang Encik Faizal sekali lagi.
Rupa-rupanya dia masih pandang aku. Terpaksalah aku lambai tangan sekali lagi.
Serupa tak bagi aku balik aje. Kalau tak bagi aku balik, cakaplah. Setakat pukul sepuluh malam aku boleh tunggu. Tapi tak cakap apa pun.
Maknanya memang tak kesah aku baliklah. Ke sudah cemburu sebab aku cakap nak keluar dengan teman lelaki?
Hesy, takkan nak cemburu.
Baru 6 bulan dia kerja dengan aku, takkan dalam hati dah ada taman? Mulalah aku nak gelak jahat.
Elok sampai ke tangga, telefon bimbit berbunyi. Cepat aku keluarkan. Kut Encik Faizal minta masuk ofis semula. Tapi bukan dia, Kak Husna. Panjang umur dia. Baru bercadang nak tumpang makan malam, dah diseru-seru.
"Assalamualaikum. Nurul kat mana ni?" Suara manja Kak Husna beri salam.
"Waalaikumussalam. Nurul baru nak balik ni. Baru cadang nak tumpang makan kat rumah akak." Aku gelak sekali. Buat muka tak malu macam selalu.
"Kebetulan akak ada benda nak beritahu Nurul ni. Nurul singgah tau rumah akak. Akak memang dah masak sedap-sedap untuk Nurul."
"Insya-Allah, memang Nurul nak singgah."
Aku sambung melangkah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro