Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 2

Disebabkan mahu masakkan Encik Faizal nasi lemak, aku terpaksa bermalam di rumah Kak Husna. Pukul 5.00 pagi dia sudah kejutkan aku. Masa tu aku betul-betul tengah sedap tidur.

"Akak janji nak masak, kan?" Aku merungut.

"Akak tak janji nak masak, okey? Akak cakap akak nak tolong Nurul masak saja."

"Huh!"

"Akak nak turunkan resipi sambal ikan bilis yang paling adik lelaki akak suka."

Apa kena-mengena adik lelaki dia dengan kes aku ni?

"Tak kesahlah siapa yang suka, janji sedap. Bos Nurul tu cerewet amat."

"Bos lagi? Hurm..."

"Mula la nak fikir yang bukan-bukan tu." Aku tarik muka masam.

"Bukan nak fikir bukan-bukan. Tapi ada orang cakap, bila kita selalu tersebut orang tu maknanya orang tu dah ada dalam hati kita tanpa kita sedar."

"Memandai aje akak ni." Cepat aku turun dari katil. Nanti lagi macam-macam Kak Husna merepek.

Aku ke bilik air untuk basuh muka dan gosok gigi. Selesai di bilik air, aku terus ke dapur. Kediaman Kak Husna sangat sepi. Malam tadi sambil kopek ikan bilis, kami berbual panjang. Mengingati semula detik-detik pertemuan antara aku dengan Kak Husna. Kami ditangkap ketika sedang berhibur di salah sebuah kelab malam.

Ketika itu aku, Eja, Indah dan Linda masih di bawah umur. Kemudian kami diberi nasihat dan kaunseling di bawah kelolaan Kak Husna. Ketika itu Kak Husna sangat aktif dalam aktiviti badan bukan kerajaan untuk melindungi gadis-gadis bawah umur yang hilang pedoman.

Selepas itu kami sambung belajar. Memulakan kehidupan sebagai manusia biasa. Sebab itu aku sangat-sangat terhutang budi dengan Kak Husna. Sampai mati aku takkan lupa jasa-jasanya. Kalau waktu tu aku tidak ditangkap, aku rasa kehidupanku kini akan lebih gelap lagi.

Alhamdulillah. Aku tak jauh tersesat.

Siapa kata manusia sejahat aku tidak boleh berubah? Aku hanya kekurangan kasih sayang. Selebihnya aku juga gadis seperti gadis biasa yang lain.

Mak dan ayah sudah terlalu lama tinggalkan aku sendirian di dunia ni. Mereka pergi dulu. Tak sempat aku menikmati kasih sayang mereka. Aku ada saudara-mara, tapi entah kenapa aku rasa tak ada pun lagi baik. Kalau betul aku ada sanak-saudara, aku takkan menumpang sayang dengan orang yang aku tak kenal.

Di dapur, Kak Husna sudah duduk di atas kerusi makan. Dia kelihatan lemah dan letih. Malam tadi, sempat juga mendengar sesi luahan perasaan Kak Husna. Tentang kekecewaan yang sudah tidak tergambar lagi. Aku tahu Kak Husna sangat menderita sekarang ini.

"Maaf, kak. Nurul dah menyusahkan akak."

"Eh, menyusahkan apa pula? Akak suka kalau Nurul nak belajar masak. Jadi orang perempuan ni kena serba-serbi tahu. Kena tahu masak. Kena tahu mengemas. Kena tahu ambil hati suami."

Aku dengarkan saja. Siapa lagi yang sudi memberi tunjuk ajar kalau bukan Kak Husna? Walaupun sudah dia ulang berkali-kali nasihat yang sama, terpaksa juga aku dengar.

"Nak buat apa dulu?" soalku.

"Kupas bawang kecil tujuh ulas dan bawang putih lima ulas."

Inilah kerja yang paling aku tak suka kalau disuruh memasak. Asal kupas bawang saja, mata pun berair.

"Nurul mesti minta upah dari bos Nurul." Aku sudah mula merungut.

"Hesy, jangan macam tu. Kita kalau masak kena ikhlas. Kalau orang puji masakan kita sedap, sebenarnya itulah rasa keikhlasan kita."

Waktu ini aku benar-benar rasa menyesal menyahut cabaran Encik Faizal. Gatal betullah.

"Untuk masak sambal tumis yang sedap, pastikan cili dimasak dengan betul. Kalau cili tak masak dengan betul takut nanti sakit perut." Kak Husna titipkan petua dengan cara lembut. Tapi aku nampak seperti ada yang tidak kena saja dengan Kak Husna. Dia tak sihat ke?

"Akak nampak lemah aje. Akak tak sihat?" Aku menyoal.

"Tak adalah. Biasalah pagi-pagi. Sejak tak kerja ni memang macam ni. Rasa malas saja."

Baru dua bulan Kak Husna berhenti kerja. Alasannya dia dah penat. Dia tak kerja pun tak ada masalah sebab Kak Husna memang orang ada-ada. Suaminya seorang ahli perniagaan terkenal. Sekalipun dia akan bercerai nanti, aku tahu Kak Husna tak akan terkurang apa-apa dari segi keperluan hariannya.

"Menyesal betul sebab dah menyusahkan akak."

"Cakap lagi macam tu, dengan Nurul sekali akak buat sambal tumis."

Aku sambut dengan ketawa perlahan. Aku tahu, Kak Husna pasti takkan hampakan aku. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro