BAB 15
Aku pegang tangan Kak Husna. Mujur keadaan tidak membimbangkan. Keadaan Kak Husna perlu dipantau lagi.
"Sebenarnya akak teringin nak tengok Nurul kahwin dengan adik akak. Tapi adik akak tu terpaksa ikut pilihan keluarga. Mak akak dah buat pilihan awal-awal lagi," kata Kak Husna perlahan. Kak Husna ni. Dalam keadaan begini pun dia masih mahu mengambil berat tentang diriku.
"Sekarang ni Nurul tak fikir pun nak kahwin. Nurul nak jaga baby dan jaga akak. Nurul tak nak kahwin."
"Hesy, jangan cakap macam tu. Akak tak suka. Nanti kalau Nurul jumpa seorang lelaki yang baik, jangan teragak-agak untuk terima dia. Nurul berhak untuk hidup bahagia."
"Sekarang pun Nurul rasa sangat bahagia. Bahagia sebab dapat kenal akak. Nurul tak pernah rasa sebahagia ini, jadi Nurul tak harapkan apa-apa lagi."
Memang benar. Sebelum ini aku rasa cukup bahagia. Aku ada kehidupanku sendiri, aku ada Kak Husna, aku ada Eja. Hidup aku sebenarnya tidak terkurang apa-apa. Masih serba sempurna.
"Nurul, dengar sini. Nurul berhak hidup bahagia. Jangan serik mengenali lelaki disebabkan masa silam Nurul. Tak semua lelaki jahat. Akak pernah hidup bahagia dulu, dan kalau akak tahu kehidupan akak berkesudahan begini, akak rela memilih untuk hidup bersama lelaki yang akak cintai. Tapi mungkin inilah hikmahnya kami tak ada jodoh sebab umur akak tidak panjang. Kalau tidak, dia akan lebih menderita lagi."
"Sudahlah tu, kak. Nurul tak mahu dengar cerita sedih akak lagi. Mulai sekarang, kita kena tabah lalui apa yang bakal mendatang."
"Akak tak akan puas hati kalau Nurul tak janji akan buka pintu hati Nurul untuk terima lelaki. Kalau macam tu, akak nak serahkan anak akak ni ke rumah anak yatim saja. Nurul tak perlu jaga dia."
Masa tu juga air mata jatuh berlinang.
"Baiklah. Kalau itu yang akak mahukan, Nurul janji. Kalau ada lelaki yang boleh terima anak Nurul ni, Nurul tak akan fikir panjang. Nurul akan terima dia. Akak jangan bimbang." Aku pegang perut Kak Husna. Terasa sudah ada kasih pada anak Kak Husna. Sudah tidak sabar menantikan kelahirannya.
"Nurul janji dengan akak?"
"Nurul janji."
"Nurul kena angkat sumpah. Kalau tidak, akak tak akan mati dengan aman."
"Akak, kenapa cakap macam ni? Tak baiklah. Nurul tak suka."
"Nurul sumpah dulu. Nurul nak tengok akak mati mata tak tutup rapat?"
"Akak..." Air mata jatuh berjuraian. Terus aku angkat tanganku ke paras dada.
"Saya, Nurul Izzati binti Abdul Talib, dengan ini bersumpah akan menerima cinta seorang lelaki sekiranya lelaki tersebut sudi menerima anak saya nanti." Waktu ini aku terbayang akan wajah Encik Faizal. Diakah lelaki yang bakal menemani hidupku nanti?
"Puas hati?" soalku dengan deraian air mata.
"Baru lapang akak dengar. Hmmm, esok akak dah dibenarkan keluar. Akak ingat nak balik jenguk orang tua akak. Nanti kalau perut akak dah besar, akak tak boleh jumpa mereka."
"Takkan mak ayah akak tak syak apa-apa?"
"Kalau setakat enam bulan tak jumpa tak jadi masalah lagi. Akak pernah tak balik rumah selama setahun lebih sebab merajuk."
Aku tak tahu nak cakap apa memandangkan aku sendiri tak pernah ada keluarga. Yang ada hanya keluarga pak long. Tu pun dekat tiga tahun juga aku tak balik kampung. Buat apa aku balik kalau menambah luka dalam hatiku?
"Akak sekarang ni risaukan adik akak. Dia macam tak setuju pilihan mak akak. Semalam dia ada call akak. Dia dah mula berkenan dengan budak satu ofis dia. Akak harap janganlah dia terima nasib macam akak."
Pun aku tak boleh nak komen apa-apa. Aku sendiri ada masalah aku sendiri. Jadi aku tak boleh mahu ambil tahu masalah orang lain.
"Dah nak masuk maghrib ni. Nurul balik dulu. Nanti Nurul tengok akak kat rumah aje." Aku peluk Kak Husna dengan erat. Tanpa wanita berhati mulia ini, aku tidak tahu entah di mana aku berada sekarang.
"Jangan lupa solat." Sempat lagi Kak Husna pesan.
"Cuti," balasku sambil senyum. Kak Husna juga senyum. Aku tahu Kak Husna bimbang aku lupa solat. Perkara yang dia selalu pesan ialah jangan lupa solat. Aku tak akan lupa. Aku akan ingat sampai bila-bila. Kak Husna beritahu aku, walaupun kita tidak ada sesiapa, tapi kita masih ada Tuhan.
"Hati-hati," pesannya lagi. Bagaimana kasihku tidak tertumpah dengan wanita malang ini? Layanannya tidak ubah seperti seorang kakak.
"Apa-apa hal, akak call Nurul. Nurul balik dulu." Aku ambil beg tangan. Mula bergerak tinggalkan wad mewah Kak Husna tanpa memandang Kak Husna. Tidak memandangnya pun telah membuatkan air mata aku tak henti mengalir, apatah lagi kalau aku memandangnya.
Aku jalan terus. Tiba di surau hospital, sayup-sayup azan maghrib sudah kedengaran. Sambung semula melangkah ditemani azan maghrib. Sampai di perhentian bas, jam sudah menunjukkan pukul 7.30 malam. Paling cepat pun mesti pukul 9.00 baru sampai rumah. Janganlah hujan, aku tak bawa payung pun.
Bas sampai selepas hampir setengah jam aku menunggu. Di dalam bas, ingatan tidak lepas dari mengingati Kak Husna. Betul kata Eja, kami perlu lebih tabah berbanding sebelum ini. Aku tidak boleh lemah di mata Kak Husna. Kalau aku kuat, pasti dia juga akan kuat. Aku tahu, aku juga adalah kekuatan Kak Husna bila dia sudah tidak boleh mengharapkan ahli keluarganya yang lain. Insya-Allah, aku tidak akan tunjuk kelemahanku di hadapan Kak Husna. Kak Husna perlu melihat aku yang dulu. Yang ceria selalu.
Selepas turun dari bas, aku perlu berjalan dalam setengah kilometer pula untuk sampai ke rumah. Bas hanya berhenti di tepi jalan besar dan tidak masuk ke taman perumahan. Terkejut aku bila melihat Encik Faizal sedang menunggu di luar pintu pagar.
"Encik?" soalku.
"Awak ke mana, baru sekarang sampai rumah?" soalnya dengan suara sedikit kuat.
Kalut aku cari jawapan dan akhirnya.
"Saya cari dia." Mujur aku teringat akan pembohongan itu.
"Awak masih cari dia? Awak nak cari kat mana? Kalau dia dah hilangkan diri, dia akan hilang terus. Kalau awak jumpa sekalipun, dia tidak akan bertanggungjawab." Suara Encik Faizal bertambah keras. Bermakna dia memang sedang marahkan aku.
Aku mati kata-kata. Tidak tahu untuk menipu lagi, maka aku rela dimarahi.
"Berpuluh kali saya call awak, tapi haram awak nak jawab."
Cepat aku cari telefon bimbit dalam beg tangan.
"Bateri kong." Aku senyum takut sambil tunjuk skrin telefon bimbit ke arahnya.
"Awak... Bahaya tahu tak? Kalau jadi apa-apa macam mana?"
Mati kata-kata lagi sebab memang aku yang salah.
"Sekarang, awak masuk. Lepas ni kita keluar. Saya bawa awak pergi makan."
"Tak apalah, encik. Saya makan nanti."
"Makan apa? Mi segera? Biskut kering?"
Aku senyum. Memang betul pun. Yang ada hanya mi segera dan biskut kering.
"Terima kasihlah, encik..."
"Sekarang!" Dia separuh menjerit dan aku memang benar-benar terperanjat. Cepat-cepat aku tolak pintu pagar. Kelam-kabut masuk rumah.
"Hah, baru sampai? Kak Husna macam mana?" soal Eja.
"Esok dia keluar wad."
"Hmmm, nampak buah hati kau kat luar tu?"
"Dah lama ke dia sampai?"
"Dalam setengah jam juga. Dia ketuk pintu tadi, tanyakan kau. Aku cakaplah kau tak balik lagi. Aku tak tahu ke mana kau pergi. Dia cakap banyak kali call kau, tapi kau tak jawab. Aku tengok dia susah hati semacam aje. Muka pun nampak cemas. Dah sah dia memang suka kau."
"Telefon aku bateri kong." Aku malas nak layan Eja lebih-lebih. Penat sangat.
"Hmmm, padan pun. Apa dia nak?"
"Tak tahulah. Tapi dia ajak aku makan tu."
"Beruntung kau, Nurul. Ada juga yang nak jaga kau. Layanlah dia baik-baik."
Aku masuk bilik. Nak mandi cepat. Kesian dia tunggu lama.
"KENAPA encik pandang saya macam tu?" soalku bila melihat Encik Faizal tak sudah pandang aku dari tadi. Sejak mula kami tiba di restoran, Encik Faizal tak sudah pandang aku.
"Awak nampak pucat. Nampak macam letih."
Memang aku penat. Penat memikirkan hal Kak Husna.
"Sudahlah. Awak jangan cari dia lagi. Memang awak tak akan jumpa. Kalau orang dah larikan diri, memang tak akan jumpa. Baik awak jaga kesihatan awak dan kandungan awak. Berapa kali saya nak cakap, saya kan ada. Awak tak percayakan saya ke?" soalnya.
Aku diam seribu bahasa. Tidak tahu untuk berkata apa lagi. Kesilapan tak berpunca, jadi apa daya hendak bersuara lagi? Dari mula aku berbohong, dan seterusnya akan berbohong.
"Saya tahu awak masih sayangkan dia, tapi sebab sayanglah awak jadi begini. Awak terlalu percayakan dia sampai awak tak boleh bezakan yang mana baik dan buruk."
Mata pedih. Memang aku terlalu sayangkan Kak Husna. Untuk Kak Husna, aku akan lakukan apa saja. Aku sanggup buat kerja yang tidak-tidak. Sekalipun semua orang cakap apa yang aku buat ini bodoh, aku akan lakukan juga.
"Maaf, awak. Saya bukan nak lukakan perasaan awak. Saya cakap yang betul. Sakit hati saya tengok awak macam ni. Awak langsung tak fikirkan kesihatan diri awak. Masih terkejar-kejar lelaki tak guna tu."
Aku tahan perasaan.
"Awak, makan dulu, ya? Tak mau sedih-sedih."
Nantilah, suatu masa, suatu ketika aku akan berterus terang juga. Masa tu aku rasa aku akan lebih bersedia lagi. Tapi bukan sekarang.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro