BAB 14
AKU melangkah masuk ke kawasan syarikat dengan tenang. Seperti biasa, aku lewat lagi. Sudah berusaha untuk datang awal, tapi apa boleh buat? Kelewatan dengan diriku mana boleh dipisahkan lagi.
Dari jauh aku nampak Encik Faizal sedang berlegar di pintu utama. Rasanya dia sedang menunggu aku. Memang tidak boleh mengelak lagi. Kemudian dia menoleh pandang ke arahku.
"Selamat pagi," ucapnya sambil ukir senyuman cantik.
"Selamat pagi," balasku perlahan. Kemudian aku balas senyumannya. Terasa terlalu payah hendak gerakkan bibir untuk tersenyum. Sesekali hati tetap terusik. Dan air mata pasti berlinang.
"Dah, dah. Jangan macam ni. Kalau awak menangis, jangan kata satu pejabat, satu bangunan ni tahu cerita awak nanti. Awak bukan tak tahu macam mana mulut kakitangan syarikat ni. Semua jenis kepochi." Dia gosok bahuku perlahan.
"Saya tak boleh nak kawal perasaan saya, encik. Saya sedih sangat."
"Saya faham perasaan awak. Awak jangan bimbang. Saya kan ada. Ini saya belikan vitamin. Sesuai untuk ibu mengandung." Encik Faizal hulurkan beg plastik kepadaku.
Aku pandang wajahnya dengan rasa sangat serba salah. Aku tak perlukan sebarang vitamin.
"Encik, janganlah terlalu baik dengan saya. Saya perempuan tak baik. Saya perempuan kotor." Berusaha juga untuk menolak semua kebaikan Encik Faizal agar aku tidak lebih bersalah lagi.
"Jangan cakap begitu. Awak tetap manusia biasa. Kita sama saja. Kadang-kadang tak lepas dari buat kesilapan. Yang paling penting awak sedar akan kesilapan awak." Dia hulur sapu tangan.
"Sapu air mata awak tu. Nanti orang ingat saya dah tolak cinta awak."
Aku tersenyum. Sempat lagi dia buat lawak.
"Melampau encik ni. Sempat lagi buat lawak tu."
"Hmmm, suka tengok awak senyum semula. Awak tahu tak, senyuman awaklah yang paling cantik pernah saya tengok."
"Encik, saya tengah sedih ni." Aku senyum. Tapi air mata luruh juga.
"Saya faham. Sekarang fikir masa depan dan jangan fikir pasal perkara semalam. Yang penting awak dan anak awak."
"Terima kasih." Aku pandang wajah Encik Faizal. Baru aku perasan dia memiliki wajah yang bersih dan amat tenang.
"Sama-sama. Sapu tangan tu saya nak balik. Tu hadiah daripada kakak saya. Dia beli kat Hong Kong. Dia tu jenis suka tanya hadiah yang dia bagi."
Aku senyum lagi. Sama seperti seseorang yang aku kenal. Suka sangat tanya keadaan barang yang dia hadiahkan. Siapa lagi kalau bukan Kak Husna?
"Nanti saya basuh dulu. Dah kotor ni."
"Tak apa. Bila-bila pun boleh pulangkan. Janji awak pulangkan. Karang tak pasal saya kena pergi Hong Kong semata-mata nak cari sapu tangan yang sama."
Aku senyum lagi.
"Saya akan jaga dengan baik. Saya bukanlah jenis manusia yang tak pandai mengenang budi."
"Saya tahu tu, jom masuk ofis."
Kami melangkah bersama-sama. Tapi aku perasan, Encik Faizal asyik menoleh ke arahku.
"Kenapa, encik?" Aku menyoal.
"Mulai sekarang, awak tak perlu ikut saya lagi. Awak buat saja kerja di dalam pejabat."
"Tak apa, encik. Saya masih mampu lagi untuk bekerja seperti biasa."
"Janganlah degil. Arahan ni."
Nak sangat bertanyakan soalan kenapa dia terlalu mengambil berat tentang diriku tapi aku tak berani ajukan soalan tersebut. Aku takut kalau jawapannya nanti seperti yang aku fikirkan. Aku sangat takut kalau-kalau Encik Faizal benar-benar jatuh cinta terhadapku. Sekarang ini aku tidak berminat dengan cinta lelaki. Aku ada amanah yang bakal aku jaga, jadi aku takkan terlibat dengan dunia cinta sama sekali.
SEORANG demi seorang rakan meninggalkan pejabat. Terakhir aku dan Encik Faizal.
"Saya hantar awak pulang," kata Encik Faizal waktu aku kemas barang-barangku.
"Tak apalah encik, saya biasa naik bas," jawabku. Encik Faizal masih melayan aku dengan baik walau aku sudah beritahu dia aku sedang mengandung anak tidak sah. Aku fikir dengan berbohong begitu, Encik Faizal akan menjauhkan dirinya tetapi sebaliknya pula berlaku. Dia tambah prihatin. Aku sendiri sebenarnya tidak tahu, Encik Faizal ini ada sifat kelelakian atau tidak. Jarang lelaki yang akan beri perhatian terhadap perempuan yang terang-terang sudah dinodai. Apatah lagi dengan perempuan yang sedang mengandung anak hasil hubungan dengan lelaki lain. Memang betul-betul aku tak faham.
"Susah kalau awak naik bas. Dengan keadaan awak lagi."
"Bukan saya seorang saja yang mengandung. Ramai lagi wanita yang mengandung naik bas. Sesetengah tu dah sarat pun masih naik bas." Aku cuba menolak dengan cara baik. Tidak mahu termakan budi lebih-lebih.
"Wanita lain saya tak kenal. Saya hanya kenal awak, jadi jangan samakan awak dengan wanita mengandung lain. Jom saya hantar," kata Encik Faizal lagi.
"Encik jangan macam ni. Nanti apa pula kata orang lain? Saya harap encik jangan merumitkan lagi keadaan. Sekarang ini saya cukup runsing dengan masalah saya, jangan encik tambah lagi dengan masalah yang bukan-bukan. Saya tahu niat encik ikhlas, tetapi tolonglah faham sama keadaan saya." Aku merayu.
Encik Faizal pandang aku atas bawah. Kemudian dia keluarkan dompet dari poket.
"Saya nak awak naik teksi." Tangan kananku dia pegang dan dia letak wang di atas tapak tangan. Lambat aku lihat tapak tanganku.
"Awak jangan cakap apa-apa lagi. Tolong hormati keputusan saya. Dan tolong saya. Saya baru mahu belajar untuk menghargai kaum wanita. Mahu memahami kesulitan yang mereka hadapi. Tolonglah saya."
"Encik..."
"Kalau tidak untuk awak, tolong lakukan untuk baby awak."
Makin serba salah.
"Tolong jangan degil, Nurul."
Aku angguk. Kalau itu niatnya, aku terima sebab aku mahu lebih ramai lelaki yang menghargai kaum wanita.
"Terima kasih, encik. Apa yang encik lakukan ini bagi saya tak lebih daripada menghargai. Dan saya sangat-sangat menghargainya." Aku senyum kelat. Hanya itu saja yang mampu aku lakukan.
"Sama-sama. Harap awak berhati-hati. Walau apapun, awak kena lindungi kandungan awak. Dia berhak untuk hidup."
Aku pandang wajah Encik Faizal. Kenapa dia sama pendapat dengan Kak Husna? Kak Husna juga kata begitu. Sanggup mengorbankan diri agar anaknya dapat melihat dunia. Dan kini aku lebih memahami Kak Husna. Ya, masa yang tersisa ini aku akan cuba menggembirakan hati Kak Husna. Kalau dia sendiri sanggup menggadaikan nyawa, kenapa aku tidak hormati keputusannya?
"Saya balik dulu, encik."
"Hati-hati..."
Aku senyum. Mendapat sedikit kekuatan dari semangat yang Encik Faizal berikan.
"Esok pun awak datang naik teksi, ya. Kalau tidak, saya jemput awak nanti."
Ugutan daripada Encik Faizal, tapi ugutan itu bersifat manja. Lapang perasaan mendengarnya. Ya, memang dunia ini terlalu ramai lelaki jahat, tapi dunia ni juga tidak terkurang dengan lelaki baik. Dia tahu aku mengandung anak di luar nikah, tetapi dia masih menghormati maruahku. Masih mahu berkongsi kesulitanku. Encik Faizal terlalu baik. Dan aku berharap benar kebaikannya itu akan terus berkekalan.
Aku atur langkah dan Encik Faizal mengekori dari belakang sehinggalah lif sampai.
"Encik jangan bimbang, saya akan naik teksi." Susah hati betul dia. Pasti tahu aku bakal menipu.
"Saya tak percaya."
"Percayalah, encik. Saya naik teksi." Bersungguh aku yakinkan Encik Faizal. Memang aku nak naik teksi pun.
Aku nak jenguk Kak Husna. Tengah hari tadi Eja telefon. Dia beritahu Kak Husna tak dibenarkan pulang sebab disyaki terkena jangkitan kuman. Eja pula tak dapat jenguk Kak Husna. Buat aku tambah risau, Eja tak sebut pula bahagian mana yang dijangkiti kuman.
Masa lif terbuka, ada beberapa orang pekerja lain di dalamnya tetapi masih ada ruang untuk kami berdua. Aku terus masuk dan berdiri di sudut paling hujung. Encik Faizal berdiri di hadapanku dan pandangan mataku betul-betul mengena belakang Encik Faizal. Kalau melihat belakangnya saja sudah segak, apa lagi kalau melihat wajahnya?
Lif berhenti di tingkat 5. Beberapa orang pekerja lain masuk.
"Awak okey?" soal Encik Faizal. Dia toleh pandang aku dan wajah dia nampak serius. Aku angguk. Sebenarnya sudah biasa bersesak begini. Lebih-lebih lagi kalau balik waktu kemuncak.
Tapi aku benar-benar rasa dilindungi. Terima kasih, Encik Faizal.
Kami atur langkah perlahan sehinggalah ke luar pekarangan bangunan setinggi 17 tingkat itu.
"Saya naik teksi, okey," kataku bila Encik Faizal masih mengekoriku.
Dia senyum saja.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro