Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 13

SELESAI makan, aku bersiap untuk ke hospital. Mahu menemani Kak Husna. Dan mahu berusaha juga untuk mengubah keputusan Kak Husna. Mana tahu malam tadi Kak Husna belum dapat berfikir sewajarnya. Mungkin juga Kak Husna terlalu gembira dengan berita kehamilannya sehingga Kak Husna tidak memikirkan soal nyawa sendiri. Aku harap ada berita yang dapat menggembirakan hatiku.

"Assalamualaikum, kak." Aku buat-buat gembira. Tidak mahu menunjukkan sebarang kedukaan. Nurul yang Kak Husna kenal seorang gadis yang hatinya sangat kental. Seorang gadis sangat tabah. Nurul yang tak pernah kenal erti lemah. Mana boleh aku tunjuk kelemahanku pada Kak Husna.

"Waalaikumussalam." Kak Husna sambut salamku dengan senyuman yang manis. Wajahnya benar-benar nampak ceria. Aku peluk Kak Husna dengan erat. Aku sayang dia. Sangat-sangat sayang.

"Akak okey ke?" Perlahan aku lepaskan pelukan.

"Alhamdulillah. Tak sabar nak balik rumah."

"Jangan mengada nak balik rumah. Tunggu sampai akak sihat dulu." Bukan aku tak kenal dengan Kak Husna, dia memang jenis tak suka jumpa doktor. Jauh sekali mahu mendapat rawatan di hospital. Hari tu, Eja yang terus bawa pergi hospital memandangkan keadaan Kak Husna sangat lemah. Kalau ikut kata Kak Husna, rasanya sampai sekarang pun kami semua tak tahu akan penyakitnya.

Kak Husna ketawa perlahan.

"Kenapa mata tu bengkak? Tak berhenti menangis? Janganlah jadi budak-budak, Nurul. Kan semua orang bakal berhadapan dengan mati. Mati tu pasti." Tenang saja Kak Husna berkata-kata.

Aku hela nafas dalam-dalam. Cuba mencari kata-kata yang mampu menguasai fikiran Kak Husna.

"Ya, memang kita semua akan mati. Tapi sebelum ajal kita sampai, kita digalakkan merawat sakit kita untuk kesembuhan."

"Akak nekad, Nurul. Akak tetap akan kandungkan anak akak. Akak akan beri dia peluang untuk melihat dunia. Akak tak mahu menjadi seorang manusia yang terlalu pentingkan diri sendiri."

Kalau begitu kata Kak Husna, apalah dayaku untuk memujuk lagi? Pasti saja pujukanku gagal mengubah keputusan Kak Husna. Akhirnya, aku harus juga menghormati keinginannya kerana Kak Husna benar-benar mahu lahirkan anaknya.

"Kita jangan terlalu percayakan cakap doktor. Kita kena percayakan takdir Tuhan. Kita tak tahu apa yang bakal terjadi pada masa akan datang." Kak Husna pegang tanganku erat.

"Tak kira apa yang berlaku pada akak nanti, akak nak Nurul jadi ibu angkat kepada anak akak. Sekalipun akak masih hidup, akak tetap mahu serahkan anak akak kepada Nurul. Akak dah nampak masalah yang bakal timbul nanti."

Aku angguk. Aku juga sudah nampak masalah yang bakal Kak Husna hadapi kelak.

"Pasal tu akak jangan bimbang. Nurul sedia jadi ibu angkat anak akak. Yang penting akak sihat."

"Kalau bekas suami akak tahu akak mengandung, pasti dia akan menuntut hak dia. Dengan keadaan kesihatan akak macam ni, pasti dengan mudah dia mendapat hak penjagaan. Akak tak akan benarkan sama sekali perkara ni berlaku. Akak sanggup lakukan apa saja demi mempertahankan anak akak."

Kak Husna kelihatannya sangat tabah dalam menghadapi kemelut yang melanda rumah tangganya namun aku sedar juga, wanita berusia 35 tahun ini juga sebenarnya menyimpan sebuah dendam. Kalau dengan cara begitu dia membalas dendam, pasti saja aku menyokong setiap keputusan Kak Husna. Aku juga mahu melihat bekas suami Kak Husna berputih mata. Biar lelaki tak guna tu tidak tahu langsung kewujudan anaknya. Baru puas hatiku.

"Insya-Allah, nanti kita sama-sama besarkan anak akak. Kita akan berikan kasih sayang yang secukupnya. Dia takkan terkurang walau sikit pun." Sekali lagi aku berusaha menahan rasa sebak.

"Tak tahulah, Nurul. Entah dapat atau tak akak besarkan anak akak ni." Kak Husna usap perutnya. Seperti sedang mencurahkan kasih sayang buat anak yang selama ini dia tunggu.

"Lapan tahun akak menantikan saat ni. Syukur alhamdulillah. Akak sedang menikmati betapa istimewanya bila ada satu nyawa dalam rahim kita."

Aku bertahan. Tidak mahu air mataku bakal merosakkan rasa gembira Kak Husna. Kak Husna ternyata benar-benar bahagia.

"Insya-Allah, nanti bila sampai giliran Nurul pula mengandung, akak pasti Nurul juga akan rasa seperti yang akak rasa."

Terus ingatanku mencari Encik Faizal. Sehingga ke saat ini, aku seperti tidak percaya dengan apa yang aku dengar. Seakan bermimpi. Seorang lelaki yang cukup sempurna di mataku telah menawarkan dirinya untuk menikahi gadis yang dikatakan telah hamil di luar perkahwinan. Dengan bersahaja, dia rela menjadi bapa kepada anak di dalam kandunganku tanpa aku merayu langsung. Benar-benar ikhlaskah dia?

"Nurul." Kak Husna panggil aku.

"Ya, kak."

"Dengar tak apa akak cakap tadi?"

"Dengar, kak."

"Maaf, kalau permintaan akak ni bakal mengubah masa depan Nurul. Bukan akak nak minta Nurul membalas jasa akak terhadap Nurul selama ni, tapi akak tak ada pilihan. Akak hanya nampak ini saja caranya."

Sekali lagi aku peluk Kak Husna.

"Nurul tak fikir pun perkara tu. Tak naklah akak fikir yang bukan-bukan. Kita kan satu keluarga."

"Terima kasih, Nurul."

Hatiku dulu-dulu menangis. Aku mahu peluk Kak Husna lebih kerap lagi.

"Wei, ini tak adil. Aku pun nak peluk juga." Eja yang muncul tiba-tiba terus peluk kami berdua.

Tiba-tiba air mataku luruh. Sungguh, tiada apa yang kekal di dalam dunia ini. Selagi bernyawa dan selagi ada kesempatan, hargai apa yang kita miliki.

Aku dan Eja berbual dengan Kak Husna sehinggalah menghampiri maghrib. Banyak perkara yang kami bualkan. Entah kenapa waktu-waktu begini, kami lebih selesa berbual tentang masa lalu. Kami minta diri untuk pulang walau hati terasa sangat berat untuk tinggalkan Kak Husna sendirian. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro