Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

BAB 12

Air mata sejak semalam tak mahu berhenti. Perasaanku menjadi pilu-sepilunya. Ujian apa lagi yang Kak Husna perlu lalui? Satu, satu musibah datang. Dan kali ini amat berat. Aku sendiri tidak boleh menahan kesedihan. Akhirnya terpaksalah aku minta cuti. Mana boleh masuk ofis dengan mata bengkak begini.

Eja juga begitu. Namun dia tetap tak boleh cuti. Nak tak nak, Eja terpaksa pergi kerja dengan mata bengkak.

"Sabarlah, Eja. Mungkin ada hikmah di sebalik semua ini." Aku pujuk Eja lagi. Seperti aku kuat benar sedangkan ketika ini akulah orang yang paling memerlukan pujukan dan kata-kata semangat.

"Tapi kenapa dia? Kenapa Kak Husna?"

"Jangan macam ni, Eja. Jangan persoalkan aturan takdir. Berdosa tau tak? Kita tak tahu apa yang bakal datang. Jangan sesekali salahkan takdir. Kau pergi la kerja dulu. Mana tahu mampu lupakan kesedihan kau. Kau tolong jangan ambil tindakan apa-apa. Mulai sekarang, kita kena kuat. Kak Husna sangat perlukan kita."

Eja peluk aku dengan erat.

"Aku tak boleh terima semua ni. Aku tak boleh..."

"Boleh tak boleh, kita kena terima juga. Sudahlah. Kau pergi aje. Apa-apa hal kau telefon saja aku." Eja lepaskan pelukannya dan bergerak menuju ke pintu utama. Tinggallah aku sendirian melayan pilu. Kepala pun rasa sakit amat.

Aku bangun untuk cari Panadol. Itu saja caranya nak hilangkan sakit kepala. Selalunya Panadol ada atas peti sejuk. Harap Eja tidak habiskan. Mujur ada lagi dua biji.

Selepas telan Panadol, aku baring semula ke atas katil. Baru nak lelap, telefon bergetar. Segera aku ambil. Sekarang ni fikiran hanya teringatkan Kak Husna dan Eja saja. Lega rasa bila melihat nama Encik Faizal. Kali ini terpaksalah aku jawab.

"Assalamualaikum, encik." Aku beri salam bersama suara serak.

"Waalaikumussalam. Awak menangis?"

Mana Encik Faizal tahu aku menangis? Sah dia tanya macam-macam kalau dia tahu aku sedang menangis. Memang malas nak melayan dia. Nanti buat kepala lagi tambah sakit mendengar nasihat dia yang bukan-bukan. Sekarang ini saja sudah banyak masalah.

"Mana ada..." jawabku sambil betulkan suara. Kalau boleh hendak sembunyikan semuanya.

"Awak jangan tipu saya. Saya tahu awak sedang menangis."

Air mata tak semena-mena mengalir lagi. Aku sudah berusaha untuk menahannya, tapi apakan daya. Mana boleh aku simpan-simpan perasaan sedih ini.

"Tak, saya okey. Cuma sakit kepala saja..."

"Nurul, jangan tipu saya, saya tahu awak menangis."

"Betul, saya sakit kepala."

"Hmmm, kalau begitu awak berehat saja. Saya tak nak kacau awak buat sementara waktu. Assalamualaikum."

"Waalaikumussalam."

Suara Encik Faizal hilang selepas itu. Air mata mengalir deras. Aku cuba pujuk dan pujuk, akhirnya mata terlelap juga. Sedar-sedar telefon berbunyi. Sudah pukul 1.00 tengah hari rupanya.

Telefon bimbit berbunyi semula.

"Assalamualaikum, encik." Apa lagilah yang dia nak? Tak sudah-sudah kacau aku. Rimas betul. Berkali-kali cakap aku sudah ada teman lelaki, masih nak kacau. Memang dasar tak faham bahasa.

"Waalaikumussalam. Saya sekarang ada kat depan rumah awak. Saya hantar makanan untuk awak."

"Eh, tak payahlah, encik. Susah-susahkan encik saja." Terkejutnya aku.

"Saya dah sampai pun di hadapan rumah awak. Nak susah apa lagi?"

Kenapalah lelaki seorang ini sangat baik terhadapku? Apa sebenarnya yang dia harapkan daripada aku?

"Okey, saya keluar sekarang." Aku capai kardigan selepas itu. Sarung ke badan. Rambut pula aku tocang tinggi. Sekilas pandang cermin. Serupa orang dalam pantang saja. Tak mengapalah. Bukan aku mahu pikat Encik Faizal pun. Harap dia menyampah melihat aku dalam keadaan begini.

Aku bergerak perlahan menuju ke pintu. Ternyata Encik Faizal sudah menanti di luar pagar bersama bungkusan plastik di tangan.

"Assalamualaikum." Dia beri salam.

"Waalaikumussalam." Aku cuba pandang keretanya yang terparkir di luar pagar. Cuba larikan muka dari pandang dia.

"Untuk awak." Dia hulur bungkusan makanan.

"Encik ni susah-susah saja." Aku sambut juga dan masih tidak pandang dia.

"Kenapa ni?" soal Encik Faizal dengan lembut.

Aku senyum tawar.

"Tak sihat. Kepala sakit."

"Sakit kepala sebab menangis terlalu lama, bukan?"

Mataku mula pedih. Senyuman Kak Husna bermain semula. Bagaimana untuk aku mengawal perasaan kalau sudah begini keadaannya?

"Saya tahu awak ada masalah. Kalau tidak, awak tak macam ni..."

Air mata sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi.

"Encik..."

"Dah, dah. Masuk ke dalam kereta saya. Kita bercakap di dalam kereta. Tak manis kita berbual di sini."

Aku akur.

"Saya bawa masuk makanan dulu." Aku atur langkah lemah menuju rumah dan letak bungkusan makanan di atas meja sofa. Kemudian bergerak semula ke muka pintu rumah. Lepas kunci pintu, aku mengekori Encik Faizal ke keretanya. Selepas kami berada di dalam kereta, Encik Faizal pandang aku yang sudah tersandar lesu.

"Awak ada masalah?" soalnya, Kemudian dia pandu kereta perlahan. Ke mana dia mahu bawa aku, aku pun tak tahu. Tapi suka hati dialah. Aku tak ada mood mahu bertanya dan ambil tahu.

"Saya memang ada masalah, tapi saya tak rasa encik boleh bantu saya." Air mata yang jatuh ke pipi aku sapu dengan tangan. Macam mana aku tak pilu, kalau orang yang aku sayang akan mati? Mana boleh aku tahan segala kesedihan kalau aku tahu begitu kesudahannya. Bukan aku tidak rela untuk jadi ibu kepada anak Kak Husna, tetapi mana mungkin aku terima kenyataan dengan mudah yang aku bakal kehilangan dia.

"Beritahulah saya, apa masalah awak? Mana tahu saya boleh bantu awak."

"Encik tak boleh bantu saya."

"Awak tak cerita, manalah saya tahu."

"Saya mengandung tiga bulan." Aku pandang wajah Encik Faizal. Sekali menipu rupanya akan menipu selamanya.

Encik Faizal berhentikan kereta secara mengejut. Terperanjat aku jadinya. Mujur ketika itu tiada kereta di belakang, kalau tidak aku tidak tahu apa yang berlaku.

"Awak mengandung?" soalnya.

Aku angguk. Dan kenapa dalam keadaan begini aku masih berbohong dengan Encik Faizal? Apa yang aku lakukan ni? Akhirnya aku menangis teresak-esak. Rasa sangat-sangat bersalah.

Encik Faizal pandu semula kereta dan berhentikannya di tepi jalan.

"Teman lelaki awak tahu?"

"Tahu, tapi dia tak mengaku dan dia dah tinggalkan saya." Makin laju aku menangis. Kenapa ni, Nurul? Bukan kecil pembohongan yang kau lakukan. Tapi mungkin juga inilah jalan yang terbaik untuk aku dan Encik Faizal. Harap selepas ini dia tidak melayan aku sebaik ini.

"Jantan tak guna. Dah habis madu..." Encik Faizal pukul stereng. Kalau dia tahu aku berbohong, bukan stereng yang dia pukul. Sah aku yang kena.

"Habis tu macam mana sekarang ni?"

"Saya tak tahu..." Aku pegang dahi dan menangis lagi.

"Awak jangan bimbang. Saya akan selalu bersama awak. Awak percayalah, saya akan bersama awak. Cuma buat sementara waktu, saya nak awak tenangkan fikiran awak. Jangan lakukan perkara-perkara di luar kawalan. Memang awak berdosa besar, tapi awak kena sedar, sebesar mana pun awak buat dosa, kalau awak bertaubat, insya-Allah, semua dosa awak akan terampun."

Air mata masih mengalir deras.

"Terima kasih, encik..." Tidak sangka Encik Faizal memiliki hati yang sangat baik. Dia langsung tidak menyalahkan aku sebaliknya memberi kata dorongan. Buat aku tambah serba salah.

"Awak jangan susah hati. Saya beri awak cuti selama seminggu. Tenangkan fikirkan awak."

"Tak boleh, encik. Kalau saya duduk rumah, fikiran saya lagi serabut. Esok saya nak masuk kerja."

"Kalau macam tu tak mengapalah. Tapi janji dengan saya, jangan lakukan benda yang bukan-bukan."

Aku senyum tawar. Kata-kata Encik Faizal sebenarnya tak mampu meredakan perasaanku. Sedih tetap sedih. Tak mampu aku hapuskan dengan mudah.

"Saya hantar awak pulang. Saya nak awak berehat. Tenangkan fikiran. Tolong jangan lakukan apa-apa yang tak baik. Awak kena ingat, saya tetap ada untuk awak. Saya sanggup jadi bapa anak awak."

Tergamam aku seketika. Aku salah dengarkah?

"Ya, saya serius ni. Saya sanggup jadi bapa anak awak."

"Tak apalah, encik. Saya akan uruskan nanti masalah saya. Encik jangan bimbang. Saya takkan ambil sebarang tindakan bodoh."

Kenapa aku rasa semakin rumit masalah aku? Yang aku harapkan lain, namun lain pula yang terjadi. Encik Faizal ni bukan lelaki yang waraskah? Mana ada lelaki waras yang senang-senang mahu jadi pak sanggup. Ini memang tak masuk dek akal.

"Nurul, saya tak main-main. Kalau awak nak saya nikah dengan awak, saya akan nikah dengan awak. Saya tak mahu awak tanggung sorang-sorang."

Aku pandang wajah Encik Faizal.

"Encik ni dah kenapa? Encik buat saya lebih takut. Saya tak minta encik buat apa-apa pun. Orang cakap berani buat berani tanggung. Saya sama sekali takkan bebankan encik dengan masalah saya." Menggeletar rasa badanku.

"Saya hanya nak awak tahu, saya memang ada untuk awak. Tu saja."

"Encik, saya ni bukan ada kena-mengena dengan encik. Tak payah kut encik nak tolong saya sampai macam tu sekali." Aku semakin tak faham sebenarnya dengan Encik Faizal. Serius, aku mula rasa dia seorang lelaki yang sangat pelik.

"Dah, dah. Saya tak nak cakap banyak lagi. Ingat, jangan lupa makan lepas ni. Awak kena terus bertenaga. Jangan tak makan tau."

"Ya, encik. Sampai rumah nanti saya terus makan." Aku sendiri sudah tidak tahu untuk berkata apa.

"Jangan buat kerja berat-berat. Kalau nak apa-apa, telefon saja saya."

Aku terdiam. Apa lagi yang harus aku katakan? Kata-kata Encik Faizal kedengaran sangat ikhlas untuk membantuku. Tapi aku tak faham apa-apa tentang dia. Sungguh, aku benar-benar rasa serba salah sekarang ini. 

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro