BAB 11
Air mata sudah tidak mampu aku tahan lagi. Sesuatu yang benar-benar aku tidak sangka sedang berlaku. Sesuatu yang membuatkan aku rasa susah mahu berfikir. Sangat menyakitkan dan membuatkan seluruh jiwa serta ragaku hilang. Aku cuba untuk tidak mempercayainya, masih berharap kalau ia hanya gurauan, namun gurauan dan kenyataan itu adalah dua perkataan yang punya makna jauh berbeza. Sekarang aku sedang berhadapan dengan kenyataan.
"Akak memang nak beritahu keadaan akak masa kita bercuti hari tu, tapi akak tak sampai hati nak beritahu. Akak tak nak rosakkan percutian kita." Perlahan suara Kak Husna dan seperti pisau yang menghiris tangkai hati. Sakit amat aku rasakan.
"Akak tolonglah jangan mengandung. Nurul tak sanggup kehilangan akak. Tolonglah batalkan hasrat akak." Aku merayu untuk kesekian kalinya. Sejak tadi, entah berapa kali aku ulang perkataan jangan mengandung. Hanya itu saja yang boleh terlafaz dari bibirku.
"Akak tetap dengan keputusan akak. Akak akan kandungkan anak akak ni. Lapan tahun akak tunggu, takkan akak nak buang begitu saja semata-mata takut mati? Mati tu setiap orang akan hadapi."
"Tapi, kak..."
"Nurul tolong hormati keputusan akak. Nurul tahu kan akak memang nak ada anak sendiri, penyambung zuriat akak. Kalau inilah caranya untuk akak ada anak, akak sanggup tanggung semua risiko tu. Cuma akak mintak sangat-sangat, kalau terjadi apa-apa kepada akak, akak nak Nurul jaga anak akak ni seperti anak sendiri. Jangan sesekali biarkan anak akak jatuh ke tangan bekas suami akak. Nurul boleh janji dengan akak?"
Aku menangis semahunya.
"Akak hanya percayakan Nurul seorang. Dan akak bergantung harap kepada Nurul saja. Boleh janji dengan akak, Nurul akan jaga anak akak nanti seperti anak Nurul sendiri?"
"Nurul janji, kak," jawabku dalam rasa pilu yang teramat sangat.
"Lapang perasaan akak. Akak tahu Nurul boleh diharapkan. Dah jauh malam ni. Pergilah balik dulu. Jangan bimbang keadaan akak."
Aku menangis lagi.
"Jom Nurul, kita balik dulu. Dah lewat ni." Eja peluk Kak Husna selepas itu.
"Kita orang balik dulu, kak," kata Eja dengan suara seraknya. Dia terlebih dahulu menangis sebenarnya.
"Hati-hati bawa kereta," pesan Kak Husna.
"Insya-Allah..." balas Eja dengan suara serak.
Giliran aku pula peluk Kak Husna dengan erat.
"Nurul sayang akak..."
"Akak pun sayang Nurul."
Aku lepaskan pelukan sambil sapu air mata. Kemudian aku melangkah perlahan.
"Nurul sangat cantik." Sempat lagi Kak Husna puji aku.
Aku hanya mampu ukir senyum pahit. Bila hati dirundung duka, aku rasa semuanya sudah tidak bermakna.
Eja pegang tanganku erat sambil melangkah. Kami menangis bersama menuju ke kereta.
"Nurul, aku tak boleh pandu kereta. Rasa lemah sangat badan aku." Eja serahkan kunci keretanya. Sebenarnya aku juga tak mampu untuk memandu, tetapi aku tak boleh kelihatan lemah. Aku harus lebih tabah lagi.
Ketika aku mula memandu, Eja sudah menangis teresak-esak. Aku tidak mampu untuk memujuk Eja kerana ketika ini hati aku juga menangis.
"Satu per satu dugaan menimpa Kak Husna."
"Ingat, Eja. Kak Husna dah pesan tadi. Kalau dia reda, kita kena reda juga. Kalau kita tak reda, maknanya kita mempertikaikan suratan takdir." Hakikatnya sangat berat untuk terima kenyataan itu. Kak Husna bakal bergelut dengan satu keadaan bahaya namun Kak Husna mahu meneruskan juga.
Menurut doktor, Kak Husna ada masalah dengan rahimnya. Kalau Kak Husna teruskan juga, kandungannya bakal membahayakan nyawa Kak Husna. Doktor minta Kak Husna gugurkan kandungannya namun Kak Husna berdegil.
"Kita doa yang baik-baik aje, semoga apa yang doktor cakap tu tak benar." Aku bukan memujuk Eja tapi aku memujuk diriku sendiri sebenarnya. Aku perlu lebih tabah lagi.
Eja tak jawab apa-apa sebaliknya Eja terus menangis sehinggalah kami sampai ke rumah. Waktu itu jam sudah menunjukkan hampir 11.00 malam. Pasti majlis makan malam sudah selesai.
Tiba di rumah, Eja masuk ke biliknya dan aku duduk seketika di ruang tamu. Cuba tenangkan diri sendiri.
Aku ambil telefon bimbit dari beg tangan. Ada 5 panggilan yang tidak terjawab. Terlupa untuk menukar nada telefon menyebabkan aku tidak mendengar sebarang panggilan masuk. Kesemua panggilan daripada Encik Faizal.
Biar dialah. Tak ada semangat mahu berbual dengan sesiapa ketika ini.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro