Bab 1
"SELAMAT pagi." Aku senyum sebaik sahaja melihat jejaka rambut lurus yang disikat rapi. Kemas saja pakaiannya. Kemeja berwarna biru muda berlengan panjang dan tali leher bergaris-garis warna sama dengan kemeja, kelihatan sangat padan dengannya.
"Selamat pagi," jawabnya dengan sopan dan kami sama-sama berdiri sehingga pintu lif yang bakal membawa kami ke tingkat tujuh terbuka. Kami melangkah masuk bersama selepas itu. Sebenarnya aku sudah lewat lima belas minit. Sebab itu lif kosong. Ada kami berdua sahaja.
Harap jejaka segak yang berdiri di sebelahku ini tak bising tentang kelewatanku. Bukan sekali dua, dah berpuluh kali aku datang lewat, tapi setakat ini dia macam buat bodoh saja.
"Datang tadi naik apa?" soalnya sambil mata perhatikan nombor lif yang bergerak di kepala pintu lif. Wangian yang tersebar dari badannya sangat menyenangkan. Sangat menyegarkan. Seolah-olah sedang berada di dalam taman bunga yang penuh dengan bunga-bunga segar. Terbuai aku seketika dengan haruman tersebut.
Kalau lembut begitu dia bertanya, aku rasa dia tak sedar aku datang lewat.
"Hurm, jangan cakap pula awak datang naik feri. Awak ni bukan boleh harap. Ada aje jawapan merepek." Dia jeling sekali. Kemudian aku nampak bibirnya mengukir senyuman senget. Ah! Aku pun belum sempat nak jawab apa-apa, dia dulu buat andaian.
"Memang nak cakap datang naik feri. Tapi encik dah cakap dulu tak apalah," balasku selamba.
"Kalau saya sebut kereta kebal tadi macam mana?" Senyumannya makin lebar. Menampakkan barisan giginya yang putih dan tersusun cantik.
"Tak terfikir pula kereta kebal."
Sebaik sahaja pintu lif terbuka di tingkat tujuh, aku mendahului keluar. Dia mengekori dari belakang.
"Lupa nak tanya, dah sarapan ke belum ni?" Dia bersuara dari belakangku.
"Belum." Sepatah aku menjawab.
"Kalau macam tu, jomlah kita sarapan dulu."
"Encik, sekarang ni kita dah lewat tau." Aku ingatkan dia.
"Eh, sedar pula dah lewat? Ingat tadi tak sedar."
Cis! Dia perli aku rupa-rupanya. Diam-diam dia kenakan aku. Hampeh betul. Jadi, selama ini memang dia buat bodoh sajalah bila aku datang lewat? Tunggu masa yang sesuai nak 'basuh' aku cukup-cukup?
Aku buat muka pelik sambil pandang muka dia yang satu bangunan ni sebut jejaka paling segak.
"Taklah, saya serius. Nak awak temankan saya sarapan." Dia ketawa sambil tolak bahuku perlahan. Suruh aku sambung berjalan. Kalau orang tengok ni, pasti tak cakap dia ni ketua bahagian aku. Sah cakap teman lelaki aku. Tapi hakikatnya, dialah ketua aku. Ketua bahagian pemasaran untuk syarikat pengeluar minyak masak.
"Serius. Nak sarapan dengan awak. Tak boleh?"
"Encik ingat syarikat ni tok wan encik yang punya?" soalku.
Aku pandang wajah Encik Faizal. Bersungguh dia pelawa. Sudah banyak kali juga aku tolak pelawaannya. Rasanya kali ini tak baik pula aku menolak.
"Yang penting, bukan syarikat tok wan awak juga." Dia ketawa. Gembira saja aku tengok dia ni. Loyar buruk dia boleh tahan.
"Ajak-ajak ayam ke ajak-ajak kambing?"
"Ini tak ada kena-mengena dengan ayam atau kambing. Ini sungguh-sungguh." Dia buat muka geram.
"Okey-okey." Aku ketawa-ketawa. Seloroh pun tak boleh.
"Sebelum tu kita masuk ofis dulu. Tengok apa yang penting hari ni. Nanti kita sarapan dan terus jumpa client. Ada client dari negara timur tengah mahu berurusan dengan syarikat kita."
Aku ikut saja. Tiada bantahan. Encik Faizal sebenarnya baru saja enam bulan bertugas di sini. Dulu aku dua bulan daripada dia. Disebabkan di bahagian pengiklanan ada lebihan tenaga kerja, aku dipindahkan ke unit pemasaran. Dilantik sebagai pembantu peribadi Encik Faizal, sebab itu kami agak rapat.
Kami rapat kerana Encik Faizal memiliki sifat peribadi yang sangat menyenangkan. Dia jarang marah walaupun dia seorang yang sangat tegas. Dia seorang yang sangat penyabar. Dia seorang yang taat dengan perintah agama, sebab aku selalu nampak dia solat dalam bilik ofis dia. Dan dia seorang yang kacak. Tapi kacak bukan penyebab aku rapat dengan dia.
Aku ke tempatku. Encik Faizal pula ke bilik yang memang dikhaskan untuknya. Tak sampai setengah jam dia ajak aku keluar. Kami sama-sama melangkah tinggalkan pejabat.
"KFC, Pizza Hut?" Encik Faizal bertanya tapi kenapa aku rasa seperti dia sedang mencadangkan?
"Hmmm, kita makan nasi lemak sajalah. Restoran Desa Kami." Aku pula menolak cadangan Encik Faizal dengan menetapkan pilihanku sendiri. Nak tengok dia bantah atau tidak.
"Okey, tapi saya tengok muka macam lapar breakfast KFC aje."
Bermakna memang Encik Faizal mahu makan makanan segera pagi ni. Tapi jangan harap aku nak ikut selera dia.
"Eh, tolong sikit."
"Yalah, kita makan nasi lemak." Dia mengalah.
Ada yang tak kena sebenarnya dengan ketua bahagian pemasaran ini.
Sejak aku jadi pembantu dia, aku merasakan dia sering menunjukkan sikap yang agak luar biasa.
Aku rasa ada perbezaan cara dia melayan aku dengan pekerja lain. Dia sangat mesra denganku. Selalu mengambil berat tentang diriku. Bukan saja dalam hal kerja kami, bahkan dia selalu mengambil berat tentang hal lain.
Selalu bertanya aku sudah makan atau belum? Aku okey ke tidak. Saban malam hubungi aku. Kami berbual tentang macam-macam perkara yang satu pun tidak menyentuh hal kerja.
Dia suka aku ke?
Tak kut.
Jangan perasan.
Mungkin dia sekadar melayan aku sebagai rakan sekerja, jadi aku jangan cuba menaruh sebarang harapan.
Selalu aku beritahu hati aku, Encik Faizal itu memang seorang lelaki yang sangat baik.
Jadi, dia memang tak sesuai untuk aku.
"Encik suka makan nasi lemak?" Aku bertanya sebaik sahaja kami duduk di Restoran Desa Kami yang terletak berhampiran dengan bangunan syarikat. Disebabkan sebahagian kerja Encik Faizal banyak dihabiskan di luar, jadi tiada masalah untuk dia keluar masuk syarikat.
Nasi lemak sudah bersusun di atas pinggan di meja. Aku ambil sebungkus. Encik Faizal juga ambil sebungkus.
"Suka juga. Tapi saya pernah makan nasi lemak paling sedap. Memang power sambal tumis yang dia masak."
"Saya pun selalu makan nasi lemak paling sedap di dunia. Tak ada siapa pernah makan sambal sesedap tu." Aku juga tidak ketinggalan untuk memuji.
"Ya?"
"Serius. Sedap sangat."
"Kalau macam tu, awak kena belajar masak sambal nasi lemak tu. Nanti bolehlah awak masakkan untuk saya." Encik Faizal buka bungkusan nasi lemak.
"Memang saya ada belajar dan cuba, tapi tak sesedap dia masak."
"Tak apa. Sekurang-kurangnya awak ada belajar dan cuba masak. Insya-Allah, kalau selalu masak, mungkin akan lebih sedap daripada orang yang awak belajar masak tu. Hmmm, apa kata kalau esok awak masak dan saya cuba rasa masakan awak?"
Dia ingat aku nak buka warung nasi lemak pula ke?
"Tak apalah, encik. Lain kalilah."
"Hmmm, nampak sangat awak tak yakin dengan keupayaan diri sendiri."
Aku pantang orang cabar. Mulalah semangat naik semacam. Nak-nak pasal keyakinan diri. Seolah-olah sedang mencabar kebolehan aku sendiri.
"Okey, esok saya masak. Kalau encik tak makan, siap encik!" Aku beri amaran.
"Awak masak aje. Nanti mesti saya makan. Tak sabar pula nak rasa nasi lemak awak."
Sebenarnya, aku ni sedang cari penyakit atau cari pasal?
PULANG dari kerja, aku singgah rumah Kak Husna. Rumah kakak angkatku. Wanita yang sudah aku anggap sebagai kakak kandung. Dan dialah tukang masak nasi lemak paling sedap yang aku ceritakan kepada Encik Faizal. Dialah orang yang aku kira dapat membantuku dalam masalah ini. Masalah yang sengaja dicari sendiri.
"Habislah Nurul, kak..." Aku letak beg tangan di atas meja makan. Kemudian terus ke peti sejuk. Keluarkan bekas minuman.
"Apa yang habis ni?"
"Bos mintak Nurul masak nasi lemak esok." Aku terus gogok air dari bekas minuman. Tak sempat nak cari gelas.
Kak Husna ketawa perlahan. Ah! Comelnya Kak Husna ketawa. Walaupun langsung tiada pertalian darah, hubungan kami sangat mesra. Tak ubah seperti adik-beradik kandung.
"Nurul ni nak mengadu dengan akak. Bukannya mintak kena gelak. Geramlah." Aku buat gaya merajuk.
"Yalah, tiba-tiba kena masak nasi lemak untuk bos. Mahu akak tak gelak. Cuba bagi tau akak, apa sebenarnya yang terjadi? Cik adik sayang, dengar sini baik-baik tau. Orang lelaki ni takkan mintak kita masak untuk dia kalau kita bukan siapa-siapa pada dia. Entah-entah bos Nurul tu sukakan Nurul tak?"
Ewah, panjang pula mukadimah dia.
"Bukan siapa-siapa pun pada dia. Nurul juga yang gatal bukak mulut. Sudahnya dia mintak Nurul masak untuk dia. Tak percaya agaknya Nurul boleh masak nasi lemak." Aku tarik nafas lega. Tekak juga sudah basah. Dahaga terus hilang.
"Akak tak percaya. Ini mesti ada apa-apa. Bujang ke dah kahwin? Orangnya macam mana? Segak?"
"Apa akak merepek ni?" Geram bertambah-tambah. Selalunya Kak Husna jarang macam ni. Susah nak tengok dia bergurau. Serius memanjang. Pelik pula aku tengok dia petang ni. Siap bergurau lagi.
"Mestilah akak nak tahu macam mana orangnya. Buatnya itulah bakal adik ipar akak." Kak Husna senyum lagi.
"Tak ada maknanya adik ipar. Nurul baliklah macam ni..." Aku ambil beg tangan. Malas nak tunggu lagi.
"Kalau tunjuk perangai macam tu, maknanya Nurul pun sukakan dia. Akak tumpang gembira."
Memandai aje Kak Husna ni. Aku sukakan dia? Suka kut. Suka sebagai orang bawahan kepada ketuanya. Tu saja. Lebih-lebih tak mainlah.
"Beli aje bahan. Nanti akak tolong." Kak Husna bersuara waktu aku nak sampai pintu utama.
"Terima kasih, kak. Malam nanti Nurul datang."
Ada sebab kenapa aku benar-benar sayangkan Kak Husna. Dengan apa alasan pun dia tetap akan penuhi permintaanku.
"Tidur rumah akak malam ni."
"Wokey, cantik."
Aku tahu Kak Husna kesepian sekarang ni. Sejak rumah tangganya di ambang keruntuhan, Kak Husna lebih memerlukan perhatian daripadaku.
Sebelum sampai rumah sewaku, aku singgah ke mini market terlebih dahulu. Mahu beli bahan untuk masak nasi lemak pagi esok. Beli sebiji kelapa, daun pandan, ikan bilis, cili kering dan sedikit udang kering.
Cukup semua bahan aku beli. Tak satu pun tertinggal termasuk timun sebiji, telur ayam sepuluh biji dan kacang tanah dua ringgit. Selepas barangan siap dibayar, aku terus melangkah pulang.
"Rajin masak." Eja tegur waktu aku letak barang-barang yang aku beli di atas meja makan. Masa tu Eja sedang makan mi sup.
"Untuk pagi esok. Aku ingat nak masak nasi lemak."
"Mimpi ke buang tebiat?"
Mestilah Eja terkejut sebabnya selama ni mana aku biasa masak. Tak pandai sebenarnya.
"Saja nak belajar masak dengan Kak Husna. Malam ni aku tidur rumah dia. Kau tak nak ikut sekali ke? Jomlah kita lepak rumah dia. Kesian aku tengok dia. Masa ni dia memang betul-betul perlukan kita."
"Bukan aku tak nak. Tapi malam ni aku ada hal. Memang confirm ke mereka nak bercerai?" Eja letak sudu ke dalam mangkuk dan dia pandang aku. Tunjuk muka simpati dia. Sebenarnya bukan aku saja yang kasihan dengan nasib yang menimpa Kak Husna, bahkan Eja juga sama.
"Macam itulah yang Kak Husna bagi tau aku. Dia pun dah kecewa. Dah tak menaruh harapan lagi pada rumah tangga dia." Aku mengeluh perlahan. Bila seorang perempuan itu benar-benar tawar hati, dia akan lepas tangan. Dia takkan pertahankan apa-apa lagi.
"Bagi aku kalau dah membebankan, baik bercerai terus. Sah-sah suami dia tak berlaku adil. Dari makan hati setiap hari, baiklah berpisah."
Aku setuju dengan pendapat Eja tapi bukanlah aku menggalakkan perceraian. Cuma kalau sudah tiada jalan penyelesaian, berpisah adalah pilihan yang terbaik dari terus-terusan makan hati.
"Memang betul suami Kak Husna nak kahwin lain?"
Aku angguk. Itu yang Kak Husna beritahu aku. Suami Kak Husna bakal melangsungkan pernikahan tidak lama lagi.
"Nasib Kak Husna dah tertulis begitu."
"Alasan tak ada anak konon." Eja masih merungut.
"Memang alasan."
"Aku sumpah suami Kak Husna tu mandul. Tak ada anak langsung. Baru ada akal nanti."
Orang kata apa yang disebut melalui mulut itu juga doa. Kalaulah betul, memang padan dengan muka. Kak Husna mahu diceraikan suaminya hanya semata-mata gagal melahirkan zuriat. Bukankah zuriat itu kurniaan Tuhan? Memang dasar lelaki tak guna.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro