Bab 9 - Tanggungan
KETIKA setiap seorang ahli keluarganya masih menghuni rumah besar itu, Huzair telah pun merasai pelukan sunyi. Mereka sekeluarga sentiasa ada aktiviti sendiri, mendepani masalah ummah.
Kata arwah ayahnya, "Hidup ini banyakkan memberi. Meminta hanya pada DIA."
Maka bertebaranlah setiap seorang anggota keluarganya, di bumi Tuhan mencari pahala. Mencari jalan untuk berbakti kepada yang memerlukan. Hatta, dua adik perempuannya - Arwah Afiqah, 20 tahun dan arwah Afeenah, 19 tahun adalah di antara sukarelawan yang selalu turun padang, memasak untuk anak-anak pelarian Rohingya di pusat-pusat penempatan, sementara si kakak, Dr. Afeerah memberi rawatan gigi percuma di rumah-rumah anak yatim.
Masa senggang mereka terisi dengan kerja-kerja kebajikan. Zaman remaja, dipenuhi dengan amanah ibu dan ayah yang menginginkan anak-anak menyemai bakti kepada ummah. Tidak perlu berbakti kepada mereka – ibu dan ayah. Sebaliknya, disuruh fokus kepada ummah.
"Huzair seorang sahaja anak lelaki, ibu dan ayah. Jadi seorang lelaki itu tampak mudah tetapi hakikatnya payah. Kenapa ayah ingin Huzair belajar untuk menjadi pemimpin ummah? Kerana Huzair satu-satunya anak lelaki ayah.
Di dalam al-Quran, surah An-Nisa ayat 34, jelas dinyatakan bahawa kaum Adam itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum wanita. Allah beri kelebihan kepada kita, sebagai kaum lelaki, Huzair.
Pecahan harta yang difaraidkan juga kita dapat lebih, berbeza dengan kaum wanita. Mengapa? Kerana, tanggungjawab kita lebih. Kita yang akan membimbing mereka. Memberi nafkah kepada mereka, kaum Hawa.
Huzair tahu bukan yang kaum Hawa itu diciptakan daripada tulang rusuk yang bengkok? Jika dipaksa lurus dengan kekerasan, ia akan patah. Andai kita tidak punya ilmu, mana mampu untuk menunjuk jalan. Andai kita tidak bersedia seawal umur berdepan dengan kerenah dunia, mana mungkin mampu kita berdepan dengan kerenah kaum Hawa.
Mereka dicipta dengan banyak kelemahan berbanding kita, tetapi dalaman mereka kuat. Mereka tidak disuruh untuk mendedahkan diri kepada dunia, sebaliknya menyokong kita dalam mendepani masalah ummah dengan cara berbeza. Peranan mereka lain. Dan, mereka memerlukan bukan sahaja bimbingan, tetapi sokongan kasih dan sayang. Ayah berharap Huzair dapat bimbing kakak dan adik-adik perempuan Huzair. Juga orang di sekeliling Huzair."
"Huzair, anak ibu. Walaupun Huzair bukan anak sulung, ada kakak di atas Huzair, tetapi ibu amat berharap agar Huzair mampu menggalas tanggungjawab ketua keluarga bila ibu dan ayah tiada.
Ibu amat berharap agar Huzair dapat menggantikan ayah memimpin ummah yang berdepan dengan pelbagai masalah. Lengkapkan diri Huzair dengan ilmu. Tunjukkan contoh yang baik. Dalami sirah Nabi sebagai panduan membentuk peribadi.
Huzair harapan ibu. Harapan ayah. Malah, harapan agama untuk membantu menyebarkan dakwah. Iman ummah semakin layu di penghujung waktu. Akan mati jika tidak ada yang mengambil tanggungjawab menyebar ilmu dan rezeki.
Allah beri kita rezeki berupa akal yang waras, yang cekap menangkap perkara ilmu. Juga diberi rezeki dalam bentuk harta yang memudahkan kita melakukan amal jariah. Jangan lemah, nak. Andai kita berhenti, ada susupan lain yang akan mempengaruhi ummah. Lebih-lebih lagi di akhir zaman."
"Bagaimana jika Huzair tidak mampu, ibu, ayah?"
"In-shaa-Allah, anak ayah mampu. Ayah sudah lihat kebolehan Huzair di peringkat sekolah. Dan, ayah sudah dedahkan Huzair dengan pelbagai situasi dan cara mendepani. In-shaa-Allah, anak ayah mampu.
Abang kembar Huzair telah dijemput Allah sebelum sempat matanya melihat dunia. Ayah letakkan harapan kepada Huzair untuk meneruskan legasi keluarga dalam menyalur tenaga dan sebaran ilmu Tuhan kepada mereka yang memerlukan. Ini amanah, nak."
.
.
AMANAH itu terlalu berat untuk seorang Huzair. Demi kasih kepada ibu dan ayah, juga tanda syukur di atas rahmat Allah, Huzair berusaha menggalasnya. Dan, dia lelah.
"Huzair sudah cuba. Huzair penat. Kenapa mesti Hazim yang dijemput Tuhan, bukannya Huzair? Hazim mungkin lebih layak untuk berada di dunia, menggalas semuanya. Dia abang. Huzair adik yang pincang dalaman walaupun luar tampak gah di mata semua orang."
'Aturan Allah jangan kau pertikai. Tanya diri kau, kenapa kau lelah? Benarkah kau buat sebab Allah? Bukan kerana ibu dan ayah?'
"Ya, aku buat sebab Allah. Tapi, aku lemah. Aku tidak mampu menandingi ayah yang bertahan dalam membuat kebaikan. Aku ... aku masih punya keinginan lain sebagaimana fitrah seorang remaja. Aku ... ingin melepaskan tangunggjawab yang berat ini. Tetapi, tanggungan rasa bersalah itu menghempap fikiran setiap kali aku ingin melepaskan. Aku ... gagal untuk membantu diri sendiri. Bagaimana boleh aku membantu orang?"
'Kegagalan hanya untuk orang yang berhenti di separuh jalan. Selagi kau teruskan, kau tidak digelar gagal.'
"Ibu dan ayah sudah diambil Tuhan. Kakak dan adik-adik aku juga. Aku tiada tongkat yang mampu menampung jiwa. Aku ..."
'Kembali kepada Tuhan, Huzair. DIA menanti untuk mendengar.'
"Aku tahu. Kau pun tahu yang aku tidak pernah gagal kembali kepada-Nya. Tetapi, mengapa masih rasa kosong dan rasa bersalah itu, memerangkap jiwa? Kekosongan yang menikam dengan kejam. Yang membuatkan aku rasa ingin membalasnya dengan hirisan pada setiap inci tubuh. Ingin aku melihat kekosongan itu dan membuangnya."
'Lakukan itu jika ia memberikan kau kekuatan untuk terus hidup.'
Huzair memeluk tubuhnya erat. Dia menangis di dalam gelap. Di ceruk bilik tanpa ada manusia yang faham akan perasaan yang mencengkam Ahmad Huzair - perasaan bersalah, lelah dan ketakutan terhadap amanah yang dirasakan gagal pada setiap cubaan. Semua rasa itu bergelumang di minda dan jiwa.
"Tidak. Aku tidak akan melakukannya lagi. Aku ... argh!" Rambutnya dicengkam. Rasa itu datang dan menekan. Dia cuba bertahan, tetapi tubuh mengkhianati dengan terus bangun lalu tangan pantas mencapai pisau yang sememangnya menanti di dalam laci.
Dia mengulang kembali apa yang biasa dilakukan. Torehan, demi torehan. Sehingga terhasil titis merah yang turut menghasilkan kepedihan.
Puas.
Rasa pedih itu membuatkan dia puas.
***
"TUAN, sudah banyak proposal lamaran yang kami terima. Tuan hendak lihat semuanya?"
"Abang Hafiy."
"Ya, tuan."
"Abang Hafiy tolong tolak semuanya. Katakan, yang Huzair mohon maaf. Huzair sudah punya calon."
"Gadis di kuburan tempoh hari, kah tuan?" Wajah Qaseh Imani terbayang di minda Hafiy. Dia dapat merasakan yang gadis itu dan abangnya bukan sebarangan orang di hati Ahmad Huzair.
"Ya, bang." Huzair menarik senyum, tipis. Segan juga dengan Hafiy.
"Tuan hendak saya uruskan urusan peminangan, kah?"
"Belum lagi, bang. Keluarga mereka memerlukan ruang untuk berbincang."
"Baik, tuan. Jika ada apa-apa keperluan, tuan boleh cari saya."
"Oh, ya bang. Klinik gigi arwah kakak dan klinik subsidi yang arwah ayah bangunkan itu, abang minta tolong uncle uruskan sambungan kontrak kepada semua doktor yang terlibat, ya! Huzair akan datang jumpa uncle untuk membincangkan hal-hal lain yang tertangguh. In-shaa-Allah, pada minggu hadapan."
"Baik, tuan. Nanti saya sampaikan pada uncle."
"Abang Hafiy."
Hafiy menanti.
"Tolong jawab semua mesej di media sosial Huzair juga. Ucapkan terima kasih kepada para gadis yang menawarkan diri untuk menjadi isteri Huzair dan sanggup juga menawarkan diri untuk bersusah menjadi sukarelawan mendepani anak-anak pelarian, anak-anak yatim dan anak-anak jalanan. Huzair amat menghargainya."
"Faham, tuan."
"Ada apa-apa lagi yang Huzair lupa ke, Abang Hafiy?"
"Tuan Haji Abdullah akan datang ke sini esok petang. Tuan Haji ada menelefon tuan, tapi katanya tidak berjawab."
"Huzair matikan telefon. Hanya telefon yang ini sahaja Huzair hidupkan. In-shaa-Allah, Huzair akan menelefon pak long sekejap lagi. Terima kasih, Abang Hafiy. Assalammualaikum."
Sebaik panggilan diputuskan, Huzair tersandar dengan mata terpejam.
"Allah ... aku tak kuat. Aku penat dengan semua ini."
Ditarik nafasnya seketika. Ditahan sebelum dihembus dengan rasa berat yang kemudiannya beransur hilang. Telefon keduanya yang semenjak tadi terbaring di atas meja sisi katil, dicapai. Nombor dengan nama 'Pak Long Abdullah', disentuh.
"Assalammualaikum, pak long."
.
.
.
"IZINKAN aku bercakap dengan Qaseh Imani."
"Mana kau dapat nombor telefon aku?"
"Emran, tolong. Aku perlu bercakap dengan dia."
Emran mengerling ke arah Qaseh Imani di sisi. Mereka sedang mengadap hidangan makan malam ketika satu panggilan nombor tidak dikenali masuk ke telefon Emran.
"Huzair hendak bercakap dengan adik." Emran menyerahkan telefonnya.
"Assalammualaikum, Huzair."
"Waalaikumsalam, Iman. Aku perlukan kau."
Berkerut dahi Qaseh Imani. Matanya mengerling ke wajah Emran sebelum menyambung perbualan dengan Huzair. Dia tahu Emran menanti untuk tahu butir bicaranya dengan Huzair.
"Berterus-terang, Huzair. Aku dan along sedang makan. Tidak elok untuk membiarkan hidangan ini terdedah lama."
"Boleh kita teruskan apa yang telah kita janjikan lima tahun dahulu dalam tempoh terdekat? Aku benar-benar perlukan kau. Keluarga sebelah arwah ayah sudah mula merencana hidup aku. Aku diminta untuk berkahwin dengan pilihan mereka."
"Jika pilihan mereka mampu untuk meneruskan kesinambungan usaha keluarga kau, tiada salahnya Huzair."
"Iman, kau sudah berjanji."
"Jujur dengan aku, kenapa aku?"
"Kau tahu rahsia aku. Keluarga kau juga tahu. Tetapi, mereka di luar sana, hatta keluarga sebelah arwah ibu dan arwah ayah, tidak pernah tahu. Malah, keluarga induk aku juga tidak pernah tahu apa yang kau tahu. Ibu dan ayah nampak diri aku secara zahiriah sahaja sebagaimana yang terhidang di depan mata, tetapi rahsia diri aku yang sebenarnya tetap terjaga sehingga mereka mengakhiri hayat mereka.
Mereka semua nampak yang baik-baik tentang aku, tetapi kau sebaliknya Qaseh Imani. Dan, kau juga setelah mengetahui semua itu masih tidak takut kepada aku. Masih juga tidak memandang serong pada keaiban aku yang kau tahu. Sisi buruk aku yang tersembunyi di mata dunia. Kerana itu, Qaseh Imani. Kerana satu rahsia yang telah kau ketahui."
Qaseh Imani terdiam. Agak lama sehingga Huzair memulakan semula bicara.
"Aku minta maaf kalau kejujuran aku itu melukakan. Tapi, aku mampu jujur dan mendedahkan segala-gala yang buruk tentang aku hanya pada kau. Bukan orang lain. Aku ... minta maaf."
"Ahmad Huzair, kau tidak mahu tahu kah mengapa aku bersetuju untuk berjanji dan memetri satu ikatan dengan kau? Tidak ada sangsikah di hati kau dengan tujuan aku menerima diri kau yang dikejar kerana kemahsyuran dan kekayaan?"
"Aku tidak peduli walau apa pun sebabnya. Aku benar-benar perlukan kau. Terserah pada kau sama ada untuk bercerita tentang sebabnya. Sama ada sekarang atau setelah ikatan di antara kita dihalalkan."
"Aku akan berterus-terang, sekarang."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro