Bab 8 - Satu janji
"AKU ingin memperisterikan Qaseh Imani." Ahmad Huzair berkata sebaik mereka sudah duduk di ruang tamu rumah Emran dan Qaseh Imani.
"Ahli keluarga kau baru sahaja meninggal dunia, tidakkah keputusan kau ini tergesa-gesa?"
"Kau tidak izin?"
"Bukan begitu. Keizinan aku sebagai wali itu satu perkara. Tetapi, ada perkara yang lebih penting lagi. Kau harus sedar, Huzair, yang perkahwinan itu bukan satu kontrak perniagaan yang bila tidak mencapai kata sepakat, maka ia boleh dibubar atau dibatalkan begitu sahaja.
Perkahwinan itu ikatan pada hati dan jiwa. Jika sudah dicangkukkan padanya, bila dilerai akan meninggalkan luka. Tidak kiralah sama ada cangkuk itu ditanggalkan dengan cara selembut mana pun. Jangan dibuat dengan tergesa-gesa. Jika benar jodoh kau dengan Iman, ia tidak akan ke mana."
"Adakah itu bermakna, kau memerlukan masa?"
"Ya, seelok-eloknya."
"Adakah tujuh hari itu mencukupi?"
"In-shaa-Allah. Tujuh hari cukup untuk kami berbincang."
"Tak. Tujuh hari itu bukan tempoh yang kuberi untuk kalian berbincang. Tetapi, tujuh hari sebagai persediaan pernikahan aku dan Iman."
"Jangan buat gila, Huzair." Emran masih tenang.
Huzair terdiam sebelum menghela nafas bersama keakuran.
"Baik. Aku serahkan pada kalian. Cuma ..." Huzair mengalih anak mata mengerling ke pintu dapur. Kelibat Iman dicari.
"... aku benar-benar memerlukan dia."
"Aku masih tidak memahami tautan hati di antara kau dan Iman. Kalian tidak pernah berhubungan, kecuali bertemu beberapa minit di sekolah. Tetapi, adik aku dan engkau sendiri seolah-olah punya telepati yang orang lain tidak mengerti."
"Emran, aku penat. Izinkan aku baring barang sejam dua di sini sebelum Abang Hafiy datang. Aku ingin melelapkan mata."
Tanpa menantikan kata setuju daripada Emran, Huzair terus merebahkan tubuh di atas sofa. Matanya dipejamkan. Dia lena dengan kepenatan dan kekosongan.
***
"TAHNIAH, gadis kecil! Ini hadiah untuk kau."
Bukan sahaja Qaseh Imani yang terkejut, Emran juga tergamam. Ahmad Huzair yang muncul di antara kegembiraan mereka di sebuah restoran makanan segera membuatkan kedua-dua mereka hilang kata apatah lagi tawa.
Sebaik keputusan peperiksaan SPM sudah berada di dalam genggaman Qaseh Imani, mereka tiga beradik keluar bersama. Emran dan Haidar sudah menjangkakan yang Qaseh Imani akan mencapai keputusan cemerlang. Adik mereka itu tidak pernah gagal menunjukkan kesungguhan. Kata Iman, semua yang dilakukan, diniatkan untuk arwah mak dan ayah. Untuk abang-abangnya juga. Yang sudah banyak berkorban untuk dia.
Emran terutamanya. Sanggup tidak sambung belajar, demi dia. Kejayaannya adalah kejayaan Emran. Haidar pula adalah sumber inspirasinya. Kejayaan Haidar sebelum ini dijadikan kayu ukur bagi dia untuk mencapai lebih lagi berbanding pencapaian Haidar. Hasilnya, keputusan peperiksaan SPM-nya, cemerlang.
Dan, kemunculan Ahmad Huzair yang tiba-tiba itu mengundang tanda tanya. Dia tahu, Huzair juga cemerlang. Tetapi, mengapa Huzair berada bersama-sama mereka? Di manakah ahli keluarga Huzair?
"Kau tidak mahu menerima hadiah daripada aku? Ini yang pertama dan mungkin yang terakhir. Aku tidak akan berada di sini lagi. Minggu hadapan, aku dan keluarga aku akan berpindah ke luar negara."
Qaseh Imani memandang pada Emran. Dia tidak pernah menerima atau mengambil barang pemberian orang lebih-lebih lagi seorang lelaki tanpa izin Emran ataupun Haidar.
"Apa yang kau beri pada adik aku?" Haidar bersuara tanpa tapisan.
"Hanya senaskhah al-Quran tafsir. Ia milik aku. Tetapi, aku hendak dia bukan sekadar simpan, tetapi gunakan. Ada banyak cerita di sebalik ayat-ayat Tuhan. Dia tentu faham."
"Ambillah Iman. Along izinkan." Emran bersuara.
Naskhah tafsir al-Quran yang diletakkan di dalam kotak baldu hitam, dengan sekuntum bunga orkid putih kecil melekat di atasnya, bertukar tangan.
"Terima kasih. Tahniah juga pada kau. Aku tidak ada apa-apa yang hendak kuberi sebagai balasan."
"Aku tidak perlukan apa-apa daripada kau, cuma ..." Huzair menggantung kata-katanya. Qaseh Imani, Emran dan Haidar menanti. Bibir Huzair menjadi tumpuan mereka dalam meredakan persoalan yang mula bermain di minda. Menunggu lontaran kata yang seterusnya.
Wajah Huzair tiada riak senyum. Wajah itu tegang dengan pandangan mata yang tajam. Entah apa yang diinginkan oleh lelaki ini yang menggantung kata, dalam gantungan masa.
Dengan tenang, Huzair melafaz sambungan kata, memutuskan apa yang tergantung di jiwa, "Aku cuma perlukan, satu janji. Janji seorang Qaseh Imani."
"Kau boleh ambil balik hadiah kau. Aku tidak akan mengizinkan adik aku untuk berjanji perkara yang belum tentu diizin Tuhan."
"Tanpa hadiah itu pun, aku tetap ingin dia berjanji. Permintaan aku tiada kaitan dengan apa yang aku beri."
"Along ..."
Ketiga-tiga lelaki itu mengalih pandang pada Qaseh Imani.
"Iman setuju."
"Iman!" Emran dan Haidar menjerit serentak.
"Aku anggap ia selesai. Jangan melerai apa yang sudah kau janjikan. Kau tentu tahu tanda-tanda atau sifat orang munafik itu, bukan? Bila berkata, dia dusta. Bila berjanji, dia mungkiri dan bila diberi amanah, dia khianati. Aku percayakan kau. Terima kasih, gadis kecil."
Ahmad Huzair pergi.
Tidak lagi kembali.
Lima tahun Qaseh Imani menanti tanpa sebarang tanda. Huzair tidak memberikan tempoh masa yang sebenar bagi perjanjian mereka. Kini, lelaki ini sudah kembali dengan tuntutan satu janji!
.
.
.
"FIKIR masak-masak, dik."
"Haidar tidak setuju, along. Biarlah apa pun janji yang telah Iman buat dengannya, Haidar rasa tidak sedap hati. Dia pernah tuduh Iman berilusi, sedangkan yang sakit itu dia. Dia itu gila, long. Gila. Tak akan kau hendak serahkan Iman pada orang gila?"
Emran hanya diam. Dia belum hilang akal. Dia nampak dan boleh 'baca' peribadi Ahmad Huzair sejak lelaki itu berusia 17 tahun lagi. Kini, walaupun umur Huzair sudah mencapai 22 tahun, Emran masih yakin yang Huzair masih orang yang sama yang dia kenal sebelum Huzair sekeluarga menghilang.
"Abang Haidar ... Huzair tak gila. Orang gila tidak akan mampu bersolat lima waktu dengan sempurna. Tidak akan mampu menghafaz dan membaca ayat-ayat suci al-Quran dengan baik. Malah, tidak mungkin juga akan kenal apa itu sunyi dan sakit."
Haidar terdiam. Dia akui kata-kata Iman. Huzair seorang lelaki yang waras fikirannya. Yang masih mempunyai perasaan terhadap setiap situasi yang didepaninya. Masih punya belas dan ihsan dalam membantu masyarakat yang memerlukan.
Malah, masih punya upaya berdepan dengan media yang menghimpit untuk jawapan kepada kematian keluarganya walaupun ketika itu Huzair sedang rapuh tidak tertanggung rasa. Bukan seorang ahli keluarganya yang pergi, tetapi kesemuanya!
Dan, lelaki yang Haidar gelar gila itu tetap bijak mengawal tingkah, malah raut wajah di hadapan semua manusia. Masih lagi mampu menguruskan semuanya.
Dia sendiri sewaktu ayah dijemput pergi, hilang diri.
Haidar melepas lelah.
"Abang sayangkan Iman. Maaf, abang terlepas bicara tentang Huzair. Iman betul. Huzair tidak gila. Dia hanya sakit. Kesakitan yang memungkinkan dia untuk menyakiti Iman juga. Itu yang abang takutkan."
"Kesakitan yang memungkinkan kesembuhan juga, Abang Haidar. Mengapa tidak kita lihat yang putih itu lebih berbanding titik hitam yang kecil?"
"Bagaimana Iman boleh jatuh sayang pada seorang Huzair?"
Mereka saling berlawan soal. Malah berlawan pandang.
Qaseh Imani dan Qaseh Haidar.
Emran masih dengan pemikirannya. Persoalan yang dilontarkan oleh Qaseh Imani dan Qaseh Haidar memasuki minda Emran. Diurai satu per satu sebelum bibirnya melepas kata, "Huzair tidak punya sesiapa. Dia percayakan kita. Dan, along percayakan Iman. Haidar juga harus percayakan Iman. Malah, percayakan aturan Tuhan."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro