Bab 6 - Gadis kecil
'ALLAH tahu kerja DIA. Tiada 'kalau' dalam setiap aturan cerita-Nya.'
"Tapi kenapa mesti aku yang terperangkap dalam masa itu? Kenapa bukan abang aku?"
'Sebab bukan waktunya untuk kau mati. Ajal yang tertulis pada masa itu adalah ajal abang kau. Tiada penangguhan masa, bila ajal sudah tiba. Tiada juga pertukaran nyawa bila daun daripada pohon hayat di luh mahfudz yang tertulis nama si pemilik ajal itu gugur.'
"Tapi ..."
'Diam, Ahmad Huzair! Semakin kau berkata-kata, bertanya tentang persoalan takdir, semakin kau lupa tentang 'siapa' yang kau bicarakan itu. DIA itu Tuhan, Huzair. Yang memiliki kebijaksanaan yang dirahsiakan daripada makhluk lemah akal macam kita.
Tidak semua perkara yang Allah aturkan itu perlu dijelaskan satu per satu. Ada sebab mengapa Allah rahsiakan sesuatu yang tidak dapat dicapai oleh makhluk lemah seperti kita walau setinggi mana akal kita di mata manusia lain.
Pernahkah kau terfikir tentang kesengsaraan rakyat Palestin yang ditindas berabad lamanya? Allah boleh melenyapkan bangsa yang menindas itu dalam sekelip mata sebagaimana Allah lenyapkan kaum Ad hanya dengan memunculkan angin berpasir. Tetapi, Allah tidak lakukan dan terus membiarkan perkara itu berlaku. Mengapa?'
"Sebab Allah nak kita sebagai saudara seagama membantu mereka. Allah nak kita belajar mendoakan mereka walaupun berjarak jauh. Bukan depan mata. Tidak kenal, tetapi tahu yang kita menyembah satu Tuhan. Bantu dengan harta sebagaimana kisah kaum Muhajirin dan Ansar. Bantu juga dengan doa untuk ketabahan dan kematian yang didambakan."
'Kau selalu ada jawapan, Huzair. Selalu nampak bila ia melibatkan suatu kisah di luar kehidupan kau. Tetapi, kau tidak nampak bila kau berada di dalam masalah itu. Melangkah keluar, Huzair. Keluarlah daripada masalah itu. Lihat masalah kau itu dari luar bulatan. Anggap masalah itu masalah orang lain yang cuba kau bantu-selesaikan.'
"Masalah Qaseh Imani."
'Kenapa dia, Huzair?'
"Sebab ... dia ... tahu tentang aku."
'Bukan sebab dia itu gadis kecil yang menguatkan keyakinan kau? Kau tidak ingat dia, Huzair?'
Tertegak kepalanya memandang ruang kosong yang gelap, tidak berbayang.
"Dia ... gadis kecil di perkuburan!"
***
"LUPAKAN segalanya tentang Huzair. Along tidak mahu Haidar, mahupun Iman, berjumpa dengan dia lagi. Apatah mengambil tahu tentang dirinya. Tidak kira apa masalah dia, bukan kita untuk membantu orang seperti dia.
Dia masih punya ibu dan ayah. Punya adik-beradik yang sentiasa dekat dengan dia. Malah, perhatian seluruh sekolah tertumpu pada dia. Dia tidak perlukan perhatian tambahan lagi. Iman, fokus pada peperiksaan SPM. Haidar, pada kerja. Pada amalan. Hafazan.
Jika benar ingin bantu orang, banyak lagi orang lain yang boleh dibantu. Orang seperti Huzair, bukan di bawah keupayaan kita. Entahkan benar dia bermasalah, entahkan tidak. Jika benar sebagaimana cerita Iman, keluarga dia patut bertindak."
"Bagaimana jika keluarga dia tidak tahu, long?"
"Bukan masalah kita, dik."
"Tapi, long ... betul Iman nampak dia mencederakan diri. Mata dan minda Iman jelas dengan apa yang berlaku pada waktu itu. Iman sedar. Iman masih berada di alam realiti. Bukan mimpi. Bukan juga halunisasi.
Jika ia halunisasi mahupun ilusi sebagaimana yang Huzair katakan pada Abang Haidar, mengapa dia masih lagi menuntut agar Iman tidak bercerita kisahnya kepada orang lain? Dia tahu. Dia sedar yang rahsia, atau boleh dikatakan cela dirinya sudah diketahui oleh orang lain. Dan, kebetulan ... Iman orang itu. Gadis yang pernah diberi kata-kata semangat untuk meneruskan hidup selepas kehilangan.
Dan ... Huzair tidak pernah sedar. Dia tidak kenal Iman. Mungkin tidak ingat langsung. Allah gerakkan hati Iman untuk ke makmal lama. Allah nak Iman tolong Huzair, long."
"Iman dengan dia bukan mahram. Tidak banyak yang Iman boleh bantu. Jauhi dia."
"Tapi long ..."
"Sekurang-kurangnya sehingga selepas peperiksaan SPM. Tolong, dik ..."
Qaseh Imani berbalas pandang dengan Qaseh Haidar. Tiada kata-kata yang mampu dibalas bila Emran sudah menutupnya dengan 'Tolong, dik.' Rayuan yang memutuskan segala bicara. Hanya keakuran terhadap permintaan seorang abang. Penjaga yang sudah banyak berkorban.
"Iman ..." Emran memanggil sebaik Iman selesai bersalam dengannya, bersedia untuk masuk tidur. Dia tahu Iman akan ikut setiap kata-katanya. Iman dan Haidar tidak pernah membantah walaupun awal bicara mereka seakan bertingkah.
Iman menanti. Memandang seraut wajah Emran yang melakar senyuman. Tangannya masih lagi digenggam Emran. "Iman masih boleh tolong dia."
"Along, Iman tak ..."
"Dengan doa. Along percaya doa itu juga satu pertolongan. Malah, Allah akan lorongkan jalan lain yang tidak memerlukan Iman dekat dengannya. Doa seorang yang ikhlas membantu kerana Allah, dengan cara yang Allah redha, tanpa orang yang dibantu itu tahu. Doa, dik."
"Terima kasih, long," Iman melakar senyum. Emran jaga dia. Jaga imannya. Menjauhkan dia daripada rapat dengan lelaki ajnabi tanpa sebarang keperluan mendesak, walaupun niatnya baik.
Syaitan tidak pernah lena dalam menimbulkan kekeliruan di dalam hati dan fikiran anak Adam. Niat yang baik tetapi caranya salah.
Iman sedar. Iman nampak apa yang Emran lakukan. Emran menjauhkan dia daripada fitnah manusia lain yang mampu mencipta pelbagai cerita andai dia sering dilihat bersama Huzair.
***
"KAU gadis kecil di perkuburan."
Qaseh Imani hanya memandang seraut wajah lelaki di hadapannya ini dengan tenang. Lelaki ini baru tahu, sedangkan dia sudah lama kenal Ahmad Huzair. Berbeza benar agaknya wajah dia ketika kecil dengan yang sekarang sehinggakan Huzair tidak pernah ingat dengan pertemuan pertama mereka.
Tanpa membalas apa, Qaseh Imani meninggalkan Huzair.
"Qaseh Imani."
Langkah kaki mereka seiring sebelum Qaseh Imani berhenti melangkah. Dipandangnya tepat ke muka Huzair. "Ya, aku gadis kecil itu. Yang tidak lagi menangis dengan kata-kata seorang khalifah kecil bernama Ahmad Huzair. Dan, juga ... sekarang ini tidak lagi ingin ambil tahu tentang kau yang memesongkan situasi, menjadikan aku seorang pesalah yang dikatakan bermain dengan ilusi. Hiduplah kau dengan dunia kau.
Kau benar bila kau melarang aku daripada pergi jauh ke dalam kehidupan kau. Ya, aku akan berhenti setakat ini, khalifah kecil. Assalammualaikum." Pantas kaki Qaseh Imani melangkah. Tidak mahu dihalang lagi. Pesan abangnya, Emran dipegang kukuh di hati.
Tetapi tanpa disangka, tali begnya ditarik sehingga dia terdorong ke belakang.
"Sudah terlambat. Kau sudah pun berada di dalam hidup aku, gadis kecil. Aku akan lepaskan kau pergi hanya seketika. Selamat menghadapi peperiksaan SPM. Semoga kau tenang ketika menjawabnya. Dan, semoga keputusan kau cemerlang. Jumpa lagi, suatu hari nanti, gadis kecil."
Masa seakan-akan terhenti. Segala kehidupan di sekeliling Qaseh Imani seakan mati. Dunia seolah-olah hanya ada dia dan Ahmad Huzair sebelum semua ingatan itu lebur dengan laungan suara Emran, memancung.
"Ya, along!" Cepat dia berdiri, membuka telekung. Quran kecil di tangan yang hendak dibaca, tetapi tertangguh dengan ingatan kepada Ahmad Huzair yang menjengah, disimpan semula.
Quran kecil itu telah mengingatkan dia kepada pemiliknya – Ahmad Huzair.
Quran yang sempat diserahkan sebagai hadiah kecemerlangan keputusan peperiksaan SPMnya oleh khalifah kecil bernama Huzair sebelum lelaki itu menghilang tanpa berita. Keluarga Huzair juga dikatakan sudah meninggalkan Malaysia dan luput berita tentang mereka. Tiada di mana-mana – sama ada di kaca televisyen, mahupun di media-media sosial.
"Ada apa, long?" Belum sempat dia menyidai telekungnya, Emran sudah tercegat di hadapan pintu yang sedia renggang. Dibesarkan bukaannya oleh Qaseh Imani. Haidar juga ada berdiri sama di sisi Emran.
"Huzair."
"Huzair?" Bibir merah jambu Qaseh Imani menuturkan nama itu, perlahan. Seakan berbisik sahaja. Derau darahnya menyorok hanya di dada. Nama itu sudah sekian tahun menghilang. Kenapa tiba-tiba Emran menyebutnya?
"Dia sudah kembali, dik."
Qaseh Imani hanya terpaku, berkerut dahi sebelum kerutan itu bubar dengan sambungan ayat Emran yang seterusnya.
"... dengan lima jenazah ahli keluarganya."
"Innalillahiwainnailaihirojiun."
Terbit cahaya jernih di hujung mata, Qaseh Imani. Lima tahun keluarga itu menghilang. Kini, pulang. Dengan hanya seorang yang masih bernyawa. Lima lagi sudah bergelar jenazah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro