Bab 5 - Khalifah masa lalu
"HEI, kenapa ni? Ada masalah jangan simpan seorang. Along sudah balik, bukan?" Emran ambil tempat di sisi Qaseh Haidar, sambil tangannya menepuk bahu si adik. Walaupun sudah berusia 25 tahun, dengan fizikal yang matang – berkumis dan berjanggut nipis, Haidar masih kelihatan seperti lelaki remaja padanya. Masih perlu diberi perhatian dan belaian emosi.
Haidar melayang senyum tipis. Entah mengapa, tepukan tangan Emran di bahunya seolah-olah telah menarik semua perkara yang bergayutan dan memberat di kepala.
"Ada masalah cinta?"
"Eh, tak adalah along. Mana ada!"
Tertawa Emran dengan wajah segan Haidar.
"Tentang Iman?"
"Haidar masih tidak memahami Iman, long. Kadang-kala, Haidar nampak dia matang, tetapi ada masanya sangat mengelirukan. Kenapa Iman tidak ada kawan karib macam budak perempuan lain, long? Yang sentiasa akan 'bergayut' di talian, bercerita tentang seseorang? Iman leka dengan dunianya. Dunia yang hanya ada buku, resepi masakan, dan ... kita, abang-abangnya. Tiada yang lain. Kenapa, long?"
"Kenapa tidak Haidar tanyakan sendiri pada dia? Mungkin dengan banyak bertanya dan berbual dengan Iman, Haidar akan lebih mengenali dirinya.
Bertanyakan tentang seseorang, dari sudut pandang orang yang lain, hanya akan mencipta salah faham. Malah, lebih teruk jika pandangan yang dikongsikan oleh orang lain itu, adalah dari sisi yang tidak baik."
"Ah, tak mungkinlah along akan mengata adik sendiri!" Haidar cuba berjenaka.
Tetapi, dibalas bersahaja oleh Emran, sehingga menimbulkan resah di wajah Haidar. "Kenapa tidak? Bila manusia sudah mula bercerita, tidak mustahil ia akan bercerita banyak sehingga tidak sedar menyeret sama cerita tentang cela seseorang, walaupun darah daging sendiri. Yang sekecil-kecil perkara cela itu diharap tidak diambil pusing oleh si pendengar.
Tetapi, ya ... bila sifatnya manusia, biasanya yang tertangkap dek telinga dahulu adalah perkara yang berbeza. Perkara cela yang tidak pernah diketahui, juga tidak disangka.
Bagaimana jika along katakan pada Haidar yang Iman itu seorang yang memiliki sikap ego yang tinggi? Yang ingin didekati dahulu berbanding dia yang mendekati, menegur dan menghulurkan salam persahabatan?"
"Err ... tidak mustahil. Haidar nampak juga."
Emran tersenyum, "Lihat. Haidar tiba-tiba dengan yakin membenarkan apa yang along cakapkan. Sedangkan, along percaya sebelum ini, walaupun Haidar perasan akan hal tersebut, tetapi Haidar abai dan nafikan, kerana Iman adalah adik Haidar. Haidar akan rasa bersalah jika mengakui ia benar.
Tetapi, bila ada yang memulakan pemikiran sedemikian, lebih-lebih lagi bila ia keluar daripada mulut along, dengan cepat Haidar mengakui kebenarannya tanpa sepicing ingin menimbang-tara apatah lagi ingin membantah."
"Along ..." terhela nafasnya. Emran benar.
"Selepas ini, along nak, Haidar bertanya sendiri pada Iman, mengapa dia tidak punya kawan baik. Along sudah pernah tanyakan pada dia dahulu. Dan, along menerima setiap alasan Iman. Along tidak tahu bagaimana dengan Haidar. Mungkin, pandangan dan penerimaan kita berbeza."
"Along ..."
"Hmm ..."
"Ada satu perkara lagi."
"Masih tentang Iman?"
"Bukan. Tapi, tentang ... Ahmad Huzair."
***
"AWAK ... janganlah menangis."
Gadis kecil itu tetap menangis.
Dia resah.
Setiap titis dan esakan gadis kecil itu benar-benar mencengkam kuat jiwanya. Ibarat disimbah air mata yang mengandungi miang buluh - bisa dan amat tidak selesa, itu yang dia rasa. Tetapi, gadis kecil itu terus menunduk, teresak sehingga nafasnya terlihat sesak.
"Awak ... tolonglah, jangan menangis. Nanti awak sakit. Awak kena kuat. Saya pasti, awak kuat. Jangan menangis, ya!" Dia duduk bertinggung di hadapan gadis kecil yang elok molek berbaju kurung, bertudung.
Gadis itu sudah terduduk, bersimpuh dengan dua tangan kuat memeluk tiang kanopi di kawasan tanah kubur yang sedang digali. Bukan satu, tetapi dua liang kubur. Yang berhampiran dua liang itu, dua jenazah sedang menanti.
"Awak ... saya tidak sekuat awak. Tengok awak menangis, saya jadi hendak menangis sama. Janganlah menangis lagi. Tangisan awak yang tak berhenti itu buat saya rasa bersalah," suaranya pula terdengar rapuh.
Dan, nyata ... kata-kata rapuhnya membuatkan esakan itu berkurangan. Wajah yang yang menunduk itu mulai terangkat perlahan walaupun bahunya masih terenjut menahan sisa tangis. Malah, mulut masih tersebik dengan latar wajah yang merah dan basah.
"Jangan menangis, ya?" Dia terus memujuk. Kali ini, bercakap pada sepasang mata yang menakung air di dalamnya. Yang bila berkelip, titis jernih itu mula membasuh pipi. Ingin sekali dibantu-seka. Tetapi, dia sedar batas sentuh dengan gadis yang jelas bukan sesiapa pada dia. Gadis yang ibu bapanya maut dalam kemalangan langgar lari, kata ayahnya.
Mereka sekeluarga pada waktu itu singgah di masjid untuk menunaikan solat Dhuha. Bila pada waktu itu terlihat jemaah masjid sedang bersiap-siap untuk solat jenazah, mereka ikut serta. Ayahnya mengajak dia untuk ikut menghantar jenazah ke kawasan perkuburan juga. Ayah ingin membantu bila diketahui yang meninggal dunia itu telah meninggalkan anak-anak yatim yang masih muda belia.
Yang sulung baru berusia 21 tahun. Yang kedua, 17 dan yang kecil sebaya dia, sembilan tahun. Ibu hanya disuruh oleh ayah untuk tinggal di masjid bersama kakak dan adik-adiknya. Ayah tidak benarkan ibu ikut hingga ke kubur memandangkan tiada keperluan, tanpa ayah tahu tiada yang meneman anak gadis kecil yang baru sahaja kehilangan. Kehilangan yang tiba-tiba. Yang kedua-dua abangnya pula sedang sibuk menggali liang.
Ayah meminta dia mendekati dan memberikan kata-kata semangat kepada gadis kecil itu sementelah hanya dia seorang yang tidak berbuat apa-apa. Dan, hanya dia dan gadis itu sahaja yang tampak sebaya.
"Kenapa ... awak ... rasa ... sedih dan bersalah?" soal gadis itu dalam sedu-sedan dan bicara yang tertahan.
"Sebab ... saya tak dapat bantu apa-apa. Saya khalifah kecil yang lemah."
"Khalifah?"
"Ya. Ayah cakap, Allah jadikan manusia sebagai khalifah di bumi. Ada amanah dan tanggungjawab untuk memakmurkan bumi. Tolong orang susah. Ayah kata lagi, Allah dah beri banyak pada saya dan keluarga saya. Allah bukan hanya bagi nyawa, tapi rupa yang elok, harta yang banyak, dan akal yang waras berfikir dan menjadi khalifah terbaik di bumi Allah. Tapi, bila saya tak boleh pujuk awak tadi, saya rasa ... saya tak layak dapat semua yang Allah bagi. Tentu ayah kecewa dengan saya kerana saya khalifah Allah yang gagal. Tak dapat tolong orang."
"Saya pun ... bukan khalifah yang baik. Allah uji saya, tapi saya tak kuat."
"Awak kuatlah ... kuat berbanding saya. Allah uji awak. Allah ambil ibu dan ayah awak. Tapi, awak hanya menangis. Awak tidak meraung, meratap dan halang orang daripada tanam mayat ibu dan ayah awak. Awak betul-betul kuat. Tapi kalau saya ... belum tentu," lirih suaranya.
"Awak khalifah yang baik. Awak pandai berkata-kata. Lihat, saya sudah tidak menangis lagi." Gadis kecil itu menyeka air mata sambil cuba mengukir senyum di balik wajah yang masih ada sisa duka.
"Oh, baguslah begitu." Dia terus tersenyum. Suka. Gadis itu kata, dia khalifah yang baik. "Takziah, ya! Saya tak mampu nak cakap apa-apa lagi. Saya cuma mampu kata, yang saya doakan agar awak terus kuat. Bila lihat awak yang diuji ini kuat, saya rasa kuat sama."
"Terima kasih. Awak baik. Teruslah jadi khalifah yang baik. Jangan selalu salahkan diri awak."
Perbualan mereka terputus bila namanya, dilaung oleh ayah. Dia berpaling ke arah ayah yang sedang melambai padanya. Meminta agar dia mendekati kawasan liang yang sudah tersedia.
Abang-abang gadis kecil itu juga turut melambai pada si gadis. Mungkin ingin meminta gadis kecil itu melihat buat kali terakhir, jenazah ibu dan bapa mereka sebelum dikambus oleh tanah.
"Siapa nama awak?" Si gadis bertanya sewaktu mereka berjalan bersama-sama menuju kepada ahli keluarga masing-masing – dia menuju ke arah ayahnya, si gadis kecil pula menuju ke arah dua abangnya, di tepi dua liang.
"Ahmad Huzair." Sempat dia memberikan namanya sebelum mereka terpisah.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro