Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 4 - Rahsia darah

DIA masih terbayangkan keadaan Huzair yang menoreh lengan di dalam sebuah makmal lama selepas waktu sekolah. Lelaki itu tidak sedar akan kehadirannya. Lelaki itu terlalu leka menatap titis darah yang bergantungan pada lengan yang sudah dihiris. Apa yang ada pada setitis darah, sehinggakan ketua pelajarnya itu sanggup mencederakan diri demi melihat titisan merah itu?

Qaseh Imani, kebiasaannya akan terus pulang ke rumah sebaik tamat waktu persekolahan. Tetapi, pada hari itu dia ada perjumpaan dengan Cikgu Ismahani di bilik kaunseling. Guru yang sudah dianggap seperti seorang ibu kepadanya. Yang sering bertanya akan keperluan dirinya. Lebih-lebih lagi bila Cikgu Ismahani pernah mempunyai seorang anak perempuan sebaya dia. Tetapi, anak perempuannya itu sudah lama 'pergi' akibat demam panas yang melampau.

Sebaik selesai pertemuannya, dia menyinggah di surau yang bertentangan dengan bangunan makmal lama, untuk menunaikan solat. Dari situlah dia ternampak Ahmad Huzair. Perasaan ingin tahu yang sentiasa tidak dapat dikawal, membawa Qaseh Imani ke sana.
.
.
.

"SUBHANALLAH," bibirnya mengungkap pujian dan kekaguman. "Selama ini, aku hanya melihatnya sebagai titisan hanyir, tetapi ia lebih daripada itu. Ia membawa amanah Allah dengan baik sekali. Dan, di setiap organ tempat persinggahannya, turut memainkan peranan yang sangat hebat. Yang menjalankan amanah Tuhan dengan akur tanpa bantahan apatah lagi mempersoal. Andai ada yang bersifat manusia, mempersoal tugas dan tanggungjawab, pasti sukar kehidupan ini. Allahuakbar!" Teruja Qaseh Imani.

Darah.

Cecair hanyir yang warna merahnya terhasil daripada hemoglobin. Yang 'dirinya' itu dikitar oleh jantung. Melalui paru-paru untuk dioksigenkan sebelum dikitar pula ke seluruh tubuh oleh arteri.

Kapilari, saluran halusnya membantu mengedarkan oksigen sebelum cecair merah itu dikembalikan kepada jantung melalui vena. Bukan itu sahaja. Ia juga membawa bahan-bahan kumuh dan bahan asing yang lain kepada hati. Hati menguraikan. Tidak habis di situ, bahan kumuh dan asing yang diurai hati, diserahkan pula kepada si buah pinggang untuk disingkirkan, sebagai air kencing.
.
.
.

"ABANG, apa yang ada pada setitis darah? Yang abang nampak?"

Soalan Qaseh Imani membuatkan bacaan Haidar pada suratkhabar, terhenti. Dia terdiam sejenak sebelum memandang kepada Qaseh Imani. Dengan senyuman, dia menjawab, "Ada kasih Allah." Sengaja dia menguji sabar Qaseh Imani.

"Iman tanya bersungguh, bang. Iman hendak mendengar pendapat abang."

Haidar meletakkan suratkhabar di tangan, berpaling sepenuhnya pada si adik.

"Di dalam darah, ada kasih Allah. Ada gas bernama oksigen penyambung nyawa. Ada juga nutrien zat makanan bekalan tenaga. Malah, ada terkandung segala rahsia, yang mana melalui darah, manusia dikenal keturunannya. Melalui darah, para doktor dan saintis mengenal penyakit dan puncanya. Darah juga adalah cairan yang mengawal suhu badan manusia. Darah itu adalah kenderaan pengangkut 'kasih' Allah buat kita."

Haidar tersenyum, "Ada apa dengan persoalan darah, dik?"

"Tak ada apa. Iman hanya ingin tahu. Ternyata, abang sudah nampak semuanya. Bukan dengan pandangan mata, tapi pandangan hati. Abang pandai. Abang sama sahaja macam along. Tahu banyak perkara. Bila agaknya along boleh balik? Asyik tertangguh sahaja."

"In-shaa-Allah, tak lama lagi.  Jangan macam itu, dik. Setiap masa yang tertangguh, ada kebaikan yang Allah rahsiakan. Doa."

"Ya, Iman doa. Abang jawablah soalan Iman."

"Ada apa dengan darah? Sebab itukah Iman cuba menghiris tangan Iman? Hendak melihat di depan mata, apa yang ada pada setitis atau mungkin bertitis darah?"

Qaseh Imani mengangguk.

"Allah bagi Iman tangan dan kulit yang sempurna. Mengapa Iman cuba mencacatkan ia dengan perlakuan yang tidak berguna?" Sedikit keras suara Haidar. Tetapi kemudian, terlepas helaan kesal.

"Dik, bukan begitu caranya. Iman boleh membaca semua perkara dari atas talian. Banyak maklumat tentangnya tanpa Iman perlu mengeluarkan darah sebenar daripada tubuh Iman."

"Iman dah baca."

"Daripada Wikipedia?"

Qaseh Imani mengangguk.

"Maklumat saintifik?"

Mengangguk lagi.

"Adakah bacaan itu meningkatkan iman, atau meningkatkan kekeliruan?" Sudah berkerut kening Haidar.

"In-shaa-Allah, meningkatkan iman."

"Alhamdulillah. Sudah cari di dalam al-Quran pula?" Melihat Iman mengangguk, Haidar menyambung tanya, "Apa penemuannya?"

"Surah al-Alaq, yang bermaksud segumpal darah. Surah yang menerangkan bahawa Allah menciptakan manusia daripada benda yang hina kemudian memuliakannya dengan mengajar membaca, menulis dan memberinya pengetahuan.

Tetapi, manusia yang sifatnya lupa itu telah melupakan asal kejadiannya, lalu ada yang mengkufuri nikmat yang Allah beri. Malah, turut melampaui batas bila merasakan dirinya serba sempurna."

"Apa sebenarnya yang Iman runsingkan? Mengapa berterusan sibuk dengan persoalan darah? Masih tidak berpuas hati dengan setiap penemuan dan bacaan tentangnya? Sehingga tempoh hari adik abang bertindak mencuba-hiris lengan sendiri?"

"Abang ..."

"Apa yang Iman sedang rahsiakan? Kita, adik-beradik tidak pernah ada rahsia, bukan? Sedangkan persoalan darah haid pun kita bincangkan bersama, mengapa persoalan darah yang satu ini menjadi rahsia?"

"Ia tentang aib seseorang, abang. Kalau tentang Iman, Iman akan cerita."

"Siapa seseorang itu, Iman?" Dada Haidar sudah berdebar. Setahunya, Iman tidak punya sesiapa untuk difikir apatah lagi dirisaukan. Hidup mereka hanya ada along mereka - Emran, dia dan Iman. Siapa lagi yang begitu penting, yang tiba-tiba muncul di antara ikatan darah mereka tiga bersaudara?

"Ahmad Huzair."

"Imam muda yang bawa solat Terawih setiap kali Ramadhan, itu?"

"Ya. Dia. Dia juga merupakan ketua pelajar sekolah Iman."

"Apa yang dia dah buat?"

"Sebagaimana abang jumpa Iman tempoh hari, begitulah juga Iman terserempak dengan dia di makmal lama sekolah. Sama keadaannya. Malah, lebih banyak persoalan lagi dengan titis darah yang Iman nampak, Huzair memandangnya seumpama dia melihat titis jernih embun di hujung pucuk daun."

"Iman ... tidak main-main, bukan?"

"Sebab itu Iman rahsiakan. Nampak mustahil bila ia melibatkan Ahmad Huzair, bukan? Orang tidak akan percaya pada Iman. Dan, Iman pun tidak perlukan sesiapa untuk percaya. Iman tidak berkongsi cerita sebab ... Iman anggap ia satu keaiban bila orang yang terlibat dalam kisah sadis ini adalah seorang hamba Allah yang hebat. Yang terkenal dengan akhlak, amalan dan latar keturunan yang patuh pada agama Tuhan, tapi terjumpa sedang mengelar lengan."

"Iman ..."

"Abang tidak perlu percaya. Iman cuma memerlukan pendapat seseorang tentang perkara ini. Iman ingin tahu mengapa. Apakah puncanya sehingga dia mengelar lengan sendiri dan melihat titisan darah dengan perasaan keterujaan? Ada apa pada darah? Itu sahaja. Anggap sahaja dia bukan Ahmad Huzair."

"Iman ..."

Melihat Iman sudah putus bicara, Haidar mengalah.

"Esok, dia ada dik. Abang akan pergi berjumpa dengan dia."

"Jangan! Dia dah bagi amaran pada Iman."

"Tak apa, dik. Abang ada cara abang sendiri. Iman jangan risau. Abang tahu niat Iman baik. Abang juga risau jika ia sesuatu yang benar. Ummah akan kehilangan seorang pemuda Islam yang begitu hebat. Kita sama-sama cuba bantu setakat yang termampu. In-shaa-Allah, niat yang baik, Allah bantu."
.
.
.

"QASEH HAIDAR. Abang Qaseh Imani."

Tangan berbalas jabat. Erat. Di pertemuan selepas solat Isya' berjemaah, di surau kawasan perumahan Qaseh Imani dan abang-abangnya. Solat yang diimamkan oleh Ahmad Huzair yang mana, seminggu sekali diarahkan oleh ayahnya untuk bercampur dengan masyarakat di beberapa buah surau, di kawasan perumahan berdekatan. Arahan yang sekaligus menjadi kewajipan untuk Ahmad Huzair tunaikan.

"Aku hanya ingin mengucapkan terima kasih pada kau sebab, aku dengar daripada Cikgu Ismahani, kau yang jumpa adik aku. Kalau lambat dijumpai, mungkin dia akan kehilangan lebih banyak darah, dan mengundang fatality. Terima kasih, Huzair."

"Oh, semuanya aturan Allah yang melorongkan aku lalu di situ sebelum terdengar bunyi dentuman, bila tubuhnya jatuh terhempas ke lantai. Tidak apa-apa."

"Kau tentu sudah tahu tentang lengan dia, bukan?"

"Maaf, aku ..."

"Aku bukan hendak bercakap tentang keterbukaan aurat adik aku, yang pastinya kau sudah lihat tanpa sengaja. Tetapi, aku hendak bertanya pada kau tentang suicidal ideation. Aku dengar, kau seorang yang bijak. Malah, keluarga kau banyak melakukan kerja-kerja amal dan banyak berdepan dengan golongan bermasalah. Mungkin kau boleh kongsikan dengan aku perkara yang kau tahu berkaitan dengan suicidal ideation.

Kau tahu bukan, yang kami ini anak yatim piatu. Qaseh Imani membesar tanpa kasih ayah dan ibu semenjak umurnya sembilan tahun. Dan, dia satu-satunya adik kami. Kau faham bukan mengapa aku ingin sangat tahu tentang suicidal ideation?"

"Kau boleh cari sen ..."

"Huzair, aku hendak tahu dari sudut pandangan orang seperti kau yang sudah berdepan dengan pelbagai manusia bermasalah. Juga, kau seorang yang pastinya banyak membaca dan terdedah dengan pelbagai ilmu dan pengalaman kemanusiaan, mengikut ibu dan ayah kau. Aku juga pasti yang kau tidak akan menghampakan harapan orang yang meminta tolong seperti aku. Tolong, Huzair.  Aku hanya inginkan pendapat kau."

"Ya, kau betul. Aku akan bantu sesiapa yang meminta. Kita jumpa esok di rumah aku. Aku akan beritahu pada ibu dan ayah aku yang kau akan datang makan tengah hari bersama keluarga aku."

"Eh, tak perlu ..."

"Jangan begitu. Ibu dan ayah aku tentu akan meluangkan masa untuk menerima tetamu. Lebih-lebih lagi, kau abang kepada rakan sekolah aku, Qaseh Imani," Huzair tersenyum.
.
.
.

"DIA jemput abang makan tengah hari di rumahnya? Pelik! Lebih pelik bila agenda abang untuk mencungkil rahsia dirinya. Dia tidak tahu, ke? Apa sebenarnya yang abang katakan pada dia?"

"Abang kata, yang abang hendakkan pandangan dia tentang suicidal ideation."

"Bertambah pelik. Dia tidak sedarkah, yang bila disebut suicidal ideation itu merujuk kepada dirinya? Perlakuannya yang adik abang sendiri nampak?"

"Dia fikir, abang inginkan pendapatnya tentang suicidal ideation yang dilakukan oleh Iman, bukan dia. Abang yang buat dia fikir begitu."

"Tapi, bukan Iman yang nak ..."

"Reverse psychology." Haidar menarik senyum.
.
.

"ADA Qaseh Imani beritahu kau, kenapa dia mengelar lengan tangannya?" Huzair bertanya selepas mereka sudah selesai makan tengah hari. Mereka makan berempat. Ibu dan ayah Huzair turut serta. Kegembiraan jelas terpapar di wajah kedua-duanya bila Huzair, anak lelaki tunggal mereka nyata mengikut jejak langkah mereka. Membuka ruang, membantu masyarakat yang memerlukan.

Menjadi tempat rujukan bila ada sesuatu isu terutamanya yang melibatkan pembangunan ummah, baik dari segi ilmu mahupun emosi.

Mereka ditinggalkan di perpustakaan keluarga Huzair. Kedua-duanya memberikan kebebasan kepada Huzair untuk mencuba-bantu masyarakat dengan cara sendiri. Didikan dan panduan sudah mereka beri seawal Huzair berusia lima tahun. Anak ini sering dihadapkan dengan aktiviti kemanusiaan di serata dunia. Ke sini sana mengikut ibu dan ayah tanpa faham tujuan.

"Kau rasa?"

"Ya, tidak mungkin gadis seperti adik kau itu akan menyorokkannya daripada kau dan Emran. Hanya kalian yang dia ada. Tentu dia bercerita tentang apa yang diilusikannya."

"Apa maksud kau dengan 'ilusi'?"

"Apa yang aku lihat, dia itu seorang yang cenderung untuk merangka cerita, mencipta watak dan menggerakkan plot. Kemudiannya, dia sendiri menjadi watak tersebut. Jika watak ciptaannya itu dibayangkan mengelar lengan, maka dia sendiri akan berbuat demikian di luar sedar.

Tetapi kemudian, bila ada yang bertanya, dia akan mengatakan bahawa dia telah melihat seseorang melakukan perkara tersebut dan dia ingin tahu mengapa. Jadi, dia berbuat perkara yang sama.

Qaseh Imani, seorang yang mudah berilusi. Di sekolah pun, dia tidak mempunyai kawan karib. Mana ada seorang pun budak perempuan berusia 17 tahun yang hidup seorang diri, tanpa kawan karib di zaman ini? Sekurang-kurangnya seorang. Tapi, adik kau ... Ah, tentu kau lebih kenal dengan adik kau. Dan, aku percaya kau juga melihat dia sebagaimana aku melihatnya. Dia seorang yang mudah khayal, dan ... berilusi!"

Haidar terpaku. Setiap bicara Huzair membuatkan lidahnya kelu. Dan, dia ... keliru!

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro