Bab 3 - Ahmad Huzair
QASEH IMANI, sedang berusaha mengawal kedua-dua rasa yang muncul serentak di dalam dirinya. Rasa pedih pada bekas lukanya yang kembali terkoyak. Juga rasa pada degupan jantungnya yang laju berdetak bila pandangannya tertancap pada seraut wajah Huzair di pintu wad. Dia mengalihkan pandangan. Kalah dengan pertarungan mata. Semakin dia berlawan pandang, semakin dia rasa terancam.
Pandangan Huzair penuh dengan pelbagai mesej. Yang sempat diterjemah oleh Qaseh Imani hanya dua – amaran dan persoalan 'mengapa'.
"Iman sudah sedar?" lembut Cikgu Ismahani menyapa, sehingga Qaseh Imani rasa malu kerana mengabaikan Cikgu Ismahani yang berada hampir di sisi.
Hanya anggukan dan senyum tipis diberi oleh Qaseh Imani.
"Iman kehilangan banyak darah. Sebab itu, Iman pengsan. Boleh saya tahu kenapa dengan tangan Iman? Besar koyakannya. Ini ke sebab Iman dapat tiga hari cuti sakit tempoh hari?"
Qaseh Imani sudah serba-salah. Cikgu Ismahani sudah tahu tangannya punya luka besar seperti dikelar. Dan, dia pasti yang Huzair juga tahu.
Dia hanya mampu mengangguk, lalu menunduk. Tidak rasa ingin bercerita lanjut. Terdengar helaan nafas Cikgu Ismahani.
"Tidak mengapalah Iman, jika Iman belum bersedia. Tapi, saya berharap agar Iman lebih bersikap terbuka. Jika ada masalah, jangan pendam. Iman punya ramai orang yang kisahkan diri Iman walaupun Iman sudah tidak punya mak dan ayah.
Cikgu-cikgu di sekolah, rakan-rakan, dan yang pasti ... abang-abang Iman, semuanya sayangkan Iman. Kami semua tidak mahu sesuatu yang buruk berlaku pada Iman.
Setiap satu perkara yang Allah uji kita, ada sesuatu yang Allah hendak tunjukkan. Ada yang Allah rancang di masa hadapan. Kita hanya nampak ia sebagai ujian semata. Tetapi, Allah menyediakan ia sebagai satu jalan kepada satu perkara rahsia yang lebih bermakna buat kita. Itupun jika kita bersabar dan meletakkan kepercayaan dan kebergantungan sepenuhnya pada DIA."
Iman masih menunduk. Tetapi, anak matanya mengerling ke arah pintu wad. Ahmad Huzair masih di situ. Iman berharap agar lelaki itu yang mendengar setiap nasihat yang dituturkan oleh Cikgu Ismahani padanya.
Tetapi, berdasarkan pengamatannya, Ahmad Huzair seolah-olah tidak mendengar walaupun jarak pintu dan katil Iman tidak jauh mana. Ahmad Huzair hanya memaku pandangan dan mungkin juga fikiran hanya pada Iman. Seolah-olah perkara lain bukan kepentingan kepada seorang Huzair.
Lelaki yang serba sempurna di mata manusia lain. Tidak nampak seperti orang yang bermasalah. Berjawatan tinggi, berperibadi gah dan dihormati. Seorang yang kurang bercakap, dan banyak tersenyum. Tetapi, satu sekolah tahu, bila Ahmad Huzair sudah buka mulut, bicaranya umpama bilah pedang yang memotong setiap bicara lain.
Pelajar mahupun guru akan terpaku kepada bilah kata Ahmad Huzair yang berilmu. Yang tiada sangkalan pada setiap perkataan.
Kata-katanya jitu dan diambil sebagai motivasi untuk orang yang mendengar. Dia pelajar bijak dengan pakej - anak orang kaya yang suka menderma. Yang di kalangan ahli keluarganya adalah manusia-manusia yang menjadi sukarelawan, membantu dalam banyak perkara.
Bapanya, Yang Dipertua PIBG sekolah. Juga seorang doktor pakar bedah. Ibu, seorang sukarelawan, pejuang kemanusiaan. Yang memberikan bimbingan pelajaran percuma kepada anak-anak pelarian. Sebelum ini, ibunya seorang guru.
Huzair anak lelaki tunggal keluarga itu. Anak kedua daripada lima orang adik-beradik. Tiga adik di bawahnya perempuan, tetapi yang paling bongsu telah diambil Tuhan selepas ibunya keguguran sewaktu membantu misi keamanan di negara jiran.
Kakak Huzair juga seorang doktor. Doktor gigi yang memiliki klinik pergigian persendirian. Ada masa-masa tertentu menyalurkan khidmat masyarakat, melalui pemeriksaan gigi percuma di sekolah-sekolah luar bandar.
Siapa yang tidak kenal dengan keluarga hebat Ahmad Huzair? Dia sendiri terdidik sebagai seorang pemimpin. Harapan orang tua dalam meneruskan legasi keluarga.
Tampak serba sempurna, bukan?
Semua orang ingin menjadi seperti Huzair. Memiliki keluarga yang sempurna, ternama dan kaya. Tetapi, tiada seorang pun yang tahu rahsia diri Huzair. Mungkin keluarganya juga tidak tahu. Rahsia yang mampu mencacatkan pandangan orang pada seorang Ahmad Huzair.
Kerana itu, apabila Qaseh Imani satu-satunya manusia yang tanpa sengaja tahu, membuatkan Ahmad Huzair terus memberikan perhatian kepada gadis itu.
"Huzair yang jumpa Iman."
Barulah Qaseh Imani mendongak. Berlipat dahinya dengan kenyataan Cikgu Ismahani.
Dia pengsan di dalam tandas perempuan. Pada waktu itu, entah bagaimana dia tergelincir lalu cuba menekan tangan, bertahan pada dinding. Malangnya, tapak tangan basah itu meluncur ke bawah, membuatkan lengannya yang sedia cedera, terhentak pada kepala paip.
Luka yang baru hendak sembuh kembali terkoyak jahitannya. Darah membuak keluar. Pandangan Qaseh Imani gelap serta-merta. Sedarnya, dia berada di hospital dengan ditemani oleh Cikgu Ismahani dan ... Ahmad Huzair.
Iman mengangguk, walaupun hatinya tertanya, bagaimana Huzair boleh berada di dalam tandas perempuan.
.
.
"BANYAK hutang kau pada aku." Itu yang Ahmad Huzair cakapkan padanya bila Cikgu Ismahani meninggalkan mereka berdua. Cikgu Ismahani mendapat panggilan telefon entah daripada siapa. Dan, dia selesa bercakap di luar wad.
Kata-kata Ahmad Huzair itu hanya disambut dengan senyum sinis Qaseh Imani sebelum dia membalasnya, tajam, "Jangan membebankan diri sendiri. Istilah hutang itu sangat berat untuk ditanggung di padang mahsyar. Bukan hanya kepada yang berhutang, tetapi juga yang menuntut hutang. Kau orang berilmu, kau tentu tahu. Jangan sebarangan mengugut untuk menuntut sesuatu yang tidak pernah wujud."
"Kau cederakan tangan kau, sebab aku?"
"Kau fikir begitu?" Qaseh Imani, menjeling tajam. "Aku masih waras untuk merasa sakit disebabkan oleh seorang manusia lain. Ia hanya sekadar kemalangan kecil yang tidak disengajakan."
"Rasa ingin tahu itu mampu menghilangkan kewarasan fikiran."
Tersentak Qaseh Imani!
Benar kata orang, Ahmad Huzair lidahnya ibarat pedang. Memotong setiap bilah kata manusia lain tanpa gagal. Qaseh Imani merasakan yang kata-katanya sudah cukup tajam, tetapi berjaya dicantas mudah oleh Ahmad Huzair. Lelaki itu benar. Kerana sifat ingin tahu yang mendalam, Qaseh Imani tercedera walaupun tanpa sengaja.
Tetapi, dia memilih untuk tidak kalah kepada Huzair. Mereka berada di medan pertarungan. Menyabung bilah-bilah kata yang sudah mula berdentingan. Selagi mampu dilibas, dicantas, Qaseh Imani akan lakukan. Lelaki ini perlu dibantu. Ahmad Huzair sedang sakit.
"Adakah sebab itu juga kau melakukan perkara yang sama? Mencederakan diri sendiri hanya untuk tahu erti sakit yang lebih mendalam?"
"Aku tidak perlu terangkan pada kau."
"Mungkin kau ingin terangkan kepada kedua ibu bapa kau?" Qaseh Imani menarik senyum.
"Jangan memanjangkan permainan ini, Qaseh Imani. Natijahnya bukan sesuatu yang kau akan sukai. Lupakan apa yang kau pernah tahu. Anggap ia hanya satu mimpi. Jauhi diri kau daripada aku."
"Kau patut ucapkan itu kepada diri sendiri. Kau sedar tak, selepas peristiwa itu, aku tidak pernah mencari kau? Kau yang datang kepada aku dengan segenap perhatian. Kau takut kepada bayang-bayang sendiri, Huzair."
Wajah Huzair mulai keruh. Jelas diserbu darah yang sudah merayap naik ke muka, sehingga wajah cerah yang tenang itu tampak gelap dalam rusuh yang cuba dikawal.
.
.
.
MALAM itu, seperti hari-hari yang lalu, Ahmad Huzair duduk merenung langit dari dalam bilik. Sudah dipesan kepada adik-adiknya agar dia tidak diganggu. Malah, ibu dan bapanya juga memberikan seluas-luas ruang untuk dia bersendirian.
Pada mereka, Ahmad Huzair ingin menelaah pelajaran. Tetapi, mereka tidak pernah tahu bahawa Ahmad Huzair sedang masuk ke satu dunia lain. Dunia hitam yang hanya ada dia dan suara asing, tidak berjasad. Yang muncul di fikiran dan mempengaruhi akal Ahmad Huzair secara senyap.
'Lihat diri kau, Huzair. Kau tidak pernah mengenal kesakitan. Hidup kau sempurna. Manusia yang tidak pernah mengenal kesakitan itu adalah manusia yang tidak benar-benar mengenal kehidupan. Bagaimana kau hendak menjadi pemimpin, jika kehidupan pun tidak engkau kenal?'
Huzair tertunduk, mengangguk.
'Lihat Huzair, ciptaan Tuhan itu sempurna. Darah di dalam tubuh kau tidak tercipta begitu sahaja. Lihat warnanya. Lihat apa yang dibawa. Apakah yang ada di sebalik titis merah itu? Apakah yang kau nampak setiap kali titis itu terpandang di ruang mata?"
Huzair mencapai pisau pencukur yang nipis dan berkilau di bawah cahaya malap lampu biliknya. Dihiris pada lengan kiri. Kepedihan itu bukan apa-apa pada dia. Ia hanya satu rasa. Experimentasi terhadap hidup yang bernyawa dan mempunyai deria.
Titisan darah dipandang penuh erti. "Aku hidup. Dengan darah. Dengan rasa. Aku melihat kehidupan di dalamnya. Ada rasa kehambaan, juga rasa ber-Tuhan."
Diangkat lengannya tinggi. Molekul merah yang tergantung, yang bersedia untuk menitis itu, direnung penuh taksub. Dia, tersenyum.
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro