Bab 2 - Demi masa
"JANJI dengan along yang Iman tidak akan buat perkara yang boleh menyakitkan Iman."
Qaseh Imani hanya mengangguk.
"Kalau Iman tak nak fikirkan apa yang along pesan, tolong fikirkan apa yang Tuhan ingin dan bencikan. Cukup. Along pun tak nak mengongkong hidup Iman sangat dengan apa yang boleh dibuat dan tidak. Adik along sudah cukup ilmu untuk menilai setiap buruk baik sesuatu perkara. Betul, Iman?"
"Along ..."
Emran menoleh pada Qaseh Haidar.
"In-shaa-Allah, Haidar tengokkan Iman. Haidar masih dalam cuti sehingga along pulang. Along uruskan kerja along di sana dahulu. Iman okay, kan?" Haidar menggenggam tangan Iman.
"Along ... salam." Qaseh Imani melepaskan pegangan tangan Haidar, lalu dihulurkan kepada Emran.
"Qaseh Imani, Qaseh Haidar ..." Emran tidak menyambut, sebaliknya diraih dua tubuh di hadapannya, masuk ke dalam pelukan. Dicium pelipis setiap seorang. "Jaga diri. Along pergi dulu. Lagi dua hari, along balik. Doakan along."
Pemergian semula Emran ke Johor meninggalkan rasa berat di hati Haidar. Dia tidak selembut, juga setegas Emran dalam berhadapan dengan Qaseh Imani. Emran mampu memegang dua watak bila berhadapan dengan Qaseh Imani mengikut situasi gadis itu.
Emran akan menjadi abang yang lembut bila sedang memujuk Qaseh Imani yang rapuh. Menjadi tegas bila kedegilan tersarung di hati seorang Qaseh Imani. Hati anak bongsu yang pada umur sembilan tahun sudah ditinggal mati oleh mak dan ayah. Yang hal ehwal dirinya diambil alih oleh dua orang abang. Yang seorang itu juga, sama rapuh dengan dirinya.
Qaseh Haidar, sewaktu mak dan ayah diambil nyawa oleh Tuhan dalam satu kemalangan langgar lari, sedang menduduki peperiksaan SPM. Luluh hatinya bila pulang daripada peperiksaan yang masih berbaki satu kertas lagi, disambut dengan berita kematian.
Ayah, yang memanjakan selalunya akan bertanya bagaimana kertas hari ini? Boleh jawab, kah? Jika Haidar mengeluh susah, mengadu payah, ayah akan mengusap rambutnya. Mencium dahinya dan menepuk kuat bahunya.
"Sudah usaha, bukan? Jangan difikirkan sangat apa yang sudah lepas. Masa itu sifatnya ada tiga. Masa lalu, kini dan akan datang. Kita tidak akan mampu mengubah masa lalu atau memanggilnya semula. Masa kini, adalah masa yang perlu kita hadap sama ada mudah atau payah. Yang selalunya orang pinggirkan. Sama ada mereka terlalu taksub dengan masa lalu, atau masa hadapan.
Anak ayah jangan jadi begitu. Masa lalu, kita tak buang. Kita simpan untuk dikenang. Masa hadapan, kita tak boleh ramal, tetapi boleh dicuba-aturkan. Bila untuk mengaturnya? Ya, di masa sekarang. Pergi ambil wudhu', baca Quran. Tenangkan hati. Selepas itu, pergi menelaah untuk peperiksaan esok. Jangan bertangguh.
Masa yang tertangguh ibarat pedang. Akan memotong tanpa belas kasihan. Sebelum kita terpotong oleh masa, biar kita yang memotongnya dahulu dengan apa yang kita inginkan. Haidar inginkan ketenangan, potong masa dengan bacaan al-Quran. Haidar inginkan ilmu, potong masa dengan membaca buku."
Pesanan itu hanya menjadi arwah, sama seperti ayah. Haidar hilang dalam kesedihan yang teramat.
Qaseh Imani diabaikan.
Tidak pernah dia ingat yang dia punya adik. Dia hanya dengan dunianya. Menyendiri dengan emosi.
Emran mengambil alih segala-galanya. Urusan keluarga, juga urusan emosi kedua-dua adiknya. Emosi dia sendiri seolah-olah tidak pernah ada. Mungkin kerana dia pernah kehilangan ayah sebelum itu, jadi dia tahu apa yang Haidar rasa.
Manusia yang sedang kehilangan, akan hilang diri juga bila tidak ada yang mengingatkan. Dia ambil tanggungjawab itu. Dia menjadi bahu untuk Qaseh Haidar dan Qaseh Imani berpaut.
Malah, ketika Qaseh Imani pertama kali didatangi haid, Emran yang pergi membeli tuala wanita kerana Qaseh Imani malu. Emran sendiri, hilang perasaan yang satu itu walaupun pada waktu itu dia baru masuk umur 21 tahun. Anak bujang yang begitu mentah dalam menangani urusan hidup. Apatah lagi urusan wanita yang amat rumit.
Masa yang mematangkan Emran. Perit di awal-awal, tetapi kemudian semakin tersusun dan mudah dia menguruskan semuanya. Pelajarannya ke universiti tertangguh. Dia bertindak menjadi mak dan ayah. Bekerja dan menguruskan rumah tangga. Tidak sanggup melepaskan seorang Qaseh Imani jauh daripada pandangan mata.
Qaseh Haidar yang meneruskan amanat arwah ayah dalam menyambung pelajaran. Tiga tahun berjauhan dengan abang dan adik perempuannya, tinggal di universiti, Haidar jadi kurang mesra. Malu untuk menunjukkan kasih sayang.
"Abang."
Dia menoleh. Masa lalunya terbunuh dengan teguran Qaseh Imani.
"Iman nak ikut abang ke surau, Maghrib nanti."
"Oh, dah boleh sembahyang ke?"
"Sudah. Petang tadi Iman dah mandi hadas."
Haidar hanya mengangguk. Dia kini sudah biasa dengan hal-hal orang perempuan. Tidak ada rasa malu lagi. Siapa lagi yang Qaseh Imani ada untuk berkongsi dan mengadu hal? Hanya dia dan Emran. Tidak kiralah ia hal apa sekalipun. Kedua-dua mereka - Emran dan Haidar terpaksa ambil tahu dan tebalkan muka untuk berbicara dan mendengar tentangnya.
Tentang sakit ketika datang haid. Tentang mood yang merudum dan menaik. Malah, Emran dan Haidar terpaksa membaca daripada laman-laman sesawang demi memahami kerenah perempuan yang sedang datang bulan. Semuanya demi Qaseh Imani.
.
.
MELIHAT Qaseh Imani tidak ada di motosikal, menantinya seperti selalu, Haidar mula cuak. Ingin sahaja dia meredah masuk ke dalam tempat solat muslimat, tetapi akal menghalang. Matanya merayap melihat seorang demi seorang jemaah wanita yang keluar dari ruangan solat wanita sebelum dia ternampak adiknya itu berdiri di tepi pagar.
"Iman."
"Abang."
"Iman buat apa di sini? Abang suruh Iman tunggu di motosikal. Kenapa tunggu di luar pagar?"
Qaseh Imani melihat sekeliling sebelum tangan Haidar disauk, "Jom, abang. Kita balik."
"Iman tunggu seseorang ke?"
Helaan nafas Iman membuatkan Haidar merayapkan pandangan. Siapakah manusia yang telah menarik perhatian adiknya?
"Kita balik, bang." Qaseh Imani menarik tubuh Haidar.
.
.
"ABANG tahu yang Iman lebih selesa berbicara dengan along. Tapi sekarang, along bekerja di luar. Abang yang ada dengan Iman. Abang pun abang Iman. Bagi abang masa dan ruang untuk kenal dengan adik abang sendiri."
Melihat Qaseh Imani hanya sepi memandang buku dengan pandangan kosong, Haidar mengambil peluang berbicara.
"Abang ... solat dan baca Quran itu boleh menenangkan fikiran dan jiwa, kan?"
Haidar mengangguk. Tidak nampak mengapa persoalan sebegini tiba-tiba diajukan padanya oleh Qaseh Imani.
"Tapi, tak mustahil juga kan kalau fikiran dan jiwanya masih berkecamuk walaupun dia dah buat semua yang Allah suka?"
Haidar mengangguk lagi. Benar dia tidak faham.
"Kalau orang, senyum, ketawa ... nampak bahagia, tidak semestinya orang itu bahagia, kan abang? Setiap orang tentu ada masalah, tapi tak semua orang nak tunjuk yang dia ada masalah. Apa pendapat abang?" Qaseh Imani sudah berpaling, duduk bersila mengadap Haidar.
Wajah putih bersih, dengan rambut yang dilepas bebas melepasi bahu itu tidak nampak runsing ataupun bermasalah. Tetapi, pertanyaannya mengundang akal Haidar bekerja keras untuk memberikan jawapan terbaik.
Jika Emran yang menerima soalan begini, bagaimana agaknya alongnya itu membalas? Dengan jawapan lurus atau bergurau? Mengapa kau ingin jadi Emran, Haidar? Mengapa perlu kau menjawab sebagaimana Emran sedangkan kau juga punya jawapan dan pendapat sendiri. Qaseh Imani ingin mendengar dan mengenal kata-kata seorang Qaseh Haidar, bukan Emran!
"Ya, Iman. Semua orang ada masalah. Dan, setiap seorang manusia itu diberi pilihan sama ada ingin berkongsi masalahnya itu dengan dunia atau tidak. Ada yang memilih untuk menulis masalah mereka di atas kertas yang kemudian disimpan. Ada juga yang menulis di media sosial sebagai mengundang pendapat lain terhadap permasalahan.
Tetapi, ada yang menyimpan hanya di dalam hati dan fikiran. Tidak dicatat ataupun diceritakan. Mungkin, diceritakan bukan pada manusia, tapi Tuhan."
"Ada tak yang 'menceritakan' dalam bentuk perlakuan?"
Terkebil-kebil Haidar menentang pandangan mata Iman. Adiknya ini benar-benar menguji akalnya untuk memberikan jawapan terbaik.
"Maksud Iman ... perlakuan macam, memberontak? Atau, menangis?"
Qaseh Imani menggeleng. "Perlakuan macam mencederakan diri sendiri."
Dan, kata-kata Iman itu membuatkan Haidar terdiam. Imbasan perlakuan Iman yang sedang memegang pisau terputar di mata Haidar.
"Iman ada masalah ke?"
"Tak. Iman cuma ... terfikir. Okaylah, bang. Iman nak masuk tidur dulu. Esok, Iman sudah mula masuk sekolah balik." Tangan Haidar dicapai. Disalam dan diciumnya.
Wajah si adik nampak lebih cerah berbanding dua hari lepas. Sudah berwarna merah jambu cerah, berdarah. Tidak lagi berlatar pucat.
.
.
"KAU tak datang tiga hari."
"Oh, awak perasan?"
"Sekali kau dah masuk dalam hidup aku, kau tak boleh keluar."
Qaseh Imani menarik senyum. Ketua pelajar yang tidak pernah bercakap dengan dia selama ini, kini sedang bercakap dengannya. Bercakap tentang sesuatu yang dia tak sangka. Dia - Qaseh Imani, gadis yang sebelum ini ramai manusia tidak sedar kewujudannya di sekolah kerana sikap pendiam dan tidak aktif berpersatuan, kini sudah dikatakan ada dalam hidup seorang manusia yang terbilang? Seorang yang memegang jawatan tertinggi - Ketua Pelajar.
"Awak sedar tak apa yang awak cakap ini, Huzair?"
"Aku sedar. Dan, aku nak bagi kau amaran. Jangan berani bercerita kepada sesiapa pun tentang apa yang kau lihat sebelum ini. Aku akan perhatikan kau."
"Kalau saya bercerita?"
"Kalau kau suka dipandang serong oleh orang lain, kau buatlah. Orang tidak akan percayakan cerita kau, Qaseh Imani!"
"Ya, awak betul, Huzair. Tidak ada orang yang akan percaya dengan cerita saya. Saya sendiri tidak percaya dengan apa yang saya pernah lihat. Dan ... saya juga tidak percaya yang awak tahu nama saya!"
"Jangan cuba pergi lebih jauh dalam hidup aku. Fokus pada pelajaran kau. Lupakan apa yang kau pernah nampak."
"Tak semudah itu. Awak juga yang cakap bahawa saya sudah berada di dalam hidup awak. Awak sendiri sudah mula masuk ke dalam hidup saya. Ambil tahu tentang saya - nama, ketidakhadiran dan apa lagi agaknya yang awak sudah tahu, Huzair?"
Huzair pergi meninggalkan Qaseh Imani yang masih tersenyum, sinis.
"Awak yang membuatkan saya ingin tahu lebih lagi tentang awak, Huzair."
Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro