Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 15 - Patuh

PANGGILAN telefon daripada Haidar siang tadi bukan sahaja menghantar berita tentang Qaseh Imani, tetapi turut menghantar pemikiran yang panjang buat Emran.

"Betul along langsung tidak menelefon Iman? Langsung tidak tahu keadaan dirinya walaupun selepas seminggu dia berpindah dan menyepikan diri? Dan, along langsung tidak tengok berita? Tidak mengikuti kisah Huzair di kaca televisyen atau di mana-mana media sosial?"

Begitulah Haidar menyoalnya. Bertalu-talu tanpa sempat dia menghadam butir berita tentang adik mereka, Qaseh Imani.

"Along. Sekarang ini Haidar bukan sahaja risaukan Iman, tapi along juga. Iman sudah menikah dan punya seseorang yang menjaga dia pun, along masih bekerja keras lagi. Masih tidak membebaskan diri daripada mencari rezeki siang dan malam. Sehinggakan, along jauh daripada perkembangan berita semasa."

"Apa beritanya, Haidar?" Tidak sabar dia dengan bebelan Haidar. Memang Haidar selalu bising padanya yang dia itu bila bekerja seolah-olah tidak ingat apa. Malah, mengabaikan apa yang diperlukan oleh seorang lelaki yang matang dan mampu sepertinya untuk kelengkapan hidup – seorang isteri.

Pernah Haidar menelefonnya dan membebel tentang pencarian jodoh, sehari tiga kali. Pernah juga Haidar meminta Jannah mencarikan jodoh buat Emran di kalangan rakan-rakan Jannah sendiri, tetapi semua cadangan dikesampingkan.

Alasan Emran, dia belum punya rasa untuk mencintai seorang wanita. Tanpa rasa itu, perkahwinan hanya akan melukakan pihak yang satu lagi.

Alasan Emran jadi buah bebel Haidar lagi. Kata Haidar, kenal dahulu dan kemudian bila berkenan, nikah terus. Rasa cinta itu boleh dibina kemudian. Malah, kata Haidar, dia kenal Emran. Walaupun tanpa rasa, in-shaa-Allah, wanita itu tidak akan terluka. Emran tentu akan bertanggungjawab terhadap sesiapa jua yang sudah bergelar isterinya.

Emran tentu akan menjaga bukan sahaja makan pakainya, tetapi juga sekeping hati milik wanita tersebut. Cinta tentu akan mekar seiring dengan waktu yang beredar.

Dan, semua bebelan Haidar itu, selalunya dia biarkan sahaja. Malah, masih mampu tersenyum dan bersabar lagi dengan setiap buah bebel Haidar. Dia tahu, bebel Haidar padanya itu tanda sayang. Tanda ambil berat seorang adik kepada abang.

Tetapi, bebelan Haidar kali ini terpaksa dicantas awal. Dia ingin tahu tentang Qaseh Imani dan tentang suami Qaseh Imani, Ahmad Huzair.

"Huzair sudah menjual rumah dan keretanya."

"Atas alasan apa Huzair berbuat begitu, Haidar? Ada mereka beritahu di mana pula kedua-duanya akan tinggal?"

"Mengikut berita yang dilaporkan, Huzair ingin melunaskan segala pinjaman hutang bank yang arwah ayahnya buat. Kereta yang masih lagi tidak habis dibayar, semuanya akan dipulangkan kepada pihak bank, termasuk kereta arwah kakaknya.

Rumah keluarganya dijual demi menjelaskan bayaran pembelian tanah bagi sekolah tahfiz yang dibuka oleh arwah ayahnya. Dia ingin melunaskan bayaran penuh. Dan, baki jualan rumah itu pula dikhabarkan akan diserahkan kepada peguamnya, untuk diurus bagi menampung kos operasi sekolah tahfiz pada hari-hari mendatang.

Hampir keseluruhan harta yang ditinggalkan oleh keluarganya, Huzair lepaskan untuk tujuan menyelesaikan hutang. Menurut kata peguam keluarga mereka, semasa sidang akhbar semalam ... Huzair akan berpindah ke Tumpat.

Ada tanah arwah ayahnya di sana. Tanah yang tidak boleh dibangunkan dan dijual pun kerana nilainya agak rendah. Tanah tidak besar mana. Hanya sesuai untuk dibuat tapak rumah. Huzair hendak bina rumah di sana. Adik kita long, Iman akan mengikut Huzair berpindah ke sana. Jauh, long. Jauh daripada kita."

Sewaktu Haidar bercerita, hati Emran sudah memberat. Tetapi, pada masa yang sama dia bersyukur kerana Huzair masih punya tanggungjawab untuk menyediakan tempat berlindung bagi adiknya. Masih sedar akan tanggungjawab sebagai seorang suami.

"Long ... kenapa Huzair buat begitu? Kenapa sampai perlu melunaskan hutang sekaligus begitu? Tidak bolehkah dia berbuat sebagaimana yang ayahnya lakukan? Kenapa perlu sampai bergolok-bergadai? Biarlah sekolah tahfiz itu beroperasi dan dibayar bulan-bulan."

"Dia takut pada hutang, Haidar."

"Long ... hutang itu satu komitmen yang akan membuatkan kita bekerja lebih keras. Manusia yang takut untuk berhutang, adalah manusia yang takut pada komitmen. Takut untuk melangkah lebih jauh. Arwah ayah Huzair seorang yang berani. Berani mengambil risiko untuk berhutang dan membayarnya secara bulanan.

Arwah bekerja keras kemudiannya demi hutang bulanan itu. Walaupun dia sepatutnya tidak perlu lagi menambah hutang, kerana semua aset tidak bergerak yang dimilikinya sudah langsai, tetapi dia buat hutang baru. Hutang yang akan membuatkan dia sedar yang dia perlu berusaha pada satu capaian lagi."

"Ya, along tak nafikan kebenaran kata-kata Haidar. Arwah ayah Huzair juga nampak semua itu. Dia korbankan kesenangan dan setiap masa senggangnya untuk kebajikan walaupun untuk diri dia dan keluarganya sudah tiada hutang. Semuanya sudah terlunas kecuali kereta si kakak dan kereta Huzair. Hak dia dan keluarganya yang lain sudah tersedia. Tetapi, hak ummah, hak anak-anak tahfiz ... walaupun tidak semua, satu diambil untuk ditanggung oleh dia.

Tetapi, Haidar tidak boleh samakan Huzair dengan arwah ayahnya walaupun Huzair itu dicipta daripada benih arwah.

Dan, walaupun Islam mengatakan yang berhutang itu hukumnya jatuh wajib bila seseorang hamba itu benar-benar tersepit, dan hukumnya jatuh harus pada situasi tertentu, tetapi harus kita kaji keadaan diri Huzair pula."

"Kenapa hutang jadi wajib, long? Islam menggalakkan hutang, kah?"

"Bukan menggalakkan, tetapi, mengikut keperluan. Di antara mencuri dengan meminta diberikan hutang, berhutang itu pada situasi tersepit adalah lebih dimuliakan Tuhan.

Dan, hukum memberi hutang pula adalah sunat. Dibuat dapat pahala, jika tidak mampu, tidaklah berdosa.

Islam memandang perbuatan memberi hutang itu sebagai satu perbuatan membantu sesama manusia. Membantu mengurangkan kesulitan dan mengelakkan seseorang hamba yang sedang diuji Tuhan daripada melakukan jenayah lain kerana desakan hidup.

Dan, hutang bukan boleh diberi begitu sahaja walaupun kita berkemampuan memberinya. Dilarang memberi hutang kepada yang meminta sekiranya hutang itu dibuat bukan kerana desakan hidup, tetapi ingin dilakukan sesuatu pekerjaan yang haram.

Jatuh makruh kepada yang memberi hutang jika tahu bahawa hutang itu digunakan untuk tujuan yang langsung tidak ada manfaat. Malah sekadar untuk membeli sesuatu yang bersifat 'kehendak'. Yang kemudiannya membawa kepada riak. Menunjuk-nunjuk apa yang dibeli dengan duit hutang.

Tetapi, akan jadi wajib bila orang itu datang kepada kita meminta hutang dalam keadaan terdesak demi sara hidup. Memang diketahui tiada cara lain melainkan dengan berhutang. Sunat bagi kita memberi hutang mengikut kemampuan.

Bagi kes Huzair, dia hanya mengelakkan diri daripada komitmen bulanan. Haidar tahu yang Huzair tiada pekerjaan tetap. Sebelum ini dia hanya bekerja membantu ayahnya untuk tugasan amal sebab ayahnya sibuk sebagai seorang doktor di hospital. Huzair telah dilatih sebegitu rupa. Dan, dia tahu apa yang dibuatnya."

"Bagaimana dia hendak menyara Iman, long?"

"Along tidak punya jawapan, Haidar. In-shaa-Allah, jika mereka benar-benar tersepit, tentu Huzair akan datang pada along. Dan, in-shaa-Allah, along akan tolong."

"Bagaimana jika dia memang susah, tetapi menyorokkannya daripada kita, long? Kasihan Iman, long."

"In-shaa-Allah, Huzair tidak akan mengabaikan Iman."

"Tapi, dia sakit, long! Huzair itu sakit."

"Dia tahu mengawalnya. Walau susah, walau sakit pun ... along percaya, Huzair tidak akan membiarkan Iman."

"Dia mengahwini Iman bukan atas dasar cinta. Dia hanya nak seseorang dalam hidup dia yang kosong. Yang boleh sokong. Dan, dia memilih Iman sebab hanya Iman yang tahu rahsia penyakit dia. Rahsia aib dia. Dan ... adik kita itu long ... terlalu baik mengorbankan dirinya untuk berada di dalam hidup manusia seperti Huzair."

"Huzair lelaki baik. Dididik dengan agama. Dibesarkan dengan belas di setiap kenaikan umurnya. Cuma ... dia adalah manusia terpilih di antara hamba Tuhan yang diuji dengan penyakit sedemikian. Iman nampak semua itu, Haidar. Dan, demi Tuhan, Iman sanggup untuk menawarkan bukan hanya dirinya sebagai peneman halal, tetapi kasih sayang kepada Ahmad Huzair. Huzair perlukan Iman."

.

.

KATA-KATANYA pada Haidar tampak yakin. Tetapi, dalaman jiwanya sendiri, goyah. Emran menghela nafas. Risau menyesak di segenap ruang – di hati. Juga di fikiran. Risaukan Qaseh Imani.

Bukan Emran tidak sedar yang orang terpilih seperti Huzair itu tidak boleh diasak dengan masalah. Tidak boleh dibebani dengan amanah. Luaran menerima, tetapi dalaman menderita.

Emran pernah membaca tentang perasaan dalaman orang yang berhadapan dengan kemurungan. Manusia yang diuji dengan kemurungan, ada di antara mereka cuba bertahan untuk nampak normal, yakin dan kuat di hadapan orang. Tetapi, setiap percubaan mereka itu ada bayarannya. Ada pengorbanannya.

Jiwa mereka terseksa.

Kerana itu, ada di antara mereka yang cuba mengelak atau setidak-tidaknya mengurangkan keberadaan di kalangan khalayak. Mereka lebih suka menyendiri. Dengan menyendiri, ketakutan di dalam diri mereka tidak akan dihidu oleh khalayak. Hanya diri mereka yang tahu. Dan, pastinya bila ketakutan itu tidak diketahui, mereka akan terhindar daripada dikeji. Kekejian yang akan meningkatkan ketidakyakinan diri.

Di dalam kes Huzair, apa yang Emran perhatikan, Huzair itu tiada pilihan yang banyak untuk menghindar. Dia terpaksa berdepan dan bertahan untuk berada di khalayak demi kasihnya kepada seorang ayah.

Dalamannya yang menolak, mengasak itu menuntut korban kerana jiwanya menghadapi penafian hak. Kerana itu, Huzair sering diburu oleh suara dalaman jiwanya sendiri. Suara hati yang memberontak dan suara minda yang ironi dengan diri yang bertindak.

Huzair hilang keupayaan menolak bila tuntutan suara itu mula menguasai. Tinggi imannya pada Tuhan, tetapi dia hanya seorang insan. Bila malam, kesunyian menghadirkan suara yang berkuasa ke atas dirinya.

Membisikkan kata-kata menuntut sesuatu. Sama ada luka, atau air mata. Sama ada kesakitan, atau kematian. Huzair bertahan untuk tidak memilih kematian. Hanya kesakitan dan melukakan.

Dan, dia juga memilih Iman untuk mereda dan memujuk rasa yang meliar. Kerana Iman tahu rahsianya. Kenal aibnya. Dan, Iman menerima dia seadanya. Hanya Iman.

"Along doakan kau, dik. Selalu doakan agar kau kuat. Kau sihat. Dan, kau selamat dengan dia. Jaga dia. Sayang dia. Dan, patuhi dia, selagi dia mematuhi Tuhannya. Semoga dengan kasih sayang dan kepatuhan Iman, dia akan pulih dan kembali untuk membantu ummah. Menjadi ikon muslim berhemah. Kuat, Iman."

(1542 patah perkataan)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro