Chào các bạn! Vì nhiều lý do từ nay Truyen2U chính thức đổi tên là Truyen247.Pro. Mong các bạn tiếp tục ủng hộ truy cập tên miền mới này nhé! Mãi yêu... ♥

Bab 14 - Cerita hutang

PERTEMUAN dengan uncle petang itu rupa-rupanya ada kaitan dengan persoalan yang dibangkitkan oleh Huzair tentang keberadaan dan kesetiaan Qaseh Imani di sisinya. Ada perkara yang akan menentukan hala tuju kehidupan mereka.

Uncle atau nama sebenarnya Tuan Abdul Kadir bin Tuan Man adalah peguam keluarga Huzair. Yang juga merupakan sahabat baik arwah ayah Huzair. Tuan Abdul Kadir seorang duda tanpa anak. Isterinya, meninggal dunia selepas tiga bulan mereka diijabkabulkan. Pergi sekali dengan benih yang bukan sahaja tidak sempat membesar sempurna, tetapi juga tidak sempat melihat dunia.

Kerana cinta yang ada di hatinya sudah diserah sepenuhnya kepada si isteri, yang pergi mengadap Ilahi, Tuan Abdul Kadir tidak memiliki cinta kepada yang bernama manusia lagi. Dia hanya punya cinta Ilahi.

Dia, selepas kematian isterinya, hanya memberi tumpuan kepada kerjaya dan kerja-kerja amal. Termasuklah menguruskan amanah daripada seorang sahabat yang telah diambil Tuhan bersama-sama empat ahli keluarga. Yang ditinggalkan hanya seorang – Ahmad Huzair. Yang sudah dianggap anak oleh Tuan Abdul Kadir.

"Arwah ayah Huzair meninggalkan bukan sahaja harta, tetapi beberapa tanggungan hutang yang perlu dilunaskan bagi kita yang masih tinggal. Ini adalah keseluruhan senarai harta yang ada. Dan, fail yang satu ini pula adalah tanggungan hutang. Yang lama sudah menyusut, tetapi yang baru dibuat, masih jauh dan nyata banyak jumlahnya. Uncle dimaklumkan oleh arwah, yang Huzair tahu tentang semua perkara ini."

"Ya, uncle. Huzair tahu. Arwah ayah selalu kongsikan semuanya dengan Huzair."

"Huzair satu-satunya anak lelaki arwah. Tanggungjawab arwah, terbahagi sama di pundak Huzair. Bukan sebagai beban, tetapi sebagai menguatkan apa yang telah arwah ajarkan. Arwah ingin melihat bagaimana ilmu itu dimanfaatkan.

Tetapi, Huzair perlu tahu, nak. Huzair tidak pernah akan memikulnya seorang. Uncle ada. Hafiy ada. Anggap sahaja uncle ini bapa. Selagi punya nyawa, selagi itu uncle bantu apa yang terdaya.

Sekarang ini, selepas Huzair meneliti semua dokumen aset dan liabiliti, apa rancangan Huzair yang boleh uncle bantu?"

"Alhamdulillah, Allah hadirkan orang yang baik-baik di sekeliling Huzair. In-shaa-Allah, selagi bernyawa, Huzair akan santuni uncle sebagai seorang bapa. Begini, uncle. Huzair ingin menumpukan kepada hutang dahulu.

Perancangan Huzair, bagi semua aset bergerak, macam kereta arwah kakak, kita serah semula kepada pihak bank. Jika ada baki yang perlu kita lunaskan, Huzair percaya ia tidak sebanyak menanggung hutang pemilikan ke atasnya. Kita jelaskan baki yang sedikit itu dengan tunai yang ada.

Kereta Huzair juga, Huzair akan lepaskan pegangannya. Kita pulangkan kepada pihak bank. Huzair akan gunakan kereta arwah ayah yang sudah bebas hutang.

Klinik gigi arwah kakak, Huzair nak minta tolong uncle carikan jika ada doktor lain yang ingin mengambil alih. Huzair tidak mampu dan tidak berkelayakan."

"Bagaimana dengan sekolah tahfiz? Hutangnya masih baru. Arwah ayah Huzair dahulu, semasa hidupnya bayar bulanan kepada pihak bank untuk pembelian tanah. Kos pembinaan sekolah sahaja yang dilunaskan secara tunai, tanpa sebarang pinjaman. Andai dipulangkan kepada pihak bank, untuk tanah itu dilelong, sekolah itu terpaksa diruntuhkan dan anak-anak tahfiz akan kehilangan tempat tinggal, malah pengajian."

Huzair mengangguk-angguk. Dia nampak begitu tenang. Dan, ketenangan itu menjadi tanda tanya dalam hati Iman. Benar-benar tenangkah suaminya itu? Atau, hanya di pandangan mata orang? Sedangkan dalamannya bergelombang. Mungkin juga sedang dilanda taufan.

"Tidak. Untuk tanah yang menempatkan sekolah tahfiz, tidak perlu serahkan pada bank. Kita teruskan. Tetapi, Huzair tidak bercadang untuk bayar bulan. Huzair inginkan tanah itu dimiliki terus oleh sekolah tahfiz. Tanpa hutang."

"Bagaimana? Pinjaman pembelian tanah itu bukan sedikit. Arwah sendiri tidak mampu untuk membayar tunai sehinggalah Allah tarik nyawanya. Jika hendak digunakan semua tunai yang ada, masih tidak cukup juga."

"Huzair sudah fikirkan perkara ini uncle. Nilai rumah yang Huzair tinggal sekarang melebihi nilai tanah sekolah tahfiz. Malah, nilai jualannya bila sudah dibayar penuh untuk tapak tanah sekolah tahfiz, akan ada banyak lagi baki bagi kita melunaskan hutang-hutang yang lain. Malah mampu untuk menampung kos operasi sekolah tahfiz selama lebih lapan tahun. Uncle tolong uruskan penjualan rumah ini."

"Habis, Huzair dan Iman hendak tinggal di mana?" Tuan Abdul Kadir mengalih pandangan. Dari wajah Huzair, matanya memandang pada Iman.

Isteri Huzair ini semenjak tadi hanya mendiamkan diri. Sepatah kata pun tidak berbunyi. Jika Qaseh Imani menerima Huzair kerana harta, pasti wanita ini sudah berubah riak muka tatkala perkara berkenaannya dibincangkan.

Baru dua hari Qaseh Imani menjadi isteri kepada Huzair – lelaki waris ikon keluarga ternama. Yang kaya, berbudi bahasa dan terdidik dengan agama. Dan, waris yang satu ini memiliki wajah tenang, dan menjadi kegilaan gadis-gadis remaja. Malah, wanita yang sudah berkeluarga juga. Tetapi, semua mereka kecewa bila Huzair dalam diam sudah memiliki calon hatinya sendiri. Seorang wanita yang langsung tidak dikenali di dunia media sosial. Yang tidak pernah pun terdengar namanya disebut oleh Ahmad Huzair. Tetapi wanita bernama Qaseh Imani ini wujud. Muncul di saat Huzair kehilangan orang-orang tersayang.

"Iman ..." Panggilan beserta pandangan Huzair padanya, dibalas Iman dengan anggukan tanpa keraguan. Tiada soalan apatah lagi bantahan.  Seolah-olah wanita bernama Qaseh Imani ini sudah sedia maklum dengan keputusan Huzair. Tidak kisah dengan harta dan rumah besar.

Terhela nafas Tuan Abdul Kadir. Nyata pilihan Huzair tepat dan nyata tidak membebankan. Tuan Abdul Kadir tanpa sedar, menarik senyum. Syukur. Anak angkatnya ini dipermudahkan urusan. Syukur. Anak angkatnya ini disokong oleh wanita yang bukan sahaja berbudi pekerti mulia, tetapi berjiwa kental. Tidak goyah dengan harta, juga keadaan diri Huzair yang menjadi tumpuan media.

"Uncle tidak perlu risaukan Huzair dan Iman lagi. Kita tumpukan pada hutang yang perlu dilunaskan. Tiada lagi penangguhan."

"Ya, baiklah. Jika itu keputusan Huzair dan Iman. Sementara uncle menguruskan dokumen dan mencari pembeli, kalian tinggallah di rumah itu. Uncle akan carikan juga tempat tinggal lain, tetapi tidaklah sebesar rumah yang sedia ada. Uncle akan ..."

"Tidak perlu susah-susah, uncle. Huzair akan gunakan wang yang ada untuk membina rumah di atas tanah, di Tumpat. Tanah yang itu akan kekal. Arwah beli atas satu amanah. Huzair akan bawa Iman berpindah dan menetap di sana bila semuanya sudah selesai."

"Huzair tidak kisah tinggal di sana? Iman?"

"Tidak mengapa uncle. Masih di bumi Allah. In-shaa-Allah, Huzair tidak kisah. Iman pun, kan?" Huzair menoleh pada Iman.

"Ya. Iman ikut Huzair."

"Yang penting, setiap hutang perlu diselesaikan. Huzair tidak mahu arwah ayah terseksa dengan hutang yang tertangguh. Arwah ayah sering menekankan perihal hutang pada Huzair. Kata ayah, hutang itu adalah amanah. Bila kita berhutang, niat awal membuat hutang itu sendiri haruslah bersedia untuk melunaskannya.

Tidak kira sama ada hutang itu dibuat dengan individu atau dengan pihak bank. Daripada Abu Hurairah r.a, Rasulullah s.a.w sendiri telah bersabda,

"Sekalipun aku memiliki emas sebesar Gunung Uhud, aku tidak akan senang jika tersisa lebih dari tiga hari, kecuali yang aku sisihkan untuk pembayaran hutang." (Hadis Riwayat Al-Bukhari).

Jika Nabi sendiri takut dengan hutang dan tidak senang dengan harta jika hutangnya masih bersisa, Huzair juga tidak ingin menangguhkannya lagi. Dahulu, memang arwah ayah tidak akan buat seperti Huzair kerana kami sekeluarga menetap di rumah itu. Dan, ayah bertanggungjawab memberikan segala kemudahan kepada keluarga.

Hutang, masih ayah bayar bulanan bukan diabaikan. Ayah bekerja, tetapi Huzair tidak. Jika Huzair bekerja pun, tidak mampu menyisihkan wang untuk membayar hutang. Huzair tidak memiliki kemahiran seperti ayah. Masih bertatih dan masih jatuh berkali-kali. Ada masa rebah.

Dulu, jika Huzair rebah, ayah akan bangunkan Huzair. Kini, ayah tidak ada. Huzair tidak mampu. Cukuplah apa yang Huzair ada sekarang. Dan, cukuplah bila Huzair memiliki Iman. Segala yang arwah buat untuk sekolah tahfiz itu, in-shaa-Allah masih tidak putus dengan wang jualan rumah kami nanti. Huzair sudah cukup puas hati.

Huzair takut jika Huzair mati, dan amanah ini tidak Huzair lunasi, Huzair akan menyesal kerana memilih penangguhan.

Masa itu sifatnya beredar. Sedangkan nyawa itu punya tempoh yang tidak sama. Bakal putus tanpa sedar. Tamat pada tempoh masa yang dirahsiakan oleh-Nya."

Tuan Abdul Kadir mengangguk-angguk. "Uncle rasa, kita semua sudah jelas dengan keputusan Huzair. Selepas ini, pertemuan semula adalah untuk menandatangani dokumen. Terima kasih, Huzair. Iman. Kita tamatkan perbincangan ini."

Terdengar helaan nafas Hafiy di sudut bilik. Dia yang semenjak tadi menyepi tampak kurang senang dengan keputusan yang sudah terikat mati. Tetapi, tiada bantahan. Dia hanya lelaki yang bekerja di bawah Tuan Abdul Kadir. Tiada sebarang hak untuk campur tangan. Dia sedar akan hal itu.

Sebaik keluarga Huzair meninggal dunia, dia diarahkan oleh Tuan Abdul Kadir menjadi pembantu Huzair. Mengikut apa sahaja yang diminta buat oleh Huzair. Gajinya dibayar oleh Tuan Abdul Kadir.

"Huzair hendak bekerja dengan uncle?"

Semerta Huzair menoleh pada Iman.

Hanya mata mereka berbicara sebelum Huzair kembali memandang kepada Tuan Abdul Kadir, "Huzair perlu berbincang dengan Iman dahulu."

"Ini untuk kepentingan kalian. Huzair sudah beristeri, dan akan punya zuriat. Tanpa kerja, tanpa harta bagaimana hendak menyara Iman? Iman ini amanah yang telah diserahkan kepada Huzair oleh abang-abangnya. Uncle hanya ingin membantu. Dan, uncle tahu yang Iman tentu akan bersetuju. Bukan begitu, Iman?"

Huzair menoleh kembali pada Iman. Mereka berdua berbicara bisu. Melihat kedua-duanya begitu, riak wajah Tuan Abdul Kadir disimbah rasa bersalah.

"Ya, baiklah. Kalian pulang dahulu, berbincang. Jika perlukan apa-apa bantuan, datanglah pada uncle. Uncle ini bapa kalian. Ya, Huzair?"

"Ya, uncle. Tiada sangkalan. Huzair anggap uncle bapa Huzair." Huzair menoleh pula kepada Hafiy yang semenjak tadi hanya menjadi pemerhati yang bisu. "Abang Hafiy, Huzair anggap sebagai abang Huzair.

Selepas ini, jangan ber'tuan' lagi, bang. Abang sendiri sudah dengar, yang Huzair tidak punya apa pun selepas ini walaupun Huzair anak angkat kepada majikan abang. Buang perkataan 'tuan' itu, bang."

Hafiy cuba tersenyum, tetapi kelihatan seakan terpaksa. Dia akhirnya hanya mengangguk tanpa bicara.

.

.

"SEKARANG Iman sudah faham kenapa Huzair tanyakan soalan sedemikian pada Iman?"

Qaseh Imani mengangguk.

Huzair menyandarkan tubuhnya di kepala katil. Wajahnya tidak beriak.

"Huzair tidak punya apa-apa lagi, Iman. Harta banyak mana pun, bila masih punya hutang, bukan namanya kaya, Iman. Sebaliknya, miskin. Harta yang ada itu akan direnggut bila-bila masa oleh hutang.

Orang miskin itu sebenarnya lebih kaya bila miskin mereka itu, tanpa hutang. Mereka bebas mencari rezeki tanpa dibebankan dengan amanah bulanan. Jika ada rezeki, mereka gunakan rezeki itu untuk makan. Jika tidak, mereka terus mencari dan redha dengan jumlah yang disediakan Tuhan.

Tetapi, orang yang berhutang, ada sesuatu yang menekan. Mereka mengumpul sepanjang musim dan semua hasil yang dituai di hujung musim itu akhirnya bukan milik mereka. Hasil itu milik yang lain. Si pemiutang. Kaya apakah itu, Iman?

Huzair ingin menjadi miskin. Bukan miskin harta, tapi miskin hutang. Itu lebih indah berbanding kaya harta, juga kaya hutang."

Huzair kemudiannya menoleh pada Iman yang setia berbaring di sebelah. Sama-sama merenung siling bilik mereka yang kosong. Iman yang menelan dan menghadam semua butir bicara Huzair tanpa mencelah. Tapi, Huzair tahu Iman mendengar. Isterinya itu tidak tidur.

"Iman."

Iman menoleh.

"Huzair tidak mempunyai apa-apa."

"Huzair ada Iman."

Dia terdiam. Memandang Iman.

"Selamat malam, Huzair." Tangan suami dicapai, lalu dikucup.

Huzair melorotkan tubuh, baring separas dengan isterinya. Memandang wajah yang sudah mula memejamkan mata. "Selamat malam, Iman." Dikucup dahi si isteri. Dibisikkan doa, sebelum dia sendiri lena dalam dakapan bahagia.

.

.

JAM satu pagi, Qaseh Imani terjaga. Huzair tiada di sisi. Lampu meja dinyalakan. Sosok tubuh Huzair berada di ceruk langsir.

"Huzair?"

"Iman."

Iman bergerak ke arah tubuh Huzair.

"Huzair tak mampu bertahan, Iman." Huzair menggogoi tangis.

Pisau di tangan Huzair, Iman ambil perlahan. Sehelai tuala muka yang memang tersedia di meja katil diambil lalu dibalut pada luka di tangan Huzair. Walaupun ini kali kedua selepas bergelar isteri, dia menemui Huzair dalam keadaan sedemikian, tetapi hati Iman masih tidak kuat. Masih menggigil walaupun rasa takut itu tersorok kemas.

"Sssh ... Iman ada. Tak ada apa-apa. Huzair cuma penat. Iman jaga Huzair." Tubuh Huzair didakap. Dipaut agar berdiri bersama-sama dengannya. Dibawa kembali ke katil. "Huzair baring. Iman bacakan Asmaul Husna."

Dan, Huzair memilih untuk baring di ribaan Iman. Rambut Huzair dibelai dengan bacaan Asmaul Husna. Lembut. Tenang. Sehingga bacaan itu hilang bila Iman sendiri lena. Tersandar tubuhnya di kepala katil.

Tangan kirinya yang tadi mengelus lembut rambut Huzair sudah terkulai. Layu di bahu Huzair.

Tangan kanannya pula dalam dakapan, di dada Huzair.

Tiada malam dengan kata-kata cinta. Hanya lena. Kerehatan yang sempurna.

(1989 patah perkataan)

Bạn đang đọc truyện trên: Truyen247.Pro